Selasa, Disember 22, 2009

PERPECAHAN DALAM KEBAIKAN


  PERPECAHAN DALAM KEBAIKAN





Photobucket

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa zaman Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

(Surah Ali-imran, 3: 103)


Photobucket
"Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik (RA), dari Nabi s.a.w. berkata: Tiada beriman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya, sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri. "

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


MUQADDIMAH

Alangkah indahnya bunyi Hadith yang akan kita bicarakan ini. Perkara cinta adalah perkara yang mulia. Seharusnya seseorang Muslim yang teguh imannya sanggup berkorban dalam perkara yang berkaitan saudaranya. Demikianlah Hadith yang tersebut di atas menganjurkan kepada setiap Muslim/ Muslimah supaya mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Itulah dia akhlaq Islam yang tertinggi. Itulah dia budi pekerti Islam yang terpuji. Rasulullah (SAW) telah membuktikan betapa cintanya Baginda terhadap para sahabat, betapa kasih sayangnya Baginda terhadap sekalian kaum Muslimin, tidak kira tua atau muda, besar atau kecil, miskin atau kaya, semuanya sama belaka. Dan kasih sayang Baginda terhadap mereka sekalian melebihi kasih dan cintanya terhadap dirinya sendiri.

Itulah sebenarnya sifat Baginda yang semestinya kita contohi sekiranya kita mencintai Baginda dan mengaku ingin mengamalkan Sunnah Baginda (SAW). Bukan sifat meninggi diri dan sombong, degil dan keras hati, salah menyalahkan dan
saling berpecah belah; tetapi sifat saling mencintai antara sesama saudaranya.
Siapa yang tidak menginginkan kebahagiaan bagi dirinya sendiri? Siapa yang tidak mahukan kemuliaan bagi dirinya sendiri? Kedua-duanya adalah keinginan dan kemahuan setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Maka untuk mendapatkan kedua-duanya, mulakanlah dengan membahagiakan dan memuliakan orang lain terlebih dahulu.

PERPECAHAN DALAM KEBAIKAN

Umat Islam adalah umat yang terkenal dengan sikap berpecah-belah. Baik di dalam negara kita, baik di peringkat dunia mahupun peringkat yang lebih kecil seperti di dalam sebuah surau contohnya. Amat menyedihkan, dalam usaha untuk melakukan kebaikan dan amal ibadat sekalipun kita tetap berpecah belah.

Antara faktor yang memecah-belahkan umat Islam adalah percanggahan pendapat dan perbezaan prinsip. Islam yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) bukanlah agama yang menghalang perbezaan pendapat, malah dalam sunnah Baginda ada banyak contoh untuk kita teladani dalam menanggapi percanggahan pendapat dan perbezaan prinsip antara sesama kita.

Dalam sesuatu usaha untuk melakukan kebaikan, yang perlu kita utamakan ialah kebaikan pada jalan usaha itu dan kebaikan pada hasil usaha kita itu sekiranya ia direzekikan Allah untuk berhasil. Bukannya sikap mengambil hanya yang kita suka dan ada faedahnya bagi diri kita sendiri sahaja, tetapi menolak pendapat orang lain walaupun ia ternyata berfaedah untuk orang ramai. Sikap serupa itu bukanlah dari sifat seorang mukmin yang berkasih sayang dan bersaudara.

Begitu juga dalam sikap kita terhadap orang yang lebih rendah daripada kita, baik rendah imannya*, rendah amalnya, rendah ilmunya, rendah kedudukannya dan lain sebagainya berbanding diri kita sendiri. Wajib dan perlu kita menghormati saudara kita yang seperti itu. Jangan kerana kita adalah ahli jamaah masjid dan surau kita memisahkan diri dan membenci saudara kita yang tidak ke surau atau belum mengamalkan suruhan agama.

(* Sebenarnya kita tidak berhak untuk menilai iman seseorang tetapi iman itu ada tanda-tandanya seperti yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah. Salah satu tanda orang yang beriman itu ialah sikap persaudaraan dan kasih mengasihi seperti dalam hadith yang kita bincangkan di sini.)

Faktor lain perpecahan dalam umat Islam semasa melakukan usaha kebaikan ialah sifat mazmumah iaitu hasad dengki dan irihati. Imam Al-Ghazali mengkategorikan hasad dengki dan irihati itu kepada tiga jenis:

(1) Perasaan menginginkan lenyapnya sesuatu nikmat dari saudaranya, agar nikmat itu boleh berpindah pula kepada dirinya sendiri.

(2) Perasaan menginginkan hilangnya sesuatu nikmat dari seseorang, sekalipun dia tidak mengharap untuk mendapatkan nikmat itu, ataupun nikmat yang serupa sudah pun berada padanya, ataupun dia memang tidak menyenangi nikmat itu. Jenis yang ini adalah lebih buruk dari yang pertama.

(3) Tiada Perasaan menginginkan lenyapnya sesuatu nikmat dari orang lain, tetapi dia benci melihat orang lain lebih bernasib baik daripadanya dalam kesenangan dan kedudukan. Dia lebih suka kalau nasibnya dan nasib orang itu sama sahaja. Dia tidak senang melihat orang lain melebihinya.

Perasaan dan sifat mazmumah seperti ini adalah haram hukumnya, kerana yang demikian itu samalah seperti tidak redha dengan pembahagian nikmat oleh Allah (SWT). Orang yang tidak redha dengan pembahagian Allah sama seperti memprotes keputusan Allah dalam pembahagian nikmat-NYA serta hikmah dalam pembahagian tersebut.

PERPADUAN MUSLIMIN

Sesebuah umat yang berdiri atas asas cinta-mencintai antara mereka adalah umat yang menghampiri kesempurnaan dalam banyak segi. Ini kerana tidak akan wujud suatu masalah dalam umat itu melainkan dapat diselesaikan secara baik dan bijaksana. Semua individu dalam umat itu saling mengharapkan kebaikan dan faedah bagi saudaranya sebagaimana dia mengharapkan dan mengusahakan kebaikan dan faedah bagi dirinya sendiri.

Model persaduan seperti ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah (SAW) dalam peristiwa Hijrah setibanya Baginda di kota Madinah. Agenda utama dan pertama Baginda ialah perpaduan Muslimin dalam ukhuwah Islamiah.

Umat Islam hari ini sebenarnya tidak kekurangan jamaah, badan dan persatuan yang memperjuangkan Islam dan Dakwah. Namun yang agak mengecewakan ialah, semakin banyak perkumpulan yang wujud, semakin berpecah belah pula umat.

Jamaah, badan dan persatuan Islam dan Dakwah yang sebenar seharusnya mengutamakan kekukuhan perpaduan dalam umat. Kemudian barulah usaha lain menyusul atau berjalan seiring dengan agenda-agenda penting yang lain. Semestinya, perpaduan dan kesatuan umat adalah perkara utama dan paling penting difikirkan dalam perjuangan amar makruf nahi mungkar serta apapun yang kita perjuangkan.

Umat Islam hari ini amat perlu kepada ukhuwah Islamiah untuk mengekalkan perdamaian dan keamanan dunia yang abadi biarpun masing-masing hidup dengan cara dan keadaan yang dipilihnya sendiri. Namun masing-masing saling hormat-menghormati antara satu sama lain, tidak kira perpebezaan politik, jamaah, badan, persatuan, ilmu dan prinsip.
Islam menganjurkan kasih sayang antara manusia. Islam menganjurkan perdamaian dalam kehidupan dunia ini, dan Islam tidak ingin melihat manusia bercakaran antara satu sama lain; sama ada antara sesama Muslimin ataupun antara Muslimin dengan bukan Muslimin, ataupun antara puak-puak yang lain.



KESIMPULAN

Di sana ada banyak perkara yang jika kita lakukan atas dasar kasih dan cinta kepada orang lain boleh menjadi kebaikan yang membawa ke syurga. Contohnya menyebabkan seseorang masuk Islam, setelah kita tunjukkan kepadanya budi pekerti dan keindahan Islam, toleransi dan akhlak mulia lainnya, sehingga dia terpikat dan lunak hatinya untuk memilih Islam. Bukankah dengan itu kita telah menyelamatkannya dari kesyirikan dan kekufuran yang menyesatkan kepada jalan agama yang benar. Atau sekiranya kita menyelamatkan seorang saudara muslim kita yang terpesong dari jalan yang benar dan membimbingnya semula ke jalan yang betul.

Marilah kita berusaha untuk menghidupkan semangat perpaduan dalam umat kita yang kian lemah dan semakin kalah hari ini. Marilah kita berusaha menjadi sebuah umat yang bersatu-padu, kukuh dan kuat serta tidak berpecah-belah. Umat yang saling menyayangi dan saling berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan terhadap saudaranya yang lain, serta mencuba untuk menghalang segala keburukan daripada saudaranya yang lain.

“Tidak akan kita kalah oleh Yahudi yang terlalu sedikit itu jika sekiranya umat Islam adalah umat yang bersatu-padu dalam melakukan kebaikan”



[Post ini dipetik dan dikembangkan daripada buku ‘Kuliah Subuh pada Membicarakan Hadis 40’ susunan Syed Ahmad Semait, terbitan Pustaka Nasional, Cetakan Keenam 1994]

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum Ustaz. "Tidak akan kita kalah oleh Yahudi yang terlalu sedikit jika sekiranya umat Islam adalah umat yang bersatu padu dalam melakukan kebaikan" itulah yang sebenarnya...

    BalasPadam
  2. Mybabah:

    Wa'alaikumussalam wrb, terima kasih Bang Samsudin.

    Iya itulah dia. Saya menulis ini kerana agak sedih dengan perbalahan dan perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam di negara kita bahkan seluruh dunia.

    Semasa Gaza diserang, 'sekeliling' Gaza adalah umat Islam. Namun kerana kita tidak bersatu, Yahudi berani keluar masuk rumah saudara seagama kita sewenag-wenangnya.

    Begitu banyak lagi isu dalam negara, juga sama. Umat Islam tidak bersatu. Dalam politik sahaja, ibarat mimpi untuk menyatukan pemimpin-pemimpin Islam.

    Bukankah demokrasi itu, adanya parti kerajaan dan parti pembangkang itu.. semua itu jarum penjajah yang tidak mahu melihat kita bersatu.

    'Mereka' sangat takut melihat umat Islam bersatu..

    BalasPadam
  3. Thanks for linking to my blog. I've back-linked.
    These past weeks I've attended graduation of those searched & found their blind-spot in S'pore & seminars in maximising the greatest potential in oneself in JB.
    Although these are nonreligious, but both goes back to basics:
    1.The ultimate importance of filial respect to one's parents and
    2.The maximising and utility of alpha environment (sa'at mustajab doa). What we focus, what we have in mind & what we want insyaALLAH can be translated into reality.
    Attendees are in hundreds & fees are in thousands of S$ & RM just to spot these answers. These are basics in our religion. I've noticed changes in some of these attendees.
    Ustaz, how about you being the first to inject a fresh concept in dakwah?

    Is the book above by Syed Ahmad Semait the Singapore mufti? Tx. Wslm

    BalasPadam
  4. Ummie:

    Thank for you info.

    Wonderful seminar eh. Yes, many people just want to take the good concept of Islam without want to believe it.

    I always think about the da'wah, and always dakwah myself.

    Oh ya, Syed Ahmad Semait is the Singapore mufti ya? Are you Singaporean, madam?

    Thank for your encouragement.

    Nice to meet you;-)

    BalasPadam