24/10/2009

10 Kebaikan Aktiviti Blogging (Bahagian 5)

(Ini adalah sambungan siri post "10 Kebaikan Aktiviti Blogging". Jika anda ingin membaca dari mula, anda boleh klik di sini)


6. Belajar perkara baru boleh menjadi ruang melupakan masalah.

Memiliki, menulis dan mengurus blog memberikan ruang yang banyak kepada saya untuk mempelajari perkara baru.Saya bukan pelajar jurusan komputer dan IT, namun dengan blogging setidak-tidaknya saya mempelajari sedikit sebanyak tentang komputer dan IT. Blogging bukan saja mendedahkan saya dengan ilmu berkaitan blog dan bidang blogging namun lebih daripada itu. Blogging memberi saya ruang mempelajari banyak perkara termasuk perkara berkaitan komunikasi, psikologi dan motivasi.

Blog adalah salah satu medium komunikasi. Perkara berkaitan komunikasi dalam aktiviti blogging adalah seperti belajar menulis post di blog, bagaimana menjalinkan hubungan dengan rakan-rakan di dunia maya agar kehadiran kita sebagai blogger diketahui oleh orang lain, bagaimana menulis komen di blog orang lain, dan lain sebagainya.

Berkaitan psikologi pula, menulis post di blog melatih kita untuk menulis dengan 'memiliki hubungan minda'. Maksudnya, bagaimana kita menulis sesebuah post dan bagaimana untuk supaya penulisan kita itu boleh menjadi hubungan minda antara kita dengan pembaca. Ya mungkin pada tempoh permulaan blog kita belum mempunyai audiens dan pembaca setia, tapi adanya 'sentuhan' tarikan minda dalam post yang kita tulis boleh menarik orang lain untuk sampai ke blog kita dan membacanya. Saya juga melatih kemahiran ini semasa menulis komen di blog orang lain. Perkara psikologi penulisan ini saya pelajari dari buku-buku teknik penulisan.

Mungkin kata-kata saya dalam perenggan di atas akan diketawakan oleh pakar-pakar SEO di luar sana:-). Namun, ini bukanlah teori saya, ini adalah dapatan oleh pakar-pakar dalam bidang psikologi dan ia terbukti malah saya mempercayainya. Sebenarnya, terlalu banyak keajaiban dalam kehidupan kita ini yang belum berjaya dirungkai oleh pendekatan yang logik atau saintifik.

Blogging mengajar saya tentang motivasi diri. Ya, tidak syak lagi. Pertama di blog ini contohnya; saya cuba melatih disiplin diri dan bagaimana untuk tetap melakukan apa yang telah dirancang walau apapun cabaran mendatang. (Wah, semangatnya..). Saya tegar menulis sebuah post sehari di blog ini, dan saya melakukan ia seakan-akan blog saya ini dibaca orang lain setiap hari. (Ada orang yang akan menganggap ini sebagai 'syok sendiri'). Namun, hanya saya yang tahu tujuan saya menulis dan menguruskan blog ini; dan penting untuk saya terus menjaga motivasi saya. Setidak-tidaknya, di blog ini saya berlatih untuk menulis, 'berbicara' dan menjalinkan hubungan minda. Apapun, seperti yang saya baca dalam sebuah novel, '..tidak akan kita gusar selagi kita tahu tujuan kita..'.

Selain itu, dalam menjalani kehidupan seharian; hidup ini tidak sunyi dari masalah. Antara kaedah penyelesaian masalah ialah kaedah yang saya gelar 'tunggu sejuk dulu'. Masalah selalu bersifat seperti air di dalam bekas, jika kita mahu ia tenang maka biarkan ia dan jangan dikocak. begitulah masalah, selalunya masalah hidup itu perlu dibiarkan dulu kerana jarang ia dapat diselesaikan dengan paksaan dan tekanan. Blogging menjadi ruang untuk saya melupakan seketika masalah saya yang lain. Blogging yang saya maksudkan, bukanlah terbatas kepada apa yang saya lakukan di blog ini sahaja. Ia adalah blog ini, blog lain yang sedang saya bangunkan, melawat dan membaca blog orang lain, meninggalkan komen di blog orang lain dan menghubungi blogger lain.. itulah aktiviti blogging bagi saya;-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan