21/02/2012

Puisi 'Aku Adammu'


Puisi 'Aku Adammu'



Puisi ini saya tulis dalam bulan November tahun lalu (2011). Lalu saya edit semula pada hari Jumaat  17.02.2012. Oleh idea dan penghayatan yang banyak kepada puisi ini, saya juga membuat sebuah video puisi ini. Juga, teringin hendak merakamnya menjadi sebuah lagu puisi dengan diiringi bunyi-bunyian gitar, kibod dan seruling. Mudahan saja, Amin. :)

Aku Adammu





Malam dan siang duniaku adalah kamu, 
tidak pernah lepas aku daripadamu dalam jaga dan tidurku,
diibarat kamu di langit kehidupanku,
kamulah mentari dan bulan yang menggilirkan siang dan malam di duniaku. 

Ombak dan pantai tidak pernah kenal perpisahan,
begitulah senang dan susah pasti bergiliran menjengah kehidupan,
kerana hakikat itu kuberikan kamu sepenuh kesetiaan,
walau susah atau senang kamu tidak akan aku lupakan. 

Rusukku hilang sebilah tulang dan dari itu kamu diciptakan,
jujur kepadamu satu pengakuan tulus aku ungkapkan,
bahawa aku tidak mahu sendiri dalam syurga yang penuh kenikmatan,
lebih aku tidak mampu sendiri meniti hidup dunia yang penuh dugaan.

Dekat tulang rusuk itu dengan hatiku,
kamu untuk kukasihi setulus dan sepenuh jiwaku,
dekat tulang rusuk itu dengan tanganku,
kamu untuk kujaga dan kupelihara dengan sepenuh asaku.

Ikhlas aku kepadamu nyawa dan denyut nadi jadi saksi,
kuterima semua yang ada padamu jangan kau sangsi,
kerana pasti berubah warna rambut dan bentuk tubuhmu nanti,
kasih sayang dan tanggungjawab kuberi kamu tetap sepenuh hati.

Alangkan kepada Tuhan kerap aku melakukan kesalahan,
melanggar larangan dan meninggalkan perintah suruhan,
begitu kepadamu mustahil bagiku jadi sempurna,
akan aku silap salah alpa sengaja tidak sengaja.

Nikmat hidup yang terbesar bagiku adalah kamu,
mengalir dalam darahku dan setiap helaan nafasku cinta padamu,
dedikasikan seluruh hayatku untuk mengasihi menjaga melindungi kamu,
tanpa ragu segala tentangku dan segala milikku semua adalah milikmu.

Apa adanya kamu bagiku itu adalah kesempurnaan,
kerana kita diciptakan untuk saling melengkapkan,
ini aku Adammu menghulurkan kedua-dua belah tangan,
genggam tanganku hingga kita kembali ke syurga Tuhan.

Mentari dan bulan tetap berlegar 
menggilirkan dalam dunia kita malam dan siang
dalam dingin waktu fajar 
aku yang mengingatkan kamu siang telah datang.

Nikmat malam telah berlalu 
kita sudah berehat beradu sayang
bangkitlah dengan sepenuh asamu 
kerana kamu tetap ada aku dalam susah dan senang.

muzik latar: 

13/02/2012

Apa Penting Paras Rupa?


Apa Penting Paras Rupa?






12022012. Menarik susunan nombor bagi tarikh hari ini. Terdiri dari tiga nombor sahaja iaitu kosong (0), satu (1) dan dua (2). Lebih menarik, jika dibahagi dua dan dibaca ke kiri dan ke kanan, tetap menjadi 2012. Sila rujuk gambar di atas.

Alhamdulillah, www.ustazcahaya.com sudah berwajah baru. Ringkas, disusan dengan kemas dan bersih. Seperti tarikh hari ini, tersusun dan menarik. Berlatarbelakang warna putih. Satu halaman itu hanya ada logo  UstazCahaya  dan tiga link penting untuk pelawat menghubungi UstazCahaya.

Wajah baru www.ustazcahaya.com. Ringkas dan bersih.

Selepas menyusun semula www.ustazcahaya.com, blog ini (www.blog.ustazcahaya.com) juga perlu disusun. Mengekalkan konsep yang sama; ringkas, kemas dan bersih. Ya benar, blog ini sudah lama tidak diisi. Jadi sebelum mula bersiaran kembali, paras rupanya perlu diatur terlebih dahulu.

Berlalu sudah bulan Januari 2012. Masuk ke bulan kedua kita. Februari 2012. Tugas pertama saya 2012 antaranya ialah menyusun dan mengatur. Tambahan pula, bakal berhijrah ke negara lain dalam Mac nanti, Insya Allah. Jadi, keutamaan diberi kepada operasi 'menyusun, mengatur dan mengemas'. Termasuk yang perlu diatur ialah isi laptop, mengemas laptop. :)

Menyusun folder-folder dalam laptop bukanlah tugas remeh. Ia satu tugas penting yang perlu menjadi antara TO DO LIST terawal setiap tahun. Benjamin Marc Wee (seorang usahawan Ebay bertaraf jutawan) dalam bukunya "Secrets of eBay Millionnaires" berpesan bahawa antara tugasan pertama untuk menjadi jutawan ialah menyusun forlder dalam laptop. Pakar-pakar lain juga memesan begitu. Mengapa agaknya? Antara sebabnya ialah MINDSET.

Minda (mindset) orang berjaya adalah kemas dan teratur. Mereka tahu dengan jelas apa yang mereka mahu capai, bagaimana dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya. Fikiran mereka KEMAS dan BERSIH.  Diibaratkan kita sedang mencari sesuatu dalam laptop kita, dengan folder yang tersusun kemas dan bersih, mudah kita memilih folder mana yang perlu dibuka untuk mendapatkan apa yang kita cari itu. Begitulah mindset orang berjaya, mereka tahu apa yang mereka mahu dan mereka tahu di mana dan bagaimana untuk mencapainya.

Baginda Nabi Muhammad (SAW) telah mengajarkan kita dua moto berkaitan, iaitu 'kebersihan sebahagian iman' dan 'Allah itu indah dan sukakan keindahan'. Ciri kebersihan dan keindahan itu antaranya kemas, menarik, memberi keselesaan ketenangan dan memudahkan serta menyenangkan. Itulah antara yang saya ingin terapkan dalam diri ini.

Sebelum solat kita dituntut mensucikan dan membersihkan diri. Sebagai muslim lima kali sehari semalam kita dituntut untuk itu. Bukan sahaja kita diwajibkan mandi dan/ atau berwuduk sahaja, malah kata Rasulullah, jika tidaklah menyusahkan kita, mahu Baginda mewajibkan bersiwak (membersihkan gigi dan mulut) setiap hendak solat. Antara hikmahnya ialah, menjadikan kita sebagai seorang insan yang suci dan bersih selalu baik luaran mahupun dalaman. :)


 "Apa Penting Paras Rupa?"
1. Sunnah.
2. Fitrah.
3. Kridibiliti.
4. Reputasi.
5. Motivasi.


 "Apa Penting Paras Rupa?"


1. Sunnah.


Bersih dan kemas adalah sunnah Baginda Rasulullah (SAW). Kita maklum Baginda seorang yang kemas dan bersih. Baik dari segi penampilan mahupun minda dan jiwa. Paras rupa yang bersih dan kemas menggambarkan peribadi seorang yang suka kepada kebersihan dan kekemasan. Sungguh kita jangan tertipu dengan paras rupa, kerana itu perlu kita ingat bahawa kemas dan bersih seseorang jangan kita sempitkan kepada luaran sahaja. Lihat pada fikirannya dan tutur katanya juga.


2. Fitrah.


Bersih adalah fitrah kita. Fitrah itu perlu kita jaga. Tubuh badan, akal dan jiwa anugerah percuma Allah kepada kita, perlu kita jaga kebersihannya. Ya benar, dalam menjalani kehidupan, kita akan terpalit kekotoran, justeru kita perlu jaga dan selalu bersihkan semula.

3. Kredibiliti.


Bayangkan kita pergi ke sebuah klinik yang kotor. Dengan doktor yang berpakaian merah darah penuh terpalit di bajunya. Hilang warna asal baju doktor yang putih, yang kita nampak adalah seorang doktor yang berbaju kombinasi warna darah dan nanah. Di tepi meja doktor pula, beberapa batang jari manusia bertaburan. Apakah kuat hati kita mahu berubat di klinik itu dengan doktor itu?


4. Reputasi.


Paras rupa juga penting kepada reputasi. Pernah kita membeli sebungkus nasi lemak kerana terpikat dengan paras rupa dan bungkusannya? Selalu kita memesan makanan yang kita lihat gambarnya dalam folder menu yang menarik? Tapi mahukah kita membeli sebungkus nasi lemak yang dibalut dengan kertas tisu yang sudah digunakan? Atau nasi lemak yang dibalut gambar mangsa kemalangan? Atau nasi lemak yang dikepal dan diwarnakan seperti seekor tikus?

5. Motivasi.

Kita akan menjaga sesuatu yang bersih dan kemas. Contohnya, bilik kita yang bersih dan kemas. Hati kita akan terhalang untuk mengotorkan dan menyepahkannya bukan? Begitu juga sebaliknya. Kenderaan atau pakaian kita yang sudah kotor dengan lumpur. Apakah kita akan takut untuk mengotorkan kenderaan atau pakaian yang sudah sedia kotor itu?



(screenshot susunan folder dalam laptop saya)