12/11/2009

3 Jalan Sabar Seorang Usahawan Muslim (Bahagian 2)


(Post ini adalah Bahagian 2 dari post bertajuk '3 Jalan Sabar Seorang Usahawan Muslim'. Jika anda belum membaca Bahagian 1 post ini, anda boleh klik di sini untuk membacanya - Seeloknya anda membaca dulu Bahagian 1 sebelum membaca Bahagian 2 ini- Terima Kasih).


Sabar Kedua Usahawan Muslim:
Sabar Dalam Menjalankan Usaha


Jangan terus berbuat sesuatu tanpa merancang. Sabda Baginda Nabi (SAW) ‘kejahatan yang dirancang boleh mengalahkan kebaikan yang tidak dirancang’. Kita juga kerap mendengar ungkapan berbunyi; ‘Kegagalan merancang adalah perancangan untuk gagal’. Pakar perniagaan kerap menekankan kemestian dan kepentingan perancangan dalam perniagaan.


Perancangan banyak membantu usaha kita, antaranya:

1.  Perancangan membantu kita untuk fokus.

2. Perancangan memberi panduan kepada kita bagaimana dan di mana hendak menyalurkan masa, tenaga dan wang ringgit kita.

3. Merancang sesuatu memberi kita gambaran dan persediaan terhadap cabaran dan masalah yang bakal kita depani.

4.   Merancang membantu kita mendapatkan pilihan yang lebih baik.

5.   Merancang memberi kita matlamat dan arah tuju.


Sebelum memulakan sesuatu usaha perniagaan atau ikhtiar rezeki yang lain, sebaiknya buat 'Pelan Tindakan' terlebih dahulu. 'Pelan Tindakan' adalah perkara utama dan merupakan tapak asas kepada usaha kita. Namun, untuk membuat 'Pelan Tindakan' kita perlukan usaha untuk mendapatkan maklumat dan melakukan kajian. Di sini, kesabaran kita diuji lagi. Katakan kita hendak berniaga di portal lelongan online contohnya Lelong.com.my. Pertama, kita perlukan maklumat tentang keusahawanan di portal lelong.com.my. Maklumat paling penting dan utama ialah, kita perlu mencari jawapan kepada soalan berikut: "Apakah keusahawanan di lelong.com.my ini sesuai untuk saya?". Untuk menjawab soalan tersebut, kita perlukan maklumat yang boleh dipercayai tentang lelong.com.my. Jangan sekadar mencari produk informasi yang berkaitan di internet.

Sebelum bermula, lihat dulu dalam diri sendiri. Apakah kita memiliki bahan dan keperluan yang sepatutnya? Cukupkah maklumat, ilmu dan kemahiran yang diperlukan? Modalnya berapa? Masa yang perlu diluangkan untuk satu-satu aktiviti dan usaha perlu diambil kira. Jangan terus melompat ke portal lelong.com.my kerana terpengaruh dengan surat jualan atau produk informasi yang anda beli. Jangan dek kerana mendengar orang lain meraih pendapatan belasan dan puluhan ribu di lelong.com.my maka kita pun ingin menceburinya. Sabar dulu deh:-) Kita manusia tidak pernah sama antara seorang dengan seorang yang lain. Ada jalan yang sesuai untuk seorang, mungkin tidak sesuai untuk kita.

Mengimbas kembali kenangan saya sendiri. Saya sendiri mengambil masa hampir setengah tahun untuk memilih dan membuat keputusan untuk menjadi usahawan lelongan online. Ini kerana, saya telah dapat menjawab soalan asas tadi iaitu; "Adakah bidang ini sesuai untuk saya?". Pastinya, jawapan untuk soalan ini saya perolehi dari kajian, rujukan, bacaaan dan bertanya. Kemudian, saya membeli panduan yang berkaitan dan saya mendapatkan bimbingan seorang mentor untuk memberikan saya tunjuk ajar. Insya Allah, dalam post yang lain saya akan berkongsi tentang ini.

Walaupun menyediakan 'Pelan Tindakan' dan senarai semak nampak leceh dan mengambil masa, kita perlu sabar dan sanggup untuk meluangkan masa bagi merancang apa yang hendak kita lakukan. Perlunya sabar untuk melakukan kajian pasaran, perlunya sabar untuk menilai persaingan dan kemampuan kita untuk menghadapinya, perlunya sabar untuk mengikut 'Pelan Tindakan' yang telah kita rancangkan dan sebagainya.

'Pelan Tindakan'  dan Rancangan Perniagaan yang lengkap, baik dan boleh dikategorikan sebagai gred A sekalipun, boleh menjadi sia-sia, jika kita tidak memiliki kesabaran dalam usaha dan tindakan untuk mematuhi dan merealisasikannya. Ia ibarat kita sedang lapar dan sudah tiba di sebuah restoran yang baik, sudah memesan menu yang bagus, dan makanan sudah terhidang tapi kita tidak mahu mengangkat tangan untuk menyuapkan ia ke mulut kita.

Kerapkali pula, apa yang kita hadapi tidak semudah 'Pelan Tindakan' dan rancangan yang telah disusun. Bersabarlah dan jika perlu, susun semula pelan, rancangan dan strategi kita. Bersabarlah dalam usaha kita dan selalu mengingatkan diri bahawa setiap kesusahan yang kita hadapi dalam usaha kita, Allah memerhatikannya dan di situ kita dinilai dan dihisab. Tiada usaha yang sia-sia selagi kita mampu memurnikan dan meluruskan niat kita. Selalulah mengingatkan diri, bahawa usaha kita bernilai ibadah selagi tujuan akhir kita adalah kepada 5 Tujuan Hidup kita di dunia ini.

Bersabarlah dalam usaha dan ikhtiar kita sebagai seorang Usahawan Muslim. Sabar itu kunci istiqamah. Istiqamah pula memberi kita ‘Kuasa Bertahan’. ‘Kuasa Bertahan’ pula akan membawa kita ke arah kejayaan dan kebahagian. Insya Allah.


KUASA BERTAHAN


“Apabila cara yang kita gunakan sekarang tidak berhasil menyelesaikan masalah itu, kita perlu menukar cara-cara sekarang dengan cara-cara lain. Apabila cara baru itupun masih juga tidak berhasil, jangan menyerah, tetapi tukar lagi dengan cara lain, begitulah seterusnya. Jangan sekali-kali menyerah. Penyerahan pertama mendorong kita melakukan penyerahan kedua dan begitulah seterusnya. Jangan biarkan hati kita berasa jenuh disebabkan jenuh mendorong kita patah semangat, yang segera mendorong kita menyerah.

Tukar dan tukar lagi cara yang kita gunakan bagi memecahkan masalah itu sehingga kita menemui kunci penyelesaiannya, disebabkan kunci masalah itu memang ada, selalu ada, tetapi kita perlu tekun dan tabah mencarinya.”


(Prof. Emiritus Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd,
buku ‘Mendorong Diri Sendiri’)

2 ulasan:

  1. ya ustaz, konsisten dan istiqamah dlm melakukan sesuatu..setiap manusia caranya berbeza dlm mengendalikan sesuatu..jgn dibuat perbezaan antara epal dengan limau..epal itu sendiri sudah pelbagai jenis bakanya.

    BalasPadam
  2. Terima kasih Saudara sahromnasrudin atas respon anda. Iya, jangan mencari perbezaan, tapi cari lah kesesuaian:-)

    Maha Suci Allah yang menjadikan setiap ciptaan-Nya dengan keunikan masing2.

    BalasPadam