26/01/2010

Panduan Merancang Penulisan Buku Untuk Penerbitan



Panduan Merancang Penulisan Buku Untuk Penerbitan






Writing Pictures, Images and Photos

(Foto By FillBrown)

-Use here without a commercial purpose-



Seperti yang saya pernah tuliskan di blog ini, saya seorang yang suka berkongsi. Anda boleh KLIK SINI untuk membacanya. Jadi, sebagai tanda bersyukur atas rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada saya, dalam post ini, saya ingin berkongsi dengan saudara, sedikit panduan dan maklumat yang perlu dan penting jika anda merancang untuk menulis buku dan novel.



Syukur kepada Allah (SWT) yang menggerakkan saya untuk mengambil keputusan bergiat serius dalam bidang penulisan. Syukur juga kepada Allah yang memudahkan dan membuka jalan untuk saya melangkah ke bidang penulisan buku dan novel dengan memperkenalkan saya dengan individu-individu yang membantu, yang ada di antara mereka ialah penulis yang saya kagumi dan minati.

Salah satu kebaikan era blog yang kita lalui pada masa ini ialah, semakin ramai rakyat Malaysia mampu menulis untuk menyampaikan apa yang ada pada perasaan dan fikiran mereka. Berbeza pada zaman sebelumnya, tidak ramai rakyat Malaysia rajin menulis. Apakah pentingnya bangsa yang rajin menulis? Bangsa menulis, adalah bangsa berilmu, kerana bangsa menulis sudah pasti adalah bangsa yang membaca. Bukankah membaca adalah jambatan ilmu. Paling tidak pun, rakyat kita sudah rajin dan gemar membaca blog.



Apakah pentingnya bangsa yang rajin menulis? Bangsa menulis, adalah bangsa berilmu, kerana bangsa menulis sudah pasti adalah bangsa yang membaca. Bukankah membaca adalah jambatan ilmu.
 


Penulisan kita di blog, jika dikumpulkan, mampu menjadi sebuah buku. Dalam bidang blogging sendiri, ada istilah 'blook' yang merupakan singkatan kepada 'blog book'. Kita perhatikan, pada zaman kegemilangan Islam suatu masa dulu, umat Islam memiliki jutaan karya-karya (kitab-kitab) dalam pelbagai bidang baik bersangkutan fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Sehingga, ketika tragedi pembakaran naskah ilmu umat Islam, pada era perang salib, dikatakan pihak musuh pernah membakar timbunan kitab-kitab yang ditulis oleh umat Islam. Saya terkejut membaca fakta yang mengatakan, setiap satu timbunan kitab yang dibakar musuh Islam dalam perang salib menyamai bangunan tiga tingkat!

Mungkin era blog kini, boleh menjadi permulaan umat Islam di negara kita untuk menulis buku. Merancang sebuah projek penulisan buku, bukanlah suatu yang sukar tetapi penting dan kritikal. Perkara pertama yang kita perlukan ialah ilham dan idea awal. Nak tulis tentang apa? Inilah perkara yang penting. Idea awal ini bukan sesuatu yang besar dan panjang berjela. Ia boleh jadi hanya satu konsep, satu idea, satu kisah, satu karektor dan lain sebagainya yang boleh jadi hanya memerlukan satu baris ayat untuk anda beritahu orang lain. Contoh, 'Saya ingin menulis tentang seorang insan istimewa yang bisu, yang berdakwah melalui blog'. Ya, sebaris ayat begini, anda sudah ada ilham untuk sebuah buku.

Sebelum memulakan penulisan atau memberitahu orang lain tentang idea awal anda, cuba buat rangka kasar idea anda. Ini juga tidak perlu 'besar' dan susah. Cukup sekadar mencari, adakah buku yang sudah terbit yang seakan sama dengan apa yang anda fikirkan. Selepas menemuinya, cuba dapatkan buku itu, dan baca. Kemudian, cuba fikirkan, bagaimana untuk membuat idea kita 'unik' dan dapat bersaing dengan buku(-buku) yang sudah ada di pasaran.

Sediakan sebuah buku tulis dan buat satu folder di komputer anda khusus untuk idea awal anda. Masukkan segala yang berkaitan dengan idea awal ini ke dalam buku atau folder ini, dari semasa ke semasa. Contoh saya sendiri, ada masa ketika berada di perpustakaan, saya mendapat bahan yang saya fikirkan berkaitan novel yang saya rancang, lalu saya catatkan dalam buku catatan saya. Ada masanya, ketika membaca di internet, terjumpa bahan yang berkaitan, saya simpan bahan itu bersama urlnya ke dalam folder novel sulung saya ini.

Insya Allah, dari semasa ke semasa, saya akan berkongsi lagi ilmu dan maklumat yang saya temui. Saya menulis post ini, dengan niat untuk berkongsi dengan saudara yang membaca. Bukanlah bermaksud untuk menjadi 'tin kosong' yang kuat berbunyi tanpa isi. Saya percaya, Islam menganjurkan kita berkongsi dan memberi, sekadar apa yang kita miliki. Pepatah Arab ada bermaksud, 'Kita tidak dapat memberi apa yang kita tidak miliki'.

Umpama kita bersedekah, kita boleh tidak menunggu sehingga kita kaya baru akan bersedekah. Jika ada seringgit, sesungguhnya kita sudah mampu bersedekah sepuluh sen. Jika kita punya RM10, maka kita mampu bersedekah RM1. Begitulah yang saya percaya dan amalkan. Saya mengambil langkah untuk berkongsi sedikit demi sedikit tentang dunia penulisan, setakat yang saya sudah lalui dan ketahui. Semoga ini menjadi 'jariah' dalam usaha penulisan saya agar lebih diberkati Ilahi. Saya percaya, penulisan dan perkongsian ilmu adalah sebuah dakwah dan amal jariah, yang Insya Allah, bakal menjadi amalan yang tidak terputus hitungannya sehingga hari kiamat. Amin Ya Rabb Al-Alamin.



Bukanlah bermaksud untuk menjadi 'tin kosong' yang kuat berbunyi tanpa isi. Saya percaya, Islam menganjurkan kita berkongsi dan memberi, sekadar apa yang kita miliki. Pepatah Arab ada bermaksud, 'Kita tidak dapat memberi apa yang kita tidak miliki'.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan