20/12/2009

Kisah Golongan Yang Sedikit


  Kisah Golongan Yang Sedikit





Photobucket




[Cerita ini hanya rekaan semata-mata]

Di sebuah tempat, ada sebuah pusat pengajian agama. Pusat pengajian agama ini dipimpin oleh seorang ulamak dengan dibantu oleh beberapa orang guru agama. Pada satu-satu masa, pusat pengajian ini memiliki sejumlah lebih kurang 100 orang penuntut. Ulamak ini lebih senang dipanggil 'Ayahanda'.

Solat fardhu berjamaah di surau pusat pengajian ini, menjadi kewajipan kepada semua penghuni di pusat pengajian tersebut, baik di kalangan penuntut mahupun tenaga pengajar dan mereka yang mendiami kawasan pusat pengajian ini. Walaupun, tidak ada peraturan bertulis yang mewajibkan begitu di pusat pengajian agama ini.

Solat jamaah, kadang-kadang dipimpin oleh Ayahanda, kadang-kadang oleh guru-guru agama di situ, dan juga dipimpin oleh penuntut-penuntut pusat pengajian itu. Menariknya, jika ia dipimpim oleh Salam Maal Hijrah 1431. Semoga kita menjadi muslim yang lebih baik. Saya juga berdoa, semoga anda dan keluarga selalu disayangi Allah (SWT). Amin;-), selesai solat beliau membacakan doa dalam bahasa melayu. Apa yang lebih menarik perhatian jamaah ialah, dalam doanya beliau akan memohon supaya mereka termasuk dalam golongan yang sedikit.

Dalam doanya yang berbunyi, "Ya Allah, masukkan kami ke dalam golongan yang sedikit".

Suatu masa, beberapa orang murid bertanya; "Ayahanda, mengapa selalu memohon menjadi golongan yang sedikit?"

Ayahanda tidak menjawab terus. Beliau senyum dan berdiam diri. Sejurus, beliau bersuara. "Ayah ada satu tugasan untuk anak-anak semua. Boleh?

Penuntut-penutut diam sejurus dan kemudian berkata, "Insya Allah.."

Mendengar kesanggupan itu, Ayahanda menyambung, "Begini, Insya Allah, Ayahanda akan berikan setiap kamu seekor ayam. Tugas kamu ialah, untuk menyembelih ayam tersebut di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa pun. Boleh?"

"Insya-Allah, Ayahanda..", jawab penuntut-penuntut baru itu beramai-ramai. Lagipun, ramai yang teruja dan seronok hendak menyembelih ayam.

"Insya Allah, kamu semua sudah tahu dan layak menyembelih. Esok kita akan adakan tugasan ini ya. Boleh?"

......

Pagi berikutnya, selesai bersarapan dan bersolat dhuha, penuntut-penuntut itu diberikan seekor ayam hidup setiap seorang. Mereka perlu menyembelih ayam tersebut di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa pun. Maka bertaburanlah penuntut-penuntut itu mencari tempat bersembunyi untuk menyembelih ayam masing-masing.

Sebelum zuhur, ramai penuntut yang sudah kembali kepada ayahanda untuk menyerahkan ayam yang telah disembelih. Ayahanda memeriksa ayam itu di bahagian leher. Alhamdulillah, semuanya sudah disembelih dengan sempurna. Kemudian ayam itu diserahkan ke dewan makan untuk dibersihkan dan diperap. Menurut ayahanda, malam nanti mereka akan mengadakan jamuan ayam panggang.

"Insya Allah, malam nanti kita ada jamuan ayam panggang ya. Juga, Insya Allah malam nanti ayah akan menjawab persoalan tentang doa menjadi golongan yang sedikit itu. Oh ya, kamu bertujuh yang tidak berjaya menyembelih ayam kamu, kamu boleh sembelih sekarang. Ayam tujuh ekor daripada kamu bertujuh nanti, ayah hendak buat ayam golek. Molek tak idea ayah ini?"

Ramai yang setuju dan seronok mendengar kata-kata ayahanda itu.

Malamnya, selesai membacakan doa sebelum majlis jamuan ayam panggang bermula, ayahanda memohon ruang untuk berkata-kata. Semua orang memberi tumpuan kepada ayahanda.

"Ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, ayah-ayah, ibu-ibu, anak-anak dan hadirin semua. Assalamu'alaikum wrb", ayahanda memulakan bicara.

Berdengunglah ucapan salam.

"Ayah meminta, mereka tujuh orang tadi tampil ke depan"

Penuntut tujuh orang yang tidak berjaya mencari tempat tersembunyi untuk menyembelih ayam mereka siang tadi, lalu tampil ke depan mendekati ayahanda.

"Boleh ayah tahu mengapa kamu tidak dapat menyembelih ayam kamu?"

Mereka serentak menjawab, "Ayahanda, kami boleh saja senang-senang mencari tempat yang tidak dilihat manusia untuk menyembelih ayam kami, tetapi kami tidak dapat mencari tempat di mana yang kami tidak dilihat oleh Allah SWT".

Ayahanda tersenyum. Sejurus beliau berkata-kata, "Baiklah, kamu ambil ayam golek kamu seekor seorang ya. Kemudian boleh kembali ke tempat duduk kamu. Jamuan kita hampir bermula".

Setelah penuntut bertujuh orang itu kembali ke tempat masing-masing dengan seekor ayam golek setiap seorang, ayahanda berkata lagi, "sebelum kita menjamu selera, sekarang ayah ingin menjawab soalan kamu berkenaan golongan yang sedikit. Perhatikan, daripada sekian ramai kita malam ini yang jumlah kita ini lebih seratus orang, hanya tujuh orang mereka yang beruntung kerana mendapat ayam golek. Mengapa mereka beruntung agaknya ya?"

Diam. Suasana hening kerana dua perkara. Satu, kerana ramai ingin mendengar jawapan yang ditunggu-tunggu. Kedua, kerana aroma ayam panggang yang sudah membangkitkan selera.

"Begitulah lumrah dunia. Daripada sekian ramai manusia, hanya sedikit yang beruntung dan berjaya. Daripada sekian ramai kamu yang mendapat ayam, dan ayah meminta disembelih di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa, hanya mereka bertujuh ini yang mahu bertanya ayah pagi tadi, apakah maksud sesiapa itu hanya manusia? Dan ayah menjawab tidak. Namun, selain mereka bertujuh, kamu semua terus mencari tempat tersembunyi dengan kefahaman untuk bersembunyi daripada manusia semasa menyembelih ayam kamu. Dan hanya mereka yang bertujuh ini, daripada sekian ramai kamu, yang kembali dengan jawapan tidak menemui tempat yang tidak dilihat Allah SWT".



Begitulah kita di dunia ini. Amat sedikit yang mengingati Allah dan lebih sedikit lagi yang mengingati Allah serta bertaqwa dan sentiasa merasai kehadiran-NYA. Perhatikan sekeliling, daripada sekian ramai manusia, hanya sedikit yang solat berjamaah di masjid dan surau; dan daripada sejumlah sedikit jamaah itu, lebih sedikit lagi yang bersolat dengan ikhlas dan khusyuk.

Maka, alangkah beruntungnya jika kita termasuk golongan yang sedikit di akhir zaman ini.  





Tiada ulasan:

Catat Ulasan