Jumaat, April 09, 2010

Selagi ada waktu...


Selagi ada waktu...







Maksud hadith:
"Rebutlah oleh kamu LIMA sebelum LIMA:
Hidup sebelum Mati, Sihat sebelum Sakit,
Lapang sebelum Sibuk, Muda Sebelum Tua
dan Kaya sebelum Miskin".



Selagi ada waktu. Heh, macam tajuk lagu itu pula, 'Selagi Ada Rindu'. Bukan tajuk lagu. Hari ini kita bercakap tentang waktu. Waktu sangat berkait-rapat dengan peluang dan kejayaan. Antara takdir dan waktu juga antara waktu dan kejayaan. Jangan biarkan diri kita dihimpit oleh keadaan dan ditinggalkan waktu yang terus berjalan. Selagi ada umur, selagi ada waktu, selagi itu kita akan dipersoalkan tentang bagaimanakah waktu itu kita pergunakan.

Salah satu ciri keperibadian orang yang berjaya ialah mereka cepat melihat peluang dan cekap mengambil peluang. Junjungan kita Nabi Muhammad Rasulullah (SAW) sendiri berpesan agar kita selalu menggunakan peluang dan kesempatan yang ada seperti yang tercatat dalam hadith di atas.

Peluang sangat berkait rapat dengan sifat syukur. Ini kerana, orang yang bersyukur dapat menerima dan menggunakan nikmat yang sedikit. Sebaliknya, orang yang tidak bersyukur malah tidak merasa cukup dengan nikmat dan peluang yang banyak.

Selain itu, peluang yang kita miliki adalah nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Sebagai muslim, kita wajib mensyukuri setiap nikmat yang kita terima daripada pemberian Allah. Syukur tidak hanya pada ucapan „Alhamdulillah‟, lebih dari itu cara mensyukuri nikmat ialah dengan menggunakan nikmat yang dimiliki dengan sebaik-baiknya.

Semakin kita bersyukur, kita akan dapat melihat lebih banyak peluang dan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Walaupun peluang dan nikmat yang dimiliki nampak kecil dibandingkan dengan orang lain, tetapi dengan adanya rasa syukur dan kesedaran untuk menggunakan nikmat Allah dengan sebaik-baiknya, maka nikmat yang kecil akan terasa besar dan indahnya. Dari sikap inilah bermulanya kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah (SAW) mengingatkan kita agar mensyukuri nikmat Allah yang ada pada kita meliputi umur yang dipanjangkan Allah, kesihatan tubuh badan, kelapangan waktu dan kemudahan untuk kita bergerak, usia yang masih ada yang semakin hari kian bertambah dan nikmat rezeki yang kita miliki.

Satu daripada doa yang selalu dibaca oleh Baginda Rasulullah SAW adalah doa yang bermaksud: “Ya Allah berikan kami kebahagian hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat dan lindungilah kami dari azab neraka”.

Kebahagiaan adalah sinonim dengan kejayaan. Antara jalan untuk mendapat kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat adalah dengan mensyukuri dan menggunakan LIMA PELUANG berikut;


1. HIDUP sebelum MATI.
2. SIHAT sebelum SAKIT.
3. LAPANG sebelum SIBUK.
4. MUDA sebelum TUA.
5. KAYA sebelum MISKIN.

Ramai orang tidak nampak peluang kerana mereka tidak memerhatikannya dan tidak mensyukurinya. Ramai orang juga tidak mahu merebut dan mengambil peluang kerana mereka tidak mahu berusaha dan tidak sanggup merasa susah.

Mengambil peluang dan menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya bukanlah satu perkara yang mudah dan indah. Peluang ibarat selonggok tanah yang mengandungi emas. Tanah perlu diayak untuk mengasingkan butir-butir pasir yang mengandungi unsur emas. Kemudiannya butir-butir pasir tersebut akan diproses untuk mendapatkan emas. Emas tulen itu akan ditempa dan dibentuk untuk menjadi perhiasan dan barang kemas yang mahal harganya.

Kunci utama untuk kita menjadi orang yang merebut peluang dan menggunakan peluang ialah sifat syukur yang sebenar-benarnya. Orang yang bersyukur tidak akan membiarkan setiap nikmat yang dimilikinya berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan atau tanpa mengambil faedah daripadanya.





DOA

“Ya Allah, panjangkan umur kami dalam iman, taqwa dan amal soleh.
Berikan kami nikmat kesihatan jasmani, rohani, mental dan emosi.
Kami memohon dari-MU keberkatan umur dan masa dalam hidup kami.
Kami memohon perlindungan-Mu daripada kesibukan yang sia-sia
dan urusan yang tidak berfaedah.

Kami memohon daripada-Mu limpah kurnia
dan rezeki dari-Mu baik dalam bentuk apapun jua
sama ada wang ringgit, harta benda, ilmu dan lain sebagainya.
Kami memohon perlindungan-Mu daripada kekafiran dan kemiskinan.

Ya Allah, segala nikmat yang kami perolehi
dan apa yang diperolehi oleh setiap makhluk-Mu,
semua itu adalah daripada-Mu,
maka bagi-Mu segala puji dan syukur.

Amin Ya Rabb Al-Alamin”










6 ulasan:

  1. Salam...

    Sesekali memikirkan lima perkara bakal ditanya kelak di padang mashyar dan salah satunya masa atau waktu.

    Banyak perkara yang dilakukan dalam masa yang panjang tapi tidak mendatangkan faedah. Apakah akan kita jawab mengenai masa yang terbuang untuk perkara sebegitu?

    BalasPadam
  2. salam ustaz,

    banyaknya perkara2 yg selalu diambil remeh seperti 5 perkara yg ustaz sebutkan tadi. (peringatan utk diri sendiri ni)

    BalasPadam
  3. aminnn..
    semoga kita hidup berlandaskan islam
    terima kasih ustaz..byk berguna entri ni..

    BalasPadam
  4. Abd Razak:

    Salam Abd Razak.

    Iya benar. Samalah kita memohon dari Allah keberkatan umur dan masa dalam hidup kita dan memohon perlindungan Allah daripada kesibukan yang sia-sia dan urusan yang tidak berfaedah, Amin.

    Terima kasih Abd Razak;-)

    BalasPadam
  5. temp. housewife:

    Salam Kak Nur.

    Iya Kak Nur, peringatan untuk kita bersama. Jika kita selalu ingat dengan pesanan Rasulullah (SAW) dalam hadith ini, Insya Allah kita boleh menjadi semakin baik setiap hari.

    Terima kasih Kak Nur;-)

    BalasPadam
  6. zulkbo:

    Salam Bang Zul.

    Semoga kita menjadi orang yang selalu menggunakan peluang yang lima itu dengan sebaik-baiknya, amin;-)

    Terima kasih Bang Zul;-)

    BalasPadam