Isnin, Ogos 29, 2011

Takbir Raya Yang Membuat Saya Ketawa


Takbir Raya Yang Membuat Saya Ketawa



Saya sampai di rumah petang tadi selepas waktu berbuka. Terkandas kerana hujan. Ketika ibu dan adik-adik bertanya tentang hari raya, saya dengan penuh yakin menjawab raya lusa. Hehehe. Kerana beranggapan satu Syawal tahun ini akan "dipakej" dengan hari merdeka. Tidak perlu cerita panjang, tidak sampai dua jam selepas itu, jawapan saya terbukti salah. (-_-)

Maka, bergemalah takbir raya di seluruh negara Malaysia malam ini. Saya pun menghantar sms ucapan selamat hari raya kepada rakan-rakan.

Mendengar alunan takbir raya secara adatnya akan membuat kita 'feeling'. Pelbagai rasa meresap di jiwa ketika mendengar takbir raya. Ada rasa sedih, terharu, bahagia, insaf dan pelbagai perasaan yang walau apapun perasaan itu, perasaan itu tetap indah. Perasaan yang hanya dapat dinikmati dua kali sahaja setahun.

Namun, tahun ini 'persepsi perasaan' (hoh, ada ke prosa ini?) terhadap takbir raya berubah sedikit. Ketika mendengar takbir raya malam ini. saya teringat kisah Rahman dalam novel Gelak Tergolek oleh Wann Azlan. Dan jujur, ingatan itu membuat saya ketawa. Haha. (-_^)

Saya kongsikan di sini apa yang membuat saya ketawa ketika mendengar takbir raya tahun ini. Semoga perkongsian ini membuat anda juga ketawa.

Selamat hari raya semua :)





Takbir Raya Yang Menggelikan Hati


"Abang sahur ke?" soal Maimun.

"lye, sahurlah."

"Hari ni dah rayalah sayang oi..." kata Maimun lalu tergelak mengekek.

Mak Hendon yang baru muncul pun turut tergelak sama.

"Astaghfirullahalazimm...." Rahman menepuk dahi. "Macam mana pulak boleh lupa da...."

"Dah nyanyuk kut. Padahal semalam abang jugak yang mula-mula tengok pengumuman raya," balas Maimun.

Selesai bersiap dengan pakaian baru, maka tibalah acara penting di pagi raya, iaitu bersalam-salaman dan bermaaf-maafan di ruang tamu.

Rahman sedikit terlewat kerana dia adalah orang yang terakhir mendapat giliran mandi tadi. Yang lain telah pun selesai bermaaf-maafan sebaik sahaja Rahman datang. Dengan tergopoh-gapah Rahman pun menghulurkan tangannya kepada Pak Brahim.

"Minta nafkah zahir dan batin, abah," katanya dengan merendah diri.

"Hah?" Pak Brahim terperanjat besar. "Kenapa abah?" Rahman kehairanan.

"Kamu minta nafkah zahir dengan batin apa hal? Aku ni laki kamu ke?" soal Pak Brahim.

"Eh, bukan. Saya nak minta maaf zahir dan batin, abah." Rahman terpisat-pisat malu. Dia mengerling ke sebelah.

Mak Hendon menjegilkan mata sambil mengerutkan dahi.

Maimun pula hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Manakala Imi hanya terpegun dengan matanya berkedip-kedip, mungkin dia tidak faham sangat apa yang mereka perkatakan.

...........

SETIBANYA di surau, takbir telah pun dialunkan. Nampaknya pagi masih awal lagi, jemaah pun hanya baru ada beberapa orang.

Rahman mengambil tempat di barisan paling hadapan. Dia mahu merebut peluang untuk mengalunkan takbir raya, yang hanya sekali setahun itu.

Apabila tiba gilirannya, Rahman menerima mikrofon dengan gembira. Dengan penuh semangatnya Rahman memulakan takbir.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."
Makmum pun menyambut.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd. "
Rahman menyambung takbir.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."

Maka makmum pun menyambutnya.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."

Rahman menyambung takbir lagi.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."

Makmum menyambut lagi.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."

Rahman meneruskan takbir di rangkap yang terakhir.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."

Rahman terdiam. Dia terlupa macam mana nak menutup takbir. Namun takbir itu juga disambut makmum.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Lailahaillallah huallahhuakbar, Allah huakbarwalillah hilhamd."

Rahman pun terpaksa bertakbir lagi dan Cuba mengingat penutupnya. Namun dia tetap gagal.

Manakala makmun pula tetap menyambut takbirnya. Situasi ini berlarutan sehingga berbelas-belas kali ulangan takbir.

Rahman sudah tidak tahan lagi. Suaranya sudah mula serak. Takkan dia kena bertakbir hingga nak sembahyang raya. Maka dia bertekad untuk menutup takbirnya kali ini.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, Asyhaduallailahaillallah, Waashaduanna Muhammadarrasulullah, Hayya 'alassolah, Hayya `alalfalah.... "

Peha Rahman ditepuk oleh orang sebelahnya. Rahman tidak menoleh, tetapi dihulurnya mikrofon kepada orang itu. Rahman menekup mukanya dengan tangan. Dia tahu, semua orang memandangnya kini. Biarlah.

Sebenarnya Rahman sedar yang penutup takbirnya itu adalah salah, tetapi dia nekad untuk menutupnya tadi. Aduh, malunya! Hati Rahman mengeluh panjang.
Orang di sebelah Rahman pun mengalunkan takbir dengan lunaknya. (-_^)


2 ulasan:

  1. salam Ustaz..
    kisah benar ke tu..
    memang kelakar membacanya..
    he he..


    Selamat hari raya Eidulfitri..
    maaf andai ada kesalahan antara
    kita..

    BalasPadam
  2. assalammualikum ustaz,

    kenapa rahman macam blur2 saja?
    apa sambungan cerita novel itu.boleh kongsikan lagi.

    BalasPadam