02/07/2012

Malam Pertama Impian Saya


Malam Pertama Impian Saya




Hari ini, Isnin, 2 Julai 2012. Separuh tahun pertama 2012 sudah berlalu. 'MARI KITA MENGIRA SAYANG' adalah puisi kedua yang saya tulis awal tahun 2012. Percubaan menginspirasikan nombor sebagai bunga bahasa menjadi karya sastera; usaha mendekatkan matematik dan sastera yang dipisahkan oleh sistem pendidikan lama. Sedangkan ilmuwan Islam terdahulu, mereka ramainya adalah pandai bahasa juga adalah ahli sains dan matematik dalam masa yang sama.

-------------------------------------------------------------
Jika nanti Allah berkenan memberikan saya isteri dan anak,
puisi ini adalah antara nasihat yang akan saya selalu
nasihatkan kami sekeluarga tentangnya.
-------------------------------------------------------------

Panggilan 'Sayang' Yang Kontroversi Untuk Saya Yang Masih Bujang


Mengundang banyak spekulasi dan kontroversi apabila saya yang masih bujang, menulis dengan berbahasa 'kasih', 'cinta', 'rindu' dan menggunakan panggilan 'sayang' dalam penulisan saya. Di sini, saya kira, saya perlu menerangkan mengapa panggilan sayang saya gunakan sebagai 'lawan bercakap' saya dalam puisi ini. (Betulkah istilah 'lawan bercakap' yang saya gunakan ini..?) :)

Pertama, saya bersyukur kepada Allah (SWT) yang memberikan saya ilham dan merezekikan saya untuk mengkaryakan puisi ini. Dengan rahmat dan kasih sayang-NYA jua, saya diberi-NYA berfikir dan memahami karya saya ini; yang  kefahaman itu adalah nikmat dan kasih sayang Allah yang besar bagi saya. Justeru, tanda saya menghargai kasih sayang Allah itu ialah dengan menulis puisi ini dan tidak mensia-siakan ilham dan hikmah yang diberikan-NYA kepada saya.

Kedua, saya percaya bahawa asas untuk menjadi lebih baik setiap masa ialah apabila kita menyayangi diri kita sendiri dan diri kita pula membuat kita semakin sayang kepada diri sendiri. Untuk menyayangi diri, awal mulanya ialah mencari dan berusaha meraih kasih sayang Ilahi. Justeru, secara dasarnya panggilan 'sayang' dalam puisi ini adalah kepada diri saya sendiri. Maksud saya, saya mengingatkan diri saya yang saya sayangi tentang perkara yang saya nukilkan dalam puisi ini.

Ketiga, puisi ini saya tujukan kepada insan-insan yang saya sayangi; kerana saya sayang mereka, saya mahu berkongsi tentang apa yang saya sampaikan dalam puisi ini. Termasuk kalian yang sudi membacanya dan membaca artikel ini. Juga, nanti, jika Allah berkenan memberikan saya isteri dan anak, puisi ini adalah antara nasihat yang akan saya selalu nasihatkan kami sekeluarga tentangnya.

Mari Kita Mengira Sayang


Dalam kehidupan ini, kita sangat memerlukan ilmu dan kemahiran kira-mengira.Setiap masa kita perlu mengira bagaimana sisa umur kita mahu kita gunakan. Jika tidak mengira sisa umur, kita akan terus lalai dan leka lalu masa pergi dengan sia-sia. Dengan 'mengira sisa umur yang masih ada' kita akan mengira sekali berapa banyak nikmat Tuhan yang telah kita terima.

Berapa banyak (sahaja) ketaatan dan amal baik yang sudah kita persembahkan kepada Tuhan..? Berapa banyak salah silap dan dosa yang sudah kita lakukan, sama ada sengaja tidak sengaja dalam sedar atau lalai dan alpa..?

Dengan kira-mengira itu semua, kita akan mendapat kesedaran untuk menjadi lebih baik. Menjadi lebih baik dengan kemahuan mahu memanfaatkan sisa umur yang masih ada, dengan kesedaran betapa masih sedikitnya ketaatan dan amal baik yang sudah kita persembahkan kepada Tuhan. Dengan keinsafan bahawa  terlalu banyaknya salah silap dan dosa maksiat yang telah kita lakukan. Dengan penyesalan bahawa betapa banyaknya nikmat Allah yang telah kita sia-siakan.

Asas kira mengira dalam kehidupan, saya nukilkan dalam puisi 'Mari Kita Mengira Sayang' di bawah ini.


Impian Malam Pertama Saya


Seperti yang saya tuliskan di atas tadi, jika Allah berkenan memberikan saya isteri dan anak, puisi ini adalah antara nasihat yang akan saya selalu nasihatkan kami sekeluarga tentangnya.

Malah, puisi ini mahu saya bacakan kepada wanita yang Allah anugerahkan kepada saya untuk menjadi isteri saya; jika boleh pada malam pertama atau lebih awal lagi seusai akad nikah dan sahnya dia menjadi isteri saya. :)

Oleh kerana, inilah asas ilmu kira-kira yang mesti kita ingat dan gunakan selalu. Bukankah kita hidup ini untuk menunaikan 'Rukun Islam Yang Lima'. Juga, bukankah Nabi Muhammad (saw) pernah mengingatkan kita bahawa yang perlu kita rebut dalam hidup ini adalah LIMA PERKARA, sebelum PERKARA YANG LIMA itu berlalu pergi dan berganti dengan YANG LIMA LAGI, yang mana yang lima itu, saling berlawanan antara yang kita suka dengan yang kita harap agar ia tidak ada dan tidak berlaku.

Dan, secara peribadi, inilah formula saya untuk meraih kebaikan hidup di dunia dan akhirat dan melindungi diri daripada azab seksa neraka; seperti doa yang selalu kita semua pohonkan setiap lepas solat.

Alhamdulillah.

Isnin,
12 Syaaban 1433H, 2 Julai 2012.
21:33
Sengkurong, Negara Brunei Darussalam.

MARI KITA MENGIRA SAYANG 

Satu, Sayang.

Kita hidup di dunia ini hanya satu kali,
namun bukan satu warna saja yang mewarnai dunia ini,
lihat sayang dunia ini dicorakkan oleh berjuta-juta warna warni,
lalu jutaan warna warni itu menjadikan indah dunia yang kita diami.

Dua, Sayang.

Tuhan menjadikan makhluk dan kejadian dua berpasang-pasangan,
lelaki wanita, susah senang, lemah kuat, mentari dan bulan,
maka sayang kita mesti sedia selalu menghadapi dua kemungkinan,
usaha dengan tidak lupa untuk tetap reda pada apa yang Tuhan suratkan.

Tiga, Sayang.

Dalam hidup ini tiga keadaan akan kita rasa dan hadapi,
dua keadaan itu akan silih berganti,
itulah sihat dan sakit yang bergilir datang dan pergi,
satu keadaan hanya akan kita hadapi sekali sayang, iaitu mati.

Empat, Sayang.

Andai hidup ini satu bentuk segi empat tepat,
kita mampu menukarnya menjadi bentuk piramid atau bulat,
selagi hidup dunia dapat kita ubah sayang tapi tidak nanti di akhirat,
bermujahadah kita kerana kita tidak akan kekal baik seperti malaikat
juga tidak kekal jahat seperti Iblis yang dilaknat.

Lima, Sayang.

Sebelah tangan kita ada lima jari,
ingat sayang pesan Baginda Nabi,
rebut lima sebelum lima itu pergi dan berganti,
moga kita sedar selalu tiada yang kekal dalam hidup ini.

Akhirnya, Sayang.

Untuk mengira 1+2+3+4+5=15, kita perlu ilmu kira-kira sayang.
Untuk menjadikan 1+2+3+4+5=150, kita perlu fikiran kreatif sayang.
Untuk membuat 1+2+3+4+5=(ada warna, rasa dan bau), kita perlu jiwa yang berseni sayang.

Sayang, Sayang.

Satu, dua, tiga, empat, lima,
baru satu hingga lima yang kita hitung dan kira.

Norudin Draman (UstazCahaya) 
Sabtu, 19 Februari 2012, 22:36:00