28/12/2009

Hujan Yang Turun Bagaikan Mutiara


  Hujan Yang Turun Bagaikan Mutiara





 


Alhamdulillah, hari ini di tempat saya ini cuaca baik. Tiada hujan. Dua tiga hari sebelum asyik hujan sahaja. Saya jenis yang sukakan waktu hujan, baik siang mahu pun malam. Cuma, yang agak terganggu ialah jika perlu meredah hujan. Apapun, waktu hujan adalah waktu terbaik saya. Hujan menjadikan saya tenang, sentimental, lebih kreatif, menjanakan idea, menyeronokkan dan lain-lain perasaan yang baik dan indah. Sesunggunnya, hujan itu indah.

Hujan memberi kerehatan.

Hujan memberi rasa nyaman.
Hujan membersihkan udara dan menyegarkan.
Hujan memberi kehidupan.


Jadi, janganlah kita berasa cuak dengan hujan. Namun, sediakan payung sebelum hujan.


Hujan adalah kejadian alam yang tidak boleh kita elakkan dan tahankan. Mungkin, anda pernah mendengar tentang bomoh hujan, juga mungkin anda pernah mendengar tentang petua menahan hujan atau 'menolak hujan'; dan saya percaya itu semua boleh dilakukan, namun saya tidak menyokong itu. Biarkan hujan turun mengikut masanya. Biarlah air mencurah semahu-mahunya, mengikut kadar yang telah ditetapkan Allah (SWT). Maha Suci Allah yang juga Maha Bijaksana, kadar hujan yang diturunkan adalah mengikut kadar keperluan bumi ini dan kita sebagai hamba-Nya.

Bila berlaku banjir, jangan pernah menyalahkan hujan. Salahkan apa yang telah berlaku dan dilakukan pada bumi di sekeliling kita. Baru-baru ini, kawasan perumahan yang saya diami bersama keluarga dinaiki air. Air masuk ke dalam rumah, takat buku lali. Hujan turun dengan lebat tapi sekejap, namun air hujan itu bertakung di parit, dan lambat untuk mengalir ke sungai yang berhampiran. Walaupun sekejap, keesokan harinya, kami penduduk di kawasan perumahan ini, sibuk dan kepenatan membersihkan rumah dan barang-barang yang kebasahan. Bukan salah hujan, ia salah parit yang sumbat dan kotor, dan ramainya kami di kawasan ini, yang menutup parit untuk renovate rumah. Makanya, sistem perparitan di tempat kami ini sudah terganggu.



Seperti mana kita tidak mampu dan tidak akan dapat menghalang langit mengumpul awan dan awan mencurahkan titis-titis hujan, begitulah juga dalam kehidupan kita. Pasti ada perkara yang tidak boleh kita elakkan dan mahu tidak mahu terpaksa kita hadapi. Antaranya ialah masalah hidup, kesedihan, hilang semangat, terjatuh dalam kehidupan kita, perselisihan dengan orang lain di sekeliling kita dan lain sebaganiya.

Masalah dan musibah adalah lumrah hidup yang tidak mampu dan tidak dapat kita halang dan tahan. Namun, seperti untuk hujan kita perlu menyediakan payung dan parit; begitulah dalam kehidupan. Kita perlu bersedia menghadapi untuk musibah, masalah dan kesusahan. Paling utama ialah persediaan mental, rohani dan emosi. Kemudian barulah persediaan-persediaan lainnya.
 










3 ulasan:

  1. Assalamulaikum Ustaz. Hujan merupakan salah satu rahmat yang dikurniakan Allah kepada manusia (termasuk makhluk yang lain). Allah berfirman, "Maka aku katakan kepada mereka, 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu', sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai'." (Nuh: 10-12).

    BalasPadam
  2. ustaz, hujan yg turun bagaikan mutiara..membasahi seluruh pelusuk isi bumi..

    BalasPadam