Selasa, Disember 08, 2009

OKU Berdakwah Dengan Bahasa Isyarat dan Kasih Sayang


  OKU Berdakwah Dengan
Bahasa Isyarat dan Kasih Sayang





Photobucket
(Nurzaihan melafazkan akad nikah dengan bahasa isyarat)



(Sepatutnya post ini saya terbitkan semalam, 7 Disember 2009. Namun, saya tangguhkan ke hari ini kerana semalam saya mengumumkan sebuah berita gembira yang baru saya terima. Anda boleh klik sini untuk membaca post semalam)

Saya selalu juga berbual tentang dakwah melalui perkahwinan dengan beberapa orang. Bagi saya, dakwah melalui perkahwinan ini penting dan kita perlu melihatnya lebih daripada sekadar membawa seorang insan kepada memeluk Islam. Maksud saya, jika seorang muslim berjaya membawa seorang non-muslim kepada memeluk Islam, kita telah menyelamatkan insan-insan yang bakal lahir daripada saudara baru tersebut. Mudahnya, katakan A memeluk Islam, dan beliau melahirkan anak dan zuriat keturunan yang beragama Islam.

Ada juga yang kurang setuju, kata mereka Islam itu jangan dinilai dari kuantiti umatnya, yang perlu diperhatikan sekarang ialah kualiti umatnya. Namun bagi saya, ibaratkan Islam adalah sebuah kapal- yang hanya satu-satunya kapal yang ada untuk menyelamatkan manusia. Sudah dikira memiliki peluang untuk selamat bagi mereka yang walaupun hanya berpaut di tepian kapal. Bagaimanapun, tentulah tidak sama dengan mereka yang langsung tidak berpaut dengan kapal. Juga, tentulah berbeza dengan mereka yang sudah selesa di atas kapal dan di dalam dek kapal. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka sudah memiliki peluang untuk selamat. Jika anda sudah menonton filem 2012, tentu lebih mudah untuk anda memahami analogi ini.

Berdakwah melalui perkahwinan adalah salah satu daripada kaedah dakwah yang diamalkan oleh Rasulullah (SAW) dan para sahabat. Malah dalam sejarah kedatangan Islam ke nusantara juga, kaedah penyebaran Islam melalui perkahwinan juga memainkan peranan yang besar. Agak mengecewakan masih ada sebahagian umat Islam- juga dari kalangan tokoh agama- yang memandang sinis kepada dakwah melalui kaedah ini. Sedangkan, penyebar agama lain juga menggunakan kaedah ini dengan jayanya.

Dalam post hari ini, saya ingin melahirkan rasa kagum dan ucapan tahniah kepada Saudara Nurhaizan, seorang pereka grafik yang diuji Allah dengan masalah pendengaran-pekak. Namun beliau berjaya menawan hati seorang gadis bukan Islam melalaui akhlak dan peribadi beliau yang harus dipuji. Nurhaizan berjaya menunjukkan orang Islam adalah individu yang mengambil berat dan memberi semangat sehingga membuka pintu hati gadis berkenaan untuk memeluk Islam dan menerima beliau sebagai suami.

Kisah Nurzaihan dan Qistina ini amat memberi kesedaran dan motivasi kepada saya. Kebetulan pula, hari Jumaat beberapa hari yang lalu saya juga ada menulis tentang jodoh dan perkahwinan di blog ini. Jika anda belum membacanya, anda boleh klik sini.

Membaca kisah Nurhaizan dan Qistina, saya mula memuhasabah diri.. apa lagi alasan untuk saya tidak boleh berdakwah dengan lebih gigih? Juga, apa lagi alasan untuk saya berasa rendah diri? Ramai yang jauh lebih kurang bernasib baik sudah membuktikan kejayaan mereka melalui kehidupan kerana mereka menerima keadaan diri dan mereka menghadapi realiti. Semoga kisah ini juga memotivasikan anda.
 
Di bawah adalah petikan berita perkahwinan Nurzaihan dan Qistina yang mendapat liputan media perdana negara kita hari Ahad lalu.

(Sumber: Berita Minggu, Ahad, 6 Disember 2009)


Pasangan OKU Lafaz Nikah Guna Bahasa Isyarat

Pasangan OKU cacat pendengaran, Nurzaihan Mustapa (28) dan Qistina Low (30), selamat dinikahkan oleh Imam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Zulkifli Abdullah pada 5 Disember 2009, dengan bantuan jurubahasa. Pasangan istimewa ini berkenalan sejak 6 tahun lalu sepanjang mereka bergiat aktif dalam Persatuan Orang Pekak Malaysia (MDF). Pasangan yang sama padan dari segi kekacakan dan kecantikan ini kedua-duanya bekerja sebagai pereka grafik yang merupakan graduan universiti kreatif, Lim Kok Wing.




Apa Kata Pengantin Lelaki, Nurzaihan Mustapa tentang perkahwinan mereka?


"Saya bersyukur niat untuk memperisterikan Qistina akhirnya tercapai dengan bantuan semua pihak dan berjanji akan membimbing serta menjaganya dengan baik berikutan dia baru memeluk Islam. Saya terharu OKU seperti saya akhirnya bertemu jodoh dengan pilihan hati".

"Kurang upaya bukan alasan untuk tidak hidup bahagia seperti insan lain".



Apa Kata Pengantin Perempuan, Qistina Low tentang perkahwinan mereka?


"Alhamdulillah, dengan bantuan semua pihak, saya berjaya memeluk Islam setahun lalu dan mampu mendalami agama baru dengan baik walaupun pada awalnya mendapat tentangan keluarga. Saya tidak kisah walaupun kami pasangan OKU kerana bahasa isyarat menjadi perantara utama untuk berkomunikasi selain banyak juga menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS)".

Qistina juga berkata, dia tertarik dengan Nurzaihan kerana sikap mengambil berat dan memberi dorongan, sehingga terbit keinginan untuknya memeluk Islam.





2 ulasan:

  1. huh..inila kehebatan ISLAM..Ia memudahkan segala urusan tetapi bukan untuk diambil mudah.Betulkan klu sy salah, ustaz

    BalasPadam
  2. sahromnasrudin:

    Ha'ah. Betul betul betul:-)

    Islam itu indah dan mudah.. tapi jangan ambil mudah.

    Terima kasih ya:-)

    BalasPadam