30/05/2015

Latar Pendidikan Norudin Draman UstazCahaya


Latar Pendidikan
Norudin Draman UstazCahaya



(Bersama Cikgu Let Upit,
guru saya semasa saya di sekolah rendah.
Gambar latar rakan-rakan saya dari
The Bintulu Buskers)
Saya kira zaman kanak-kanak saya tamat pada tahun 1993 selepas saya habis darjah enam di Sekolah Rendah Orang Kaya Mohammad. Sekolah rendah tempat yang sama mak dan ayah saya bersekolah rendah dan merupakan sekolah Inggeris Melayu pertama dibuka penjajah di  Bintulu, Sarawak. Alhamdulillah, zaman kanak-kanak saya berakhir dengan mendapat keputusan 3A 1B dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Keputusan itu melayakkan saya menerima biasiswa Petronas sehingga saya Tingkatan Tiga.

Zaman awal remaja saya lalui selama tiga tahun di Sekolah Menengah Baru Bintulu, Sarawak. Sekolah menengah ini terletak dalam perkampungan nelayan di Bintulu yang dipanggil Kampung Baru Bintulu. Saya bersekolah di sini bermula di Tingkatan Satu pada tahun 1994 sehingga Tingkatan Tiga pada tahun 1996. Alhamdulillah, saya lulus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Namun, keputusan PMR saya tidak melayakkan saya untuk terus mendapat biasiswa Petronas sehingga Tingkatan Lima.

Bagaimanapun, dengan keputusan PMR saya yang sederhana itu, saya masih boleh masuk kelas aliran sains dengan elektif Lukisan Kejuruteraan. Namun, saya ambil keputusan untuk kekal di kelas aliran sastera dengan subjek elektif Ekonomi Asas, Sejarah dan Kesusasteraan Melayu. Saya bersekolah Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kerajaan Bintulu, Sarawak. Saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1998. Alhamdulillah, saya lulus SPM dengan agreget yang 'cukup-cukup makan' untuk dapat gred 1.

Selepas SPM, saya tidak terus 'sambung belajar' di Institut Pengajian Tinggi. Alhamdulillah, orang tua juga tidak mendesak. Seingat saya, dua tahun selepas tamat tingkatan lima saya bekerja dengan niat 'belajar dalam kehidupan'. Mula saya kerja jadi attendan pam minyak di stesen Shell. Tidak lama, ada dua kali dapat gaji waktu tu RM450. (Nanti kisah pengalaman kerja sambung di bawah).

Pada tahun 2000, saya berhijrah ke Kuching, Sarawak. Waktu itu saya sertai 'Kursus Asas Dakwah' dan persediaan bahasa Arab untuk pelajar bukan dari aliran agama. Tempatnya di Pusat Latihan Dakwah (PLD HIKMAH), Serian, Kuching, Sarawak.

Pendidikan formal saya tidak jauh dan tinggi. Dari PLD HIKMAH saya ke Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS). Sebuah institusi pendidikan milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di IKMAS saya mengikuti kursus Diploma Pengajian Islam dan Dakwah. Di IKMAS juga, kami setiap pelajar diwajibkan mengambil satu sijil kemahiran. Saya ambil sijil 'Kemahiran Pemprosesan Makanan'.

Sumber: http://norudindraman.blogspot.com/2015/05/salam-perkenalan.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan