18/10/2010

Kita Kawan Biasa atau Kawan Luar Biasa? (Kisah Si Gila Membantu Si Pengemis)


Kita Kawan Biasa atau Kawan Luar Biasa?
(Kisah Si Gila Membantu Si Pengemis)






Assalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Bismillah.

Berpeluh-peluh saya menyapu sawang di blog ini. Fuh, sudah begitu lama ditinggalkan. Bukan apa, selepas lahir buku sulung, terus sibuk dengan promosi . Promosi buku dan promosi diri penulis buku. Hehe;-) Dan, terus sibuk merancang kelahiran-kelahiran seterusnya. Serta pelbagai kesibukan yang menambah sibuk sahaja untuk dicerita. Cukuplah sekadar perkataan 'sibuk' itu menjadi frasa sempurna menerangkannya. Hehe.. ;-)

Saya sedang membaca novel 'Bintang-bintang ke Syurga' karya Xarine. Terbitan Jemari Seni. Sebuah novel tazkirah. Saya gelar novel ini sebagai "buku tazkirah yang diselit novel", bukannya novel yang diselit tazkirah. ;-) Apapun, sebuah novel yang patut baca sebagai pengisian jiwa.



Dari novel Bintang-bintang ke Syurga ini, saya beroleh satu kisah yang menarik dan menggugah hati serta minda.. Sekadar perkongsian kita malam ini..



Pernahkah Kita Sehabis Daya Membantu?

Saya tertarik dengan kisah yang dikongsikan oleh Xarine dalam 'Bintang-bintang Ke Syurga'. Sebuah kisah tentang peminta sedekah dengan orang gila.

Ketika seorang peminta sedekah duduk di tepi jalan, semua orang melintas sahaja. Berat untuk memberi kerana pelbagai prasangka dan kerana merasakan diri masing-masing pun susah juga.

Kemudian, datang seorang gila, diterajangnya si pengemis tua. Sampai terpelanting. Akhirnya orang ramai menangkap dan membelasah si gila itu. Si gila dengan tenaga yang ada, dapat meloloskan diri. Selepas itu, orang ramai memberi perhatian kepada si pengemis. Sekejap masa, tin kosong si pengemis tadi penuh dengan wang kertas pelbagai warna..

Itu pertolongan dari si gila yang merelakan dirinya dipukul dan dipandang hina oleh orang ramai kerana kasihnya kepada pengemis.

Mengingatkan kisah ini, saya berfikir banyak perkara. Salah satunya, ketika orang lain susah, kita selalu berkata hanya mampu berdoa. Jarang kita berusaha sehabis daya membantu. Malu saya dengan si gila dalam kisah ini.

...yang pahit itu, tidak semestinya tidak baik.
Mungkin ia jauh lebih baik....


Tengah hari tadi juga, secara spontan saya menukilkan sebuah puisi. Dan sudah pun dipublish di Facebook. Puisi yang membuat seseorang terasa, dialah yang dimaksudkan itu. Kemudiannya, selamba arnab dia berkata. 'Ehehe. Macamlah saya seorang saja perempuan yang paling rapat dengan awak masa ni..". Heh, ada saja. Macamlah saya ada mention, lelaki ke perempuan kat situ? ;-)

Inilah puisinya..


Kita Kawan Biasa atau Kawan Luar Biasa?

Ketika kita nangis, kawan biasa hanya sama menangis..
agar kita rasa dia peduli.
Tapi kawan luar biasa, jika kita menangis,
dia cuba buat kita ketawa dan riang gembira semula.

Kawan biasa, buat-buat jatuh ketika kita terjatuh,
agar kita rasa ada orang bersama kita.
Tapi kawan luar biasa, ketika kita jatuh,
dia menunduk, menghulurkan tangannya,
dan membantu kita bangun semula.

Kawan biasa, jika kita bersalah, dia memaafkan..
atau jika tidak perlu dia diamkan saja,
tidak mahu membincangkannya.
Kawan luar biasa, jika kita bersalah,
dia bantu kita memperbetulkannya
dan mengingatkan kita agar tidak mengulang semula.

Kawan luar biasa, jika kita bersalah,
dia bantu kita memperbetulkannya
dan mengingatkan kita agar tidak mengulang semula.
Note: Hak Cinta Terpelihara. Ops! Hak Cipta Terpelihara ;-)
Nukilan spontan di tengah hari. Isnin, 18 Oktober 2010. Jam 14:15.
* Hak Cinta Terpelihara tu novel by Lynn Dayana. :p

**Kak Lynn Dayana pula menambah di FB tadi. Tambahan yang menarik sekali.. tambahnya..

kawan biasa selalu belanja makan...
kawan luar biasa,
jarang belanja makan sebab mahu menjaga kesihatan kawannya itu. Hehe...

Kawan biasa duit tak berkira,
kawan luar biasa akan tolong mengira duit itu...
sebab bekal utk masa hadapan
dan mahu ...sama2 mengerjakan haji bersama.

(Trimas Kak Lynn Dayana. Ya, kebetulan musim haji ni ;p)

Ok, cukuplah malam ini. Sekadar pemanas enjin. Saya mahu menyambung membersihkan sawang-sawang yang bergantungan bagai awan larat di blog ini ni. Hehe;-)

13/10/2010

Baby Hana Telah Kembali Ke Rahmatullah


Baby Hana Telah Kembali Ke Rahmatullah




Ingat lagi dengan baby Hana?
Baby Hana yang sedang sakit yang saya ceritakan tempoh hari...
Jika anda sudah lupa, sila KLIK SINI;-)

Beberapa hari yang lalu, saya mendapat email dari saudara kita, Cikgu Rohaiza, berkenaan Baby Hana. Setelah berjuang beberapa bulan, Baby Hana telah dijemput kembali kepada Allah SWT. Semoga dalam tempoh perjuangan itu, Cikgu Rohaiza dan suami adalah wira dan wirawati yang tabah dan gagah. Semoga mendapat pahala berlipat ganda di sisi Allah. Hana adalah hadiah terindah Allah buat Cikgu Rohaiza dan suami. Perjuangan kalian bernilai ibadah, pemergian Hana pula adalah saham akhirat dari Allah.

Di bawah adalah email dari Cikgu Rohaiza..






Assalammualaikum. 

    Tepat jam 1.30petang, 7 Okt 2010, Nur Hannah Bt Mohamaed Helmi kembali ke rahmatullah. Mungkin di sanalah tempat yang terbaik buat Hana. Di saat ini, Hana pasti sedang berlari-lari ke sana sini dan dapat makan & minun dengan sempurna...Semuanya itu terbatas andainya Hana masih di dunia. Walaupun berat hati ini menerima ketentuan Allh, tapi saya redha. Saya juga yakin bahawa Hana akan menjadi milik abadi saya di akhirat kelak. Sedikit pun saya tidak terkilan kehilangan Hana kerana saya telah manfaatkan sepenuhnya saat bersama Hana. Walaupun dahi ini sering terpercik peluh kerana menyiapkan Hana selepas mandi lebih sejam dgn m'gurut dan membelai Hana, tidak pernah saya sesalkan. Moga Hana dapat rasakan kasih sayang saya buatnya..walaupun dia tidak mampu untuk menatap wajah saya. Cuma rasa sayang yang tidak mampu untuk saya kikis. Hanya baju, tuala dan tilam Hana menjadi pengubat rindu saya pada Hana.
   
    Pada hari penuh keramat itu, Saya bangun tepat jam 4.30 pagi kerana sudah menjadi rutin saya bangun seawal itu utk menyusu, mengurut dan menyiapkan barang Hana untuk di hantar ke rumah pengasuh. Saya keluar ke tempat kerja seawal 6.40 pagi. Saya sempat mencium pipi dan dahi Hana sebelum keluar. Suami hantar Hana ke rumah pengasuh ( kakak saya) pada jam 7pagi. Di sekolah, saya menjalankan rutin harian seperti biasa kerana keadaan Hana pagi tu sihat walafiat. Pada puku 12.30 tengahari, saya menelefon suami dan suami memberitahu dia dalam perjalanan pulanng ke rumah kerana Hana sesak nafas. Saya meminta suami menelefon saya semula andainya keadaan Hana kritikal. Jam 1 tghari saya menelefon suami semula dan suami meminta agar sy segera pulang kerana Hana sedang dirawat di wad kecemasan. Tanpa berfikir panjang, saya terus pulang. Lebih kurang pukul 1.30ptg, ketika memandu pulang, saya rasakan bagai sesak nafas. Terdetik di hati kenapa saya sukar bernafas. Lantas sy ber doa..rabbi yassir, wala tu' asir..Ya Allah aku redha jika engkau ambil Hana semula, jika dia masih milik aku..kau pulihkan lah dia. Mungkin ketika itu doa sy Allh makbulkan. Sesampai di rumah, saya menukar baju  untuk ke Hospital. Adik ipar sy mengambil saya utk ke Hospital, sempat sy ambil kad p'ubtan Hana untuk dirujuk oleh pihak Hospital. Dalam perjalanan, kakak sy menelefon dan ucapkan takziah kerana Hana telah tiada. Tetapi sy nafikan kerana setahu saya Hana sedang dirawat di Hospital. Saya terus minta kepastian dr adik saya adakah benar Hana telah tiada. Bagaikan terhenti jantung ini setelah mengetahui hakikat sebenar bahwa Hana telah meninggalkan saya. Sesampai di GH, sy lihat tubuh Hana kaku, bibirnya pucat...tubuhnya sejuk.Luluh jantung ini tika mendakap tbuh Hana. Rupanya Hana ssak nafas di rumah pengasuh. Saya tidak menyalahkan kakak saya kerana saya redha jika itu ketentuan Allh. Hana selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Tehel iairtu kampung suami saya.     Kepada semua yang telah menolong memberi nasihat, mendoakan dan menderma buat Hana...saya mengucapkan ribuan terima kasih. Sesumgguhnya kehadiran Hana banyak memberikan hikmah kepada sya dan suami. Kami menjadi lebih baik dari sebelumnya. Tida pernah saya menyesal ketika membesar dan manjaga Hana. Sesungguhnya Hana bagaikan pelengkap dalam hidup saya.

    Kepada mereka yang menyumbang buat Hana, sy minta halalkan segalanya kerena ada lebihan sumbangan yang belum digunakan. Sebenarnya sumbangan yang diterima, saya gunakan sepenuhnya untuk mengubatkan Hana. Tetapi Allh lebih menyayanginya. Doakan Hana aman di sana. Al-fatihah.