Sabtu, April 03, 2010

Salah satu cara saya untuk kekal bermotivasi


Salah satu cara saya untuk kekal bermotivasi



(Image By ThriveAnne)

Jam di 'window sidebar' komputer saya ini menunjukkan tepat pukul 5 petang. Sabtu, 3 April 2010. Saya sedang berada di perpustakaan. Saya hanya ada masa lebih kurang satu jam sahaja lagi. Saya perlu cepat balik ke rumah untuk makan nasi kerana saya belum lunch lagi dan mandi untuk solat maghrib.

Petang ini saya 'menyelongkar' laptop saya ini, melihat-lihat catatan-catatan yang saya taip pada bulan April tahun lepas. Tidak banyak catatan peribadi yang saya taip pada tahun lepas. Salah satunya adalah yang saya siarkan di bawah ini. Catatan tersebut saya taip pada 11 April 2009, pada jam 9.32 malam.




(11.04.2009- 21.32)

"Pilihlah untuk tersenyum walaupun kita memiliki sebab untuk bersedih. Pilihlah untuk bangkit walaupun telah jatuh dan malu. Pilihlah untuk sabar dan redha walaupun ada alasan untuk kecewa"

Tadi selepas solat maghrib, seperti yang telah dijadualkan pada setiap Sabtu antara maghrib-isyak saya berceramah di Surau At-Taqwa dalam Program Takmir Masjid dan Surau. Malam ini tajuk ceramah saya ialah "JANGAN BERSEDIH: Bila Nasi Sudah Menjadi Bubur". Seperti apa yang saya ucapkan di permulaan ceramah saya tadi, sebenarnya tajuk ini tentulah untuk peringatan kepada diri saya sendiri kerana yang di depan saya ini adalah orang yang telah lebih dahulu melalui kehidupan daripada saya.

Ya, sememangnya malam ini syukur kerana Allah memberi saya situasi yang menguji sama ada saya boleh untuk tidak bersedih atau sebaliknya. Sedangkan saya sendiri tadi berceramah tentang 'Jangan Bersedih'. :-)

Jika tadi di surau At-Taqwa saya telah berceramah tentang Jangan Bersedih ketika menghadapi ujian dan musibah dalam kehidupan, dalam catatan ini pula saya ingin mengingatkan diri saya sendiri tentang 'Jangan Bersedih' dalam konteks saya sebagai pendakwah.

Sebenarnya, untuk bersedih atau tidak bersedih kita mampu memiilih. Mahu Sedih atau Tidak Sedih? Lumrah kita sebagai manusia, perasaan kita ada pelbagai termasuklah perasaan sedih, kecewa, bosan, putus asa dan sebagainya. Persoalannya ialah bukan tidak boleh kita berasa sedih kerana itu adalah sifat semulajadi kita sebagai manusia. Alangkan Nabi (SAW) sendiri bersedih sehingga ada period dalam sirah Baginda yang dinamakan 'Tahun Kesedihan'. Persoalannya ialah bagaimana kita mengendali dan menghadapi perasaan-perasaan negatif itu.

Persoalannya ialah bagaimana kita mengendali dan menghadapi perasaan-perasaan negatif itu?

Dalam hal ini kita memerlukan kekuatan emosi (EQ). Kita perhatikan, mereka yang diuji Allah dengan tubuh yang tidak sempurna. Apakah yang memberi mereka kekuatan untuk menghadapi kehidupan? Tentulah sesuatu yang bernama 'SEMANGAT'. Semangat=Hati=Jiwa.

Seperti yang saya sampaikan di surau tadi, 'ada orang yang tidak ada tangan tapi punya semangat untuk hidup yang tinggi. Punya semangat untuk berkarya sehingga ramai antara mereka yang boleh melukis menggunakan kaki. Lukisan yang dihasilkan menggunakan kaki itu harganya lebih mahal!' Mereka menjadi mulia dan bernilai kerana semangat mereka yang tinggi walaupun dalam kekurangan dari segi fizikal.

Perhatikan pula, ada orang yang tubuh badannya sempurna, sihat malah kuat. Berapa ramai mereka yang menjadi penjenayah dan peragut. Menjadi penunggu di tepi jalan membuang masa menogok minuman keras dan berapa ramai pula yang sihat wal afiat ini yang malas berkerja dan mencari jalan mudah untuk mendapat wang. Itulah mereka yang tidak punya semangat dalam kehidupan. Mereka menjadi hina dalam keadaan tubuh yang sempurna.

Ya, sesungguhnya dalam hidup selalu 'hasil' dan 'keputusan' tidak memberi peluang untuk kita memilih seperti apa yang kita mahu. Dalam hidup kerap kita dihidangkan dengan perkara yang tidak seperti yang kita harapkan. Kerap apa yang kita terima tidak sepadan yang telah kita usahakan dan kerjakan.

Ya, dalam soal itu kita tiada pilihan. Di sini iman kita kepada Qada dan Qadar diuji. Namun, dalam mengahadapinya, kita sentiasa ada pilihan. Pilihan untuk bersedih atau bahagia? Pilihan untuk putus asa atau gigih? Pilihan untuk beralah atau istiqomah? Pilihan untuk cepat bubar atau tahan bersabar? Pilihan untuk Kecewa atau redha?

Kita ada pilihan dan semestinya pilihan itu ditentukan oleh Kualiti Emosi (EQ) kita diseimbangi Kualiti Akal (IQ) kita.



Membaca catatan-catatan lama saya, saya mendapat satu moral. Buatlah catatan peribadi. Ia boleh diulang baca untuk menasihati diri dan untuk kekal bersemangat. Semangat!

Hehe, perkataan semangat itu mengingatkan saya kepada seorang guru Al-Quran saya iaitu Al-Hafiz Ustaz Zaidi Edward (lulusan Darul Quran, JAKIM). Beliau melaungkan perkataan semangat agak lucu, iaitu 'SME-NGAT' ketika memberi semangat kepada kami.

PS: Apapun saya perlu kekal bersemangat pada bulan April ini atau dalam bahasa kampung saya disebut 'Stay Motivated';-)



7 ulasan:

  1. salam ustaz,
    kalau K.Nur, selalu juga mengingatkan diri sendiri spy "Stay Positive".

    BalasPadam
  2. Bila hati asyik teringat Dia saja, insyaAllah tiada lagi perasaan sedih...gelisah... even di tengah-tengah ujian hidup...pasti kita tersenyum menghadapinya...

    Owhh, saya pun ada catatan persis ustaz tu, utk kasi motivasi kat diri sendiri..tapi dalam buku peribadi, untuk saya sorang je baca.... private..hehe

    BalasPadam
  3. temp. housewife:

    Salam Kak Nuradyani.

    Iya. Saya juga selalu mengingatkan diri supaya kekal bermotivasi dan kekal positif juga kekal dalam iman dan taqwa;-)

    Terima kasih Kak Nuradyani;-)

    BalasPadam
  4. Afida Anuar:

    Saya suka ayat kamu itu Afida.

    "Bila hati asyik teringat Dia saja, insyaAllah tiada lagi perasaan sedih...gelisah... even di tengah-tengah ujian hidup...pasti kita tersenyum menghadapinya..."

    Kesedihan itu lumrah kan Fida. Ketabahan itu adalah peribadi yang istimewa.

    Terima kasih Afida;-)

    BalasPadam
  5. salam ustaz..yg penting, bangun pagi perlu ceria dan bertekad utk cube membantu org lain :-)

    BalasPadam
  6. sahromnasrudin:

    Salam Sahrom.

    Iya. Apa yang penting, kerjesama. Hehe;-)

    "Setiap pagi mulakan hari dengan ceria dan berazam untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya".

    Terima kasih Sahrom;-)

    BalasPadam
  7. salam ustaz.

    sya baru baca entri ni.
    ya, sememangnya kita perlu sentiasa positif utk mengharungi gelombang kehidupan.
    kata2 semangat pula dpt merangsang kita utk terus berusaha utk merealisasikan impian hidup.

    BalasPadam