31/03/2010

Jangan jadi bodoh! (Post Khas Sempena April Fool)


Jangan jadi bodoh!
(Post Khas Sempena April Fool)



(Image By shmiad)

Maafkan saya dengan tajuk yang agak kurang manis malam ini. Salam penghujung Mac 2010. Kita manusia tidak pernah mampu menahan peredaran dan pergantian hari demi hari. Begitu juga jarang kita memperhatikan masa berlalu dan hari berganti menjadi minggu, minggu berganti menjadi bulan, bulan berganti menjadi tahun. Tahu tahu, usia kita sudah semakin tua kerana kita mengingati peredaran hari hanya setahun sekali iaitu pada hari jadi.

Begitu juga dalam kehidupan kita. Banyak perkara dan amalan datang dari barat yang kita terima menjadi budaya kita. Budaya itu sedikit sebanyak melupakan dan melalaikan kita dengan apa yang sepatutnya kita ingat selalu. Usia kita perlu dihitung setiap hari bukan hanya setahun sekali pada hari jadi. Ada sesiapa antara kita boleh pastikan dan beri jaminan bahawa hidup kita berakhir pada tarikh sama kita dilahirkan? (Bukan maksud saya menentang sambutan harijadi ya. Saya dan keluarga juga meraikan hari ulang tahun).

Begitu juga dalam hal bergurau dan berjenaka. Setiap masa kita sebagai Muslim digalakkan senyum kepada orang lain, membuat orang lain tersenyum dan menghiburkan orang lain. Malah kita mendapat pahala daripada ketiga-tiga perbuatan itu. Mengapa perlu ada hari untuk membuat manusia ketawa? Lebih teruk lagi, ada orang ketawa kerana memperbodohkan dan memalukan orang lain. Nyata ini bukan amalan yang sesuai dengan fitrah manusia tidak kira manusia Muslim atau non muslim.

Esok 1 April datang lagi. Seperti selalu, ada di kalangan kita yang menyambut hari esok dengan teruja dan ada juga yang dengan takut. Ada yang tidak pernah kesah seperti saya dan keluarga. Iyalah, orang kampung macam kami manalah tahu benda-benda macam itu. Ada tidak ada pun ibu saya ingatkan April Fool itu perayaan orang Kristian macam Good Friday begitu. Hehe..




Saya tidak sempat untuk menulis panjang tentang ini dan saya juga merasakan itu tidak perlu kerana saya tahu kawan-kawan pembaca setia blog ini tidak menyambutnya. Apapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya sendiri dan saudara yang membaca ini dengan beberapa perkara.

1. Islam melalui Rasulullah (SAW) melarang umatnya berbohong. Pembohongan merupakan dosa besar kerana keburukan dan bahayanya perbuatan berbohong itu. Pada April Fool, biasa orang berbohong untuk bergurau. Perkara ini ada disebut oleh Rasulullah melalui hadith yang berbunyi "Celakalah sesiapa yang berbohong untuk membuat orang ketawa, celakalah untuknya".

2. Islam melarang umatnya untuk mengganggu orang lain sama ada secara fizikal mahupun emosi. Islam tidak melarang bergurau seperti yang saya sebutkan di atas tadi malah digalakkan kita menghiburkan orang lain. Namun, jika dalam bergurau itu hanya kita yang terhibur tetapi orang lain tersentap atau terluka atau 'tersakiti' maka itu adalah satu dosa dan kezaliman.

3. Seeloknya kita tidak menerima budaya orang sesuka hati kita dan menjadikan ia budaya kita.

4. Janganlah ada perdebatan berkenaan hal ini antara sesama kita. Pasti ada yang masih hendak mempertahankan sambutan ini walaupun kebenaran cuba kita tegakkan. Malah lebih teruk, ada orang yang cuba 'menala' sambutan seperti ini agar sesuai dengan agama Islam.

5. Berkenaan sejarah pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Sepanyol yang dikaitkan dengan sambutan April Fool ini, saya mengambil kedudukan di tengah kerana saya belum menjumpai rujukan yang boleh dipercayai dan diyakini. Apapun, bagi saya eloklah kita perhatikan dan kenangkan nasib saudara seagama kita pada masa ini di tempat lain yang sedang ditindas dan dizalimi. Malah mungkin ada di dekat-dekat kita saudara seagama kita yang sedang ditindas dan dizalimi oleh 'orang lain agama'.

6. Berkenaan sejarah itu juga, saya harap kita tidak berdebat dan berbalah sesama kita kerananya. Dari apa yang saya baca, sejarah itu ada disebut dalam buku seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus.

7. Sejarah itu juga ada disebut dalam dalam kitab mashur Ibn Hazm yang berjudul al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

8. Berkenaan sejarah pembunuhan beramai-ramai umat Islam Sepanyol itu anda boleh baca di sini:

http://athidean2.blogspot.com/2009/04/april-foolwanna-be-fool.html

9. Pihak musuh pula ada menjawab sejarah itu yang menurut mereka sebagai rekaan dan fitnah oleh umat Islam. Anda boleh baca di sini:

http://www.answering-islam.org/Hoaxes/aprilfool.html






30/03/2010

Merancang Permulaan Sebuah Blog Baru (Berdasarkan konsep B.L.O.G.)


Merancang Permulaan Sebuah Blog Baru
(Berdasarkan konsep B.L.O.G.)





KONSEP B.L.O.G.

B- Baju blog. Template dan paras rupa blog yang hendak dibina.

L- Lay figure. Lay-figure adalah patung contoh tubuh manusia yang dibuat daripada kayu yang disambung-sambung yang digunakan oleh pelukis.

O- Objektif. Matlamat blog yang hendak dibina.

G- General Setting. Senarai perkara dan tetapan asas blog yang hendak dibina.



Malam ini saya ingin berkongsi sedikit tips bagaimana saya merancang permulaan sebuah blog baru. Tips yang mudah dan senang diingati Insya Allah, kerana ia menggunakan kata kunci BLOG itu sendiri. Rujuk perenggan paling atas yang dihighlight itu.

Jum, kita bincangkan satu persatu...

B- Baju blog. 

Apa yang saya maksudkan sebagai baju blog di sini ialah template blog yang hendak dibina. Inilah perkara pertama yang perlu dipilih untuk blog baru kita. Oleh kerana post ini bukan untuk membincangkan tentang template, jadi saya cuma boleh mengatakan jangan skip langkah ini jika kita memulakan blog baru. Lebih-lebih lagi jika kita hendak membina blog yang dihost sendiri terutama dengan script Wordpress.

Jika kita mulakan dulu blog kita, kemudian nak pilih template, bukan tidak boleh tetapi akan banyak gangguan nanti. Jadi sewajarnya, pilih dulu baju yang tetap untuk blog itu sebelum mula menambah pelbagai ciri yang lain. Jika kita guna blogger dotcom, bukankah lepas kita buat satu blog kita akan diminta pilih template dahulu.

Untuk Jurnal Online UstazCahaya ini saya gunakan template yang disediakan dalam dashboard sahaja. Kemudian tambah-tambah perhiasan dan godek-godek html serta ubah-ubah font dan warna. Untuk lebih mem'peribadi'kan blog ini, saya sediakan template khas untuk bahagian post.

Insya Allah, di lain kesempatan kita bincang hal template ini lebih lanjut ya.


L- Lay-out figure. 

Lay-out figure adalah patung contoh tubuh manusia yang dibuat daripada kayu yang disambung-sambung yang digunakan oleh pelukis. Walaupun setiap pelukis ada 'stroke' sendiri, tapi jika melukis manusia dan haiwan, mereka masih berpandukan kepada asas anatomi tubuh. Salah satu panduan mereka ialah lay-out figure ini. Contohnya, untuk komik; bagi watak hero ukuran tinggi tubuhnya ialah enam kali ukuran kepala.

Di bawah ini adalah contoh lay figure.


Begitu juga kita sebagai blogger. Semasa merancang sebuah blog baru, sekurang-kurangnya kita ada model dan contoh. Panduan asas ini penting walaupun setiap blogger ada gaya tersendiri. Contohnya jika anda ingin membuat kedai blog, setidak-tidaknya anda tahu bagaimana ciri sebuah kedai blog. Ini juga berkait rapat dengan perkara pertama di atas tadi.

Contohnya saya ingin membuat blog tentang cinta, sekurang-kurangnya saya perlu tahu asas dan ciri blog dengan tema cinta. Saya perlu tengok-tengok blog lain yang menggunakan tema cinta. Tentulah blog dengan tema cinta tidak sesuai dengan 'rupa dan gaya' blog Jurnal Online UstazCahaya ini yang agak peribadi, serius, akademik dan skema.

Untuk blog dengan niche cinta mungkin saya perlukan baju blog yang ada bunga-bunga ke. Perlukan ciri-ciri yang lebih jiwang. Perlukan bahasa yang indah-indah dan menangkap jiwa pencinta.

Pendek kata, kita perlu ada model dan panduan untuk memulakan blog. Model kita perlu sesuai dengan niche kita.

O- Objektif.

Kita perlu ada matlamat untuk blog yang hendak dibina dan dimulakan itu. Matlamat ini menentukan perjalanan kita seterusnya. Mungkin saya tidak perlu bercerita tentang peri pentingnya matlamat kerana ia diketahui oleh hampir semua orang.

Kita perlu tahu blog kita itu untuk apa? Hendak membincangkan tentang apa? Hendak dipromosikan kepada siapa? Kita hendak perjuangkan apa? Kita buat blog itu untuk faedah apa?

Sekalipun kita buat blog peribadi dan untuk suka suki sahaja, matlamat tetap ada dan tetap perlu. Mungkinkah matlamat blog peribadi kita itu untuk kita melepaskan tension, untuk kita berehat, untuk kita berkawan dengan blogger lain dan macam-macam lagi.

Lagipun, sebagai seorang muslim, hidup kita ini sangat singkat untuk kita persia-siakan dengan perbuatan yang tidak ada matlamat. Hidup tanpa matlamat selalunya kurang selamat dan tidak berkat. Di dunia rugi apatah lagi akhirat. Jadi samalah kita beringat wahai sahabat, jika hendak berbuat sesuatu perlulah dengan ada matlamat. =)
Hidup tanpa matlamat selalunya kurang selamat dan tidak berkat.
Di dunia rugi apatah lagi akhirat.
Jadi samalah kita beringat wahai sahabat,
jika hendak berbuat sesuatu perlulah dengan ada matlamat.

G- General Setting.

Last but not least (hehe prosa ini membuat saya tersenyum..), jika kita hendak memulakan blog baru perkara pertama yang perlu ditetapkan ialah General Setting blog kita. General setting sebuah blog merangkumi URL, diskripsi/ tagline, zon waktu, email rasmi blog itu, tetapan untuk komen moderation, tetapan untuk anti spam dan lain sebagainya tetapan asas dan penting sebuah blog.
 
Lagi, perkara-perkara berkaitan MyBlogLog, Feedburner akaun, akaun auto-responder, akaun YouTube dan lain-lain juga adalah termasuk dalam hal General Setting ini.

Perlu diingatkan bahawa General Setting ini adalah perkara pertama yang perlu ditetapkan dalam dashboard blog baru kita.

Alhamdulillah, itulah sekadar sedikit perkongsian kita malam ini. Harap saudara yang membaca ini tidak keberatan untuk menambah apa yang kurang. Juga, jika saudara merasakan perkongsian ini juga perlu diketahui oleh pembaca blog anda, silalah kongsikan ia. Dengan syarat perlu ada link balik ya;-)



Pernyataan Hak Cipta bagi Konsep B.L.O.G.:


'Konsep B.L.O.G. untuk Merancang Permulaan Sebuah Blog Baru' dicetuskan oleh Norudin Draman a.k.a. UstazCahaya.


Penggunaan dan perbincangan Konsep B.L.O.G. adalah dibenarkan tanpa perlu mendapat izin dengan syarat tanpa tujuan komersial. Bagaimanapun, adalah wajar memaklumkan Hak Cipta konsep ini dalam penggunaan dan perbincangan tersebut.


Penggunaan dengan tujuan komersial perlu mendapat izin bertulis daripada Norudin Draman a.k.a. UstazCahaya. Sebarang penggunaan dengan tujuan komersial yang tidak mendapatkan izin terlebih dahulu, pemilik hak cipta akan mendapatkan nasihat undang-undang daripada pihak yang pakar dan berkenaan bagi tindakan yang sewajarnya.


Semoga konsep ini ada manfaat untuk para blogger.


Terima kasih.


PS: Apapun segalanya adalah milik Allah dan kembali kepada Allah SWT.

29/03/2010

Cerita Tentang Gitar (Banyak perkara dalam dunia ini yang tidak boleh hanya dipelajari...)


Cerita Tentang Gitar
(Banyak perkara dalam dunia ini
yang tidak boleh hanya dipelajari...)










Anda Pandai Menala Gitar?


Sebenarnya, kemahiran menala gitar sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Perhatikan, berapa banyak perkara dalam hidup ini yang tidak boleh setakat dipelajari. Ia perlu dikuasai. Seperti menala gitar, adalah mudah untuk kita menghafal asasnya, tapi untuk memahirkan diri kita menala gitar, ia perlukan latihan dan masa. Selama mana kita bertahan, kemahiran itu akan kita perolehi. Kita tidak akan terus dapat menala gitar dengan tepat dalam dua tiga hari kita baru belajar. Dalam bahasa kampung saya disebut orang sebagai 'no overnigth success'. ;-)



Oh ya beberapa hari ini saya layan lagu-lagu rock kapak era 90-an. Tahu sahajalah lagu-lagu era itu, petikan gitarnya sangatlah indah dan mengancam. Rindu pula saya dengan gitar, dan kerinduan itu mengingatkan saya nostalgia ketika saya baru-baru bermain gitar pada zaman saya awal remaja dolu-dolu.

Hehe, saya mula main gitar masa tingkatan 1. Masa itu zaman Metallica dan Cromok. Lagu Metallica yang pertama saya pandai ialah lagu 'Nothing Else Matter' dan lagu Cromok pula ialah lagu instrumental 'Another You'. Saya ingat lagi saya pernah masuk pertandingan deklamasi sajak masa saya tingkatan dua, guna lagu 'Another You' sebagai musik latar dan cuba teka, saya dapat johan!

Masa tu, saya beli gitar then simpan di rumah datuk sebab ayah marah saya main gitar. Jadi tiap hujung minggu saya bermalam di rumah datuk. Masa itu kami sekeluarga tinggal di rumah kerajaan agak jauh dari rumah datuk. Hehe.. Tapi sejak saya dah habis sekolah ayah tak marah lagi saya main gitar dan ilmu itu saya turunkan pula kepada adik lelaki saya.

Anda pandai bermain gitar? Atau sekurang-kurangnya pernah bermain gitar. Masih ingat ketika kita mula belajar gitar dulu? Saya masih ingat lagi, saya belajar asas tuning gitar dari buku. Dalam buku tu kata, tali A bunyinya sama dengan fret nombor 5 tali E. Tali D pula, bunyinya sama dengan fret nombor 5 tali A. Begitulah seterusnya. Tidak susah untuk menghafal asas ini, tapi untuk kita berjaya menala gitar adalah mengambil masa. Setelah masa berlalu, dan kita biasa menala gitar, baru lah sedikit demi sedikit 'talaan' yang kita buat tu tepat. (Betul ke word 'talaan' itu?) :-)

Kemudian, setelah lama bermain gitar.. memang kita boleh menala gitar kita dengan tepat. Saya pernah cuba tune gitar saya kemudian semak dengan 'digital tuner' memang tepat:-) Kemudian mula la belajar membuat tuning yang 'pelik-pelik'. Mula-mula belajar buat tuning Drop D, lepas tu tuning apa ke nama nya tu, yang untuk main lagu Blurry tu. Saya pun dah lupa..

Heh, semua tu nostalgia saya. Lama sudah saya tidak memegang gitar. malam  ini sengaja saya  mengimbau nostalgia dolu-dolu saya; makanya hari ini saya menulis sedikit tentang gitar:-)



Sebenarnya, kemahiran menala gitar sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Perhatikan, berapa banyak perkara dalam hidup ini yang tidak boleh setakat dipelajari, ia perlu dikuasai. Seperti menala gitar, adalah mudah untuk kita menghafal asasnya, tapi untuk memahirkan diri kita menala gitar, ia perlukan latihan dan masa. Selama mana kita bertahan, kemahiran itu akan kita perolehi. Kita tidak akan terus dapat menala gitar dengan tepat dalam dua tiga hari kita baru belajar.

Begitulah, apapun yang kita usahakan, kita perlukan masa untuk menguasainya. Dalam mendidik diri untuk istiqamah mengerjakan ibadat yang wajib, kita perlu bertahan dan perlukan latihan. Dalam mengubah dan memperbaiki diri juga begitu. Kita mungkin boleh membaca dan mempelajari cara-caranya, namun untuk berjaya melakukannya kita mesti mencuba, berlatih dan berusaha.

Begitu juga dalam kita mendidik (dan mendakwah) orang lain. Seperti menala gitar, kita hanya boleh mengajar dia asas menala seperti yang saya sebutkan di atas tadi, tapi untuk orang yang diajar tu mampu mendapatkan talaan yang betul, ia mengambil masa. Sama seperti untuk mendidik dan mendakwah orang lain. Alangkan susah untuk mendidik diri kita sendiri, susah lagi untuk mendidik orang lain.


28/03/2010

Tidak Ada Hujung Minggu


Tidak Ada Hujung Minggu



(Pensieve dalam Harry Potter)

Hari ini hari Ahad a.k.a hari minggu. 28 haribulan Mac 2010. Alhamdulillah, sejak bercuti seminggu di blog ini minggu lepas,  saya rasa semakin rajin;-) Namun hari ini seperti mingu-minggu yang lalu, saya tidak ada hujung minggu a.k.a. saya tidak bercuti dan bersantai pada hari minggu.

Alhamdulillah. Saya tidak pula berasa penat, letih dan bosan dengan apa yang sedang saya lakukan. Penat buat yang ini saya buat yang itu. Letih buat ini saya buat itu. Bosan siapkan yang ini, saya siapkan yang itu. Ini membuatkan saya percaya, kita boleh berehat dengan melakukan sesuatu yang kita suka. Ya, saya tidak letih melakukannya kerana saya suka dan menikmati saat-saat saya melakukannya;-)

Sebelum menaip post ini tadi, saya youtube sekejap. Menonton beberapa buah lagu lama yang ada 'kenangan' kepada saya. Saya percaya, semua orang ada kenangan. Bagi saya, apapun kenangan itu, ia sebenarnya guru dan teman yang baik kepada kita. Jika kita melayan kenangan dengan baik, Insya Allah, ia akan baik untuk kita masa kini dan masa akan datang. Namun ramai yang bersikap sebaliknya, iaitu melupakan kenangan yang pahit untuk hidup lebih baik. Apapun, itu pendirian masing-masing kan.

Kekadang saya berangan juga, bagaimana agaknya jika manusia betul-betul memiliki sebuah pensieve. Erm, anda tahu 'pensieve'? Jika anda adalah peminat Harry Potter anda tentu tahu. Ia adalah sebuah basin batu, di mana kita boleh 'store' kan memori kita, bila kita hendak kembali ke masa silam, kita masuk basin itu dan kita boleh berada pada zaman silam kita itu;-) Huhu, Harry Potter. Sebuah karya 'eskapisme' yang baik untuk kita berehat dan sebuah karya yang mengubah hidup JK Rowling; seorang penghuni kaki lima dan jambatan kepada seorang novelis jutawan.

Ok, ini saja untuk kali ini. Saya hendak sambung berkerja. Di bawah ini saya kongsikan dua video yang lawak juga, dengan lagu BPR. Lama sudah tak main gitar eh;-)



Video klip yang tidak pernah disiarkan kerana terlalu ganas. Dapatkan yang asli, hanya dari B.P.R (Bumi Pun Runtuh). ;D





Showmanship band rock era 90-an macam ni memang dirindui. Susah nak jumpa band macam ni sekarang. Hehe, antara filem kegeraman, ops, kegemaran saya;-) Filem Rock 2006.






27/03/2010

Tutorial Buat Code Banner


Tutorial Buat Code Banner


Banner adalah antara item penting yang perlu dimiliki oleh seorang blogger dan sebuah blog. Dalam tutorial ini, saya ingin berkongsi cara untuk membuat code banner. Tutorial kita kali ini adalah untuk buat code banner yang akan digunakan untuk diletakkan di blog kita atau di mana-mana tempat di dunia internet. Dalam tutorial ini kita tidak belajar membuat banner. Buat banner dan buat code banner adalah dua perkara berbeza. Insya Allah di kesempatan lain saya akan menyediakan tutorial membuat banner pula.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  1. Gambar/ image/ grafik  untuk banner. Boleh buat sendiri atau upah designer.









  2. Code banner di bawah:






  3. Image hosting.

    Anda boleh gunakan image hosting percuma di Photobucket.

LANGKAH DEMI LANGKAH BUAT CODE BANNER SENDIRI

1. Upload imej banner anda ke Photobucket atau hosting anda sendiri. Jika anda guna Photobucket, sila ambil direct link imej tersebut. Jika anda upload ke hosting sendiri, saya yakin anda tahu nak ambil link imej itu kan;-)

2. Pada code di bawah, perhatikan bahagian yang saya highlight:


Tukarkan bahagian yang bertanda kuning dengan alamat blog anda. Ini bermaksud, jika orang klik pada imej banner anda, laman blog anda akan terbuka.
3. Sekali lagi, pada code di bawah, perhatikan bahagian yang saya highlight:


Bahagian bertanda biru adalah link gambar untuk banner saya. Tukarkan bahagian yang bertanda biru ini dengan link gambar banner anda (yang anda upload tadi).

4. Paste kan code banner anda ke mana-mana bahagian blog anda.

Alhamdulillah. Itulah sedikit perkongsian ilmu kita petang ini. Segala kemusykilan atau maskalah, jangan segan-segan bertanya saya. Jika ada nak tempah imej banner pun boleh. Insya Allah, pada kesempatan lain kita akan belajar buat (design) banner cara mudah pula.

26/03/2010

Puisi Motivasi: 'Berani Gagal' (Tribute to Thomas Alva Edison)


Puisi Motivasi: 'Berani Gagal'
(Tribute to Thomas Alva Edison)





(Image By KurtMervin)

Pernah anda dengar cerita lucu tentang penjual ubat yang menggunakan teknik Thomas Edison?

"Satu hari, anda beli ubat yang dikatakan boleh mengubati 1000 jenis penyakit. Anda pun beli dan gunakan ubat itu, Tunggu punya tunggu, penyakit tidak juga sembuh. Anda kembali kepada si penjual ubat.

Apa kata si penjual ubat? Katanya mungkin penyakit kamu adalah penyakit yang ke 1001. Untuk itu, sila kamu beli ubat yang ini pula.."

Begitulah lebih kurang ceritanya...;-)

Malam esok, 27 Mac 2010, selama sejam kita diseru untuk menutup lampu sempena kempen Earth Hour. Antara lain tujuan kempen tersebut ialah untuk mengurangkan penggunaan lampu dan kuasa elektrik bagi mengurangkan kepanasan bumi. Iya, bumi sudah semakin panas membuatkan manusia semakin ganas.

Namun, dalam post ini saya tidak bermaksud untuk menulis tentang kempen Earth Hour ataupun pemanasan global mahupun keganasan manusia. Dalam post ini saya sekadar ingin menyiarkan sebuah sajak yang saya tulis diilhamkan oleh manusia yang mula-mula mencipta lampu elektrik. Manusia pintar dan cekal itu adalah Thomas Alva Edison. Seorang manusia yang optimis bahawa kejayaan sentiasa menunggu pada percubaan seterusnya. Dapat kita bayangkan andai manusia pintar ini mudah berputus asa. Mungkin pada hari ini kita tidak ada lampu elektrik.

Setiap kali gagal dia percaya kejayaan menantinya pada percubaan seterusnya. Percubaan seterusnya dia gagal lagi, dia percaya kejayaan menunggu pada percubaan seterusnya lagi. Bukan sekali dua kali. Bukan seratus dua ratus kali tetapi lebih seribu kali.

Photobucket

“I have not failed. I’ve just found 10000 ways that won’t work” 
(Thomas A. Edison)

Maka diri, bangkitlah sebagai wira.

Di sini bukan tempat untuk menjadi sempurna;
di sini tempatnya orang yang penuh kreativiti dan motivasi.

Di sini bukan tempat untuk orang yang manja;
di sini tempatnya orang yang berani dan kuat hati.

Di sini bukan tempat untuk orang yang tidak pernah gagal;
di sini adalah tempatnya orang yang tidak pernah gagal dalam bertahan...

di sini, di dunia ini,
kehidupan menjadi bererti
bagi orang yang tidak pernah
putus asa memperbaiki diri

di sini, di dunia ini,
kehidupan malamnya disinari oleh hasil ketabahan
'dia' yang telah berjaya bertahan melalui
kegagalan lebih seribu kali.

dia yang mengatakan:

"saya tidak gagal,
saya hanya melalui seribu jalan yang salah"

..dan dia tidak mengalah.


(Bintulu, 23 Oktober 2009; 20:33)


Hak Cipta Terpelihara. 
Norudin Draman a.k.a. UstazCahaya

25/03/2010

DRIFT! Tepat, mahir dan laju (Cara kerja yang cepat dengan hasil yang hebat..)


DRIFT! Tepat, mahir dan laju
(Cara kerja yang cepat dengan hasil yang hebat..)






-Image By awinmawapp-

(Kanak-kanak dalam gambar di atas sedang men'drift'kan basikalnya)



Bolehkah malam ini saya menulis tentang drift? Iya drift. Sukan kereta yang mengujakan dan diminati ramai. Kereta dipandu laju dan kelihatan seperti hilang kawalan. Jangan tidak tahu, nama Malaysia popular juga di arena sukan drift antarabangsa. Dan jangan tidak tahu juga, saya sendiri adalah antara pemain drift kategori ketiga; apa itu? Baca selanjutnya untuk tahu..;-)

Antara sebab saya bercuti dari menulis blog ini seminggu yang lalu ialah bagi menumpukan perhatian kepada satu dua projek yang menghampiri dateline. Saya bekerja dengan tekun, fokus dan laju. Saya benar-benar bekerja seperti ahli sukan drift sekarang. Mungkin pepatah sehari selembar benang tidak sesuai untuk saya sekarang kerana saya menenun bergulung-gulung benang sehari eh;-) hehe..

Bagi saya, sudah tiba masanya kita tidak mempersoalkan tentang laju atau perlahan. Tidak semestinya lambat itu bererti tenang dan sabar, sebaliknya pula tidak bererti cepat dan pantas itu gopoh dan tidak sabar. Ada orang yang melakukan kerja dengan perlahan sebenarnya kerana malas dan tiada semangat. Orang yang bersemangat dan rajin boleh melakukan kerjanya dengan laju dan cepat kerana dia mahir dan  teruja dengan apa yang dilakukannya. Mungkin ada yang setuju pasti ada juga yang tidak bersetuju.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang sukan drift. Sukan drift kereta sangat berkaitan dengan gaya kerja saya sekarang. Saya bekerja dengan laju, tapi masih dalam ketenangan, fokus dan kesabaran. Itulah yang diperlukan untuk sukan drift.. tenang, fokus dan sabar tapi mesti pandu laju. Jika kereta tidak dipandu laju, memang drift tidak jadi punye bro;-) hehe, sorry guna bahasa ala-ala orang muda begitu - memang saya masih muda ;D

Ini sebenarnya soal kemahiran. Kemahiran yang boleh dilatih. Drift memerlukan ketenangan, fokus dan kesabaran. Tenang dalam pemanduan ketika hendak drift, fokus pada bagaimana kereta akan drift dan akhir sekali, sabar menunggu masa dan tempat sepatutnya untuk drift. Ia juga berkaitan dengan sabar bila untuk pijak clucth, lepaskan ia dan bila boleh drift hanya dengan menukar gear. Namun apa yang lebih mencabar ialah, kereta mesti dipandu laju baru dapat drift. Kalau slow memang tak jadi punya.

Anda pernah drift? Saya pernah, iaitu dalam game, hehe. Sebenarnya sukan drift ini ada tiga kategori:
  1. Real punya. Main dengan kereta yang sudah diubahsuai dan diset untuk drift. Dengan belanja yang mencecah puluhan ribu malah sehingga beratus riban, kata bahasa mereka. Untuk kategori pertama ini, saya belum mampu;-)

  2. Kereta Remote a.k.a. kereta mainan kawalan jauh. Semua pemain drift dalam kategori 1 mesti termasuk dalam kategori ini tetapi tidak semua dalam kategori ini termasuk dalam kategori 1. Kategori ini lebih ekonomi. Cuma perlukan belanja yang ribu-ribu sahaja. (Ribu-ribu sahaja? Heh, tak sayang duit..). Pernah juga saya nak masuk dalam kategori ini, tapi tidak jadi kerana saya ini masih dalam jenis orang yang anggap duit seribu dua itu sebagai sangatlah banyak.

  3. Main Game. Ini kategori saya. Orang dalam kategori 1 dan 2 wajib masuk dalam kategori ini tetapi orang dalam kategori ini belum tentu masuk dalam dua kategori di atas.
Semuanya dalam kelajuan. Tenang, fokus dan sabar dalam kelajuan. Ini pengalaman saya main drift.. Main drift dalam game NFS Carbon dan D1 Champhionship;-) Hehe, jangan mare ye. Antara kedua-dua game tersebut, D1 yang paling mencabar. Ia seperti real. Kena jaga clucth, gear, h-brake dan lain sebagainya.

Hanya yang mahir dapat drift. Begitu juga untuk berjaya dalam hidup, pada zaman seperti sekarang, antara kreteria mereka yang berjaya yang saya perhatikan ialah, mereka dapat bertenang, fokus, dan sabar dalam apa yang mereka lakukan, dan untuk berjaya mereka perlu melakukannya dengan cepat!

Tenang, fokus dan sabar tapi mesti melakukannya dengan cepat dan tepat!
Masanya saya berkerja seperti Raja Drif....


Ini sebenarnya soal kemahiran. Kemahiran yang boleh dilatih. Anda kenal Tengku Djan?  Tengku Djan adalah Raja Drift Malaysia yang juga terkenal sampai ke Jepun sana dalam sukan drift. Jika anda tidak kenal Tengku Djan dan tidak tahu apa itu drift, di bawah saya siarkan gambar Tengku Djan dan video drift beliau.

TENGKU DJAN LEE TENGKU MAHALIL


Tengku Djan



Tengku Djan sedang men'drift'...




24/03/2010

Kembali Bersiaran (Terima kasih kepada Yang-11)


Kembali Bersiaran
(Terima kasih kepada Yang-11)



(Image By jhlovesmusic)

Salam semua. Alhamdulillah, bermula malam ini saya kembali menulis di blog ini seperti biasa, iaitu 'Satu Post Satu Hari'. Habis sudah masa bercuti seminggu seperti yang saya umumkan baru-baru ini. Sebenarnya, saya mempunyai alasan yang kuat untuk meneruskan cuti ini sehingga hari Ahad 29 Mac 2010, tetapi saya tidak mahu mengambil keputusan itu. Cukuplah cuti seminggu yang sudah berlalu. Sebagaimana dijanjikan, blog ini kembali bersiaran seperti biasa pada malam ini.

Dari segi trafik, nampak kejatuhan ketara dalam jumlah trafik harian ketika blog ini bercuti. Ada tidak ada pun cuma trafik yang datang dari enjin carian. Syukur ada beberapa post blog ini yang dapat menarik trafik dari enjin pencari.



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada 11 orang rakan-rakan blogger di bawah, kerana mengucapkan selamat bercuti dan memberi respon pada post yang mengumumkan percutian saya.

Afida Anuar

Abd Razak

ari

umi_e

maiyah

yati

Fid

Mama Tanjong

Tokwan

sya

temp. housewife


Insya Allah, saya akan 'qada' post pada hari -hari saya bercuti. Bukan apa-apa, cuma untuk mengekalkan 'trademark' blog ini sebagai Daily Blog.

Klip video lagu Kembali Pulang di bawah ini adalah antara video kegemaran saya. Walaupun lagunya lentok, tapi videonya lucu;-) Lagi yang menarik tentang Kangen Band ini ialah pada vokalis wanita mereka yang bertudung dan bak kata adik perempuan saya, Kangan Band ini ngetop bukan kerana rupa yang hensem. Mungkin kerana mereka yang tidak control hemsem, ramai juga sepupu-sepapat saya yang lelaki juga menggemari band Indon yang satu ini, termasuk saya;D


KANGEN BAND - Kembali Pulang (dengan lirik)





bintang terlihat terang
saat dirimu datang
cinta yang dulu hilang
kini kembali pulang

lihatlah dia mulai bernyanyi
coba merangkai mimpi
cinta yang dulu pergi
kini datang kembali

wajahmu mengingatku
dengan kekasihku dulu
wajahmu mengingatkan
dengan masa laluku

reff:
kekasih yang dulu hilang
kini dia tlah kembali pulang
akan ku bawa dia terbang
damai bersama bintang

kekasih yang dulu hilang
kini dia tlah kembali pulang
betapa senang ku dendangkan
dan takkan ku lepaskan

wajahmu mengingatkanku
dengan kekasihku dulu
wajahmu mengingatkanku
dengan masa laluku



17/03/2010

Saya bercuti ya;-)


Saya bercuti ya;-)



Blog ini bercuti dari 17.03.2010 - 23.03.2010

Ehem. Lama juga saya berfikir untuk mengambil keputusan ini. Akhirnya, saya mengambil keputusan ini juga. Iya, saya ingin bercuti dari blog ini selama beberapa hari bermula hari ini. Blog ini akan ditulis seperti biasa iaitu satu post sehari bermula hari Rabu 24 Mac 2010.

Saya tidak ke mana-mana. Masih di sini juga. Hanya bercuti dari menulis di blog ini untuk menumpukan perhatian kepada beberapa perkara yang menuntut perhatian sewajarnya. Disamping sememangnya saya memerlukan cuti rehat ini;-)

Doakan semoga saya dapat menikmati cuti saya ini dengan baik dan semoga saya dapat memanfaatkan cuti ini dengan sewajarnya. Sehingga saya kembali selepas bercuti nanti. Saya mendoakan anda dan keluarga sentiasa dikasihi dan di sayangi Allah. Amin;-)





SCORPIANS - HOLIDAY




Music :rudolf schenker
Lyrics:klaus meine

Let me take you far away
You'd like a holiday
Let me take you far away
You'd like a holiday

Exchange the cold days for the sun
A good time and fun
Let me take you far away
You'd like a holiday

Let me take you far away
You'd like a holiday
Let me take you far away
You'd like a holiday

Exchange your troubles for some love
Wherever you are
Let me take you far away
You'd like a holiday

Longing for the sun you will come
To the island without name
Longing for the sun be welcome
On the island many miles away from home
Be welcome on the island without name
Longing for the sun you will come
To the island many miles away from home



16/03/2010

Penulisan negatif racuni minda pembaca


Penulisan negatif racuni minda pembaca


(Image By Artworksis)
-Use without commercial purpose-

Beberapa hari ini, dalam akhbar saya membaca kisah penangkapan beberapa orang artis ditangkap polis berkaitan kegiatan jenayah. Minggu lepas, Sammy vokalis kumpulan Kerispatih di Indonesia yang boleh dikatakan popular juga di Malaysia ditangkap jabatan narkotik di sana ketika mengambil syabu. Awal minggu ini negara kita menyaksikan penangkapan Benji juga berkaitan dadah. Selain itu, penangkapan gitaris Ekamatra yang mencuba memecah masuk sebuah rumah dengan bungkusan dadah dalam seluarnya.

Beberapa minggu yang lalu, negara agak dikejutkan dengan kenyataan pelakon dan pengacara terkenal Wardina; yang berpendirian bahawa golongan artis tidak boleh dijadikan ikon. Kenyataan Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot mengenai artis Malaysia tidak boleh dijadikan ikon ketika menjadi panel program bual bicara di pusat beli belah KB Mall, Kota Bharu, Kelantan mengundang perhatian penggiat seni tanah air.

Ada yang kurang setuju dengan kenyataan berani pelakon dan pengacara TV popular itu yang disifatkan beremosi dan tidak kurang memberi sokongan kerana menganggapnya teguran yang baik.

Pendapat saya lebih sederhana kerana saya tidak merasakan saya lebih baik daripada mereka. Saya belum tahu lagi jika saya berada dalam kedudukan mereka. Apakah saya boleh menjadi baik atau sebaliknya? Apapun, sejujurnya saya secara peribadi merasakan masih ada artis kita yang boleh dijadikan ikon. Cuma, terma 'artis' itu sendiri perlu diluaskan terlebih dahulu.

Bercakap tentang artis, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada membicangkan tentang majalah dan akhbar. Bercakap tentang akhbar dan majalah, kita sebenarnya bercakap tentang penulisan. Penulisan berkaitan dengan pembacaan. Akhirnya, pembacaan adalah antara acuan yang membentuk masyarakat.

Susah mencari majalah dan akhbar yang tidak mengandungi gambar atau berita tentang penyanyi dan pelakon. Setidak-tidaknya sebagai model iklan atau duta produk. Sedangkan kita tahu  antara nadi utama sebuah majalah dan akhbar adalah iklan.

Bagaimanapun, antara persoalan yang selalu bermain di fikiran saya ialah, kenapa jika artis berlainan jantina bergambar mesti dalam pose yang sangat intim dan mesra. Berpegangan dan berpelukan. Ada yang suami dan isteri orang bergambar bersama rakan artis yang lain. Mestikah bergambar begitu?


Nik Salida Suhaila Nik Saleh
(BERITA HARIAN - Khamis 11 Mac 2010/ AGAMA/ 31)

Antara perosak yang memusnahkan sahsiah individu hari ini ialah tulisan. Dalam dunia tanpa sempadan, tiada apa yang memisahkan sesiapa sahaja daripada mendapat maklumat.

Kebanjiran buku dan majalah di pasaran yang tidak memaparkan nilai murni bagaikan menjadi 'petua' untuk meruntuhkan sosial dan akhlak remaja masa kini. Novel asmara pula menggunakan bahasa dan plot cerita yang melampaui batas untuk menyampaikan maksud yang sepatutnya boleh difahami tanpa perincian keterlaluan.

Ia tidak termasuk majalah hiburan yang langsung tidak membina sahsiah sebaliknya menjadi halwa mata yang mengkhayalkan pembaca. Malah, lebih parah dengan kemudahan internet yang menyediakan segala jenis bacaan tanpa mengambil kira kesan buruk kepada dunia dan isinya.



15/03/2010

Apa yang perlu anda tahu mengenai pembuangan bayi


Apa yang perlu anda tahu
mengenai pembuangan bayi






Selamat bercuti saya ucapkan kepada saudara para pendidik. Kepada saudara yang lain, selamat berhibur bersama anak-anak pada musim cuti sekolah ini. Sepatutnya malam ini saya siarkan artikel berkaitan perkahwinan bawah umur, namun kerana artikel tersebut belum memuaskan hati saya sendiri, maka saya tangguhkan dulu. Insya Allah tidak esok lusa kita akan membincangkan isu tersebut.

Hari ini dalam berita tv disiarkan lagi kisah penemuan mayat bayi yang dibuang. Astaghfirullah. Nampaknya negara kita sejak awal tahun sehingga ke hari ini masih dilanda ombak berita-berita mengejutkan yang berkaitan bayi dan kanak-kanak.




Apa yang perlu anda tahu mengenai pembuangan bayi

Pembuangan bayi adalah satu jenayah. Ia terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi akibat mereka terdesak, malu dan takut akibat yang bakal ditanggung.

PUNCA
  • Kehamilan tidak diingini.
  • perhubungan seks rambang dan luar nikah.

KESAN

Sudut perubatan:

  • Kadar kematian bayi lebih tinggi disebabkan penjagaan kesihatan yang tidak sempurna.
  • Kesihatan ibu terjejas akibat kehilangan darah; jangkitan kuman; kecederaan sewaktu bersalin; psikologi dan sosial.
Sudut psikologi dan sosial:
  • Murung
  • Hilang keyakinan diri
  • Rasa bersalah
  • resah gelisah
  • Masalah emosi dan perhubungan interpersonal

Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.

Putus hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan

BAGAIMANA BENDUNG PEMBUANGAN BAYI?

Elak kehamilan jika:
  • belum berkahwin.
  • belum bersedia membesarkan anak.
  • belum bersedia membina keluarga.

Elakkan seks sebelum kahwin:
  • Anda bertanggungjawab terhadap hidup anda sendiri.
  • Lindungi kesihatan dan emosi anda tanpa seks sebelum kahwin.
  • Jika pasangan benar-benar menyanyangi dan menghormati anda, dia tidak akan meminta seks sebelum kahwin.
  • Selalu tanam dalam fikiran, badan anda adalah tanggungjawab anda, justeru jagalah badan anda dengan baik.
  • Elakkan membaca atau menonton bahan-bahan lucah.
  • Babitkan diri dalam kegiatan berfaedah seperti sukan, bersenam, aktiviti kebudayaan dan kerja-kerja sukarela.

Sekiranya sudah melakukan hubungan seks sebelum kahwin:
  • Fikirkan kesan dan akibatnya dengan teliti dan mendalam.
  • Dapatkan bantuan jika anda hamil.
  • Anda boleh mengatur supaya bayi anda dijadikan anak angkat.

Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan:
  • Terdapat pelbagai agensi yang dapat membantu anda.
  • Pastikan anda tahu mengenai implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.
Di mana anda boleh mendapatkan bantuan jika anda hamil?
  • Ibu bapa sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka.
  • Kaunselor sekolah.
  • Guru sekolah.
  • Doktor atau anggota kesihatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.
  • Pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat berdekatan.

Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi:

Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) - Akta 611:

  • Seksyen 17 - Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga.
  • Seksyen 46 - Ibubapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihta mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah.

Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:
  • Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun.

(SUMBER: Berita Harian- Jumaat 12 Mac 2010/ RATU/ 24)



14/03/2010

Kahwin Bawah Umur Tidak Sah


Kahwin Bawah Umur Tidak Sah



(Gambar oleh jahitanrampaiseri)
-Digunakan di sini tanpa tujuan komersil-


Selepas maghrib malam tadi saya dan adik lelaki ke gerai berger Pak Chem. Pak Chem adalah sepupu ibu saya. Dia adalah seorang usahawan sepenuh masa dan sekarang sudah memiliki tiga cawangan gerai berger di sekitar Bintulu. Sementara menunggu isyak, saya dan adik lelaki menikmati berger di luar depan rumah.

Adik lelaki saya baru habis kursus kimpalan di sebuah institusi latihan. Namun, dia sering berbual soal agama dengan saya terutama tentang jamaah tabligh. Perbincangan kami tadi fokus kepada masalah jamaah tabligh yang menikahkan anak berusia 10 dan 11 tahun berlaku di Kelatan. Isu yang sedang heboh ketika ini.

Antara lain saya menegaskan kepada adik lelaki saya itu bahaya berpegang kepada hadith dhaif  seperti yang banyak berlaku dalam jamaah tabligh. Adik pula menambah, tidak berapa lama ahulu ada ustaz berceramah di tempat dia belajar, dan ustaz itu menegur jamaah tabligh yang meletakkan ganjaran bidadari untuk setiap amalan mereka. Menurut adik ada kawan lain juga pernah menegur tantang bidadari yang popular dalam jamaah tabligh. Kata kawan adik saya itu, apakah mereka ingat bidadari itu 'pelacur' dan umat Islam ini adalah pelanggan yang kegersangan; dari perbuatan mereka yang meletakkan ganjaran bidadari bagi setiap apa yang mereka lakukan.

Berkenaan perkahwinan bawah umur, adik saya bertanyakan pendapat saya. Ia juga berkaitan dengan pendapat Tuan Guru Nik Aziz yang mengecam perbuatan nikah bawah umur itu. Cuma adik mempersoalakan tentang benarkah perkahwinan bawah umur ini sah di segi syarak? Bukankah itu nanti akan menjadi fitnah kepada umat Islam.



Berikut ialah apa yang saya terangkan kepada adik saya malam tadi, sambil kami makan berger dan menanti waktu isya..

Kahwin bawah umur tidak sah dari segi undang-undang syariah dan dalam Islam. Mudahnya, setiap ibadah syarat sahnya adalah akil baligh. Beza dengan solat dan puasa, kanak-kanak yang belum baligh boleh melakukannya sebagai latihan. Tapi tidak untuk ibadah besar seperti nikah.

Jika dikatakan ia tidak sah dari segi undang-undang syariah tapi sah di segi syarak, itu satu kekeliruan yang boleh merumitkan masalah dan lebih teruk lagi itu boleh memburukkan nama Islam. Itu boleh menimbulkan fitnah kepada agama Islam. Musuh boleh mengatakan Islam melanggar hak kanak-kanak dan wanita. Malah hal ini boleh menjadi jarum yang mampu menggugat keimanan umat Islam sendiri.

Memang dalam setiap hal mesti ada percanggahan pendapat. Dalam hal nikah bawah umur ini juga begitu. Semua setuju ia tidak sah dari segi undang-undang syariah negara kita, tetapi dari segi hukum ada perbezaan; ada yang kata ia sah dari segi syarak atas hujah bahawa Rasulullah (SAw) menikahi Aisyah pada usia Aisyah 9 tahun. Ada juga golongan yang mengatakan ia tidak sah dari segi syarak.

Persoalannya sekarang ialah, apakah benar Rasulullah (SAW) menikahi Aisyah pada usia Aisyah 9 tahun? Jika benar, apakah itu hanya khusus untuk Rasulullah (SAW) sahaja seperti halnya Rasulullah (SAW) memiliki 10 orang isteri? Atau sebenarnya Rasulullah (SAW) tidak menikahi Aisyah pada usia kanak-kanak?


Saya dan adik tidak sempat untuk berbincang lebih panjang. Apapun, perbualan itu membuatkan saya merasa ilmu saya sangat cetek dan kurang. Mujur lawan bercakap adalah adik saya sendiri. Bagaimana jika kenalan di kalangan Cina Muslim yang bertanya, apakah jawapan saya yang cetek begitu boleh memuaskan mereka? Lebih lagi, bagaimana jika pendakyah Kristian yang menyerang saya dengan isu ini? Apakah saya mampu untuk memberikan jawapan yang tepat dan kuat kepada mereka?

Memikirkan itu semua, saya membuat rujukan tentang ini untuk mendapatkan hujah yang lebih baik dan kuat. Insya Allah pada post malam esok kita akan membincangkan isu ini. Saya juga mencuba mengumpul beberapa bukti untuk menolak bahawa menikahi kanak-kanak adalah sunnah. Juga, menolak bahawa pernikahan dengan kanak-kanak sah di segi syarak.

PS: Susah juga nak pilih gambar pelamin untuk menghiasi post ini..
Ehem ehem :-)

13/03/2010

Simpan RM500, tinggal RM2


Simpan RM500, tinggal RM2






Seorang pengawal keselamatan (Mohd. Sukri Hussein, 37) terkejut apabila mendapati jumlah wang simpanan dalam akaun bank yang sepatutnya berbaki RM500 hanya tinggal RM2 baru-baru ini. Kejadian disedari ketika dia ingin mengeluarkan wang menerusi juruwang automatik (ATM) di sebuah cawangan bank itu di Taman Maluri, Cheras, kelmarin.

Tiga hari sebelum itu, mangsa mendakwa dia telah memasukkan wang tunai berjumlah RM500 iaitu sebahagian daripada duit gajinya ke dalam akaun menerusi mesin deposit di cawangan bank yang sama.

Selepas menyedari kehilangan wang simpanannya, dia segera membuat laporan rasmi kepada pegawai bank wanita di pejabat bank itu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

"Selepas dibuat semakan, pegawai itu memaklumkan bahawa wang saya telah dikeluarkan menerusi transaksi perbankan internet. Malangnya, pihak bank tidak dapat mengenal pasti ke mana dan oleh siapa wang itu disalurkan"

"Saya hairan mengapa wang simpanan saya boleh hilang sedangkan saya tidak pernah mengaktifkan atau memiliki akaun perbankan internet"

Lebih mengecewakan Mohd. sukri, pegawai bank itu turut mengaku bahawa ini bukan insiden pertama dan pernah berlaku beberapa kes hampir sama sebelum ini.

"Pegawai bank itu juga memberitahu saya bahawa wang simpanan saya tidak dapat dikembalikan dan mereka juga tidak mampu berbuat apa-apa"

"Saya amat marah kerana pihak bank seolah-olah lepas tangan. Walaupun hanya RM500, tetapi wang itu adalah hasil titik peluh dan rezeki halal dan ia lesap begitu sahaja".

UTUSAN MALAYSIA - Khamis 11 Mac 2010/ muka 14



Begitulah yang saya baca dalam akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu. Saya tidak terkejut membaca kisah ini, cuma saya kasihan kepada mangsa. Namun, yang mengejutkan saya ialah kenyataan pihak bank tersebut yang sangat mengecewakan.

Kenyataan pegawai bank tersebut perlu diambil berat oleh kita. Berita ini membuatkan saya bertambah yakin dengan langkah keselamatan yang saya amalkan selama ini. Iaitu, saya tidak menyimpan wang yang banyak dalam akaun bank yang menyediakan perbankan online. Terutama akaun yang saya selalu gunakan untuk urusan perbankan internet.

Perhatikan kenyataan mangsa tentang jawapan pegawai bank dalam berita di atas:

"Pegawai bank itu juga memberitahu saya bahawa wang simpanan saya tidak dapat dikembalikan dan mereka juga tidak mampu berbuat apa-apa"

Bayangkanlah jika penjenayah tersebut juga membaca akhbar yang sama. Agaknya, apa pula yang penjenayah itu rasakan ek? Saya pasti penjenayah yang bertanggungjawab akan merasa lega dan selamat. Juga mereka mendapat 'kemenangan'. Mereka tidak akan takut untuk meneruskan jenayah ini lagi. Iyalah, sudah 'pihak bank tidak dapat buat apa-apa'.

Suka saya mengingatkan diri saya dan saudara semua, pegawai bank dalam berita di atas juga mengaku bahawa ini bukan kes pertama.

12/03/2010

Impian saya untuk memiliki zuriat (Dua minggu penuh cerita menzalimi kanak-kanak...)


Impian saya untuk memiliki zuriat
(Dua minggu penuh cerita
menzalimi kanak-kanak...)






Sejak dua minggu lalu, kisah demi kisah kezaliman terhadap kanak-kanak menjadi berita dan isu di negara kita. Bermula dengan kematian tragis adik Syafia Humaira. Diikuti kematian ngeri adik Hagesveran. Ditambah kes membuang bayi yang seakan tidak akan berhenti.

Minggu ini, negara dikejutkan lagi oleh tindakan seorang ayah menikahkan dua orang anak perempuannya yang masih bersekolah rendah dengan ahli jemaah yang disertainya. Difahamkan jemaah itu adalah jamaah tabligh.

Malam ini saya tidak bermaksud untuk mengupas tentang ketiga-tiga kes di atas. Pada malam ini saya hanya ingin berkongsi dengan anda, impian tertinggi saya pada masa ini, iaitu untuk memiliki anak. Anak yang boleh dididik untuk menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan saya sesudah saya mati kelak.


 "Pada malam ini saya hanya ingin berkongsi dengan anda,
impian tertinggi saya pada masa ini,
iaitu untuk memiliki anak.
Anak yang boleh dididik untuk menjadi anak yang soleh
yang akan mendoakan saya sesudah saya mati kelak"



Anak adalah anugerah Allah yang tidak semua orang mendapatnya. Beberapa orang kawan saya yang sudah berkahwin lebih tiga tahun masih belum mendapat anak. Maka berusaha dan berikhtiarlah kawan-kawan itu dengan pelbagai cara. Saya membantu dan berdoa selama ikhtiar itu betul pada agama.

Itu kisah kawan dan saudara yang sudah berumah tangga. Inikan saya yang masih belum bertemu jodoh. Masa berlalu, umur semakin meningkat. Kadang hati cemburu melihat rakan mahupun sepupu yang sudah memiliki anak.

Ini membuatkan saya kesal dan kecewa dengan kes membuang anak dan mendera serta mensia-siakan anak. Jika tidak mahu anak itu, silakan beri kepada yang mahu. Jika benar tidak bersedia untuk mendapat anak jangan buat anak. Buatlah kamu dosa apa yang nafsu mahu. Jangan sampai mendapat anak kemudian anak itu dibunuh atau dipersia-siakan. Itulah ayat kurang manis yang bergema di hati saya setiap melihat kezaliman kepada anak.





Photobucket

“Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara:
Sedekah jariah ataupun ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya”

(Hadith Shahih Riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam mengajar kepada umatnya untuk menerima anak sebagai amanah bukan sebagai milik mutlak. Semua orang suka dan mahu kepada kekayaan, ilmu dan anak kerana tiga perkara ini memberi kesenangan dan kelazatan dalam hidup.

Islam sebagai agama untuk manusia daripada Tuhan yang menciptakan manusia; Islam adalah sebuah agama yang tidak melawan fitrah semulajadi manusia. Manusia cinta kepada kekayaan, ilmu dan zuriat sehingga mereka takut mati kerana belum berasa puas untuk menikmati ketiga-tiganya. Bagaimanapun manusia tetap akur bahawa mereka tidak akan hidup selama-lamanya. Satu masa, ketiga-tiga nikmat itu akan berakhir. Namun, daripada lidah Rasulullah (SAW) menyampaikan khabar gembira kepada umat Islam bahawa mereka masih boleh menikmati ketiga-tiga nikmat yang mereka cintai itu seperti yang disebutkan dalam hadith di atas.

Kekayaan, ilmu dan anak adalah nikmat Allah yang berupa amanah yang dipinjamkan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Semua manusia wajib berusaha untuk meraih wang ringgit, harta, ilmu dan anak; namun jangan lupa bahawa segalanya itu harus digunakan seperti dihendaki Allah sebagai lambang bersyukur kepada Allah yang telah memilih kita untuk memiliki semua itu.

Lebih dari itu, atas kasih sayang Allah; wang ringgit, harta benda, ilmu dan anak yang diamanahkan kepada kita, sekiranya digunakan dengan betul dan tepat seperti yang dikehendaki Allah (SWT), nikmatnya akan kita perolehi dalam jangka masa yang panjang sehingga ke hari akhir sekalipun kita sudah meninggal dunia.

Jika mahu kekayaan, ilmu dan zuriat keturunan masih dirasai nikmatnya sesudah mati, pergunakanlah segala nikmat itu dengan cara yang betul dan tepat. Anggaplah ia sebagai amanah yang mesti dijaga, ingatlah untuk bersyukur dan perbanyakkan memberi dan berkongsi nikmat yang diperolehi dengan sesama manusia… Insya Allah.. ketiga-tiga nikmat itu akan tetap dinikmati sesudah mati. Wallahu‟alam.

Anak-anak adalah amanah Allah. Mereka perlu dididik untuk Allah. Mereka perlu dididik untuk mengenal, mencintai dan mentaati Allah. Mereka perlu dididik supaya menjadi hamba Allah yang menjadi khalifah di muka bumi. Mereka perlu dididik untuk menjadi khalifah.

Insya Allah, jika ini yang dilakukan anak-anak akan menjadi orang-orang soleh yang berakhlak danberjasa. Orang yang beriman dan bertaqwa sudah tentu akan berkhidmat kepada Tuhannya dan sesama manusia, lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua ibu dan ayah mereka.

Anak-anak yang soleh yang akan terus berdoa dan memohon keampunan untuk ibu bapanya pada masa ibubapa tidak lagi mampu untuk berdoa dan memohon keampunan. Beruntunglah orang yang dianugerahkan Allah dengan anak yang soleh kerana setelah nafas terhenti sekalipun masih mampu untuk berdoa dan memohon keampunan.

Semoga kita menjadi anak yang soleh dan dikurniakan anak yang soleh juga. Amin Ya Rabb Al-alamin.

11/03/2010

11 tahun yang lalu...


11 tahun yang lalu...




Saya ingat lagi kira-kira 11 tahun yang lalu iaitu pada 1 April  1999. Pada hari itu, keputusan SPM tahun 1998 diumumkan. Saya masih seorang remaja pada waktu itu, sama seperti adik-adik yang memperoleh keputusan SPM hari ini.

Saya menduduki SPM pada tahun 1998. Tahun 1998 adalah tahun yang 'bermakna' bagi saya kerana itu adalah tahun terakhir saya bergelar pelajar sekolah. Oleh kerana bermaknanya tahun 1998, nombor telefon bimbit saya ialah 01x-xxx 1998.

Selepas peperiksaan SPM, saya bekerja di sebuah stesen minyak jenama SHELL. Tidak lama saya bekerja di stesen minyak, ada sebulan sahaja. Saya mendapat peluang menjadi guru di Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU); sebuah sekolah agama rakyat di Bintulu. Menjadi Guru MADU, secara automatik saya menjadi GURU KAFA di SK Orang Kaya Mohammad Bintulu. Sehingga kini, Guru KAFA di SK OKM terdiri daripada guru-guru MADU.

Pada waktu itu, saya mengajar di MADU pada waktu petang jam 2.00 hingga 5.00. Mengajar KAFA pada hari Sabtu jam 7.00 pagi - 12.00 tengah hari. Pada hari Isnin hingga Jumaat pada waktu pagi, saya menjual berger bersama kawan sebaya saya yang sama-sama menunggu keputusan SPM yang bernama Ejam. Kebetulan SK Bintulu yang letaknya betul-betul di depan rumah Ejam baru beroperasi jadi sekolah itu belum ada kantin. Kami mengambil kesempatan itu untuk berniaga berger kepada pelajar sekolah. Kencang juga perniagaan kami pada waktu itu.

Ingat lagi kisah gadis pilihan ibu saya yang bernama S yang pernah saya ceritakan belum berapa lama dahulu? Anda boleh KLIK SINI untuk membacanya jika belum atau lupa. Pada tahun 1999 itu, pada waktu malam saya mengusahakan kelas tuisyen disamping mengajar mengaji juga. Kelas tuisyen itu saya usahakan bersama beberapa orang kawan termasuk S dan abangnya.

Berbalik kepada kisah pada hari saya mengambil keputusan SPM saya lebih kurang 11 tahun yang lalu..

Saya ke sekolah bersama Ejam dan beberapa orang kawan. Dasar anak muda, kami bercuti jual berger hari itu. Mengajar di MADU juga saya minta cuti. Hehe;-)

Saya mendapat Pangkat 1 yang boleh dikira cukup-cukup makan. Sehingga setahun selepas mendapat keputusan SPM, saya masih 'mahu mengumpul duit'. Kemudian saya ke Pusat Latihan Dakwah milik HIKMAH (sebuah NGO Islam di Sarawak) kemudian menuntut dalam Diploma Pengajian Islam dan Dakwah, di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS)- sebuah institusi pengajian Islam di milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Alhamdulillah, malam ini saya bersyukur. Sekurang-kurangnya, mengenang kehidupan saya selepas SPM, saya tidak malu dengan diri sendiri dan adik-adik. Saya tidak membuang masa. Saya mengajar dan berjualan berger. Kawan saya Ejam masih mengusahakan sebuah gerai berger kini walaupun dia bekerja di UPM Kampus Bintulu. Saya juga bercadang untuk membuka sebuah gerai berger di tepi rumah. Seperti Ejam dan pak cik saya, gerai itu boleh diamanahkan kepada pekerja. Sekurang-kurangnya boleh membantu memberi peluang pekerjaan kepada saudara-mara atau kenalan yang suka 'berjaga' malam.



Saya mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang mendapat keputusan SPM yang baik dan memuaskan. Semoga keputusan SPM yang baik itu menjadi permulaan kepada yang lebih baik. Semoga adik-adik menjadi individu yang bermanfaat kepada agama pada masa akan datang.

Kepada adik-adik yang mungkin kecewa. Bangkitlah daripada kegagalan menuju kejayaan yang lebih gemilang. Ambillah peperiksaan ulangan. Hanya perlu tunggu setahun lagi.

Kepada adik-adik yang tidak kesah dengan SPM. Jika kamu sememangnya ada faktor yang munasabah untuk itu, silakan. Mungkin keluarga menuntut kamu untuk bekerja. Mungkin hidup kamu tidak sebaik rakan yang lain. Namun, suka saya ingatkan, jangan biarkan hidup kamu terus begitu. Buatlah sesuatu agar kehidupan kamu berubah. Semoga adik-adik kamu dan anak-anak kamu nanti tidak menghadapi masalah yang sama.

Kepada para pendidik dan pihak berkenaan. Semoga tahun ini ada perubahan. Jangan hanya memberi perhatian kepada murid yang berjaya. Perhatian lebih sepatutnya diberi kepada murid yang gagal dan tewas juga. Walau mungkin ada pelajar yang gagal itu memang bermasalah, tapi mereka lah penentu masa depan negara dan umat kita.

Kita perlu buat sesuatu..


10/03/2010

Suami yang tewas dengan bekas isteri.. (Tentang Avatar dan The Hurt Locker)


Suami yang tewas dengan bekas isteri..
(Tentang Avatar dan The Hurt Locker)



Sebagaimana yang ramai sedia maklum, malam tadi adalah malam Anugerah Oscar 2010. Juga, tentu ramai sedia maklum akan perebutan takhta antara Avatar dan The Hurt Locker. Sebenarnya, bukanlah pertandingan sengit antara dua buah filem itu yang menarik, apa yang lebih menarik ialah pengarah kedua-dua filem itu adalah bekas suami isteri.

Kenyataan bahawa Kathryn Bigelow dan James Cameron adalah bekas suami isteri yang merebut takhta pengarah terbaik dan filem terbaik di Oscar adalah batu loncatan kepada pertandingan dua buah filem itu. Bagaimanapun, realitinya di hati saya, tentu Avatar adalah yang pilihan saya.

Saya sendiri lebih kepada Avatar daripada The Hurt Locker. Kebiasaan saya, saya memberi masa kepada sesebuah filem selama 20-30 minit untuk menarik perhatian saya. Sekiranya filem itu tidak berjaya menarik minat saya, maka saya akan berhenti menonton. Begitulah, saya tidak habis menonton The Hurt Locker hingga ke 30 minit terawal. Faktor lain ialah, filem The Hurt Locker itu mengangkat 'keperwiraan' mereka. Sedangkan kita semua sedia maklum akan realiti yang berlaku kepada saudara seagama kita di sana.



Berbeza dengan Avatar. Iya mungkin juga kerana selera menonton saya yang lebih suka kepada kisah fantasi dan berbentuk animasi begitu. Selain itu, Avatar mengangkat karektor hero yang 'lumpuh' setengah badan. Itu adalah batu loncatan filem Avatar bagi saya secara peribadi. Avatar menghiburkan dan memotivasikan saya. Ia juga cuba memujuk dunia, bahawa di kalangan 'mereka' masih ada manusia baik hati seperti watak Jack Sully itu.



THE HURT LOCKER









Filem ini meraih hadiah filem terbaik. Juga, melalui filem ini Kathryn Bigelow memenangi anugerah pengarah terbaik Oscar 2010 sekaligus menjadi pengarah wanita pertama meraih takhta tersebut.

PANAS!!

Seorang sarjan tentera Amerika Syarikat (AS) bernama Sarjan Master Jeffrey S. Sarver , 38, memfailkan tuntutan mahkamah dengan dakwaan pembuat filem  The Hurt Locker menggunakan pengalaman cemasnya mematikan bom di Iraq ke dalam filem itu tanpa persetujuannya.





AVATAR









Filem terlaris dan terpelik abad ini. Filem yang saya suka menontonnya. Walaupun masih kurang dari segi jalan cerita, tapi saya suka dengan gambarnya. Juga, antara filem termahal abad.

PANAS!!

Seorang rakyat China sedang berusaha untuk mencari mahkamah di China yang bersedia untuk mengemukakan tuntutannya terhadap filem Avatar. Zhou Shaomou menuntut lapan peratus daripada keseluruhan hasil kutipan Avatar yang disiarkan di seluruh dunia kerana mendakwa Avatar diplagiat daripada novel yang dihasilkannya.

Kisah Avatar sama dengan novel yang ditulis Zhou Shaomou pada tahun 1997 bertajuk The Legend of The Clue Crow yang disiarkan di dua laman web segmen di China pada 1999.

NOVEL AVATAR BAKAL TERBIT

Selepas memukau jutaan penonton dengan 'Avatar', pengarah James Cameron akan membuat sambungan filem ini dengan menulis novel baru terlebih dahulu.

Perkara ini didedahkan oleh pengarah John Landau kepada MTV News.

"Ia bukan sekadar novel saja tetapi ada perbezaan ketara. Jim ingin menulis novel sehebat satu epik yang akan menceritakan banyak perkara," kata John kepada The New York Daily News.

Kata John lagi, semua penceritaan akan dimuatkan dalam filem baru. Ia akan diceritakan secara terperinci bagaimana karektor Sigourney mengajar di sekolah; keadaan Jack Sully di dunia dan kisahnya sebelum dia menjadi lumpuh, kematian abang Jack Sully, Tommy dan kisah Colonel Quaritch.

Novel ini sekaligus menyerlahkan bakat Cameron sebagai penulis novel dan ia dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

Andai benarlah apa yang dituntut oleh Sarjan Master Jeffrey S. Sarver dan Zhou Shaomou...

Erm... bagaimana ya?

09/03/2010

SAYA MEMERLUKAN BANTUAN ANDA


SAYA MEMERLUKAN BANTUAN ANDA








Boleh tolong ajarkan saya buat peraduan?


Saya merasakan sudah tiba masanya saya mengadakan pertandingan di blog ini. Mulanya saya ingin mengadakan pertandingan ini pada awal tahun lalu. Namun kerana blog ini dan saya sendiri belum bersedia, maka saya tangguhkan dulu.

Melalui post ini, saya ingin berbincang dengan anda tentang pertandingan yang bakal saya anjurkan ini.

Saya harap anda sudi memberi saya tunjuk ajar dan cadangan ya;-)


KONSEP ASAS PERTANDINGAN INI:


1. Pertandingan ini adalah pertandingan menulis ulasan (review) blog.

2. Setiap perserta perlu menulis 2 ULASAN blog:
2.1. Ulasan blog Jurnal Online UstazCahaya (yang perlu diterbitkan di blog peserta).

2.2. Ulasan blog peserta sendiri (yang akan disiarkan di blog ini).


Pertama, saya ingin mendengar pendapat anda tentang konsep pertandingan ini. Ok ke tak ok tugasan yang saya berikan ini?

Kedua, saya perlukan cadangan anda tentang kaedah pengadilan. Bagaimana perlu memilih pemenang? Melalui undian ke? Melalui pengadilan markah ke? Atau ada cara lain?

HADIAH:

Saya bercadang untuk memberikan HADIAH PENGHARGAAN kepada setiap peserta. HADIAH PENGHARGAAN berbentuk produk digital. HADIAH UTAMA disediakan kepada tempat pertama, kedua dan ketiga. HADIAH ISTIMEWA kepada referral terbanyak. Juga saya bercadang untuk menyediakan HADIAH MISTERI.



Bagaimana pandangan anda dengan hadiah yang saya sediakan ini? Ok ke tak ok ni?;-)

Jika sesiapa nak menjadi penaja hadiah untuk pertandingan ini, adalah sangat-sangat dialu-alukan. Hadiah boleh berbentul produk atau perkhidmatan. Sangat sesuai untuk anda yang ingin mempromosikan web jualan dan blog anda.

Setiap ulasan yang menyertai pertandingan ini akan saya wajibkan untuk menulis nama dan url penaja dalam ulasan mereka.

AJK PERTANDINGAN/ PENGANJUR BERSAMA:


Hehe, macam skema saja kan;-) Tapi macam mana pendapat anda jika sekiranya saya ingin menubuhkan AJK untuk pertandingan ini? Iya lah, perlu juga AJK ni kan. Untuk tolong jadi pengadil paling penting. Saya cadang begini. Siapa yang jadi AJK, mereka akan dinamakan sebagai penganjur bersama untuk peraduan ini. Ala-ala penaja jugalah.

Menjadi AJK dan PENGANJUR bersama ini juga cara yang baik untuk promosi blog dan perniagaan. Setiap ulasan yang menyertai pertandingan ini akan saya wajibkan untuk menulis nama dan url penaja dalam ulasan mereka.

Bagaimana ok ke tak ok ni?



Saya harap anda yang membaca ini sudi untuk memberikan saya cadangan, pendapat dan tunjuk ajar.

Al-maklum, saya belum pernah lagi menganjurkan pertandingan dalam blog seperti ini.

Sila beri tunjuk ajar ya. Terima kasih;-)