Khamis, November 26, 2009

Berkorban Untuk Menjadikan Umat Islam Lebih Kaya


  Berkorban Untuk Menjadikan
Umat Islam Lebih Kaya





Photobucket


Salam Aidil Adha
Buat Semua Pengunjung dan Pembaca
Jurnal Online UstazCahaya


Aidil Adha datang lagi. Walaupun agak kurang daripada ketika berada di ambang Syawal, kemeriahan menyambut kedatangan Aidil Adha tetap dirasa. Jalan-jalan utama agak sesak. Ramai orang di kedai-kedai segar (cold storage) membeli daging untuk dibuat lauk. Di tepi-tepi jalan sudah ada gerai-gerai sementara menjual lemang. Kedai runcit agak sesak dengan pelanggan yang membeli kelapa parut untuk dibuat santan.

Kedatangan Aidil Adha sinonim dengan aktiviti menyembelih binatang korban sama ada untuk berkorban, sedekah atau nazar. selain itu, kedatangan Aidil Adha ini membawa ingatan kita kepada Nabi Ibrahim (AS) dan Nabi Ismail (AS). Nabi Ibrahim adalah Nabi yang paling banyak disebut namanya oleh kita sehari semalam selepas nama Muhammad (SAW) iaitu ketika bersalawat dalam tahiyat akhir solat.

Mengimbas kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail; kita mendapat pengajaran bahawa, sesungguhnya Tuhan tidak melihat pada apa yang kita korbankan, tetapi Tuhan menilai hati dan keikhlasan hamba-Nya yang berkorban itu. Perhatikan sejarah, bukanlah Allah (SWT) menginginkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail kerana itu adalah berlawanan dengan fitrah manusia. Namun sebenarnya Allah ingin melihat kesanggupan dan ketaatan kedua-dua beranak itu. Makanya, setelah kedua-duanya sanggup dan dengan reda untuk berkorban, Allah (SWT) pun menukarkan korban tersebut kepada seekor kibas.

Begitulah kita pada hari ini, bukanlah soal ibadah kurban dan aqiqah yang hukumnya sunat itu yang menjadi keutamaan. Namun, lebih daripada itu sebenarnya sejauh mana kita sanggup berkorban untuk menyisihkan sedikit daripada rezeki kita untuk dikongsikan kepada saudara kita yang lebih memerlukan. Selepas menjamu saudara seagama kita yang miskin dan fakir di luar negara setahun sekali sempena Aidil Adha, kemudian  apa yang kita lakukan untuk mengeluarkan sebahagian besar umat Islam seluruh dunia daripada kemiskinan. Sedangkan, kemiskinan dan kepapaan itulah kanser utama yang melemahkan dan bakal menghancurkan umat ini.

Pada zaman Rasulullah (SAW) dan para khalifah Ar-Rasyidin, umat Islam bukanlah umat yang miskin dan papa. Kita dalam sejarah adalah umat yang makmur dan kaya raya. Dikhabarkan, semasa zaman Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah, setiap tahun wakil kerajaan berkeliling negara mencari orang yang layak untuk menerima harta zakat. Jika benarlah khabar itu, betapa kayanya umat kita ketika itu. Para Imam Fiqh yang empat itu juga bukan daripada kalangan keluarga yang miskin. Mereka adalah daripada keluarga bangsawan dan hartawan. Oleh kekayaan keluarga, mereka mampu mengembara dan berkelana mengumpul ilmu, menjilidkan ilmu menjadi kitab dan menyebarkan ilmu sehingga diwarisi oleh kita hari ini.

Melihat pada diri, saya bertanya, apa agaknya pengorbanan yang patut saya lakukan agar saya menjadi kaya?
Kekayaan itu perlu dan mesti. Mungkinkah ada pembaziran dalam saya membelanjakan rezeki kurniaan Allah. Jika ada, maka wajiblah saya mengorbankan amalan yang menjadi pembaziran itu. Mungkin juga perlu mengorbankan sedikit tenaga, simpanan dan masa untuk membina perniagaan atau mencari rezeki tambahan?

Apa agaknya sikap dan amalan buruk yang perlu saya korbankan? Apakah sikap yang saya perlu buang agar saya menjadi lebih baik, lebih berjaya dan lebih kaya?

Apakah yang telah saya korbankan sama ada dalam bentuk wang, masa, akal fikiran dan tenaga untuk mengajak dan mendekatkan orang lain kepada kebaikan serta menjauhkan mereka daripada dosa, maksiat dan kejahatan?


Perjuangan utama kita sekarang adalah untuk melepaskan umat kita daripada belenggu penindasan dan kemiskinan. Kepada diri sendiri dan saudara sekalian, marilah.. marilah kita berusaha sedaya upaya melepaskan diri kita daripada kemiskinan menuju kekayaan.



Wahai para ulamak, para ilmuwan, para pemimpin, para mufti, ayuhlah.. berhentilah bertelagah dan berbantah-bantah. Apa yang penting untuk umat ini ialah kekayaan. Korbankan ego, korbankan kepentingan diri dan parti, korbankan sikap permusuhan, korbankan besar kepala, korbankan bangga diri, korbankan kejahilan, korbankan kemunduran, korbankan kebodohan..

Sedarlah, dengan kekayaan dan iman serta taqwa, Insya Allah.. tidak ada umat kita yang menjadi pelacur, penjenayah, perompak, pengedar dadah, penghutang dengan along dan sebagainya. Ingatlah, perngorbanan utama dan perlu untuk kita hari ini adalah agar kita menjadi kaya setara Yahudi dan Amerika.. kerana umat ini dulu adalah umat yang kaya. Bukan saja kaya harta, mereka juga kaya dengan peribadi yang mulia berserta iman dan taqwa.


...kerana umat ini dulu adalah umat yang kaya.

Bukan saja kaya harta, mereka juga kaya dengan peribadi yang mulia berserta iman dan taqwa.





...korbanlah apa yang mesti dikorbankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan