06/12/2009

Kisah Dari Negeri Di Balik Awan (Ceritera Raja, Permaisuri dan Singa)


  Kisah Dari Negeri Di Balik Awan
(Ceritera Raja, Permaisuri dan Singa)





(Di waktu santai, saya selalu juga mengarang karya kreatif. Namun, belum 'punya nyali' lagi untuk menghantarkan karya ke penerbitan majalah mahupun akhbar. Cuma, ketika saya di Tingkatan 3 dahulu, sebuah sajak saya tersiar di akhbar Mingguan Sarawak. Sejak itu, semua karya saya hanya tersimpan di rumah dan di dalam komputer sahaja. Di hari minggu yang santai ini, saya rasakan sesuai juga untuk saya siarkan sebuah daripadanya.

Cerpen yang saya siarkan ini, pernah saya siarkan di sebuah blog awal saya dolu-dolu dan sesuai dengan usia yang semakin matang dan dewasa- saya telah mengedit cerpen ini buat tatapan saudara yang membacanya di blog ini)






Ini kisah cinta sepasang Raja dan Permaisuri di sebuah negeri nun jauh di balik awan sana. Anda percaya dengan kewujudan negeri di sebalik awan? Saya cadangkan anda berfikir dua kali untuk meraguinya. Negeri di balik awan ini adalah lutsinar begitu juga alam dan penghuninya; semuanya tembus cahaya. Dek kerana itulah negeri ini tidak pernah dilihat oleh juruterbang, pramugari dan penumpang kapal terbang dan belum pernah juga disiarkan dalam akhbar tentang berita negeri di atas angin ini yang binasa dan rosak dilanggar kapal terbang; baik milik mas mahupun airAsia, mahupun syarikat-syarikat pernerbangan lain milik negara-neraga di seluruh muka dunia.

Hari ini hari minggu. Begitu juga hitungan hari dan waktu di negeri di sebalik awan dalam pemerintahan sepasang Raja dan Permaisuri ini. Hari minggu, pasangan bahagia ini mahukan privasi. Mereka melancong dan bersiar-siar dengan tidak mahu diiringi oleh sesiapa waima pengawal istana sekalipun. Pun begitu, tidak adalah yang perlu dirisaukan tentang keselamatan mereka justeru mereka adalah pemerintah yang baik, jujur, kasih sayang lagi adil dan saksama. Hari minggu kali ini, mereka merancang untuk mendaki gunung dan seperti biasa; mereka hanya pergi berdua.

Seperti biasa, walaupun sudah agak berumur; pasangan Raja dan Permaisuri ini masih hangat bercinta. Berjalan berpegangan tangan dan berpautan pinggang. Dek kerana itulah mereka mahukan privasi. Lagipun, Baginda Raja bukanlah calang-calang manusia. Sudah penuh dan mantap ilmu di dada. Semantap-mantap pendekar berjumlah 40 orang belum tentu mampu mengalahkan Baginda. Mendakilah sepasang pemrintah negara di balik awan ini akan gunung yang mereka telah pilih dan tetapkan. Gunung yang terbentuk daripada gumpalan awan tinggi nun di atas langit sana. Bak sepasang kekasih muda hangat bercinta, baginda berdua pun mendaki; mendaki Baginda Raja membimbing Permaisuri. Apabila Baginda Permaisuri penat, maka didukung oleh Baginda Raja.. abila sama-sama penat keduanya berehat di bawah pokok, menghilangkan dahaga, melepaskan penat, meluah cinta dan rindu.

Dipendekkan cerita. Berjalan demi berjalan, meredah demi meredah.. sedarlah kedua baginda bahwa mereka sudah sesat. Namun, tidak adalah barang sedikit Baginda Permaisuri berasa cemas, walang mahupun gundah. Baginda permaisuri amat yakin dengan ketinggian dan kemantapan ilmu Baginda Raja- yang telah berpuluh tahun menjadi hero hidupnya. Bagaimanapun, makin eratlah pelukannya pada Baginda Raja tersayang. Baginda Raja pula makin khusyuk dan bersungguh menelaah peta dan memusing kompas. Ditelek matahari yang walaupun mereka sedang berada di atas awan, tetap kelihtan jauh, buat mencari petunjuk. Namun, tidak ditemuilah sebrang petunjuk ke jalan yang betul untuk keluar daripada situasi sesat Baginda berdua itu.

Maka dicuba lagi bermacam-macam petua dan pelbagai cara menurut ilmu di dada Baginda Raja. Namun dek belum juga berjaya keluar daripada 'kesesatan' itu; Akhirnya, Baginda Raja terpaksa mengamalkan petua yang agak 'memalukan' ini. Dititahkan oleh Baginda Raja kepada Baginda Permaisuri,

"Mengikut firasat ilmu yang ada di dada kanda ini.. Dinda, terpaksa kita mencuba petua memakai baju terbalik.. sebagi ikhtiar untuk keluar daripda kesesatan ini."

Mendengar titah Baginda Raja; merah padam serta ungu dan merah jambu muka, bibir dan mata Baginda PErmaisuri. Mulalah Baginda Permaisuri memanjangkan muncung dek petua Baginda Raja yang meminta kedua-dua mereka memakai baju terbalik.

(Mengikut petua orang tua-tua, jika tersesat di hutan cuba pakai baju terbalik.. kerana jika sesat itu disebabkan perbuatan orang halus, petuanya ialah dengan memakai baju terbalik dan berjalanlah ulang alik 10 langkah ke 8 arah mata angin… Insya Allah, akan bertemulah jalan yang benar untuk keluar daripada 'kesesatan'.)

Dengan hati yang berat, Baginda Raja lalu menukar pakaian Baginda menjadi terbalik. Walaupun dengan munjung yang memanjang, bibir yang ungu, muka yang merah dan mata yang merah jambu; Baginda Permaisuri terpaksa juga menurut perbuatan yang sama- memakai pakaian terbalik. Seperti yang disyaratkan oleh petua yang hendak diamalkan, Baginda berdua pun berjalan ulang-alik ke lapan arah mata angin.

Namun... Belum habis petua itu diamalkan, terdengar sayup-sayup suara menderam. Tidak adalah Baginda Permaisuri berasa takut dan gusar. Juga, Baginda Raja tetap bertenang. Alangkan 10 ekor buaya perang lagikan sudah Baginda tewaskan, inikan pula hanya seekor singa di hutan di balik awan. Berpusing-pusing Baginda Raja mencari arah datangnya suara menderam itu, bagai mencabar dengan diri dan waspada yang sudah mantap dan siap siaga.

Tidak berapa lama, disebalik pokok sana, kelihatanlah hujung ekor seekor singa seakan-akan mengejek untuk mencabar Baginda Raja.

“Sayangg..”, Titah Baginda Permaisuri dengan tidak ada lemah dan gemuruh urat sendi di tubuh Baginda Permaisuri; Baginda Permaisuri juga bukan calang-calang Srikandi.

“Tenang sahaja Dinda. Hanya seekor singa”, Titah Baginda Raja.

“Aaauumm..!!”, Sang Singa memunculkan diri.

“Dinda, ada eloknya dinda berteduh saja di balik pokok sana dulu.. biarlah Kanda sahaja yang menguruskan singa ini..”

“Kanda, tidaklah Dinda akan meninggalkan Kanda. Dinda juga akan bersama. Biarlah kita sama merasa..”

“Dinda.. biar putera Kanda sahaja berdepan dengannya”

“Dinda tidak akan berganjak!!” jerit Baginda Permaisuri, “Kanada nak makan sorang ek.. benci la!”

“Hoho.. Tuanku Raja.. Tuanku Permaisuri.. jangan gaduh ma..”, kata Sang Singa, “Dua-dua pun boleh ma..”

“Hah’ dengar tu Kanda?” Titah Baginda Permaisuri jengkel.

“Marilah Raja dan Permaisuri.. jangan gaduh-gaduh.. patik bawa banyak ni..” kata Sang Singa sambil membuka sebuah peti yang sarat dengan aiskrim.

Melihat rupanya sahaja tadi kedua-dua Baginda Raja dan PErmaisuri sudah maklaum akan jenis singa yang merentangi percutian mereka hari itu. Itulah yang dikenali semua sehingga ke negeri di bawah awan seperti kita; iaitu singa maskot aiskrim PADDLEPOP;-)

Pasangan kekasih Raja dan Permaisuri itu pun bergegas ke peti aiskrim tersebut. Namun..

“Ops..ampunkan patik, Tuanku. Tunggu.. mengikut hemat patik, ada baiknya Tuanku berdua pakai baju dengan betul dahulu”, kata Sang singa.

Merah padam dan ungu jinggalah muka kedua Baginda menyedari mereka sedang memakai baju terbalik.


Ps: Semoga boleh menjadi hiburan 'eskapism' kita di hari minggu yang santai ini.

Ps2: Oh ya, mungkin anda ada cadangan, agaknya ke mana saya boleh hantarkan cerpen ini ya? :-)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan