Jumaat, September 28, 2012

Nak Tengok Saya Main Piano?


Nak Tengok Saya Main Piano?




Pagi tadi, saya ke salah sebuah cawangan sekolah tempat saya mengajar di Gadong. Sekolah kami mengadakan pertandingan nasyid, syarahan (bahasa Arab, Melayu dan Inggeris) dan story-telling sempena sambutan Hari Guru. Selesai program, saya 'melayan' piano yang ditempatkan di sebuah bilik sebelah surau di sekolah berkenaan. (Saya mengajar di cawangan lain). Di atas adalah video yang sempat dirakam oleh anak seorang rakan sekerja saya yang menemani ibunya pagi tadi. Main 'ketuk-ketuk' ayam kata saya. Kemudian, masuk rakan sekerja saya yang seorang lagi, saya memberi dia pula bermain piano. Wow, sekali dia main lagu Maher Zain. Lalu, mood santai-muzik hari ini, saya ingin menulis tentang muzik. =) Saya bermain gitar sejak awal zaman remaja. Sedikit tentang itu pernah saya tulis di blog ini. Jiwa muzik saya, yang walaupun pernah ditinggalkan agak lama, (ditinggalkan dalam erti kata tidak bermain muzik, mendengar masih); tidak pernah padam rupanya. Kemudian, berlaku takdir Allah, dan saya (bersama seorang saudara perempuan) mengasaskan The KAF-FA Band. Malam ini, saya ingin bercerita sedikit tentang The KAF-FA Band.
The KAF-FA Band bermula dengan nama 'The KAFA Band' iaitu sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk membuat persembahan dalam ‘Majlis Sambutan Hari Guru KAFA Bahagian Bintulu Tahun 2011’. Dari situ bermula percambahan idea untuk membawa 'The KAF-FA Band' kepada bentuk yang lebih baik. Lalu pada bulan Mei 2011, saya dan seorang saudara bernama Dayangku Nuraysyah Lee memulakan The KAF-FA Band. Kemudiannya, The KAF-FA Band dibantu oleh saudara dan sahabat yang lain. (Terima kasih semua..) =)

Disebalik nama 'The KAF-FA Band'

KAF-FA (huruf Arab 'kaf'dan 'fa')
K / Kaf = Keindahan – F / Fa = Fitrah
Band – sekumpulan, sepasukan, seangkatan.

Dakwah Muzik

Daripada sekian banyak pilihan dan cadangan untuk 'tagline' The KAF-FA Band  akhirnya saya memilih tagline ini - Dakwah Muzik. Pendek dan merangkumi semua pengertian untuk The KAF-FA Band  Ringkasnya, The KAF-FA Band ditubuhkan untuk membantu dalam usaha dakwah dengan muzik sebagai medium dan medan utama, dengan tiga konsep prinsip utama, iaitu;
1. Ilmu dan kebijaksanaan 2. Memberi contoh yang baik 
3. Melalui perbincangan yang beretika.

Muzik dan Fitrah

Mahu tidak mahu, sedar tidak sedar; kita perlu mengakui bahawa menjadi fitrah manusia untuk menyenangi dan menyukai keindahan. Baik keindahan rupa, rasa dan bunyi. Islam sebagai agama yang benar dari Tuhan yang menciptakan manusia; tidak menolak dan menghalang fitrah manusia. Malah, Islam memberi panduan kepada manusia bagaimana untuk mengurus dan mengendalikan fitrah mereka dengan cara yang betul dan baik. Memahami kebenaran tersebut, The KAF-FA Band ditubuhkan untuk:
* Menyediakan lagu dan hiburan untuk membantu usaha dakwah dan pendidikan. * Menyediakan alternatif bagi bentuk muzik dan hiburan yang lebih baik kepada masyarakat Islam. * Membantu dalam usaha ’melindungi dan membersihkan’ kegiatan muzik dan hiburan daripada unsur-unsur negatif yang memberi kesan buruk kepada masyarakat Islam. * Mengumpulkan golongan yang bergiat dalam bidang nyanyian, muzik dan hiburan dalam sebuah komuniti untuk bersama-sama menginsafi bahawa bakat dan kebolehan istimewa yang dimiliki adalah anugerah Allah SWT yang perlu disyukuri. Anugerah tersebut perlulah digunakan dengan cara yang baik dan mempunyai nilai positif. * Membantu mendekatkan jurang yang memisahkan agama Islam dengan muzik.
Akhir kata, sejak menubuhkan The KAF-FA Band hingga ke saat ini, adalah menjadi harapan kami agar The KAF-FA Band mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga usaha kecil ini bernilai sebagai amal kebaikan dan diterima sebagai ibadat di sisi Allah SWT. Dengan mengharap limpah kasih Allah jua semuanya..

Rabu, September 26, 2012

Pilihan Hati..


Pilihan Hati..





Pertama kali buka mata pada waktu pagi, hati sudah perlu membuat pilihan. Mahu bangkit lalu mensucikan diri dan menunaikan solat sunat fajar dan kemudiannya solat subuh; atau menangguhkan bangun sehingga 'bajet' waktu yang cukup untuk mendirikan solat subuh sebelum waktu syuruk; atau biarkan diri tidur sehingga nanti terbangun dan perlu bangun.

Ketika mahu pergi ke tempat kerja, kita memakai pakaian yang sudah siap dipilih (dan/ atau diseterika :p) pada malam sebelumnya. Juga, pergi pula bekerja dengan pekerjaan yang masih berkaitan pilihan; sama ada..

~ Pekerjaan yang memang menjadi pilihan kita, atau...
~ Pekerjaan yang kita terpilih untuk pekerjaan itu, atau...
~ Pekerjaan yang kita pilih kerana merasakan tiada pilihan lain lagi.

Ketika mahu makan kita memilih. Memilih di mana mahu makan? Dengan siapa makan? Apa mahu dimakan dan lain sebagainya. Boleh dikatakan, hidup kita sentiasa berkaitan pilihan.

Ada tidak benarnya, kata yang mengatakan bahawa tiada pilihan untuk perkara yang rutin. Bangun pagi waktu yang rutin secara rutin. Memakai pakaian kerja yang rutin yang dipanggil 'pakaian seragam'. Makan makanan yang rutin secara rutin dan lain sebagainya yang kita anggap rutin. Bagi kita yang mahu memberi nilai kepada hidup yang singkat ini, salah satu set-minda (mindset) yang perlu kita ada ialah bahawa 'setiap masa kita perlu membuat pilihan'.

Sekalipun untuk perkara yang rutin, hati kita tidak mungkin rutin. Pasti berbeza pada waktu berbeza ketika melakukan atau menjalani perkara yang kita anggap rutin itu. Hati kita manusia tidak pernah statik. Kerana itu Rasulullah sudah mengkhabarkan kepada kita bahawa baik buruk manusia itu sangat bergantung kepada hatinya. Kerana hati tidak pernah statik, bahagia derita kita berpangkal dari hati kita.

Sabda Rasulullah (SAW): 
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu".  
(Hadis riwayat Muslim dan Tabrani).
Nak buka cerita zaman remaja saya. Memakai pakaian seragam kerja yang rutin, hati tentu saja tidak pernah rutin. Saya pernah bekerja di stesen minyak pada zaman remaja dulu. Sehingga sekarang saya perhatikan senario itu masih sama. Ada pekerja stesen minyak yang kita dapat rasa auranya; peramah, ceria, senyum, bersemangat dan ada juga yang mukanya masam mencuka, kaku, sedih, dengan 'wajah mengasihankan' bagai robot. Mengapa begitu? Kerana hati mereka yang memilih mereka mahu jadi yang seperti apa ketika memakai pakaian seragam stesen minyak. Mahu jadi manusia yang berhak bahagia dan menikmati hidup atau mahu jadi robot yang sama tarafnya dengan mesin dan segala jentera di stesen berkenaan.

Semestinya, hati sangat mempengaruhi pilihan yang kita buat. Selebihnya, Allah memberi kita pilihan untuk melihat dan menilai bagaimana kita memilih, tetap kuasa Allah jua yang berlaku atas kita. Pilihlah untuk makan makanan halal atau haram? Pilihlah kita mahu makan di mana bersama siapa dan mahu makan apa? Tetap, Allah jua yang menentukan sama ada pilihan itu akan direzekikan kepada kita atau tidak. Apa yang pasti, kita sudah mempersembahkan kepada-NYA, sebaik-baik cara memilih dan pilihan hati kita.

Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Semoga kita dibimbing untuk dapat memberi nilai yang besar kepada diri yang kerdil yang hidup di dunia yang singkat ini. Bagi saya, untuk itu, saya menganggap bahawa hidup ini adalah siri-siri membuat pilihan dari HATI.

H – Harapan 
A – Agama 
T – Takwa 
I – Ilmu

Akhirnya, kita perlu mengakui bahawa yang menentukan baik buruk dunia ini adalah manusia yang mendiaminya. Baik atau buruk manusia ditentukan oleh pilihan hatinya berdasarkan harapan yang ada dalam hati, akidah yang diimani oleh hati, tahap takwa yang dimiliki oleh hati dan ilmu yang ada pada akal si pemilik hati.

Terima kasih kerana membaca hingga ke ayat ini. Semoga ada manfaatnya untuk kita bersama.

Ahad, September 23, 2012

Saat Cinta Kita Bertemu


Saat Cinta Kita Bertemu







"Fifty years from now, when you're looking back at your life, don't you want to be able to say you had the guts to get in the car?"
- Sammy berkata kepada Mikaela, saat cinta mereka bertemu.



Selepas makan tengahari, hati ingin mencucui pinggan mangkuk yang memenuhi sinki. Lepas itu mengemas bilik yang.. Yang katilnya dipenuhi pakaian yang sudah dibasuh dan yang belum dibasuh. Huhu. Malu. (-_=) ~ jika ibu tahu, pasti beliau tidak suka dan pasti akan lebih menekan soal peri pentingnya seorang isteri. Heh2 (-_*)

Namun, hati hanya ingin tapi badan memilih untuk berbaring sementara menunggu azan zuhur. Entah nyamannya aroma hari minggu ini, saya terlena dengan lagu Opick di telinga. Bangun jam satu lebih. Saya memandikan diri dan menunaikan solat zuhur. Lepas solat, saya mengadap komputer. Entah, nyamannya aroma hari minggu ini, kerana esok cuti. Lalu, petang minggu ini hati saya memilih untuk memanjakan diri.

"Hari ini saja, esok sambung lagi apa yang perlu dibuat dan menyelesaikan timbunan kerja yang di hadapan mata", kata saya memujuk diri sendiri kerana esok juga cuti.

Ustaz Transformers


Lalu lepas solat zuhur yang agak terlewat itu, saya menonton movie. Tranformers 1 menjadi pilihan. Nak tahu? Walaupun saya pernah dikenali sebagai 'Ustaz Tranformers' tapi Transformers 1 inilah satu-satunya Tranformers yang saya layan. (Dulu pernah digelar 'Ustaz Tranformers' selepas memberi ceramah motivasi bertemakan Tranformers kepada pelajar bakal PMR dan SPM di sebuah sekolah di Bintulu, Sarawak) (-_+)

Kebetulan ketika itu, masih musim Transformers 2 dan zaman 'Rubic Cube'. Saya cuba memahami perasaan dan mood para remaja yang mungkin rasa 'dirampas' hari minggu mereka untuk gotong royong di masjid, kemudian solat hajat dan terpaksa lagi duduk mendengar ceramah motivasi saya. Lalu, awal-awal lagi sejak mendapat panggilan dari urusetia program tersebut, saya mencari sesuatu yang boleh mencuri hati mereka.

Maka, saya gunakan Tranformers sebagai tema dan kaitkan dengan Israk Mikraj yang kebetulan masa itu bulan sambutan Israk Mikraj. Alhamdulillah, hati mereka dapat diambil.

Saat Cinta Mereka Bertemu


Dalam Transformers satu inilah Sammy bertemu cintanya. Cinta kepada Bumblebee yang merupakan kereta pertamanya. Cinta kepada Mikaela. Cinta kepada autobot. Cinta kepada untuk menjaga keamanan dan keselamatan dunia. Cinta seorang hero.

Sammy sebuah karektor yang unik bagi saya, dan ini diakui oleh Mikaela Banes, rakan sekelas Sam yang kemudiannya menjadi kekasihnya. Kata Mikael,

"You are the strangest boy I have ever met".

Banyak perkara yang menarik dan mencuit hati saya tentang Sammy dalam Tranformers 1 ini. Pertama, namanya yang unik tetapi selalu menjadi lelucon ("Sam Wik kiddi..") yang sebenarnya, Samuel Witwicky. Mungkin juga Wikepedia ada menaja dalam filem ini. Hehe :) Seorang yang gelabah, mendapat perhatian berlebihan dari orang tuanya yang ketat disiplin (untuk situasi Amerika..), naive dan banyak lagi.

Walau sudah berkali-kali menonton filem ini, saya masih ketawa dengan beberapa babak. Antaranya, ketika Sammy mengejar (dengan basikal berwarna merah jambu) 'Bumblebee'- keretanya yang disangkanya dicuri, sambil berkata,

"No, no, no, no, no, no... Hey! That's my car! ".

Dia menelefon polis dan saya masih ketawa seperti kali pertama menontonnya dulu, ketika dia berkata;

"Hello? 911 emergency! My car's been stolen! I'm in pursuit! I need the whole squadron, bring everyone! No, no don't ask any questions, my father's the head of the neighbourhood watch!"

Dengan gelabahnya Sammy dan ayat, "I'm in pursuit!", mengembalikan nostalgia zaman bermain Need For Speed dolu-dolu. Bilamana kereta kita dalam game tersebut dikejar polis.

Juga, masih mencuit hati saya, ketika autobot bersembunyi dari parent Sam. Masih kelihatan comel saja jentera-jentera agam itu cuba bersembunyi. Dan banyak lagi. Selain Transformers sebenarnya mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak saya pada tahun 80-an. :)

Sudut perwatakannya, yang menarik hati saya ialah Sammy agak 'innocense' (dalam standard remaja Amerika). Seorang yang penyayang, setia dan sanggup berkorban. Katanya, 'no sacrifice no victory', yang diwarisinya daripada ayah dan moyangnya Captain Witwicky. Lembut hatinya dan menghargai orang-orang yang menyayanginya. Sifat-sifat yang boleh dikatakan ada pada saya. :)

Malah kadang dibuli oleh ibu bapanya sendiri. Contohnya ketika bapanya membawa Sammy membeli kereta pertamanya. Bapanya sengaja membawa Sammy melintas kedai kereta PORCHE dan Sammy menjerit teruja. Kemudian, merajuk dan marah ketika sedar bapanya hanya bergurau. Siapa sangka, Sammy akhirnya menjadi hero yang menyelamatkan bumi dan manusia, bersama teman-teman Autobotnya. Haha :)

Ebay Bagi Saya dan Sammy






Optimus Prime: He accidentally activated his navigation system. The coordinates to the Cube's location on Earth were imprinted on his glasses.

Sam Witwicky: How did you know about his glasses?

Optimus Prime: eBay.

Sam Witwicky: eBay...




Ebay. Bercerita tentang Ebay, Ebay adalah antara 'akademi keusahawanan saya'. Ketika memasuki dunia blogging tujuh tahun yang lalu, mulanya untuk mempelajari keusahawanan di internet. Ebay adalah antara platform tempat saya belajar. Walaupun kemudian saya tidak tampil sebagai 'Saudagar Ebay', kerana saya lebih menjurus kepada menjadi blogger kemudian tampil sebagai penulis; tetap ilmu dan pengetahuan yang saya pelajari bersama Ebay banyak membantu saya. Antara guru Ebay saya ialah seorang saudagar Ebay dari Singapura, yang mengajarkan saya peri pentingnya benda-benda kecil dalam membina diri sebagai usahawan contohnya, skrin komputer yang lebar, mouse yang selesa dan lain sebagainya. Selain saya pernah mengikuti kursus dan bimbingan berbayar dengan beberapa orang pakar Ebay di Malaysia.

Dari sudut keusahawanan dan pemasaran, banyak yang kita boleh pelajari daripada Tranformers. Dan jangan tidak tahu.. Setiap kali ketika musim Transformers, itulah antara musim 'kencang' dan 'durian runtuh' bagi pedagang Ebay seluruh dunia termasuk mereka yang di Malaysia. Juallah apa saja yang berkaitan Transformers, boleh buat duit di Ebay jika kena caranya. Itu pada musim Transformers. Malah ketika musim Transformers 2, permainan 'Rubik Cube' menguasai pasaran permainan di mana-mana, terutama kanak-kanak dan remaja di tanahair Malaysia.

Selain itu, dalam pembikinan filem Transformers, bukan saja dua syarikat perfileman gergasi Amerika bergabung tenaga, malah banyak pihak lain yang berkerjasama termasuk Angkatan Tentera Amerika. Banyak kenderaan, kereta dan pesawat juga peralatan ketenteraan yang digunakan dalam filem Transformers. Tentera Amerika dan syarikat General Motor meminjamkan penerbit apa yang mereka perlukan. Selain itu, kita perhatikan, Hasbro membawa banyak syarikat-syarikat Amerika menaja dan beriklan dalam filem ini, antaranya, Ebay, General Motor, Apple, Burger King, dan banyak lagi yang saya tidak dapat lagi mengingat nama-nama itu.

Bagi saya, filem Transformers 1 amat nostalgik (secara peribadi) dan filem ini sarat dengan mesej kasih sayang, pengorbanan, kerjasama dan keamanan. Itupun, mesej kasih sayang, pengorbanan, kerjasama dan keamanan dalam 'standard Amerika sebagai hero dunia'. Selain mesej 'insaf' dan 'minta maaf' Amerika kepada dunia, dunia Islam khususnya, Filem Transformers 1 sarat dengan kerjasama keusahawanan dan pemasaran. ('insaf' dan 'minta maaf' dalam standard Amerika). Itu kita boleh perhatikan dari soundtrack tema Tranformers 1 dari Linkin Park - What Ive Done. Saya suka dengar lagu itu.

Dan entah nyamannya aroma hari minggu ini, hati saya rasa damai dan bahagia sehingga selesai menulis post ini, 'Saat Cinta Kita Bertemu..' :)

Jumaat, September 21, 2012

Minta Maaf Facebook - Saya Perlu Memilih


Minta Maaf Facebook - Saya Perlu Memilih


Jumaat datang lagi dengan aromanya yang tersendiri. Bagi saya sendiri dan mungkin juga bagi orang lain, Jumaat menjadi hari kesukaan. Bagi tempat Jumaat menjadi hari cuti seperti di Negara Brunei Darussalam ini (juga, bagi Kelantan dan Terengganu di tanahair Malaysia), sememangnya Jumaat menjadi hari kesukaan. Pun begitu, bagi tempat yang bercuti pada hari Sabtu seperti di negeri asal saya iaitu Sarawak, mood Jumaat tetap santai.

Di sini pada waktu ini, majlis perkahwinan di-raja iaitu perkahwinan puteri ke-lima DYMM Sultan Haji Hasanal Bokliah, Sultan Negara Brunei Darussalam, iaitu perkahwinan Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan suaminya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini; semakin menuju kemuncaknya. Pada hari Ahad ini, tidak ada sesiapa pun membuat kenduri kahwin di seluruh Negara Brunei Darussalam; bagi menghormati dan meraikan perkahwinan Puteri Ke Bawah Duli tersebut.


Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah

KLIK SINI untuk 13 Gambar sekitar pernikahan Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan suaminya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini. Puteri ke-lima DYMM Sultan Haji Hasalan Bokliah, Sultan Negara Brunei Darussalam. *Credit gambar: http://amazingnara.com


Justeru, istimewa kepada Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan suaminya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini, patik bersama The KAF-FA Band, mengucapkan tahniah dan mengirimkan gugusan tulus doa bersama lagu Tarikh Luput Cinta dari kami. (Lirik dan video Tarikh Luput Cinta di bawah)


Bagi warga pendidik di Brunei pula, minggu ini kami akan menyambut Hari Guru. Lalu, Isnin nanti menjadi hari cuti sambutan Hari Guru. Bezanya dengan tanahair Malaysia selain tarikh, di Malaysia Hari Guru bukan hari cuti persekolahan. Namun berbeza lagi dengan sekolah lain di Brunei, pelajar Tahun 11 (Tingkatan 5) sekolah kami akan tetap bersekolah pada hari Isnin nanti untuk Ujian Lisan Bahasa Inggeris O Level mereka; kerana jadual yang sudah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Kami di sini hanya akan bersekolah pada minggu depan, selepas itu cuti pertengahan semester. Mood cuti sudah merebak di hati saya. Lalu petang ini hati saya memilih untuk bersantai-santai sahaja. Antara yang saya lakukan petang tadi ialah me-YouTube dan melihat kembali tulisan-tulisan saya yang pernah saya tulis di blog ini dan blog lain satu masa dulu.

Sedang elok memanjakan diri dan bersantai-santai, saya dikejutkan oleh hati saya sendiri. Bahawa saya perlu membuat pilihan. Owh...


Saya Perlu Memilih


Setelah agak lama menyepi dalam dunia blogging, saya memilih untuk kembali pada bulan Syawal yang baru berlalu. Maka, pilihan untuk kembali menjadi blogger menambah To Do List saya.

Dengan tugas utama sebagai guru ditambah karier lain sebagai penulis, usahawan dan pemuzik; empat karier yang menjadi pilihan hati. Justeru, saya perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan masa. Kata lain, perlu berhati-hati ketika memilih untuk apa masa mahu digunakan.

Bukan itu sahaja, dalam proses mengaktifkan kembali blog ini dan mengaktifkan kembali diri sebagai blogger, saya juga perlu memilih apa yang perlu dibuat. Selain kembali kepada rutin menulis post baru, beberapa lagi perkara perlu dilakukan sebagai blogger. Antaranya, mengemaskini rekabentuk blog, menjaringkan kembali network yang pernah dibina satu masa dulu, promosi, 'mengumumkan' (hehe..) kepada bloghosphere bahawa saya sudah kembali blogging dan lain sebagainya.


Pilihan Ini Memerlukan Saya Meminta Maaf


Begitulah serba sedikit antara pilihan-pilihan yang perlu saya pilih setiap masa sekarang. Setidak-tidaknya sehingga November nanti masa yang ada perlu saya pilih untuk apa.

Justeru, suka saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada saudara dan sahabat. Kiranya, ada perkara yang kalian beritahu di Facebook yang tidak sampai ke pengetahuan saya, saya minta maaf. Kerana saya sedang mengehadkan masa berfacebook. Buka Facebook hanya pada lepas subuh dan malam. Itupun hanya buka laman profile sendiri, notification, inbox dan friend request. List close friend juga sudah saya senarai pendekkan.

Jadi, kiranya ada perkara penting inbox saya atau 'tag'. Supaya saya tidak terlepas atau ketinggalan. Untuk mereka yang 'dekat', ya telefon bimbit saya boleh menerima sms 24 jam setiap hari.. :)

Dengan mengharap kasih sayang Allah jua semuanya..



TARIKH LUPUT CINTA

(Tribute to novel 'Tarikh Luput Cinta' karya Lynn Dayana)

Lirik dan lagu oleh:
UstazCahaya & Aysyah Lee

Kekasihku
ketika cinta kita bersatu
berhenti putaran masa dan
waktu

Kekasihku
ketika cintamu kuterima
masa terhenti untuk
selamanya

Saat tersimpul cinta kita
dalam ikatan yang sempurna
dengan limpahan tulus doa
abadi cinta kita
dunia hingga syurga

Kekasihku yakinlah
setia kasihku abadi tiada akhirnya
Sayangku percayalah
tulus cintaku tiada tarikh luputnya

Tiada tarikh luput cinta kita

Copyright:
The KAF-FA Band, UstazCahaya, Aysyah Lee, Lynn Dayana.
(C) JANUARY 2012.




Rabu, September 19, 2012

Untuk Apa Sehari Lagi


Untuk Apa Sehari Lagi




Sekurang-kurangnya, untuk diri saya sendiri, saya mendapat jawapan bahawa hidup yang satu hari ini adalah untuk:

1. Menunaikan Solat Fardu Yang LIMA

2. Untuk Mengusahakan LIMA Tujuan Hidup Manusia

3. Mensyukuri LIMA Perkara

Untuk tahun ini, hari Rabu menjadi hari kesukaan saya pada hari persekolahan. Ini kerana, pada hari Rabu, jadual saya hanya satu jam setengah pada sesi pagi dan satu jam setengah lagi pada sesi petang. Itupun, selang seminggu. Minggu ini 1 jam setengah, minggu yang satu lagi hanya satu jam sahaja; berselang seli antara mengajar hanya satu jam dan dua jam pada hari Rabu.

Lebih menyenangkan lagi hati saya ialah, hari Rabu hanya mengajar sebuah kelas. Kelas itu pula ialah kelas yang sangat 'aman' sekali. Murid-muridnya boleh duduk diam dan memberi perhatian. Sangat memberi kerja sama baik dalam P&P yang sedang dijalankan juga rajin membuat tugasan yang diberikan. Alhamdulillah, nikmatnya hari Rabu untuk sesi persekolahan tahun 2012 ini.

Ketika Bumi Disinari Cahaya Dhuha 


Ada harinya, Allah merezekikan saya menjadi hamba yang mendirikan solat sunat dhuha. Selalunya, selepas dhuha direzekikan juga saya untuk membaca surah ar-Rahman. Surah kegemaran yang dihafal sejak 10 tahun yang lalu. Tenangnya rasa hati selepas mendirikan solat sunat dhuha dan membaca surah ar-Rahman, membuatkan alam menjadi indah pada pandangan. Lebih-lebih lagi pada hari yang cerah. Panorama dhuha adalah antara pemandangan yang paling indah.

Dalam saat-saat tenang dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran itu, sering saya memandang panorama alam waktu dhuha dengan sebuah persoalan, iaitu;
"Untuk apa sehari lagi?" 

Untuk Apa Sehari Lagi 


Dari sekalian banyak hamba Allah yang dijemput ajal semalam dan hari ini; saya dan saudara yang membaca post ini, mendapat sehari lagi untuk hidup di dunia ini. Bagaimanapun, esok belum tahu lagi. Mengingat kematian, memandang diri dan wajah-wajah kesayangan; saya merasakan bahawa dapat hidup sehari lagi sebagai satu nikmat yang besar sekali maknanya. Betapa jika ditanyakan saya, 'apakah saya sudah bersedia untuk mati?'; jujur sekali, jawapan saya ialah 'belum sedia untuk mati'.

Melihat sudut cerah dan indah kehidupan. Hidup di bahagian bumi yang aman. Hidup dengan tidak menghadapi susah payah untuk minum, makan, bergerak dan berkomunikasi. Hidup dalam keadaan yang mudah untuk melakukan ibadat yang wajib mahupun sunat.

Memandang juga sudut suram dan muram dalam kehidupan. Kewajipan yang belum sepenuhnya dilaksanakan. Impian dan cita-cita yang belum kesampaian. Hutang piutang yang perlu dilunaskan. Janji-janji yang belum ditunaikan; dan lain sebagainya.

Kedua-dua belah sudut kehidupan itu, yang jika kita fikirkan akan menginsafkan kita bahawa betapa besarnya nilai hidup sehari lagi di bumi ini. Justeru kerana besar nilainya itu, kita perlu selalu mengingatkan diri sendiri agar berfikir tentang 'untuk apa sehari lagi dalam kehidupan ini...?'

Hidup Menuju Mati 


Setiap hari yang kita mulakan, akan kita tinggalkan. Setiap hari yang kita tinggalkan, kita semakin menghampiri apa yang dinamakan kematian. Sesungguhnya, menyedari hakikat itu sewajarnya kita memikirkan untuk apa hidup yang satu ahri lagi yang kita miliki ini. Tidaklah hidup ini untuk dibiarkan berlalu begitu saja. Tidaklah hidup ini untuk kita tenggelam dalam kesibukan yang meletihnya, tetapi pada saat kembali kepada Tuhan, kita dapati bahawa kesibukan dan keletihan itu hanya kosong.

Lalu, saya mencari jawapannya dalam agama. Saya mencari jawapannya dengan Allah dan Rasul-NYA. Sekurang-kurangnya, untuk diri saya sendiri, saya mendapat jawapan bahawa hidup yang satu hari lagi ini adalah untuk:

1. Menunaikan Solat Fardu Yang LIMAMensyukuri LIMA Perkara

2.  Untuk Mengusahakan LIMA Tujuan Hidup Manusia

3. Mensyukuri LIMA Perkara

Dalam kesibukan kerja dan dengan kelembapan sambungan internet pada waktu ini, inilah sekadarnya bual-bicara saya untuk kali ini. Insya Allah, bual bicara kita tentang 'Untuk Apa Sehari Lagi?' ini akan kita sambung pada bahagian kedua nanti.

Dengan mengharap kasih sayang Allah jua semuanya...

Ahad, September 16, 2012

"Abang Tidak Pernah Membuangmu, Sayang..."


"Abang Tidak Pernah Membuangmu, Sayang..."






Jika blog ini kekasih, itulah yang sedang saya katakan kepadanya sekarang;  
"Abang tidak pernah membuangmu, sayang. Abang hanya meninggalkanmu dan kini abang kembali kepadamu dengan tidak akan pergi lagi.." 

Hihi.. (-_^)

Saya sayang blog ini


Memasuki dunia blogging sejak tahun 2006, ini bukanlah blog pertama saya. Namun, jika hendak dikatakan di mana saya mendapat 'jatidiri' dan 'dapat tuning yang betul' sebagai seorang blogger; di blog inilah jawabnya. Di sinilah saya mendapat 'jatidiri' dan 'mendapat tuning yang betul' sebagai blogger.

Di blog inilah saya mengamalkan ilmu-ilmu dalam arena blog yang dikumpul sejak 2005. Malah sehingga ke saat ini, blog inilah yang terus mendidik dan membentuk saya sebagai seorang blogger dan penulis.

Tentang blog ini, kenangan-pengalaman dan kisah-peristiwa berkaitannya, amat banyak yang saya teruja mahu bercerita tentangnya. Namun, untuk kali ini, biarlah saya ungkapkan ia melalui sebaris ayat dengan empat kata, iaitu;

"Saya Sayang Blog Ini" 


Ditinggalkan tapi tidak pernah berhenti berfungsi 



Walau blog ini pernah tidak ditulis dan dikemaskini dalam tempoh yang agak lama, saya tidak pernah berhenti memantaunya. Juga, melalui email dan facebook saya terus-menerus mendapat kenalan baru yang baru menjumpai blog ini dan feedback berkenaan blog ini.

Antara yang agak terkini ialah dua feedback berikut, yang saya dapat pada bulan Jun dan Julai 2012:







Menyemak tool 'SITEMETER' pula, saya bersyukur kerana blog ini masih mendapat tempat dalam enjin carian terutama Google. Dari penjejakan yang dilakukan oleh SITEMETER itulah, saya mendapat tahu artikel-artikel yang pernah saya tulis dolu-dolu masih dibaca.




Ada antara artikel-artikel tersebut juga, masih mendapat komen dan respon daripada pelawat baru. 

http://ustazcahaya.blogspot.com/2010/02/tutorial-blog-cara-bagaimana-untuk_18.html?showComment


http://ustazcahaya.blogspot.com/2010/02/ucapan-cinta-penghuni-syurga.html?showComment



http://ustazcahaya.blogspot.com/2010/02/tutorial-blog-cara-bagaimana-untuk.html?showComment

Yang saya insafi dan pelajari 


Sebagai manusia, terdetik juga di hati saya bahawa alangkah indahnya jika saya tidak pernah silap dan culas dalam menulis blog ini. Namun, saya terima satu perkara, 'bahawa daripada menyesali, lebih baik memperbaiki..'. Dan hikmah pelajaran yang saya perolehi daripada kesilapan itu amat bernilai untuk terus membentuk diri saya sebagai seorang penulis dan blogger.

Mendapat tahu bahawa blog ini terus dibaca dan masih memberi manfaat kepada pembaca, saya menginsafi satu perkara;
"Inilah warisan saya yang akan terus dibaca sehingga nanti saya sudah tiada lagi di dunia ini.." 
Semoga apa yang bakal ditinggalkan ini ketika masa saya di dunia ini sudah berakhir nanti, termasuk amal baik yang terus-menerus dikira dan dinilai sebagai amal saya buat bekal ketika kembali bertemu Yang Maha Kuasa.



 “Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah ataupun ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya”
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lalu, dengan keinsafan dan rasa syukur itulah saya berazam untuk terus menulis dan berkongsi cerita dan bual-bicara di blog ini. Sementara masih ada hayat usia dikurniakan yang Maha Esa. Semoga Allah terus merahmati saya dan merezekikan saya untuk menulis dan terus istiqamah menulis di blog ini. Amin Ya Rabb al-Alamin.

Sungguh, limpahan kasih sayang Allah jua semuanya.. Alhamdulillah.

Jumaat, September 14, 2012

Jumaat Berbau Ubat (Syawal Saya Lebih Sehari)


Jumaat Berbau Ubat
(Syawal Saya Lebih Sehari)


(NewPeterPanBand - Bintang Di Surga. PeterPan memilih untuk bangkit kembali dengan album instrumental aka tanpa vokal. Namun, tidak menghukum - ..atau membuang- Ariel yang pernah melakukan kesilapan. Apapun itu kisah mereka yang saya ambil ialah karya mereka. Saya yang tidak pernah jemu mendengar lagu asalnya sejak bertahun-tahun dan tidak pernah jemu mendengar instrumental ini berulang-ulang sejak Ramadan yang baru berlalu)

Sama ada bagi umat Islam di tanahair Malaysia mahupun di Brunei, hari Jumaat hari ini adalah Jumaat terakhir bagi bulan Syawal tahun 1433H. Di Malaysia, hari ini adalah 27 Syawal 1433 kerana Malaysia menyambut satu Syawal pada 19 Ogos 2012. Sementara di Brunei adalah 26 Syawal 1433. kerana Brunei menyambut satu Syawal pada 20 Ogos 2012. Bermakna tahun ini saya mendapat bulan Syawal yang lebih sehari (Eh, ye ke? :p) kerana saya menyambut satu Syawal di tanahair pada 19 Ogos.

Bagi mereka yang telah lama membaca blog ini, tahu bahawa hari Jumaat adalah hari kesukaan saya. Kerana itu, dalam blog ini ada kategori artikel yang saya beri nama 'Post Khas Hari Jumaat'. Klik link di bawah untuk membaca artikel-artikel yang pernah saya tulis khas pada hari Jumaat.

Post Khas Hari Jumaat 

Jumaat hari ini membawa saya ke minggu pertama Syawal ketika kembali ke pangkuan keluarga sempena cuti raya di tanahair. Ibu merancang sesuatu untuk kami sekeluarga pada Jumaat pertama Syawal. Namun yang berlaku sebaliknya, Jumaat pertama Syawal yang baru berlalu, kami sekeluarga sibuk di hospital; kerana ibu dimasukkan ke wad.

Rindu ambuyat dan rancangan ibu untuk hari Jumaat 


Malam menjelang lebaran, saya dan adik perempuan kedua (yang belajar di Kuching) menyuarakan kerinduan kami kepada ibu; bahawa kami rindu mahu makan ambuyat. Lalu, ibu merancang supaya kami makan ambuyat pada hari Jumaat (6 Syawal 1433). Dan ibu meminta saya mengajak seorang teman rapat untuk bersama 'jamuan ambuyat' kami itu. Pasti seronok kata ibu jika teman itu ada bersama kerana ibu seronok melihat teman itu ketika makan.

Lalu ibu menceritakan tentang satu hari Jumaat seminggu sebelum Ramadan yang lalu. Ketika itu saya di Brunei dan teman itu datang ke rumah. Ibu menjamu teman itu dengan ayam masak merah masakan ibu (tanpa nasi kerana teman itu tidak mahu ibu menghidangkan nasi). Berselera sekali dia makan kata ibu. Dan ibu, dengan jiwa keibuan beliau suka melihat itu sebagaimana dia bahagia jika kami anak-anaknya menikmati masakannya dengan penuh berselera.

Jumaat Berbau Ubat 


Pagi itu, hari Khamis hari Raya kelima. Ibu ke pasar untuk membeli ikan, sayur dan ulam kegemaran saya dan adik-adik untuk dimakan bersama ambuyat pada Jumaat keesokan harinya selepas solat Jumaat. Sememangnya mood bercuti dan makan bersama sekeluarga selepas solat Jumaat sangat indah rasanya.

Sekembali dari pasar, ibu mengadu sesak nafas. Sememangnya ibu penghidap asma. Namun, kali ini agak luar biasa. Petang itu ibu pitam. Ibu dibawakan ke klinik dan doktor klinik meminta kami membawa ibu ke hospital. Selesai prosedur di Unit Kecemasan, ibu dimasukkan ke wad. Lalu pada malam Jumaat minggu pertama Syawal yang lalu kami sekeluarga sibuk di hospital.

Pagi Jumaat keesokan harinya, saya mengambil giliran menjaga ibu kerana adik perempuan pertama yang bekerja di bank kerajaan tidak dapat cuti raya. Adik perempuan yang kedua pula telah menjaga ibu semalaman tadi. Ibu menyuarakan kepada saya tentang rancangan Jumaat kami hari itu sebelum beliau terlelap. Ketika ibu lena, dengan di hidungnya tiub bantuan pernafasan, saya ingin mengambil gambar ibu tapi entah kenapa hati saya berat untuk melakukannya.

Lalu, buat mencantas masa yang terasa lambat bergerak dan hati yang dilanda galau dan risau, saya menganyam origami bintang. Lena ibu tidak lama. Kemudian datang doktor bersama jururawat dan pegawai farmasi yang semuanya wanita pelbagai bangsa di Malaysia; Iban, Cina dan India. Yang Melayu saja tidak ada kerana bercuti raya. Bertuah kerana mereka bertugas di wad yang staffnya pelbagai bangsa lalu dapat cuti raya. :)

... Limpahan kasih sayang Allah jua semuanya, Alhamdulillah.



(Ibu, adik perempuan pertama-kanan, adik perempuan kedua - kiri yang merupakan seorang bakal jururawat)



(Ambuyat. Petang Isnin, 9 Syawal 1433)



(Saya pagi tadi bersama anak-anak menyertai pertandingan Tausyeh antara cawangan-cawangan sekolah kami)


(Pertandingan Tausyeh antara cawangan sekolah Nusa Laila Puteri dan Nusa Jaya yang berlangsung pagi tadi di cawangan Gadong, Negara Brunei Darussalam. )


(Saya dan adik bongsu pada hari raya pertama)


(Saya dan anak-anak pada hari raya ke12-Malaysia, 11-Brunei)


(Untuk 'The KAF-FA Band')


Rabu, September 12, 2012

Pilihan...


Pilihan...




Ini adalah rakaman petikan gitar saya untuk saudara seagama di Rohingya.  Untuk lirik, kord gitar dan info lanjut klik link di bawah:

Salam Syawal 1433 Hijrah


Mereka yang dekat dengan saya dan mereka yang sudah membaca blog ini sejak 'dolu-dolu', sedia maklum bahawa saya adalah peminat HARRY POTTER. Saya membaca novel HARRY POTTER dan menonton filem HARRY POTTER; dan saya menikmati saat-saat melihat Harry, Ron dan Hermione membesar di depan mata. :)
............................................................................................................


"It is our choices that show what we truly are, 
far more than our abilities"

J.K. Rowling, penulis asal Harry Potter.


............................................................................................................

Saya sependapat dengan kata-kata J.K. Rowling di atas; penulis Harry Potter yang saya gemari itu. Nilai diri kita dan siapa kita yang sebenarnya ialah pilihan kita. Sekali pun kita memiliki segala apa yang diperlukan untuk melakukan sesuatu, tapi jika kita memilih untuk tidak melakukannya, kita tidak akan melakukannya.
Contohnya: 
Si A - Ada RM10, dan sedekah RM2.
Si B - Ada RM1000, dan sedekah RM2.
Jumlah sedekah yang mereka pilih untk keluarkan, itulah nilai diri mereka. 
Si B seratus kali memiliki yang lebih banyak dari Si A, tetapi dia memilih untuk melakukan (memberi yg sama banyak dgn si A).
Inilah antara apa yang saya perolehi dalam muhasabah dan uzlah saya pada bulan Ramadan yang baru berlalu. Bahawa, kita dikurniakan Allah dengan segala yang selayaknya dan sepatutnya yang sesuai dengan kita. Selebihnya, dengan segala apa yang kita miliki, nilai diri kita yang sebenar ialah apa yang kita pilih untuk lakukan. Dan, tentang pilihan inilah yang mengilhamkan saya menulis anekdot 'SAMURAI 765' di bawah:

Saudara pembaca yang dikasihi Allah, terima kasih kerana membaca artikel ini sehingga ke baris ini. Insya Allah, dengan keizinan dan kasih sayang Allah; saya akan terus menulis dan menjelaskan pada masa akan datang. Sekadar yang perlu awal diberitahu, kisah pendek ini diilhamkan dari ayat 286, Surah Al-Baqarah; ayat yang jarang lekang dari lidah saya sejak awal Ramadan 1433 yang lalu..

Dengan kasih sayang Allah, semua.. :)


............................................................................................................ 

'SAMURAI 765'


7 Tahun. Samurai menerima pedang kayu dari gurunya.
"Samurai kecil. Ingat ini. Engkau dilahirkan dalam kalangan orang-orang yang akan membentukmu menjadi samurai, kerana takdir Tuhan..", berkata gurunya.
17 Tahun. Samurai menerima pedang pertama dari gurunya.
"Samurai muda. Fahami ini. Engkau dibesarkan sebagai samurai kerana takdir Tuhan. Tuhan yang tahu dan mahu kamu selayaknya menjadi samurai..", berkata gurunya.
32 Tahun. Samurai itu kembali dengan luka parah dari sebuah perjuangan.
"Samurai. Genggam kata-kataku ini sekemas kau genggam hulu pedangmu. Tidak Tuhan jadikan engkau sebagai seorang samurai jika engkau tidak mampu menjadi samurai; Kerana Tuhan tidak membebankan hamba dengan tidak sesuai kemampuan hambaNYA.." 
"Samurai. Aku telah mengajarmu segenap ilmu yang ada padaku. Namun, tetap Ketika kau bertarung, semua gerak jurus dan libas tari pedangmu adalah pilihan dan ketentuanmu. Justeru, terima hakikat apa pun yang kau dapat, adalah dari perbuatanmu. Namun tetap ingat, semua tetap dalam Qudrat dan Iradat Tuhanmu.." 
"Samurai. Tiada wira yang tidak pernah kalah TAPI jadilah wira yang tidak pernah mengalah.." 
"Samurai. Sudah kuberi dan kuberitahu semua yang selayaknya untukmu semampuku. Ingatlah, dengan segala apa yang telah ada dan akan bertambah padamu.. Tetap, pilihan di tanganmu.."
7 Hari selepas lukanya dibalut  gurunya. 
Samurai itu mendapat penghormatan; menjadi pengusung paling depan jenazah gurunya ke tanah perkuburan. Dengan limpahan tulus doa dan linangan airmata, Samurai itu berkata..
"Akan kupilih semua yang baik-baik ayah guru; kerana Tuhan menciptakan baik buruk untuk hambaNYA mendapat kebaikan selagi hambaNYA memilih yang baik-baik".
............................................................................................................