Memaparkan catatan dengan label Motivasi dan Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi dan Kehidupan. Papar semua catatan

13/06/2019

Tersukut Tepi Tiang


Tersukut Tepi Tiang
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Kusimpan kenangan, bersama malam kecundang,
patah sayapnya kehampaan....

Patahnya Sayap Malam dari kumpulan Masa Scarecrow adalah lagu kegemaran saya sejak zaman kanak-kanak lagi. Sekolah rendah tahun 4 seingat saya. Zaman dengar radio transistor. Lagu Rock Kapak ciptaan Awang BPR itu memang berhantu. Tak habis feeling dengan lirik dan vokalnya sampaikan bunyi gitar bassnya juga membuat saya terbuai-buai penuh perasaan.

Imbas kembali lagu-lagu lama, saya percaya ia dimainkan sepenuh 'hati dan rasa' oleh semua mereka yang terlibat. Bassist pun bermain sepenuh hati bukan sekadar mencukup syarat untuk sebuah lagu ada bunyi bass semata-mata.

Itu dalam sebuah band rock untuk sebuah lagu. Apatah lagi dalam sebuah pasukan kerja atau bisnes. Semua orang dalam pasukan perlu memainkan peranan mereka dari hati yang penuh minat dan jiwa yang sarat rasa. Kefahaman saya, untuk sesuatu yang melibatkan pasukan atau kumpulan, jika semua orang dalam pasukan memainkan peranannya dengan sepenuh rasa hasilnya insya Allah luar biasa dan tahan lama.

Bagi sebuah lagu contohnya, tak jalan kalau vokalis menyanyi sepenuh hati tapi bassist tersukut tepi tiang dan petik tali bass hanya dengan jari tanpa hati yang ada minat dan jiwa tanpa rasa. Jika itu yang berlaku, baik vokalis itu menyanyi dengan instrumen kibod yang boleh menghasilkan bunyi bass sendiri.

Tersukut Tepi Tiang


"Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak
kepada pasangan taat dan setia;
tiadalah cinta tanpa taat dan setia"

Dalam Siri Post 3T kali ini saya memilih tajuk 'Tersukut Tepi Tiang' yang diinspirasi dari frasa dielek Sarawak 'tersukut' yang bermaksud 'terperuk' atau 'memencilkan diri' dan boleh juga dimaksudkan untuk 'dipulaukan' atau 'diketepikan'. 

Malam Jumaat yang penuh berkat ini, saya muhasabah diri. Ketika ditimpa musibah setahun yang lalu, saya mengambil peluang untuk melihat dalam-dalam ke dalam diri sendiri. Saya bertanya 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya daripada semua itu. 

Dalam keadaan diri yang sedih, saya melawan sakit lukanya hati dan jiwa. Saya tidak boleh lemah. Persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' saya fikirkan sepanjang masa.

Persoalan itu membawa saya memohon kepada Allah untuk meletakkan saya pada tempat yang betul. Persoalan itu membawa saya berfikir mahu membina diri untuk posisi terbaik yang sebenarnya Tuhan mahu untuk saya. Persoalan itu membawa saya merenung diri tentang peranan terbaik yang boleh saya tunaikan pada hari-hari mendatang. 

Jawapan untuk persoalan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan tidak terjawab sehari dua. Setahun yang lalu, saya bermula dengan keyakinan bahawa saya perlu melakukan yang terbaik dan menjawab dengan betul persoalan 'Tuhan Mahu Apa?'.

Meja Makan Sebagai Saksi Bisu


(Meja makan di rumah sewa saya. Gambar ini diambil dari tiang yang saya tuliskan
dalam post ini. Gambar ketika saya baru selesai membersihkan ruang
masak dan makan rumah sewa saya semasa cuti hari raya yang lalu) 

Tiang yang kaku pada sebuah rumah adalah komponen yang menjadikan sebuah rumah terpacak kukuh. Jam yang tergantung pada tiang itu pula bukan sekadar buat mencantikkan ruang tamu, ia juga menunjukkan masa dan waktu. Ditambah pula meja yang diletak di tepi tiang menjadi tempat letaknya mushaf al-Quran, pasu bunga, buku dan lain sebagainya.

Realiti saya sendiri, meja makan di rumah yang saya sewa ini terletak di tepi 'tiang seri' rumah. Saya anggap ia tiang seri kerana ia terpacak di tengah-tengah dalam rumah sewa saya ini. Meja makan tepi tiang dalam rumah sewa saya ini sarat memori dan makna kepada saya.

Di meja makan itulah bukan sahaja tempat saya makan dan minum. Di meja makan itulah saya membaca al-Quran, termenung, menconteng kertas membuat perancangan masa depan, menaip, menulis dan menonton video ceramah di Youtube.

Meja makan itu juga adalah saksi ketika saya berbual dengan ibu ayah dan adik beradik. Meja makan itulah juga tempat saya membuka dan membaca 'dokumen mahkamah syariah' yang dikirim kepada saya. Di meja makan itulah pada suatu malam, saya beritahu adik-adik keputusan saya untuk tidak melawan kerana saya memilih untuk menikmati masa depan dengan ibu ayah dan adik-adik.

Meja makan itulah saksi bisu ketika saya berjanji dengan adik-adik saya mahu membina hidup di Bintulu. Setahun yang lalu, meja makan itulah saksi bisu tekad saya untuk reda apa yang berlaku. Walaupun dalam keadaan tidak tahu pada hari mendatang apa yang menunggu tapi saya yakin penuh masa depan lebih baik ada dalam rahsia takdir Allah.

Di meja makan itulah juga saya menerima panggilan telefon yang membawa saya memasuki industri umrah. Dengan Bismillah, saya memulakan karier sebagai perunding umrah dengan keyakinan bahawa itulah tempat terbaik yang Tuhan mahu saya berada di dalamnya.
Tuhan Mahu Apa?

Insya Allah, dalam post-post mendatang di Blog UstazCahaya ini saya akan menulis tentang bagaimana saya 'move on' dan bangkit kembali selepas luka parah ditimpa musibah penghujung Ramadan 1439/ 2019.

Bagaimana saya membina hidup baru, mengulang kembali karier lama sebagai penulis dan perunding takaful dan memulakan karier baharu sebagai perunding umrah.

Bagaimana saya survival menyewa rumah, meminjam motorsikal adik ipar dan bergerak dengan menumpang adik-adik atau grab ketika bermula dari kosong setahun yang lalu sebelum pada Februari 2019 saya mendapat sebuah kereta baharu (Alhamdulillah).


Semuanya saya lalui dengan setiap hari 'menjawab' persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya.

Untuk malam ini, saya perlukan bantuan saudara yang membaca post ini. Jika saudara tidak mendapat manfaat daripada post ini, mungkin ada orang lain yang boleh mendapat manfaat post ini. Bantulah saya sebarkan Siri Post 3T dalam Blog UstazCahaya ini kepada orang lain. 

... Kerana setahun yang lalu, saya pernah berjanji kepada Tuhan untuk menulis post bermanfaat di Blog UstazCahaya ini selama hayat dikandung badan. 

Mohon, bantulah saya menulis post bermanfaat dan menyebarkannya kepada orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya. 

Semoga Allah mengasihi kita semua. Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin. 

Baca #siripost3T pertama di https://www.ustazcahaya.com/2019/06/terkenang-tiap-tahun.html

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya







11/06/2019

Terkenang Tiap Tahun


Terkenang Tiap Tahun 
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Saya -jubah kelabu kopiah putih- di Bukit Pemanah (Jabal Rumat)
di hadapan Bukit Uhud pada 29 April 2019 yang lalu
)

Bismillah.

Ini adalah siri pertama post dengan tajuk kombinasi perkataan 3T untuk Blog UstazCahaya. Sejak penghujung Ramadan yang lalu, saya telah menyenaraikan seberapa banyak tajuk 3T yang saya mampu. Ianya bermula dari perkataan 3T yang menjadi gurauan kami beberapa orang sahabat pada penghujung Ramadan yang lalu. Insya Allah, kisahnya nanti pada post lain saya ceritakan. Post pertama ini bernuansa sedih, tidak sesuai untuk saya tulis tentang itu.

7 Syawal. Hari ini pada tahun ke-3 Hijrah adalah tarikh berlakunya Perang Uhud. Gambar pada permulaan post ini adalah ketika saya berada di Bukit Pemanah (Jabal Rumat) di hadapan Bukit Uhud pada 29 April 2019 yang lalu. Maka, dengan nama Allah saya memulakan Siri Post 3T di Blog UstazCahaya dengan post 'Terkenang Tiap Tahun' ini. 

Perang Uhud membuat jatuh air mata saya. Berdiri di tanah tempat terjadinya perang itu, saya mengenang diri. Ia tentang cinta, taat dan setia. Taat dan setia itu lahir dari cinta; cinta yang suci itu harganya adalah taat dan setia.

Cinta kepada Rasulullah (saw) adalah sebab mengapa 700 orang sahabat sanggup keluar dari kota Madinah menuju ke Bukit Uhud. 700 orang yang sarat cinta, taat dan setia kepada Nabi Muhammad (saw) sanggup keluar untuk menghadapi 3000 orang pasukan kafir Mekah.

Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak kepada pasangan taat dan setia. Tiadalah cinta tanpa taat dan setia. Apatah lagi dalam pasukan perang; pun begitu dalam pasukan kerja, rakan niaga dan lebih-lebih lagi kepada pasangan suami isteri. Tiadalah cinta tanpa taat dan setia.

10 Jun 2018 hingga 10 Jun 2019


(Jangan Takut Kita Punya Allah. Buku ini saya beli di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Sabah setahun yang lalu, iaitu pada 10 Jun 2018.
Hari ini 10 Jun 2019, saya mengeluarkan buku ini dari almari dan memulakan ulang baca) 

Alhamdulillah, saya menyambut kedatangan 1 Ramadan 1440 (tahun 2019) di bumi berkat Mekah al-Mukarramah. Bumi yang di sana tersergam sebuah bangunan empat segi bernama Kaabah yang menjadi kiblat semua umat Islam seluruh dunia ketika mendirikan solat.

Setahun yang lalu, saya tidak pernah terfikir bahawa antara dua Ramadan (1439H/ 2018M hingga 1440H/ 2019M); saya direzekikan Allah untuk dua kali berada di Tanah Suci Mekah ini. Pertama pada bulan Disember 2018 dan kedua pada bulan Mei 2019.

Setahun yang lalu, saya tidak pernah tahu bahawa saya akan jadi seperti saya hari ini. Setahun yang lalu, saya tidak pernah tahu bahawa saya akan memiliki apa yang sedang saya miliki hari ini. Maka demi Allah, saya insaf bahawa saya hanyalah hamba yang tidak pernah tahu masa depan waima sesaat selepas ini sekalipun. 

Setahun yang lalu, apa yang saya tahu hanyalah saya perlu terima 3T dari Tuhan, iaitu; 'Takdir Telah Tertulis'.

Setahun yang lalu, saya menginsafi diri bahawa saya adalah hamba Allah yang pada kehidupan saya ada suratan jalan hidup yang Telah Tuhan Tetapkan untuk saya lalui.

Setahun yang lalu, dalam luka parah dan lemah saya tekad untuk melalui Takdir Tetapan Tuhan ke atas saya dengan sehabis baik yang saya mampu.

Sampaikan Hamba Ke Kaabah, Ya Allah!

Awal pagi (dalam jam 2 pagi) 9 Jun 2018, dua orang sahabat menghantar saya ke Labuk Hotel Sandakan. Di dalam sebuah bilik hotel itulah saya mengurung diri, menangis menahan sakitnya luka parah yang saya terima pada malam 8 Jun 2018.

Malam itu adalah penghujung Ramadan 1439/ 2018. Salam musibah dilaung dari pagar rumah ketika saya melipat pakaian untuk dibawa balik ke Bintulu untuk berhari raya. Salam itu membawa kepada adegan cabar mencabar dan hina menghina sehingga saya diludah di depan pagar rumah. Berlanjutan sehingga ke balai polis.

Allah. Allahu Akbar. Allahu Akbar Kabira.

Berdegup kencang jantung dalam dada saya ketika menulis bait-bait di atas. Cukuplah setakat itu.

10 Jun 2018, dengan penerbangan pagi saya terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Sementara menunggu penerbangan Kota Kinabalu ke Miri saya melangkah ke sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Buku pertama yang menangkap pandangan mata saya adalah buku itu. Sebuah buku berjudul 'Jangan Takut Kita Punya Allah'.



Sejak itu, saya selalu membayangkan Kaabah. Kita biasa dengar bahawa doa orang teraniaya tidak dihisab lalu saya berdoa pada waktu itu. Dengan kepercayaan bahawa saya sedang teraniaya dan mengharap mustajabnya doa, saya berdoa; "Ya Allah, sampaikanlah hamba ke Kaabah sebelum Syawal tahun depan"; (yang saya maksudkan adalah Syawal 2019m/ 1440h).

Sunguh-sungguh saya berdoa pada waktu itu dengan perasaan yang andai kata saya punya wang yang cukup waktu itu juga saya mahu ke Kaabah. Saya mahu sujud dan rebah di depan Kaabah. Di depan binaan batu empat segi yang Allah tetapkan untuk menjadi kiblat solat kita itu saya mahu tersungkur dan mengaku bahawa saya hanyalah hamba-Mu Ya Allah.

Saya ingin bermunajat di depan Kaabah dengan bait-bait ayat berikut:

"Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami. Tiada Tuhan selain Engkau.  Engkau yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami berada dalam perjanjian dengan-Mu menurut kemampuan kami. 

Ya Allah, kami berlinding dengan-Mu daripada kejahatan. Kami mengaku segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Kami mengaku segala dosa-dosa kami. 

Ampuni kami Ya Allah. Kami memohon Engkau ampunilah kami kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau"

Alhamdulillah. Alhamdulillah Rabb al-Alamin. Subhanallah wa bihamdih. 

Doa saya makbul, malah tidak pernah saya menyangka saya akan sampai ke Kabaah dua kali antara dua Syawal 1439 dan 1440. 

Batu-bata Kaabah

"Sebesar rumah bermula dengan sekecil bata, boleh hilang dalam sekelip mata" tulis Malique dalam lagu Alhamdulillah. 

Ketika saya membayangkan Kaabah, saya membayangkan ia adalah sebuah bangunan empat segi yang terbina daripada susunan batu-batu. Fikiran saya membawa saya teringat ketika suatu masa dahulu, pada bulan Ramadan jugalah; kami berkumpul di rumah rakan sekerja di Negara Brunei Darussalam.

Waktu itu, ketika membakar ikan saya perhatikan air yang jatuh ke batu-bata yang menjadi 'kaki' pagar dawai tempat membakar ikan. Waktu itu saya terilham satu perkara. Hati biar teguh seperti batu bata. Ketika kering dia tidak hancur disiram air. Ketika panas ia malah menyejatkan air.

Saya membayangkan batu-batu Kaabah. Bukan batu permata, bukan batu belian, bukan juga logam berjenis emas, titanium atau timah; hanya batu bata dari tanah. Namun, Tuhan jadikan Kaabah sebuah bangunan batu yang mulia yang dikunjung manusia setiap masa.

Setahun yang lalu, saya tidak tahu apa yang ada pada hari-hari mendatang dalam hidup saya. Apa yang saya tahu, saya berpegang kepada surah Ad-Dhuha dan surah Al-Insyirah - dua surah yang turun bergandingan ketika Rasulullah (saw) sedang sedih, sangat sedih. 

Firman Allah dalam awal surah Ad-Dhuha, "Demi waktu dhuha dan malam yang telah berlalu". Saya pegang waktu itu bahawa Dhuha adalah waktu indah yang datang selepas gelapnya malam. 

Dan janji Allah kemudiannya dalam surah Al-Insyirah, "Maka sesungguhnya bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan dan bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan".

Kepada mereka yang menzalimi saya pada bulan mulia Ramadan yang lalu, saya sudah lama menyerahkan mereka kepada Allah. Saya juga menyerahkan diri saya sendiri sepenuhnya kepada Allah, semoga ALLAH tetap memelihara dan mengasihi saya.

Terima kasih kepada semua yang bersama saya, membantu saya dan mengangkat saya bangkit kembali. Setiap kali ke Mekah, saya doakan agar kalian dikasihi Allah dunia akhirat.

Doakan saya istiqamah menulis Siri Post 3T ini dan semoga ia menjadi siri yang bermanfaat dunia akhirat.

... kerana setahun yang lalu saya pernah berjanji banyak kepada Tuhan, salah satu janji itu adalah untuk menjadi hamba-NYA yang memberi manfaat kepada orang lain.

Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya


(Saya di rumah rakan sekerja di Negara Brunei Darussalam pada bulan Ramadan/ Julai tahun 2013. Waktu itu kami memancing dan memanggang ayam sambil menunggu waktu berbuka, Dapat ikan pancing kami buat ikan bakar)

Setahun yang lalu, apa yang saya tahu hanyalah saya perlu terima 3T dari Tuhan, iaitu; 'Takdir Telah Tertulis'.

Setahun yang lalu, saya menginsafi diri bahawa saya adalah hamba Allah yang pada kehidupan saya ada suratan jalan hidup yang Telah Tuhan Tetapkan untuk saya lalui.

Setahun yang lalu, dalam luka parah dan lemah saya tekad untuk melalui Takdir Tetapan Tuhan ke atas saya dengan sehabis baik yang saya mampu.

Doakan saya istiqamah menulis Siri Post 3T ini dan semoga ia menjadi siri yang bermanfaat dunia akhirat.

... kerana setahun yang lalu saya pernah berjanji banyak kepada Tuhan, salah satu janji itu adalah untuk menjadi hamba-NYA yang memberi manfaat kepada orang lain.

Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.


31/12/2018

Untuk Apa Setahun Lagi?


Untuk Apa Setahun Lagi?
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Merancang tahun 2019 di hadapan Kaabah)

Dari sekalian banyak hamba Allah yang dijemput ajal sepanjang tahun 2018; saya dan saudara yang membaca post ini, mendapat peluang untuk sekali lagi hidup sehingga tahun Masehi bertukar angka. Bagaimanapun, esok lusa belum tentu lagi. Siapakah antara kita dapat menjamin masih hidup lagi sehingga 2019 bertukar ke 2020 setahun lagi. Dalam tempoh setahun dengan 365, setiap hari-hari kita adalah antara hidup dan mati. 

Mengingat kematian, memandang diri dan wajah-wajah kesayangan; saya merasakan bahawa dapat hidup sehari lagi sebagai satu nikmat yang besar sekali maknanya. Betapa jika ditanyakan saya, 'apakah saya sudah bersedia untuk mati?'; jujur sekali, jawapan saya ialah 'belum sedia untuk mati'.

Melihat sudut cerah dan indah kehidupan. Hidup di bahagian bumi yang aman. Hidup dengan tidak menghadapi susah payah untuk minum, makan, bergerak dan berkomunikasi. Hidup dalam keadaan yang mudah untuk melakukan ibadat yang wajib mahupun sunat.

Memandang juga sudut suram dan muram dalam kehidupan. Kewajipan yang belum sepenuhnya dilaksanakan. Impian dan cita-cita yang belum kesampaian. Hutang piutang yang perlu dilunaskan. Janji-janji yang belum ditunaikan; dan lain sebagainya.

Kedua-dua belah sudut kehidupan itu, yang jika kita fikirkan akan menginsafkan kita bahawa betapa besarnya nilai hidup setahun lagi di bumi ini. Justeru kerana besar nilainya itu, kita perlu selalu mengingatkan diri sendiri agar berfikir tentang 'untuk apa setahun lagi dalam kehidupan ini...?'

(Pemandangan dari bilik kediaman saya bersama rakan petugas.
Tingkat 15, Hotel Pullman Zam-zam, Menara Jam, Mekah)

Setiap hari yang kita mulakan, akan kita tinggalkan. Setiap hari yang kita tinggalkan, kita semakin menghampiri apa yang dinamakan kematian. Sesungguhnya, menyedari hakikat itu sewajarnya kita memikirkan untuk apa hidup yang satu hari lagi yang kita miliki ini. Tidaklah hidup ini untuk dibiarkan berlalu begitu saja. Tidaklah hidup ini untuk kita tenggelam dalam kesibukan yang meletihkan, tetapi pada saat kembali kepada Tuhan nanti, kita dapati bahawa kesibukan dan keletihan itu hanya kosong.

Lalu, saya mencari jawapannya dalam agama. Saya mencari jawapannya dengan Allah dan Rasul-Nya. Rezeki menjadi petugas umrah lalu berkesempatan menikmati penghujung tahun 2018 di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya gunakan untuk muhasabah diri. Saya ambil kesempatan merancang tahun 2019 di hadapan Kaabah. Saya berdoa di tempat-tempat mustajab doa yang dijanjikan oleh Rasulullah saw. 

Sekurang-kurangnya, untuk diri saya sendiri, saya mendapat jawapan bahawa hidup yang satu tahun lagi pada tahun 2019 adalah untuk:

1. Menunaikan Solat Fardu Yang LIMA

2. Mengusahakan LIMA Tujuan Hidup Manusia

3. Mensyukuri LIMA Perkara

4. Hidup dengan selalu bertanya 'Tuhan Mahu Apa?'

5. Menunaikan hak dan mengembalikan hutang kepada diri sendiri dan orang lain yang berhak.

Dengan selalu mengharapkan hidayah dan pertolongan Allah, saya memohon doa agar segala perancangan untuk tahun 2019 dapat dilaksanakan dengan baik. Semoga saya konsisten dan selalu bertambah baik dalam menjalani hari demi hari yang bakal mendatang pada tahun 2019.

Allahumma shalli 'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad. Amin Ya Rabb al-Alamin.




Rezeki menjadi petugas umrah lalu berkesempatan menikmati penghujung tahun 2018 di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya gunakan untuk muhasabah diri. Saya ambil kesempatan merancang tahun 2019 di hadapan Kaabah. Saya berdoa di tempat-tempat mustajab doa yang dijanjikan oleh Rasulullah saw. 


Tidaklah hidup ini untuk dibiarkan berlalu begitu saja. Tidaklah hidup ini untuk kita tenggelam dalam kesibukan yang meletihkan, tetapi pada saat kembali kepada Tuhan nanti, kita dapati bahawa kesibukan dan keletihan itu hanya kosong.


Sekurang-kurangnya, untuk diri saya sendiri, saya mendapat jawapan bahawa hidup yang satu tahun lagi pada tahun 2019 adalah untuk:

1. Menunaikan Solat Fardu Yang LIMA

2. Mengusahakan LIMA Tujuan Hidup Manusia

3. Mensyukuri LIMA Perkara

4. Hidup dengan selalu bertanya 'Tuhan Mahu Apa?'

5. Menunaikan hak dan mengembalikan hutang kepada diri sendiri dan orang lain yang berhak.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com


01/11/2018

Satu 11 (Cinta Ditolak Di Tangga McD)


Satu 11 (Cinta Ditolak Di Tangga McD)
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Status Facebook saya pada 1 November 2016
)

Memori Facebook mengingatkan saya kepada 1 November 2016 dua tahun yang lalu. Pada hari itu bersamaan 1 Safar 1438 Hijrah, saya terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu dan bermalam di Kota Kinabalu. Hari ini 1 November 2018 bersamaan 24 Safar 1440 Hijrah, saya sudah hampir 5 bulan kembali ke Bintulu.

Insya Allah, dalam 30 hari lagi saya akan terbang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah. Perjalanan umrah saya insya Allah pada 1 hingga 10 Disember 2018. Subhanallah wal hamdulillah, tarikh yang sangat indah dan bermakna sekali. 1 Disember ketika terbang ke Mekah adalah tarikh hari lahir ibu saya. 10 Disember ketika terbang dari Mekah kembali ke Malaysia adalah tarikh lahir ibu yang melahirkan anak kesayangan saya QAF binti Norudin.

Dalam kesibukan harian sekarang sebagai perunding umrah, antara keutamaan saya adalah untuk membersihkan diri dan menjadi tetamu Allah dalam keadaan yang terbaik yang saya mampu. Salah satu doa yang saya simpan untuk nanti didoakan di depan Kaabah adalah permohonan semoga Allah mengizinkan saya untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 1440 hijrah (2019). Jika dikira logik, hampir tidak logik dari segi kewangan, namun ini adalah keyakinan paling tinggi saya kepada Allah, Tuhan sekalian Alam yang bagi-Nya tiada yang tidak logik jika Dia perkenan mengizinkan.



Cinta Ditolak Di Tangga McD

Kembali ke dua tahun yang lalu, iaitu pada 1 November 2016. Catatan ini saya simpan di Facebook dengan setting privasi 'Only Me'. Catatan yang saya tulis dua tahun yang lalu.

Hari ini saya musafir bersamaan tarikh 1 Safar 1438 Hijrah. Setiba di KK pagi tadi dari Sandakan, saya ke kuanter AirAsia KKIA kerana masalah tiket. Dek kerana tiket ada masalah maka cancelled sahajalah. Petua pengalaman saya, kiranya perjalanan ada halangan janganlah dipaksa-paksakan. Tukarlah jalan.

Lalu saya beli tiket airport bus yang berharga RM5; bersamaan jimat RM25 dibanding menaiki teksi. Naik airport bus ke Padang Merdeka Kota Kinabalu. Usha bus ekspress ke Sarawak. Paling cepat esok jam 8 pagi KK-Sarawak.

Walaupun dihitung kira dengan belanja hotel untuk malam ni, kira kos sama lebih kurang dengan harga tiket kapal terbang yang cancelled itu. Namun, rasanya macam lama tak fefeeling dalam bus ekpress perjalanan jauh. Sumbat telinga dengan earphone, sambil menikmati keindahan alam semulajadi Sabah-Brunei-Sarawak.

Eh, tajuk tadi pasal cinta yang ditolak di tangga McD, cerita bas pula yang panjang. Ya selepas ke kaunter AirAsia, saya naik ke McD untuk mendapatkan McD breakfast. Di tangga elektrik ternampak sejambang bunga terbuang. Uina, anduk bha. Kasian. Cinta siapalah yang ditolak ini? Atau mungkin pasangan yang bergaduh yang usaha memujuk dengan jambangan bunga tidak berjaya.

Sepanjang meikmati McD breakfast, saya sumbat telinga dengan lagu Faizal Tahir - Sejati. Menurut Faizal dalam iklan radio yang selalu saya dengar ketika memandu kereta, lagu Sejati ini bertemakan cinta manusia dengan Tuhan.

Biar matiku mencuba demi bahagia,
biar nadiku terhenti demi ke syurga.


06/01/2018

Tujuh (7) Tahun: Dari 2011 ke 2018


Tujuh (7) Tahun: Dari 2011 ke 2018



Bulan Februari dalam tahun 2018 ini merupakan bulan yang mendebarkan untuk saya. Februari 2018, bulan yang membuatkan kadang-kadang saya risau dan galau tetapi sering membuat semangat saya membara dan menyala; bulan yang saya mengerahkan seluruh fikiran, perasaan dan jiwa raga saya kepadanya sejak Julai 2017. Bulan Februari 2018, detik yang saya tuju dengan penuh harap, doa dan usaha.

Bermula Julai 2017

Bermula bulan Syawal iaitu Julai 2017, saya mulakan Kelas Faham Solat di surau Saidina Abu Bakar As-Siddik, Taman Pohing, Batu Sapi, Sandakan, Sabah. Kelas yang merupakan kuliah maghrib mingguan ini saya niatkan sebagai sedekah untuk menyambut Februari 2018. Kelas yang saya jalankan sepenuh komitmen dan sediakan salinan Nota Faham Solat untuk para jamaah yang menyertainya; dengan tanpa mengambil apa-apa bayaran daripada pihak surau. Seikhlasnya, Kelas Faham Solat ini adalah sedekah saya dalam bentuk tenaga, ilmu, waktu dan wang ringgit. Semuanya untuk Februari 2018 dengan kepercayaan sepenuhnya kepada 'keajaiban sedekah'.

Pada bulan Julai 2017 juga saya menyiapkan versi pertama set bahan bantu mengajar Al-Quran untuk kanak-kanak, iaitu set 'Kad Akviti Nama Huruf Hijaiyah' (KANHH). Set ini sebenarnya saya sediakan untuk 'kehadiran yang dinanti' pada bulan Februari 2018. Alang-alang sudah disediakan, saya lancarkan set 'Kad Akviti Nama Huruf Hijaiyah' (KANHH) untuk dipromosikan kepada masyarakat sejak Ogos 2018.

Kemudian, melihat keperluan kepada satu lagi kelas untuk surau Taman Pohing, saya mulakan pula Kelas Tajwid seminggu sekali. Juga sama seperti Kelas Faham Solat; kelas tajwid yang saya jalankan sepenuh komitmen dan sediakan salinan Nota Pandai Al-Quran untuk para jamaah yang menyertainya; dengan tanpa mengambil apa-apa bayaran daripada pihak surau. Seikhlasnya, Kelas Pandai Al-Qutan ini adalah sedekah saya dalam bentuk tenaga, ilmu, waktu dan wang ringgit. Semuanya untuk Februari 2018 dengan kepercayaan sepenuhnya kepada 'keajaiban sedekah'.


Ada Apa Dengan Februari 2018?

Insya Allah, ada dua kelahiran yang saya tunggu penuh debar pada bulan Februari tahun 2018 ini. Penantian yang saya melangkah kepadanya dengan penuh harap, doa dan usaha sejak Julai 2017. 

Pertama, insya Allah bulan Februari 2018 adalah bulan kelahiran cahaya mata kedua saya dan puan isteri terchenta. Kandungan pertama tahun 2016 dahulu keguguran ketika empat bulan kandungan. Bermakna, Februari ini akan lahir anak pertama kami suami isteri namun juga merupakan kandungan kedua semenjak pernikahan kami.

Sedikit tentang cahaya mata yang dinanti penuh debar di hati ini. Nama yang indah untuknya sudah saya sediakan. Nama yang membuat saya susah melelapkan mata hampir seminggu untuk memikirkannya. Al-hasilnya, Allah mengilhamkan saya nama dari huruf QAF (قاف ). Nama penuhnya, nanti diumumkan ketika tiba saat waktunya.

Kedua, pada bulan Februari 2018 nanti sebuah buku baharu dari saya sebagai penulis bernama Norudin Draman UstazCahaya bakal terbit. Insya Allah, yang bakal disusuli oleh buku-buku seterusnya yang membawa nama Norudin Draman UstazCahaya sebagai penulis buku sejak tahun 2010.

 
Dari Tahun 2011 ke Tahun 2018

Setepatnya, insya Allah buku baharu saya bakal terbit pada 11 Februari 2018. Cantik nombornya 11.02.2018 kerana dapat disusun menjadi 2011-2018. Tujuh tahun. Tujuh tahun kehidupan yang membawa diri saya mengembara dari Sarawak ke Negara Brunei Darussalam kemudian ke Sabah.

Alhamdulillah. Segala puji syukur kepada Allah Tuhan sekalian alam. Tujuh tahun kembara yang menempa diri saya. Tujuh tahun tarbiah dan hijrah bersama antara bekal yang saya bawa adalah diri sebagai 'ustaz' dan 'guru Al-Quran'. Tujuh tahun berhijrah dengan dikenali sebagai 'ustaz' dan 'guru Al-Quran' itulah yang diadun di dalam buku saya yang bakal terbit nanti.

Alhamdulillah. Allah Tuhan Yang Maha Bijaksana Yang Maha Suci. Dalam tempoh tujuh berhijrah dari Sarawak ke Brunei, Allah mempertemukan saya dengan isteri yang diciptakan Allah untuk saya. Dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, dua kali sudah isteri mengandung dan segala puji syukur kandungan kedua ini baik dan aman.


Catatan ini siap ditulis pada jam 22:46 (Sabtu, 6 Januari 2018). Ditaip di dalam telefon bimbit menggunakan aplikasi Note Everything. Catatan yang ditulis dengan kepercayaan bahawa seorang penulis wajib menulis dan azam bahawa tahun 2018 adalah tahun Norudin Draman UstazCahaya kembali ke alam menulis dengan diri seorang penulis.

Ditutup catatan ini dengan limpah tulus doa ke hadrat Allah SWT, semoga Dia berkenan melimpahkan rahmatNYA dan menetapkan dua kelahiran yang saya nanti-nanti pada Februari 2018 nanti; tetap menjadi anugerah dan rezeki dari-Nya untuk saya, hamba yang penuh berharap ini. Allahumma. Amin Amin Amin. Amin Ya Rabb al-Alamin.

Norudin Draman UstazCahaya

22:46, Sabtu; 19 Rabiulakhir 1939/ 6 Januari 2018.

02/10/2017

Kami Suami Isteri Kagum Dengan Anak-anak Solehah Seramai 35 Orang Ini


Kami Suami Isteri Kagum Dengan
Anak-anak Solehah Seramai 35 Orang Ini




Majlis usai beberapa minit sebelum azan maghrib. Syukur juga seorang pengasuh dan beberapa anak solehah sudi menaiki kereta kami untuk dihantar pulang ke pusat mereka di Taman Sejati Ujana, Sandakan, Sabah.

Pagi itu selepas memotong dan mengemaskan rambut di tempat biasa, kami suami isteri pergi mencuci kereta. Kereta pun dicuci di kedai yang biasa. Iya, memang beginilah saya yang suka menjadi 'pelanggan setia' jika berkaitan perkhidmatan. Jika satu kedai sudah memberi perkhidmatan yang sesuai di hati saya, tidaklah saya suka bertukar ke tempat lain untuk perkhidmatan tersebut. Contohnya gunting rambut dan cuci kereta. Walaupun terpaksa menunggu lama di kedai cuci kereta itu dan menahan lapar pula, saya sanggup.

Betul-betul ketika kami suami isteri sampai di rumah, saya menerima mesej Whatsapp daripada seorang adik dalam grup #fahamsolat. Mesej tersebut memberitahu majlis di rumahnya diawalkan waktunya ke selepas asar. Asalnya majlis itu mahu dibuat selepas isya. Jam sudah menghampiri pukul 2 petang. Kami suami isteri makan apa adanya nasi goreng yang disediakan untuk sarapan pagi tadi bersama keropok lekor.

Kisahnya, adik ini merupakan seorang artis nyanyian di Sandakan, Sabah. Beberapa hari yang lalu adik  ini menghubungi saya menyatakan hajat untuk menjamu anak-anak yatim di rumahnya. Syukur, dengan bantuan seorang sahabat saya, anak-anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi - Pprasn dapat hadir ke jemputan tersebut.

(Page Facebook Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi - Pprasn https://m.facebook.com/Pertubuhan-Pengurusan-Rumah-Amal-Selawat-Nabi-Pprasn-)

Beberapa orang anak-anak soleh ini makan bersama saya dan isteri di satu tempat duduk. Saya dan isteri melayan mereka dan mereka senang dengan kami. Kami suami isteri kagum dengan anak-anak solehah seramai 35 orang ini. Akhlak mereka sangat baik. Sopan dan mudah diatur. Paling kami kagum anak-anak yang berusia taska dan tadika ini menyusun pinggan mereka selepas makan.

Majlis usai beberapa minit sebelum azan maghrib. Syukur juga seorang pengasuh dan beberapa anak solehah sudi menaiki kereta kami untuk dihantar pulang ke pusat mereka di Taman Sejati Ujana, Sandakan, Sabah.

Ketika memandu pulang ke rumah, saya menguatkan azam untuk memiliki rumah kebajikan sendiri untuk kanak-kanak yatim dan asnaf, seperti mereka itu.

Syukur Alhamdulillah. September 2017 ditutup dengan indah dan semoga diredhai Allah.

اَللَّهُمَّ آمــــــــــــــــــين
آمينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
:
Saya,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my
:
Pendidikan Al-Quran Kanak-kanak
www.facebook.com/pandaimuqaddam
:
(11 Muharam 1438/
1 Oktober 2017, 22:12)





.........................................................................
16 tahun pengalaman saya mengajar
Al-Quran sejak tahun 1999.
Insya Allah, di Facebook
'Pendidikan Al-Quran Kanak-kanak'
(www.facebook.com/pandaimuqaddam)
saya berkongsi ilmu, maklumat, tip,
panduan dan pengalaman.
Khususnya untuk para ibu ayah
menjadi guru pertama kepada anak.
Guru pertama yang mengajar tentang
Islam dan Al-Quran di rumah
bermula sejak anak berusia satu (1) hari.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.blogspot.my

Facebook Page:
Dari Blog UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Rangkaian Media Sosial:

Facebook | Instagram | Twitter
@ustazcahaya
#ustazcahaya

Whatsapp | Telegram
016-8472303

Email:
ustazcahaya@gmail.com

01/10/2017

Apa Yang Saya Tahu Tentang Maal Hijrah?


Apa Yang Saya Tahu
Tentang Maal Hijrah?





(Dicadangkan anda cuba jawab dahulu soalan ini tanpa sebarang rujukan. Tujuannya adalah untuk muhasabah diri kita, apa yang kita tahu tentang Maal Hijrah)

1. Sebenarnya, tahun Masehi dan tahun Hijrah sama penting dan perlu diperhatikan oleh kita sebagai umat Islam, kerana kedua-dua sistem kelendar itu penting dalam soal ibadat khusus dalam Islam. Sila tuliskan kepentingan kedua-dua sistem kelendar Masehi dan kalendar Hijrah dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim:

2. Secara mudahnya, apakah yang anda tahu tentang Hijrah?

3. Boleh anda bercerita tentang beberapa peristiwa dalam sejarah Hijrah?

4. Adakah anda tahu salah seorang sahabat yang memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah. Siapakah sahabat itu dan apakah peranan penting beliau?

5. Boleh anda tuliskan tema sambutan Maal Hijrah 1439 di negara kita tahun ini? 

6. Sebagai muslim, apakah yang boleh anda lakukan untuk menjayakan tema Sambutan Maal Hijrah 1439 ini? 

7. Apa azam Hijrah anda tahun ini? Senaraikan.

8. Boleh anda luangkan sedikit, untuk menilai diri dan menghayati sejarah Hijrah?

⏬ Jawapan ada di bawah ⏬





Soalan-soalan tentang Maal Hijrah di atas saya tulis di blog ini kira-kira lapan tahun yang lalu. Tepatnya pada 18 Disember ketika menyambut Maal Hijrah 1431. Pada waktu itu umat Islam di Malaysia menyambut Tahun Baharu Hijrah 1431 pada hari Jumaat sama seperti Tahun Baharu 1439 yang kita sambut sepuluh hari yang lalu.

Melihat statistik dalam dashboard blogger blog ini, saya mendapati post tentang kuiz Maal Hijrah yang saya buat lapan tahun yang lalu menduduki tempat pertama. Maknanya dalam tempoh seminggu (21-28 September 2017), post tersebut mendapat pembaca yang paling banyak. Melihat statistik itu, saya kira ada baiknya saya "up" post tersebut sekali lagi dalam post malam ini dengan bentuk yang lebih ringkas seperti post ini.

Apa yang perlu kita fahami terlebih dahulu ialah, takwim kalendar tahun Masehi dan tahun Hijrah sama penting dan perlu diperhatikan oleh kita sebagai umat Islam.

Sebagai contoh, untuk ibadat solat fardu lima waktu kita menggunakan matahari dalam menentukan waktu untuk satu-satu solat fardu yang lima. Tahun Masehi adalah takwim (kalendar) yang menggunakan matahari.

Takwim hijrah pula, dikira dari pergerakan bulan di langit sana. Kegunaan kalendar Hirjah pula seperti yang kita maklum adalah untuk menentukan waktu puasa wajib Ramadan, waktu ibadat korban, haji dan zakat. Selain itu, pergerakan bulan juga digunakan dalam bidang meteorologi untuk meramal pasang surut air sungai dan laut.




SOALAN dan JAWAPAN:

Apa Yang Saya Tahu Tentang Maal Hijrah?

1. Sebenarnya, tahun Masehi dan tahun Hijrah sama penting dan perlu diperhatikan oleh kita sebagai umat Islam, kerana kedua-dua sistem kelendar itu penting dalam soal ibadat khusus dalam Islam. Sila tuliskan kepentingan kedua-dua sistem kelendar Masehi dan kalendar Hijrah dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim:

JAWAPAN

Tahun Masehi adalah takwim (kalendar) yang dikira menggunakan pergerakan matahari. Untuk ibadat solat fardu lima waktu kita juga menggunakan pergerakan matahari dalam menentukan waktu untuk satu-satu solat fardu yang lima. 

Takwim hijrah dikira dari pergerakan bulan di langit sana. Kegunaan kalendar Hirjah seperti yang kita maklum adalah untuk menentukan waktu puasa wajib Ramadan, waktu ibadat korban, haji dan zakat.

2. Secara mudahnya, apakah yang anda tahu tentang Hijrah?

JAWAPAN

Takwim Hijrah adalah kalendar Islam yang dipilih oleh Khalifah Saidina Umar al-Khattab.

Peristiwa Hijrah Rasulullah (saw) dan para sahabat adalah peristiwa besar dan penting dalam sejarah Islam.

Hijrah dalam Islam bukan sahaja bermaksud berpindah dari sati tempat ke satu tempat lain. Dalam Islam Hijrah juga adalah perubahan dalam diri kepada diri yang lebih baik.

3. Boleh anda bercerita tentang beberapa peristiwa dalam sejarah Hijrah?

JAWAPAN

Salah satu peristiwa penting dalam sejarah Hijrah ialah terbajgunnya masjid pertama dalam sejarah Islam iaitu Masjid Quba. Saya memilih peristiwa ini untuk diingati tentang sejarah Hijrah ialah kerana masjid adalah syiar mercu tanda Islam. Dengan melihat keadaan masjid di sesuatu tempat, kita boleh mengagak keadaan Islam dan umat Islam di sekitar masjid tersebut.

4. Adakah anda tahu salah seorang sahabat yang memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah. Siapakah sahabat itu dan apakah peranan penting beliau?

JAWAPAN

Saidina Abdul Rahman bin Auf (RA) adalah sahabat Rasulullah (SAW) yang merupakan seorang yang usahawan yang terkenal, hartawan dan jutawan; malah mahsyur kerana tergolong dalam sahabat yang dijamin masuk syurga. Kejayaan Abdul Rahman sebagai usahawan adalah didorang oleh kepakaran baliau berniaga dan akhlaq yang terpuji.

Dalam sejarah hijrah, Saidina Abdul Rahman bin Auf (RA) dipersaudarakan dengan Sa'ad bin Rabi', juga seorang hartawan Islam di Madinah. Saidina Abdul Rahman Bin Auf (RA) menolak tawaran harta benda dan isteri daripada saudara Ansar beliau tetapi meminta ditunjukkan pasar Madinah untuk beliau memulakan kehidupan di bumi Madinah. Maka ayat, "Tolong tunjukkan saya pasar Madinah" boleh dikatakan sebagai tagline yang sinonim dengan Saidina Abdul Rahman bin Auf (RA).

Selepas hijrah ke Madinah, Saidina Abdul Rahman Bin Auf (RA), adalah sahabat yang dilantik oleh Rasulullah (SAW) untuk membangun pasar yang dikelola seratus peratus oleh umat Islam sendiri di lokasi yang tidak jauh dari pasar Yahudi, yang kemudian diberi nama "Suqul Anshar" (bermaksud; Pasar Anshar. Anshar adalah gelaran umat Islam penduduk asal Madinah). Semua orang Islam diajak untuk berjual beli dan melakukan semua aktiviti perdagangan di pasar itu tanpa berkerjasama sedikitpun dengan Yahudi dan tanpa terlibat dengan segala produk atau perkhidmatan mereka. Dengan semangat perpaduan serta ketaatan kepada Allah dan Rasul-NYA, umat Islam pada waktu itu menumpukan kegiatan ekonomi di Suqul Anshar sahaja tanpa menghiraukan pasar Yahudi.

(Baca lanjut di http://ustazcahaya.blogspot.my/2010/01/tolong-tunjukkan-saya-pasar-madinah.html)

5. Boleh anda tuliskan tema sambutan Maal Hijrah 1439 di negara kita tahun ini?

JAWAPAN

Tema Maal Hijrah adalah "Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara".

6. Sebagai muslim, apakah yang boleh anda lakukan untuk menjayakan tema Sambutan Maal Hijrah 1439 ini? 

JAWAPAN

Salah satu perkara yang boleh saya lakukan untuk menjayakan tema sambutan Maal Hijrah 1439 ini adalah berkenaan pengunaan media sosial. Media sosial sepatutnya menjadi wadah yang dapat menyatukan ummah. Sebagai seorang muslim antara tanggunjawab saya di media sosial adalah untuk tidak menyebarkan perkara yang merosakkan kesatuan ummah.

7. Apa azam Hijrah anda tahun ini? Senaraikan.

JAWAPAN

Azam saya untuk Maal Hijrah tahun ini adalah berkaitan dakwah solat dan Al-Quran. Saya berazam untuk istiqamah mendirikan solat dan berdakwah mengajak saudara Islam saya mendirikan solat. Berkaitan Al-Quran pula saya berazam untuk istiqamah belajar dan mengajar Al-Quran.

Dua saluran online untuk azam saya ini adalah antaranya di Facebook:

Nota Faham Solat
www.facebook.com/fahamsolat

Dah Baca Quran Belum
www.facebook.com/dahbacaquranbelum

Pendidikan Al-Quran Kanak-kanak
www.facebook.com/pandaimuqaddam

8. Boleh anda luangkan sedikit, untuk menilai diri dan menghayati sejarah Hijrah? 

JAWAPAN

Soalan terakhir ini tidak memerlukan jawapan, cuma perlu dilakukan sendiri dengan ikhlas.



..................................................................................
16 tahun pengalaman saya mengajar
Al-Quran sejak tahun 1999.
Insya Allah, di Facebook
'Pendidikan Al-Quran Kanak-kanak'
(www.facebook.com/pandaimuqaddam)
saya berkongsi ilmu, maklumat, tip,
panduan dan pengalaman.
Khususnya untuk para ibu ayah
menjadi guru pertama kepada anak.
Guru pertama yang mengajar tentang
Islam dan Al-Quran di rumah
bermula sejak anak berusia satu (1) hari.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.blogspot.my

Facebook Page:
Dari Blog UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Rangkaian Media Sosial:

Facebook | Instagram | Twitter
@ustazcahaya
#ustazcahaya

Whatsapp | Telegram
016-8472303

Email:
ustazcahaya@gmail.com