Memaparkan catatan dengan label Karya Saya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Saya. Papar semua catatan

04/11/2018

Hati Terbang Lagi


Hati Terbang Lagi
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Terbang dengan sayap yang cedera parah bertitisan darah bersama titisan air mata duka. Kau terpaksa kekal terbang tinggi pada tahap yang tidak kesampaian anak-anak panah musuh yang memanah dengan konsisten dari bawah. Seinci kau merendah boleh membawa padah.

Terus bertahan terbang tinggi dengan gayat, takut dan trauma hingga sampai ke tahap yang selamat; kau terbang merendah. Cecah kaki di tanah lalu rebah, termengah-mengah, menengadah dalam lelah. Baring rebah bersama pedih luka yang parah. Titis-titis hujan pula mula turun mencurah-curah menitis ke atas luka-luka yang parah... pedih tak terluah!

Dengan sisa tenaga dan senipis kulit bawang asa yang masih ada. Entah kau mengumam atau berbisik dengan suara yang hampir tiada. Lagu puisi yang kau gubah pada waktu terbang tinggi dengan sayap yang luka parah, kau nyanyikan dengan sumbang suara dan iramanya.


Lagu Puisi: Hati Terbang Lagi

Malam gelap diri tatap lagi lagi,
mahu susun bintang tulis mimpi.
Malam gelap diri tatap bulan lagi,
mahu gumpal awan lukis mimpi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Awan lukis lagi mimpi malam tadi,
pagi sinar suria padam semua.
Bintang tulis lagi mimpi malam tadi,
datang siang hari hilang pergi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Pipi ukir lagi wajah senyum ini,
getar debar rasa pendam semua.
Haiku tulis lagi simpul rasa hati,
lagu nyanyi diri dendang luah rasa.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Hati terbang lagi bawa sarat isi,
terbang tinggi-tinggi jatuh lonjak lagi.
Terbang tinggi lagi kaki jejak bumi,
dahi sujud lagi sembah agung Ilahi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

(C) Norudin Draman UstazCahaya, April 2013.


25/03/2018

Mati Karan dalam Kursus Telegram untuk Buku Pandai Al-Quran


Mati Karan Dalam Kursus Telegram 
Untuk Buku Pandai Al-Quran
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)



(Kad-kad KJ Method untuk bab-bab 
dalam buku Pandai Al-Quran)

Tiga hari (23-25 Mac 2018), saya mengikuti kursus di Telegram oleh Tuan Zamri Mohamad. Hasilnya, rancangan buku Pandai Al-Quran menjadi semakin baik. Semakin bertambah rasa berbaloi membayar yuran kursus ketika pada akhir kursus Tuan Zamri mencadangkan tambahan satu bahagian untuk buku Pandai Al-Quran.

Ibarat Kebun Terbiar Mahu Dijadikan Taman Lawatan

Sebenarnya, bahan-bahan untuk buku Pandai Al-Quran ini sudah tersedia, hanya tinggal lagi perlu disusun dengan baik. Isi buku Pandai Al-Quran adalah simpanan hasil kembara hijrah saya sebagai guru Al-Quran sejak tamat peperiksaan SPM. Kembara Hijrah dari Bintulu ke Kuching, kemudian ke Negara Brunei Darussalam dan berumah tangga di Sandakan, Sabah.

Oleh kerana merasakan bahan-bahan sudah ada di tangan, saya pernah sangat yakin buku ini boleh terbit pada bulan Februari 2018. Rupa-rupanya, ia tidak semudah itu. Bahan-bahan yang saya ada sebenarnya ibarat sebuah kebun yang saya tanam sejak tahun 1999 yang semak. Hasrat membukukan bahan-bahan kembara hijrah saya ibarat mahu menjadikan kebun semak samun yang dihiasi tinggi rumput dan lalang bertukar kepada menjadi taman untuk dilawati.


Berakhir kelas Telegram KJ Method oleh Zamri Mohamad, saya sedar satu perkara sangat penting. Bahawa kebun bahan-bahan berkaitan Al-Quran ini perlu dibersihkan terlebih dahulu. Dibahagi-bahagikan kepada zon dan dilabel sempadan zon-zonnya. Kemudian dikemaskan denai-denai yang tersusun untuk pelawat berjalan di dalam kebun ini. Ditambah lagi dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang perlu untuk pelawat menikmati lawatan di kebun Pandai Al-Quran ini. Akhirnya, ketika keluar dari kebun para pelawat ada hasil yang dibawa bersama.


Mati Karan dalam Kursus Telegram untuk Buku Pandai Al-Quran

Hari itu hari terakhir kursus Telegram KJ Method oleh Zamri Mohamad. Di luar pengetahuan saya, bekalan elektrik terputus di kawasan tempat tinggal kami. Di sini gangguan bekalan elektrik dipanggil 'Mati Karan'. Mengenangkan Anakku Pandai Al-Quran #qafbintinorudin tidak tahan kepanasan dan saya perlu menggunakan laptop, mahu tidak mahu kami perlu check in hotel.

Hujan mula turun ketika kami keluar dari rumah dan semakin lebat setibanya kami di hotel Benaria Bandar Prima Sandakan. Ikutkan waktu hujan seperti itu, tempat terbaik dan paling sedap untuk menulis adalah di rumah. Pada waktu inilah saya menguatkan hati bahawa semua ini adalah 'chobaan' dalam usaha menyiapkan buku Pandai Al-Quran.

Dalam perjalanan dari rumah ke hotel, soal wang berlegar-legar di kepala saya. Fikir punya fikir, saya bulatkan hati agar bersyukur. Syukur kerana pada ketika memerlukan seperti itu, ada wang untuk menyewa hotel. Menyewa hotel pula ada sebab yang munasabah.

Dalam keadaan hujan, ke manalah saya mahu membawa Qaf mencari aircond atau kipas angin? Malahan, masa saya sangat mahal sekarang untuk memuktamadkan perancangan bahagian dan bab dalam buku Pandai Al-Quran.

(Qaf bersama kawannya Chimme
di Hotel Benaria Bandar Prima Sandakan)

Bahagian dan Bab dalam Buku Pandai Al-Quran

Al-hasil daripada kelas Telegram KJ Method oleh Zamri Mohamad dan menyewa hotel Islamik Benaria, berikut adalah senarai muktamad bahagian dan bab dalam buku Pandai Al-Quran. 


Berbaki 20 hari bulan Rejab 1439 Hijrah, inilah perjuangan utama saya sekarang. Menyusun dan memperkemaskan simpanan dari kembara hijrah saya sebagai guru Al-Quran sejak tahun 1999, agar wujud menjadi buku Pandai Al-Quran.


JUDUL: PANDAI AL-QURAN

BAHAGIAN 1: Tentang Buku Pandai Al-Quran

Bab 1 Penulis Patah Kaki Ketika Pergi Mengaji
Bab 2 Kembara Hijrah Penulis Sebagai Guru Al-Quran
Bab 3 Dedikasi
Bab 4 Penghargaan
Bab 5 Harapan dan Matlamat

BAHAGIAN 2: Tentang Al-Quran

Bab 6 Sejarah Al-Quran
Bab 7 Tujuan Al-Quran Diturunkan
Bab 8 Ilmu-ilmu Berkaitan Al-Quran
Bab 9 Kategori Pembaca Al-Quran
Bab 10 Betul dan Salah Dengan Al-Quran

BAHAGIAN 3: Masalah Orang Bukan Arab Dengan Al-Quran

Bab 11 Tidak Tahu Cara Baca Yang Betul
Bab 12 Tidak Menjaga Panjang Pendek
Bab 13 Tidak Menggunakan Nun Wiqayah
Bab 14 Tidak Dapat Menahan Nafas
Bab 15 Tidak Faham Ayat Yang Dibaca

BAHAGIAN 4: Mitos Pandai Al-Quran

Bab 16 Mesti Belajar Timbunan Kitab Bertingkat-tingkat
Bab 17 Mengutamakan Hanya Membaca Sahaja
Bab 18 Tidak Semua Orang Mampu Mengajar Al-Quran
Bab 19 Bahasa Arab Itu Susah
Bab 20 Mesti Lidah Arab Untuk Pandai Al-Quran

BAHAGIAN 5: Lima Aktiviti Rasulullah (saw) Dengan Al-Quran

Bab 21 Mendengar Al-Quran
Bab 22 Menghafal Al-Quran
Bab 23 Membaca Al-Quran
Bab 24 Mengamalkan Al-Quran
Bab 25 Mengajarkan Al-Quran

BAHAGIAN 6: Cara Baca Al-Quran

Bab 26 Lima Cara Baca
Bab 27 Mahir Baca Al-Quran
Bab 28 Pelajaran Pertama Nabi Adam AS
Bab 29 Huruf Hijaiyah
Bab 30 Belajar Cara Baca Lima Surah

BAHAGIAN 7: Ilmu Tajwid Al-Quran

Bab 31 Apa Itu Ilmu Tajwid Al-Quran
Bab 32 Imam dan Makmum Atau Solat Sendiri?
Bab 33 Peta dan Pensel Warna
Bab 34 Belajar Dari Belakang
Bab 35 Ilmu Tajwid Sebelas Surah

BAHAGIAN 8: Faham Makna Bahasa Arab Al-Quran

Bab 36 Al-Quran Untuk Orang Bukan Arab
Bab 37 Tiga Asas Bahasa Arab Al-Quran
Bab 38 Faham Makna Setiap Huruf dan Perkataan
Bab 39 Solat Lebih Khusyuk
Bab 40 Kursus Bahasa Arab Satu Surah


04/03/2018

Tung Ma Bus Lama


Tung Ma Bus Lama




Alhamdulillah, lega pagi ini. 20 set Kad Aktiviti Nama Huruf Hijaiyah (KANHH) yang dipesan oleh Ustazah Siti Khadizah sudah selamat dihantar ke kuanter bus Tung Ma Ekspress. Menurut cerita isteri saya, syarikat bus Tung Ma ini adalah syarikat paling awal (lama) di Sabah dalam perkhidmatan bus ekspress. Saya sendiri pernah naik bus Tung Ma ini sekali sahaja. Kisahnya saya mahu melengkapkan perjalanan saya menaiki bus dari Kuching, Sarawak hingga ke Sandakan, Sabah.

Saya menulis post ini sambil menunggu kereta sedang dimandikan di The One Car Wash, Bandar Indah, Sandakan, Sabah. Di sebelah car wash ini ada kedai perabot Chan Furniture. Sekian lama hidup di Sandakan, di sinilah sahaja saya mencuci kereta. Sudah fitrah saya yang setia hehe. Berkaitan perkhidmatan saya beginilah, tidak suka bertukar-tukar jika satu tempat sudah 'ngam'.

Set KANHH Untuk Program GEGAQ 1.0

Sebelum ke sini tadi saya ke terminal bus Sandakan di Bandar Letat. Mengirim satu kotak kepada Ustazah Siti Khadizah di Kota Kinabalu. Isi kotak adalah 20 set 'Kad Aktiviti Nama Huruf Hijaiyah' bersama bonus senaskhah buku cerpen Cinta Pertama dan 10 set kad huruf IPN.

Alhamdulillah. Mudah berurusan dengan Ustazah Siti Siti Khadizah dan Program Gerak Gempur Al-Quran GEGAQ 1.0. Saya cuma minta deposit untuk modal bahan tetapi dibayar penuh. Terima kasih.

Bulan lepas saya ada beritahu designer Puan Ziadah Zainal Abidin nak design semula set Kad Aktiviti Nama Huruf Hijaiyah (KANHH) ini. Namun kerana pelbagai kesibukan sampailah kelahiran #qafbintinorudin perbincangan berlalu begitu sahaja.

(Sambung di rumah malam ini)

Festival Seni Beladiri Sabah Sandakan 2018

Siap kereta dicuci, saya melintasi sebuah pandu lalu restoren makanan segera membeli sebiji berger dan minuman sejuk. Kemudian menuju ke SMK Merpati Sandakan. Ada mesyuarat jawatankuasa pelaksana Festival Seni Beladiri Sabah Sandakan 2018 (FSBS Sandakan 2018). FSBS Sandakan 2018 merupakan sebuah festival seni bela diri terbesar di Negeri Sabah bakal berlangsung pada 17 dan 18 mac 2018. Tidak sampai 14 hari lagi.

Sampai di SMK Merpati, makan berger dulu dalam kereta. Sambil call isteri tapi tidak dijawab, mesti tengah sibuk dengan baby. Isteri whatsapp beritahu baby #qafbintinorudin sedang menyusu. Saya minta gambar. Rindu weh dengan anak sebab awal pagi sudah saya keluar tadi mencari sarapan.

Alhamdulillah, rezeki. Seorang sahabat dalam JK Pelaksana FSBS2018 membawa kuih Kek Batik Jawa. Teringat kisah pagi 8 Februari 2018 yang lalu. Saya post ke beberapa grup whatsapp mencari kek batik jawa di Sandakan ni agak susah ditemui. Isteri yang mahu pada waktu itu. Tak sempat mencari, dalam jam 11 begitu isteri call beritahu keluar air ketuban dan saya bergegas ke sekolah isteri.... dan lahirlah Baby #qafbintinorudin awal pagi 9 Februari 2018.

Sampai sini, saya sudah tidak terlarat mahu menaip. Lenguh sendi dan sejuk. Semamangnya sejak semalam saya rasa macam demam. Syukur tidak sakit kepala dan masih larat bergerak ke sana ke mari. Syukur juga barangkali disebabkan oleh demam, saya cukup dengan sarapan dua biji telur ayam rebus dan sekeping roti bakar masa sarapan tadi kemudian sebelum mesyuarat jam dua makan berger dan masa mesyuarat makan kek batik. Alhamdulillah kenyang sehingga saya makan tengah hari jam hampir jam 6 petang di Restoren Nusantara, Bandar Megah, Sandakan.

Mudah-mudahan semua lancar dan berkat. Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.





14/02/2018

Kotak Dari Rumah Adiwarna


Kotak Dari Rumah Adiwarna




Alhamdulillah. Siang tadi menerima kotak kiriman dari JS Adiwarna berisi naskhah buku Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama (tahun 2014). Cerpen karya saya berjudul 'Mari Kita Mengira Sayang' adalah antara 44 buah cerpen dalam antologi ini. Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama (tahun 2014). Editor: Mohd Rosdi Mohd Zin Noor Suraya Adnan Sallehudin.

Buku-buku dalam kotak ini adalah nilai royalti karya cerpen saya untuk cetakan kedua buku antologi ini. Bermakna untuk dapat duitnya, buku-buku ini perlu saya jual. (Whatsapp 016-8472303 untuk beli buku ini)

Puisi 'Mari Kita Mengira Sayang' saya tulis pada bulan Februari tahun 2012. Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' ditulis pada bulan Ramadan tahun 2014. Cerpen ini mendapat ilham dari bengkel matematik oleh Che Man yang saya sertai semasa masih bertugas sebagai guru di Negara Brunei Darussalam.

Bayaran royalti adalah pendapatan berterusan dari satu-satu karya atau hasil kerja penulis. Seperti yang saya tulis dalam blog ini pada minggu lalu, saya mesih menerima royalti dari sebuah buku karya saya sehingga enam (6) tahun selepas buku itu terbit. Malah, bagi penulis-penulis besar yang lain, mereka menerima royalti karya-karya mereka saban masa. 

Tidak dipengaruhi oleh angka besar atau kecil; bagi saya, mendapat hasil daripada karya sendiri mempunyai 'rasa' dan 'makna' yang besar. Hasil dari karya kita merupakan nikmat yang tidak terungkap oleh kata-kata.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | Instagram:
#marikitamengirasayang 
#ustazcahaya

Puisi:
Mari Kita Mengira Sayang
Satu, Sayang.

Kita hidup di dunia ini hanya satu kali,
namun bukan satu warna saja yang mewarnai dunia ini,
lihat sayang dunia ini dicorakkan oleh berjuta-juta warna warni,
lalu jutaan warna warni itu menjadikan indah dunia yang kita diami.

Dua, Sayang.

Tuhan menjadikan makhluk dan kejadian dua berpasang-pasangan,
lelaki wanita, susah senang, lemah kuat, mentari dan bulan,
maka sayang kita mesti sedia selalu menghadapi dua kemungkinan,
usaha dengan tidak lupa untuk tetap reda pada apa yang Tuhan suratkan.

Tiga, Sayang.

Dalam hidup ini tiga keadaan akan kita rasa dan hadapi,
dua keadaan itu akan silih berganti,
itulah sihat dan sakit yang bergilir datang dan pergi,
satu keadaan hanya akan kita hadapi sekali sayang, iaitu mati.

Empat, Sayang.

Andai hidup ini satu bentuk segi empat tepat,
kita mampu menukarnya menjadi bentuk piramid atau bulat,
selagi hidup dunia dapat kita ubah sayang tapi tidak nanti di akhirat,
bermujahadah kita kerana kita tidak akan kekal baik seperti malaikat
juga tidak kekal jahat seperti Iblis yang dilaknat.

Lima, Sayang.

Sebelah tangan kita ada lima jari,
ingat sayang pesan Baginda Nabi,
rebut lima sebelum lima itu pergi dan berganti,
moga kita sedar selalu tiada yang kekal dalam hidup ini.

Akhirnya, Sayang.

Untuk mengira 1+2+3+4+5=15, kita perlu ilmu kira-kira sayang.
Untuk menjadikan 1+2+3+4+5=150, kita perlu fikiran kreatif sayang.
Untuk membuat 1+2+3+4+5=(ada warna, rasa dan bau), kita perlu jiwa yang berseni sayang.

Sayang, Sayang.

Satu, dua, tiga, empat, lima,
baru satu hingga lima yang kita hitung dan kira.

Norudin Draman (UstazCahaya) 
Sabtu, 19 Februari 2012, 22:36:00

07/02/2018

Duit Dari Menulis (Memori dan Aktif Kembali)


Duit Dari Menulis
(Memori dan Aktif Kembali)



Memori Facebook (18 Januari 2013)

Terakhir tahun 2013 saya mengambil upah menulis untuk orang lain. Selepas itu pekerjaan di Negara Brunei Darussalam memakan banyak masa saya. Saya menghilang di dunia online.


Sebenarnya, awal tahun ini saya mahu bercuti seketika ambil upah menulis. Sehingga nanti terbit buku-buku yang dirancang sejak 2017 yang ideanya terkumpul sejak 2012. Namun, ya rezeki tidak pernah salah alamat. Alhamdulillah, rezeki saya dan rezeki client. Janji 'diskaun' tahun lepas 'mengikat' saya untuk terima job dari client tersebut yang saya panggil 'Kak M' (ganti nama sebenar).

Kisahnya, tahun lepas saya janji dengan Kak M untuk beri diskaun jika beliau upah saya lagi. Maka, ketika menerima mesej daripada Kak M di aplikasi Whatsapp ketika menunggu masuk waktu zuhur di Masjid Nurussyakirin Sandakan tengah hari semalam; ya pasti saya tidak boleh mengelak.

Petang tadi kami suami isteri makan agak lambat dalam jam 3 begitu. Sedang elok makan, masuk mesej Whatsapp daripada Kak M. Borak-borak sikit pasal deposit. Ya, saya terima saja deposit 1/3 daripada jumlah upah yang beliau tawarkan. Sampai rumah saya Whatsapp pula Kak M, beritahu saya cuba siapkan job sebelum isteri bersalin. Ya la, perlu duit tambah-tambah juga ni selain takut sibuk nanti. Hehe.

Duit Dari Menulis

Sebenarnya, antara periuk nasi saya sejak 2009 adalah dari kerja menulis. Pertama kali saya menikmati 'duit besar dari menulis' ialah ketika terbit buku saya Reformat Hatimu Dalam 354 Hari (RHD354H). Buku RHD354H diterbitkan oleh Karangkraf. Sebagai penulis yang buku kita diterbitkan oleh Karangkraf, kita akan dapat dua 'duit':

1) Royalti. Karangkraf terbaik dalam pembayaran royalti. Sekecil apapun nilai royalti kita untuk satu sesi jualan, kita tetap akan dibayar. Saya pernah terima paling kecil royalti RM200 pada tahun 2016 (selepas 6 tahun buku terbit pun masih dapat duit).

2) Untung terus ketika jual sendiri. Untuk buku RHD354H saya dapat RM10.30 jika jual sendiri buku tersebut.

Dari segi lain pula, buku RHD354H dapat masuk ke Karangkraf adalah dari keaktifan saya menulis di blog ini pada tahun 2008-2009. Malah, kandungan blog ini sendiri yang saya angkat dan adun kembali menjadi manuskrip buku RHD354.

Tahun 2017 Saya Kembali Ke 
Industri Duit Dari Menulis

Terakhir tahun 2013 saya mengambil upah menulis untuk orang lain. Selepas itu pekerjaan di Negara Brunei Darussalam memakan banyak masa saya. Saya menghilang di dunia online.

Sehingga 2017, bermula Januari terbuka balik periuk nasi saya dari dunia penulisan. Tanpa ragu dan tanpa tunggu, saya buka sendiri jalan 'duit dari menulis'. Bermula dari itu saya aktifkan kembali jiwa dan roh seorang 'penulis upahan' yang sudah lama tidur dalam diri ini.

Mei 2017, setelah sekian lama dan di tempat asing pula bagi saya; Alhamdulillah saya dapat mengadakan sebuah bengkel sehari semalam di pedalaman Sandakan. Ia bukan sekadar saya berceramah, malah saya lah juga yang tulis kertas kerjanya, design sijil, design sticker untuk folder para peserta, design banner dan poster dan lain sebagainya.

Suis-suis Yang Diaktifkan Kembali

Bengkel ini sangat menyalakan kembali sebuah daerah dalam jiwa saya yang sudah lama diam terpendam, iaitu daerah jiwa saya seorang freelancer online. Satu masa dulu, sejak tahun 2008 bukan sahaja menulis malah kemahiran-kemahiran men'design' dan menyediakan pelbagai keperluan dunia online adalah antara punca rezeki saya.

Julai 2017, saya buat page Facebook dan grup Whatsapp Nota Faham Solat. Antara sebabnya adalah kerana saya mahu menajamkan kembali kemahiran-kemahiran berkaitan yang rasanya banyak yang sudah tumpul. Terutama sekali kemahiran komunikasi dengan orang lain.

September 2017,  saya keluarkan Kad Aktiviti Nama Huruf Hijaiyah. Antara tujuannya adalah untuk mengaktifkan semula kemahiran penulisan ayat jualan, kemahiran membuat design, kemahiran komunikasi dan lain sebagainya.

Sehingga ketika saya menaip perenggan ini, saya sedang mengaktifkan kemahiran-kemahiran online freelancer yang saya pelajari sejak tahun 2006. Terbaharu, malam tadi saya menyiapkan web rasmi www.pendekarwalk.ml untuk sebuah program amal dalam Festival Seni Beladiri Sabah Sandakan 2018 yang bakal berlangsung bulan Mac nanti.

Cukuplah dulu untuk malam ini. Terima kasih kerana membaca sehingga ayat in
 i (^_^)√

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | Instagram
#dariblogustazcahaya
#pandaialquran
#ustazcahaya


Antara Projek Freelance Terkini Saya
Terbaharu, malam tadi saya menyiapkan web rasmi www.pendekarwalk.ml untuk sebuah program amal dalam Festival Seni Beladiri Sabah Sandakan 2018 yang bakal berlangsung bulan Mac nanti.

06/02/2018

Buku Bakal Terbit: Pandai Al-Quran


Buku Bakal Terbit: Pandai Al-Quran




Buku Pandai Al-Quran ini disusun dalam usaha memudahkan umat Islam yang bukan berbangsa Arab dan tidak belajar bahasa Arab; untuk menikmati bacaan al-Quran sebagaimana yang dinikmati oleh mereka yang tahu bahasa Arab.

Buku ini membantu bermula dengan panduan |Cara Baca| yang betul, |Ilmu Tajwid| yang perlu diketahui dan |Faham Makna| ayat Al-Quran yang dibaca.

Sesuai konsep memudahkan, ketiga-tiga pelajaran tersebut dipelajari sekali jalan bermula dengan surah An-Naas.


Sebagaimana judulnya sudah diringkaskan; persembahan (manuskrip) buku ini juga sedang dipermudahkan. Tujuan judul yang ringkas dan persembahan kandungan buku yang mudah, adalah untuk mempermudahkan proses belajar dan mengajar Al-Quran.

Semoga kita sentiasa terlibat dalam proses mengajar dan belajar Al-Quran, dalam usaha kita untuk menjadi hamba Allah yang baik.

Seperti dijanjikan oleh Rasulullah (saw):

Ø®َÙŠْرُÙƒُÙ…ْ Ù…َÙ†ْ تَعَÙ„َّÙ…َ القُرْآنَ ÙˆَعَÙ„َّÙ…َÙ‡ُ

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang
belajar al-Quran dan mengajarkannya”.

(Riwayat Bukhari, hadis nombor 5027)



Jemput LIKE, FOLLOW DAN SET SEE FIRST page UstazCahaya Al-Quran sebagai tanda sokongan kepada proses penerbitan Siri Buku Pandai Al-Quran.


#ustazcahaya
#pandaialquran


18/10/2017

Buku Cerpen Untuk Che Man


Buku Cerpen Untuk Che Man





Dipost oleh sahabat saya Che Man 
di Facebook petang tadi:

Petang tadi, sahabat saya Che Man menulis di Facebook tentang buku cerpen yang saya kirimkan kepada dia yang baru diterimanya. Buku Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama, terbitan JS Adiwarna tahun 2014. Cerpen saya yang berjudul 'Mari Kita Mengira Sayang' termuat dalam buku antologi cerpen tersebut. Saya mengenali Che Man ketika dia mengadakan bengkel matematik di sekolah tempat saya bertugas di Negara Brunei Darussalam dahulu. Bengkel matematik Che Man saya adaptasikan menjadi bengkel matematik Aidil dalam cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang'.

Saya menerima sijil penyertaan bengkel matematik Che Man.
Tahun 2014 di Negara Brunei Darussalam.

Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' pula dihasilkan dalam tempoh 36 jam. Gara-gara mengejar tarikh tutup penyertaan untuk menghantar cerpen bagi penilaian untuk Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama. Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' mengisahkan tentang cinta pertama Aidil dan Nina. Menggunakan plot yang ringkas iaitu ketika Aidil mengendalikan bengkel matematik di Rumah Kasih Kamariah, iaitu rumah anak yatim di mana Aidil dibesarkan. Bengkel tersebut, Aidil mulakan dengan mendeklamasikan puisi 'Mari Kita Mengira Sayang'.

Ketika Aidil dalam cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' mengendalikan bengkel matematik, Puan Saodah mengimbas kembali kisah cinta pertama Aidil dan Nina yang pernah ditentang oleh dia dan suaminya iaitu ayah Nina. Namun, ketika dia menyaksikan bengkel Aidil itu dia mendoakan agar cinta Aidil dan Nina bertaut kembali.

Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' saya tulis pada bulan Ramadan tahun 2014 masehi. Ditulis dalam hijrah di Negara Brunei Darussalam dikembangkan dari puisi saya yang berjudul 'Mari Kita Mengira Sayang'. Puisi 'Mari Kita Mengira Sayang' tulis pada bulan Februari 2012. Zaman awal hijrah ke Negara Brunei Darussalam.

'Mari Kita Mengira Sayang' adalah puisi kedua yang saya tulis awal tahun 2012. Percubaan menginspirasikan nombor sebagai bunga bahasa menjadi karya sastera; usaha mendekatkan matematik dan sastera yang dipisahkan oleh sistem pendidikan lama. Sedangkan ilmuwan Islam terdahulu, mereka ramainya adalah pandai bahasa juga adalah ahli sains dan matematik dalam masa yang sama.







26/09/2017

Tuhan Mahu Apa? (Puisi)


Tuhan Mahu Apa?
(Puisi)




Judul 'Tuhan Mahu Apa?' saya simpan sejak awal hijrah saya ke Sandakan, Sabah. Insya Allah, mahu dijadikan buku umum. Semasa membuat rujukan di perpustakaan pada hari Isnin tanggal 20 Mac 2017, spontan saya menulis puisi 'Tuhan Mahu Apa? ini ketika memerhati barisan pohon kelapa yang saya nampak melalui jendela dekat tempat saya duduk ketika itu.


Tuhan Mahu Apa?

Barisan pohon kelapa
berderetan di luar jendela
menangkap pandangan mata
menghidupkan pancaindera

Dipaut pandangan mata
kepada barisan pohon kelapa
di luar jendela
otak mencerna satu tanya
tentang 'Tuhan Mahu Apa?'

Tuhan Mahu Apa
untuk terciptanya 
pohon kelapa
yang diakui semua
banyak berguna

Begitu banyaknya guna
sebatang pohon kelapa
dan manfaat semuanya
adalah kepada manusia

Barisan pohon kelapa
di luar jendela
yang dipandang mata
membawa seluruh pancaindera
bersama segenap jiwa raga
jujur mencerna satu tanya
tentang 'Tuhan Mahu Apa?'
untuk terciptanya manusia
yang diberi sepasang mata
bersama pancaindera 
dan jiwa raga
yang pandangan matanya
memandang barisan pohon kelapa
di luar jendela.

(C) Hak Cipta Terpelihara
Norudin Draman UstazCahaya
Isnin, 20 Mac 2017
Perpustakaan Negeri Sabah
Cawangan Sandakan.



Selalulah bertanya diri, 'Tuhan Mahu Apa' dengan diberi-NYA kita hidup di dunia ini? Dalam kehidupan kita pula, sudah Tuhan suratkan dengan yang paling layak dan sesuai untuk kita. Tinggal lagi, bagaimana kita melaluinya. (Al-Baqarah: 286)

31/05/2015

Minat, Kemahiran dan Kepakaran Norudin Draman UstazCahaya


Minat, Kemahiran dan Kepakaran
Norudin Draman UstazCahaya


(Alhamdulillah. Semua juadah dalam hidangan ini saya masak sendiri)
Makan juga sendiri. Hehe ;)

Ditanya tentang kemahiran dan kepakaran, saya malu-malu dan serba salah untuk memberi jawapan. Hehe. Sebab saya belum mahir dan belum pakar. Namun, jika ditanya tentang minat, Insya Allah saya boleh jawab dengan jujur dan lancar.

Saya minat bidang pendidikan awal kanak-kanak (sebab saya suka zaman kanak-kanak dan suka kepada kanak-kanak). Malah, murid-murid mudah mesra dan manja dengan saya.

Saya juga minat bidang penulisan, komputer, muzik dan perniagaan. Juga, saya boleh memasak sikit-sikit sekadar untuk makan saya sendiri atau untuk menjamu mak ayah, adik-adik, saudara mara dan sahabat handai yang sudi menjamah masakan saya.

Selain itu, saya ada sedikit pengalaman dalam bidang pengucapan awam. Alhamdulillah, sejak jadi guru agama rakyat (selepas SPM), saya berpeluang menimba pengalaman bercakap di depan khalayak. Saya pernah jadi khatib yang menyampaikan khutbah, jadi penceramah, penyampai tazkirah agama dan menyampaikan ceramah motivasi di sekolah menengah dan Universiti Putera Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). 


(Rakaman gitar saya mainkan lagu 'Iktiraf')