Selasa, Mac 02, 2010

Yang Ke 150: Post Istimewa (... hampir 4 tahun sudah)


Yang Ke 150: Post Istimewa
(... hampir 4 tahun sudah)




(Alhamdulillah. Ini adalah POST YANG KE 150 di blog ini)

Dengan Nama-nama Allah Yang Maha Indah.. yang dengan limpah kurnia-NYA, saya menulis post ini dan menulis post-post sebelumnya di blog ini. Juga, yang dengan nikmat kurnia-NYA, saya dapat menguruskan blog ini sejak 150 hari yang lalu (lebih kuranglah.. - tagline Nasrom yang memegang watak Encik Azman dalam filem Gaduh 2009). Alhamdulillah, syukur Allah.

Sebenarnya, saya sudah memulakan blog pertama saya di blogdrive dotcom pada tahun 2006 juga dengan nama UstazCahaya. Boleh dikatakan nama UstazCahaya saya mula gunakan pada 2006 itu. Blog ini (http://ustazcahaya.blogspot.com) ini, saya sudah sign-up pada tahun 2007. Tepatnya pada Oktober 2007. Ketika itu, saya sedang giat mempelajari tentang blog, blogger dan blogging.

Pada tahun 2008, saya mempelajari teknik memasang blog di hosting sendiri menggunakan perisian blog Wordpress melalui panduan yang dihasilkan oleh SmartZul iaitu Panduan Asas Wordpress- KLIK SINI untuk baca lanjut. Sejak itu saya banyak mempelajari teknik-teknik berkaitan blog,blogger dan blogging. Alhamdulillah, syukur Allah, empat tahun sudah.




Belajar, belajar dan terus belajar

Saya sentiasa berpegang kepada kalimah indah yang pernah diucapkan Baginda Rasulullah (SAW):

Siapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di akhirat, hendaklah dengan ilmu dan siapa yang menghendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu.


(Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).
Islam menuntut umatnya untuk menguasai setiap bidang ilmu yang bermanfaat dan menjadi keperluan kepada manusia. Blog mula popular pada tahun 2004 begitu dan menjadi trend baru di negara kita selepas pilihanraya umum pada 2008. Sejak itu saya merasakan keperluan untuk saya mempelajari blog. Ilmu adalah tujuan utama dan pertama saya ketika memulakan blog pertama saya di blogdrive pada tahun 2006 dahulu.

Juga, melalui blog saya belajar menulis. Blog adalah tempat terbaik untuk belajar dan berlatih menulis. Begitu yang diberitahu oleh para pengajar penulisan semasa. Melihat sejarah umat Islam, saya percaya umat Islam adalah bangsa yang dituntut untuk menulis.

Percaya kepada kitab adalah salah satu rukun iman. Kitab dalam bahasa arab adalah buku. Buku sinonim dengan penulisan dan ilmu. Malah, ayat pertama yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah (SAW) adalah 'Iqra' yang bermaksud 'baca'.

Melalui blog juga saya belajar berhubung dan berkomunikasi dengan manusia. Komunikasi sesama manusia adalah antara kewajipan dan tugas kita sebagai khalifah dilantik Allah di muka bumi ini. Blog adalah antara media yang baik untuk tujuan itu.

Ilmu mesti disertai amal dan akal

Ilmu adalah kunci kehidupan yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat. Ilmu menuntut amal. Islam menyuruh manusia untuk menuntut ilmu untuk diamalkan dan untuk kebaikan. Islam melalui lidah Rasulullah (SAW) mengecam orang yang menuntut ilmu untuk menyombongkan diri dan merendahkan orang lain. Islam juga menuntut manusia menggunakan pertimbangan akal dalam mengamalkan ilmu.

Ilmu yang diamalkan dan diajarkan pula kepada orang lain, boleh menjadi 'harta yang dibawa mati'. Bukankah ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain adalah amalan yang tidak putus hitungannya sehingga hari kiamat. Saya pernah menulis tentang ini di blog ini- KLIK SINI untuk baca lanjut.

"Apabila mati anak adam. Maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara;
Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya."

(Hadith sahih riawayat Bukhari dan Muslim).
Ilmu dipelajari untuk kebaikan dan untuk melindungi diri dari keburukan dan kejahatan.  Belajarlah ilmu apa sekalipun ilmu merompak bank. Jangan salah faham pula. Ilmu merompak bank boleh jadi dosa sekiranya dipelajari untuk melakukan rompakan. Begitu sebaliknya ilmu merompak bank boleh menjadi ibadah sekiranya dipelajari untuk dengan ilmu itu, kita dapat mencipta sistem keselamatan yang lebih kukuh dan baik bagi pihak bank. Tambahan pula, pada zaman kini, ilmu merompak bank sudah berkaitan teknologi komputer dan internet.

Ilmu wajib diamalkan dengan pertimbangan akal. Berapa banyak ilmu yang baik, yang akhirnya membawa musibah dan kezaliman kepada manusia. Mengapa itu berlaku? Jawapannya adalah kerana ilmu tidak diamalkan dengan pertimbangan akal. Contohnya dalam bidang blogging; Ilmu blog boleh menjadi pahala juga boleh menjadi dosa. Apa yang menentukannya adalah bagaimana ilmu itu digunakan. Jika ilmu itu digunakan dengan pertimbangan akal yang berlandaskan iman dan taqwa, Insya Allah, ilmu blog akan membawa kebaikan dan menjadi ibadah. Sebaliknya jika ilmu digunakan dengan pertimbangan akal jahat dan nafsu buruk semata-mata; maka jadilah blog sebagai satu senjata yang ampuh untuk merosakkan umat manusia.

Itu yang saya pelajari dan cuba saya amalkan melalui blog ini. Empat tahun sudah, saya belum juga pandai dan mahir, maka wajib bagi saya terus belajar. Bukankah Allah menyukai hamba-NYA yang melakukan sesuatu yang baik dengan usaha terbaik. Untuk melakukan kebaikan dengan baik, maka belajar adalah jalannya. Selepas itu, ilmu perlu diamalkan dengan pertimbangan akal sihat disertai iman supaya tidak jadi sia-sia.

Guru saya yang paling garang dan kejam
Vernon Sanders berkata:

"Pengalaman adalah guru yang kejam kerana ia memberi kesakitan dahulu sebelum memberi pelajaran"
Seorang guru yang baik adalah guru yang mengizinkan pelajarnya membuat kesilapan dan kesalahan. Melakukan kesilapan dan kesalahan adalah jalan untuk memperbaiki diri seseorang. Kita menjadi bangsa yang jumud sekiranya kita adalah bangsa yang takut untuk melakukan kesilapan dan takut dengan kegagalan.

Orang yang takut dengan kesilapan dan kegagalan adalah orang yang berputus asa. Orang yang berputus asa adalah orang yang tidak akan berjaya. Kita akan terus hidup dengan cahaya lilin dan lampu minyak, sekiranya manusia bernama Thomas Alva Edison itu adalah manusia yang takut salah, trauma kepada kegagalan dan orang yang berputus asa. Malam-malam hari kita yang diterangi oleh lampu elektrik adalah jasa seorang manusia yang tidak takut kepada kesalahan, tidak gentar kepada kegagalan dan tidak mengenal putus asa.

Begitu juga perjalanan selama 150 hari saya di blog ini. Kesilapan dan kesalahan saya sejak 2006 adalah mentor yang mendidik dan mengawal saya. Maka, di blog ini, saya sekurang-kurangnya tahu apa yang perlu dan boleh dilakukan; dan apa yang tidak perlu dan tidak boleh dilakukan.

Malah, saya perlu terus mengizinkan diri saya melakukan kesilapan. Maka saya minta jasa baik anda yang membaca blog ini untuk menegur salah silap saya. Saya suka belajar dari kesilapan kerana itu adalah antara guru yang terbaik.

Kesilapan dan kegagalan adalah pengalaman. Pengalaman adalah guru terbaik menurut Aidh Al-Qarni. Walaupun saya mengaku, pengalaman adalah guru saya yang paling garang dan kejam.

** Aidh Al-Qarni- Dr Aidh Abdullah Al-Qarni adalah penulis buku 'La Tahzan' yang popular di seluruh dunia itu. Beliau juga ada menulis buku berjudul 'Pengalaman Adalah Guru Terbaik'.


Saya dan blog ini setiap hari

Setiap hari, saya bertanggungjawab untuk menerbitkan satu post di blog ini. Bagi saya, dapat menerbitkan satu post setiap hari di blog ini adalah rahmat Allah yang menjadi 'kejayaan harian' kepada saya.
Setiap hari, saya mencuba untuk memberikan post yang terbaik. Post yang ditulis dengan kesedaran bahawa dapat menulis itu adalah anugerah dan rahmat Allah. Post yang ditulis dengan niat mensyukuri nikmat Allah dan untuk menjadikan nikmat itu lebih baik. Post yang ditulis dengan harapan mendapat redha Allah dan dinilai-NYA sebagai ibadah. Post yang ditulis, yang paling tidakpun satu ayat dalamnya ada yang bernilai ilmu dan dakwah. Agar ketika saya bangkit di hari akhir nanti, post-post di blog ini juga bangkit sebagai amalan baik saya ketika hidup di dunia ini.
Dengan Nama-nama Allah Yang Maha Indah.. yang dengan limpah kurnia-NYA, saya telah dapat menulis post ini dan akan terus menulis satu post sehari di blog ini sehingga pada suatu masa nanti, malaikat maut membawa perintah Allah menjemput saya kepada satu perpindahan bernama 'MATI'.

Suka saya berpesan di sini, sekiranya sampai lebih seminggu anda mendapati tiada post baru di blog ini; juga, saya tidak memberi sebarang makluman berkaitan; harap anda boleh mengagak, pasti ada sesuatu yang berlaku kepada saya. Saya berpesan ini, kerana satu perkara yang pasti dalam diri saya; 'saya tidak tahu kehidupan saya ini sampai tarikh berapa pada jam berapa'.
Masih banyak yang belum saya lakukan dengan baik. Masih banyak kejahatan dan dosa saya yang belum saya tebus dengan amal-amal yang baik. Apapun saya berdoa semoga Allah memberikan saya umur yang panjang dan bermanfaat. Amin amin amin. Amin Ya Rabb Al-Alamin.


PENGHARGAAN dan TERIMA KASIH

Saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada anda yang membaca dan terus membaca blog ini. Terima kasih kerana sudi memberi respon dan menambah info pada apa yang kita bincangkan di blog ini.

Segala kebaikan anda, semoga Allah akan membalasnya dengan kebaikan. Insya Allah, amin.

Tanpa pembaca, apalah ertinya penulisan saya di blog ini. Mohon doakan saya agar saya dapat istiqamah dalam setiap usaha saya dan semoga usaha saya dipandu Allah ke arah kebaikan. Amin Ya Rabb Al-Alamin.

Ingin rasanya saya menaip di sini satu per satu nama anda, namun saya masih menunggu 50 post lagi untuk itu;-)



20 ulasan:

  1. Salam ustaz..
    tahniah selepas agak lama menyampaikan
    ilmu buat pembaca di laman maya ni
    moga Allah memberkati saudara..amin..

    BalasPadam
  2. Tokwan juga ucapkan tahniah pada ustaz kerana rajin menulis, tapi tokwan suka membaca blog kerana banyak juga manfaatnya, walaupun tokwan tak beri komen tapi banyak blog yg tokwan baca terutama yg berunsur ugama

    BalasPadam
  3. ustaz
    salam
    saya juga mulakan dengan blogdrive
    http://yuitsumuni.blogdrive.com tapi dah delete sebab penulisan sungguh tiada akal..hahahaaaa

    kemudian saya guna http://yuitsumuni.blogspot.com
    kemudian..setahun yang lalu..saya dapat http://yuitsumuni.com

    selamat berblog!

    BalasPadam
  4. byk ilmu di ini, jln cite x suram thniah

    BalasPadam
  5. zulkbo:

    Salam Bang Zul.

    Alhamdulillah. Syukur Allah yang merezekikan saya untuk menyampaikan ilmu. Saya berdoa semoga Allah memberkati kita semua. Amin..

    Terima kasih Bro Zul;-)

    BalasPadam
  6. Tokwan:

    Salam Tok Wan.

    Alhamdulillah. Ada guru senior seperti Tok Wan yang baca blog saya. Tokwan baca blog ini bagi saya adalah satu penghormatan. Mohon doakan saya ya Tokwan.

    Terima kasih Tokwan;-)

    BalasPadam
  7. Fid:

    Salam Kak Fid.

    Ramai juga yang mula di blogdrive ya. Blogdrive memang banyak berjasa membentuk diri saya menjadi seorang blogger.

    Sebenarnya, seorang guru English berasal dari Negeri Jelapang Padi yang boleh dikatakan berjasa memperkenalkan saya dengan blogdrive. Dia boleh dikatakan orang yang memperkenalkan saya kepada dunia blogging.

    Terima kasih Kak Fid;-)

    BalasPadam
  8. maiyah:

    Salam Kak Maiyah.

    Alhamdulillah jika Kak Maiyah rasa macam tu. Kak Maiyah juga rajin update blog. Ringkas dan menarik penulisan di blog Kak Maiyah.

    Terima kasih Kak Maiyah;-)

    BalasPadam
  9. salam ustaz..tahniah..sehari 1pos mmg berbaloi utk dunia dan akhirat.

    BalasPadam
  10. itzjelai1:

    Salam itzjelai.

    Alhamdulillah rahmat kurnia Allah. Semoga kata-kata kamu menjadi doa buat saya, Amin.

    Terima Kasih itzjelai;-)

    BalasPadam
  11. salam ustaz..tahniah!!..blog ustaz mmg baik dan cemerlang, penuh dgn ilmu serta tidak terlalu berat ( ini paling penting krn ramai yg tak sedar blog mrk kdg2 berat sehingga sukar utk membukanya)
    kiter sedar bukan mudah utk buat blog kiter dikunjungi ramai (blog sy pun xramai yg kunjung) tp ustaz berjaya membuatnya..
    tak dinafikan, post blog nie mcm menjadi usahawan gak..kne rajin bt promosi agar blog kiter org tahu..( tp biasalah..mende yg baik tak ramai org tahu) slalunya blog yg popular adalah blog politik murahan yg suka mengutuk atau blog pakaian artis wanita yg SEXY..
    syabas tuan ustaz cahaya dan semoga cita2 keusahawanan ustaz tercapai...akhir kata dr sy "keusahawanan kerjaya pilihan"

    BalasPadam
  12. salam Ustaz,
    tahniah dr akk. Semoga ustaz akan lebih bersemangat utk terus berkarya di blog ini.

    BalasPadam
  13. Assalammualaikum warahmatullah...

    Tahniah ustaz...semoga usaha ini berterusan bagi manfaat kita semua....Blog ust merupakan antara blog yg selalu saya lawati kerana penulisan yg santai dan ikhlas...Terima kasih kerana membawa kami ke arah kebaikan...Jazakallah khairan jaza..:-)

    BalasPadam
  14. sahromnasrudin:

    Salam Sahrom.

    Alhamdulillah. Syukur Allah. Terima kasih kerana ingatan Sahrom tentang loading speed blog ini. Saya selalu risau juga tentang itu, takut blog ini lambat loading.

    Mungkin juga sebab dalam satu-satu masa tidak ramai yang buka blog ini, jadi loading laju kot.

    'Blogger itu usahawan'.. saya suka dengan konsep kamu itu;-)

    Amin amin amin. Saya juga mendoakan kamu saudaraku.

    "Keusahawanan Blog"

    Terima kasih Sahrom;-)

    BalasPadam
  15. temp. housewife:

    Salam Kak Nuradyani.

    Alhamdulillah. Kak Nur lah antara pembaca yang selalu memberi semangat kepada saya di blog ini.

    Terima kasih Kak Nuradyani;-)

    BalasPadam
  16. yatie:

    Wa'alaikumsalam wa rahmat Allah wa barakatuh, Ustazah Nurhayatie.

    Alhamdulillah. Syukur Allah yang memberi saya nikmat boleh menulis dan menguruskan blog ini. Suatu nikmat yang besar. Laptop adalah nikmat, nikmat internet, nikmat elektrik dan segala nikmat kurniaan-Nya.

    Mohon doa ustazah semoga usaha saya istiqamah dan bermanfaat.

    Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustazah kerana membaca blog ini. Itu adalah galakan untuk saya terus menulis. Semoga Allah selalu menjaga keikhlasan saya dan membawa kita ke arah kebaikan, Amin Ya Rabb Al-Alamin.

    Terima kasih Ustazah Nur;-)

    Jazakallah khairan katsiran ya Ustazah:-)

    BalasPadam
  17. Salam Ustaz. Teruskan usaha murni ini.Ustaz sangat berbakat menulis dan gunakan sepenuhnya kebolehan ini untuk kebaikan umat. Saya telah menemui jawapan daripada persoalan yang kita bincangkan beberapa hari ini.Jawapan itu terdapat pada surah as-Sajadah ayat 12-22. Sebahagian ayat-ayat ini saya ungkapkan dalam post terbaharu bertajuk "Quranic Law of Attraction". Semoga ustaz dan keluarga senantiasa dirahmati Allah.

    BalasPadam
  18. Mybabah:

    Salam Bang Samsudin.

    Alhamdulillah. Mohon doa dari Babah semoga saya boleh menulis untuk kebaikan umat, Amin Ya Rabb Al-Alamin.

    Saya mengaminkan doa abang. Saya juga berdoa semoga abang dan keluarga sentiasa dirahmati Allah, amin.

    Terima kasih Bang Samsudin;-)

    BalasPadam
  19. Salam ustaz cahaya...semoga istiqamah dalam menyampaikan ilmu di blog ni...salah satu cara berdakwah juga kan? moga Allah membalas jasa ustaz cahaya ni...

    InsyaAllah saya akan doakan ustaz cahaya di sana. Moga kebahagiaan sentiasa mengiringi ustaz. Doakan saya juga ya! Selamat pergi dan pulang..

    BalasPadam
  20. Afida Anuar:

    Salam Afida.

    Alhamdulillah. Doakan agar saya istiqamah dalam menyampaikan ilmu di blog ni. Semoga ia diterima Allah sebagai dakwah dan ibadah, Amin Ya Rabb Al-Alamin.

    Saya aminkan doa-doa Afida. Saya mendoakan Afida selamat pergi ke tanah yang dirindui itu. Tanah suci yang penuh rahmat. Semoga selamat kembali dalam keadaan yang lebih baik.

    Doakan juga agar Allah mempercepatkan saya ke sana ya Afida. Ke tanah yang dirindui oleh sekalian hamba Allah yang beriman kepada-Nya itu.

    Terima kasih Afida;-)

    BalasPadam