Khamis, November 19, 2009

Bermula Sebuah Pengembaraan Waktu Cuti Sekolah


  Bermulalah Sebuah Pengembaraan
Waktu Cuti Sekolah



Photobucket


Indah. Satu hari yang cukup indah. Satu hari pada bulan November yang cerah. Matahari memancarkan sinarnya menerangi langit yang membiru, saujana mata memandang. Awan nipis bergantungan menambahkan lagi indahnya pemandangan langit waktu pagi. Alhamdulillah, syukur Allah memberi satu hari lagi untuk menikmati kehidupan di bumi yang aman, makmur dan indah ini. Sejak awal pagi, sudah dapat dirasakan keindahan hari ini. Indahnya panorama alam semakin jelas sebaik waktu dhuha bermula.

Keindahan ini berterusan ke waktu zuhur. Walaupun matahari memancarkan sinar yang terik dan cuaca yang panas, angin bertiup dengan agak kuat dan sangat menyamankan. Jalan raya pula agak lengang. Di mana-mana, kanak-kanak berwajah riang. Di kebanyakkan sekolah, musim cuti sudah bermula cuma masih ada beberapa buah sekolah yang mula bercuti esok dan lusa. Sehingga ke waktu asar, hari masih cerah dan indah. Mood santai menambah nikmatnya waktu asar petang ini.

Jarang 'mendapat' hari yang cerah dan indah seperti hari ini pada bulan 'hujan' November begini. Saya sempat melihat laut petang tadi. Ombak bergulung-gulung tinggi, deras dan menggerunkan. Jika anda tidak pernah menongkah ombak dengan angin yang agak kuat, mungkin sukar untuk anda menghayati apa yang saya rasakan.

Ketika ke surau pada waktu magrib, tompok-tompok awan di langit semakin besar. Seperti gumpalan kapas gergasi. Jika gumpalan awan itu diwarnakan merah, biru, kuning dan hijau, pasti ia kelihatan seperti gula-gula kapas:-) Gula-gula kapas menjadi antara memori saya. Bukan saja memori zaman kanak-kanak riang yang menggemari gula-gula kapas, malah gula-gula kapas pernah menjadi antara sumber rezeki saya suatu masa dulu. Namun, satu perkara yang saya perasan, rasa gula-gula kapas kini agak berbeza dari gula-gula kapas sewaktu zaman kanak-kanak saya dolu-dolu.

Sehingga ke malam, keindahan hari ini terus dapat dirasakan. Surau dan masjid kelihatan ceria dan meriah. 'Lampu-lampu raya' yang menghiasi masjid dan surau dinyalakan. Maka berwarna-warnilah panorama antara waktu maghrib dan isyak di semua masjid dan surau. Di surau At-Taqwa dalam kawasan kediaman saya, malam Jumaat begini penyaman udara dihidupkan. Teringat lagi memori silam. Malam Jumaat begini ada nostalgia yang tidak akan saya lupakan. Namun, sama seperti kisah gula-gula kapas tadi, semakin saya dewasa, semakin terasa perbezaan kemeriahan dan nostalgiknya malam Jumaat ini.

Dengan bermulanya cuti sekolah, maka bermulalah siri 'pengembaraan' baru dalam hidup saya. Banyak yang saya rancangkan dalam 'pengembaraan' kali ini. Banyak destinasi perlu dituju dengan jayanya sebelum ke destinasi seterusnya. Dengan namanya 'pengembaraan'; tentulah ia akan diisi dengan cabaran, rintangan, suka dan duka. Namun, apa yang pasti, 'pengembaraan' adalah sesuatu yang memberi nikmat dan kepuasan. Semoga, selepas berjaya menyempurnakan misi 'pengembaraan' ini, kehidupan yang lebih baik menunggu saya di tahun depan, amin.

Buku pertama yang saya baca buat menemani 'pengembaraan' kali ini ialah buku David Goh berjudul 'Step into The Future With Nothing'. Buku lama yang diterbitkan pada tahun 1993. Inilah kali pertama saya mengenali David Goh dan membaca buku beliau. Buku ini saya pinjam dari Perpustakaan Awam BDA Bintulu. Saya memang meminati buku yang berkulitkan warna merah:-)

Selain itu, dalam 'pengembaraan' ini, saya akan mengulang baca buku 'The Secret of Ebay Millionaires' oleh Benjamin Marc Wee dan Stuart Tan. Mengulang baca dan akan mencuba untuk mempraktikkan dan menyiapkan segala tugasan dalam buku tersebut. Jika anda ingin menceburi bidang keusahawanan online teristimewa bidang lelongan online, buku ini adalah antara senarai wajib baca bagi anda.

Anda faham 'pengembaraan' yang saya maksudkan? Secara mudahnya, ia 'pengembaraan' kehidupan. Saya tidak mahu mensia-siakan cuti sekolah yang agak panjang ini, kerana itu saya menyusun misi 'pengembaraan' ini sejak bulan Oktober lalu. Doakan saya ya:-)


Beberapa petikan yang menarik
dalam buku David Goh:


"This book is specially dedicated to those with the will and determination to go forward in spite of not having paper qualifications"
.........
"I really think you are special, uniqe and you can be a lot better than what you are at this moment"
.............
"In any situation, make do with what you have. Stay with it for a while, until things improve"
...........
"There are many chapters in one's life. When one is over a new chapter begins to prevail"
........
"When you start to change the world, changes with you all the way"
......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan