23/02/2018

Bagaimana Memulakan Sebuah Blog? (Siri 2)


Bagaimana Memulakan Sebuah Blog?
(Siri 2)




Petang ini, saya sambung lagi catatan 'Bagaimana Memulakan Sebuah Blog? (Siri 1). KLIK SINI jika anda belum membacanya.
Ketika memulakan sebuah blog, ada lima (5) soalan yang perlu kita jawab, iaitu:

1) Apakah jenis blog yang hendak ditulis?

2) Pilihan blog engine yang hendak digunakan?

3) Senarai topik-topik yang hendak ditulis?

4) Apakah komponen, teknologi dan kemudahan yang hendak dimasukkan ke dalam blog?

5) Siapakah golongan sasar pembaca blog?


Soalan 1 dan Soalan 2 sudah dijawab dalam post semalam. Dalam post ini saya akan menjawab baki 3 soalan di atas.

3) Senarai topik-topik yang hendak ditulis?

Ibarat senarai kandungan, bahagian dan bab bagi sebuah buku; begitulah peranan topik, label atau kategori post/ artikel dalam sebuah blog. Di alam bloghosfera biasa disebut sebagai topik, label atau kategori cuma dalam post ini saya gunakan istilah topik.

Ketika memulakan blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini pada tahun 2009 dahulu, saya menetapkan topik-topik post dalam blog ini sesuai dengan jenis blog ini iaitu blog peribadi. Sehingga kini, saya tidak berniat untuk menyusun kembali atau mengubah senarai topik post dalam blog ini.

  1. Senarai (Label) Topik Dalam Blog Ini
  2. Agama dan Dakwah
  3. Bantuan Untuk Pembaca Blog Ini
  4. Blog Blogger Blogging
  5. Hari Kebesaran Islam
  6. Hari Minggu Kenduri dan Memanjakan Diri
  7. Karya Saya
  8. Keusahawanan dan Kewangan
  9. Kongsi Ilmu Maklumat dan Kemahiran
  10. Motivasi dan Kehidupan
  11. Penulisan dan Bahan Bacaan
  12. Post Istimewa 50
  13. Post Khas Hari Jumaat
  14. Rakan Blogger Saya
  15. Santai dan Peribadi
  16. Umum dan Semasa

4) Apakah komponen, teknologi dan kemudahan
yang hendak dimasukkan ke dalam blog?

Memilih komponen, teknologi dan kemudahan yang hendak dimasukkan ke dalam blog merupakan antara keputusan kritikal yang perlu kita tetapkan sejak awal memulakan sesebuah blog. Kemudian dari semasa ke semasa bahagian ini perlu dikemaskini.

Untungnya menggunakan Blogger.com kita tidak perlu selalu mengemas kini komponen, teknologi dan kemudahan yang digunakan dalam blog. Berbeza jika menggunakan blog engine Wordpress dan self hosting, komponen, teknologi dan kemudahan yang kita gunakan perlu selalu dikemas kini kepasa versi terbaru yang disediakan oleh pengeluar.

Sejak mula lagi saya memutuskan agar blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini akan disusun secara simple dan santai. Pada sidebar, hanya diletakkan komponen-komponen yang di perlukan oleh pelawat/ pembaca. Komponen-komponen itu ialah:

  1. Kemudahan Langganan Email RSS
  2. Kekotak page Facebook
  3. Kemudahan Carian
  4. Senarai Topik Artikel
  5. Arkib artikel terdahulu
  6. Produk dan Perkhidmatan

5) Siapakah golongan sasar pembaca blog?

Menentukan golongan sasar pembaca blog tidak begitu saya titik beratkan dalam blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini. Blog ini adalah blog peribadi, boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang faham bahasa Melayu. Saya tidak memilih gaya bahasa dan tidak menggunakan teknik atau teknologi tertentu untuk menyaring dan memilih pembaca blog ini.

Bagaimanapun, saya berpegang bahawa menentukan golongan sasar pembaca blog kita adalah penting. Dengan kita menetapkan golongan sasar pembaca blog, memudahkan kita untuk merancang kandungan blog, memilih gaya bahasa, memilih isu, membina 'tribe' dan lain sebagainya.

Soalan nombor 5 ini menjadi sangat penting jika kita merancang sebuah blog untuk menjana duit. Sejak dahulu hingga kini, jika kita mahu 'menjual' atau 'menjana wang' dari blog; adalah penting untuk kita menetapkan golongan sasar pembaca blog.

Dengan adanya ketetapan golongan sasar, ianya tidak begitu penting soal berapa ramai pelawat blog kita tetapi jauh lebih penting adalah berapa ramai pelawat setia blog kita. Maknanya, untuk menjana pendapatan atau menjual di blog, kita lebih perlukan 100 orang pembaca setia berbanding 1000 orang pelawat unik (berlainan) yang datang dan pergi begitu sahaja.

Setakat inilah sahaja catatan memori saya tentang bagaimana saya merancang permulaan blog ini pada tahun 2009 dahulu. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini ada manfaatnya untuk kalian yang mahu memulakan sebuah blog.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya

22/02/2018

Qaf Blogger


Qaf Blogger




Semalam, saya melamar tugas sebagai Penulis Artikel dari seorang usahawan besar. Puan Usahawan tersebut merupakan pembaca blog 'Jurnal Online UstazCahaya' sejak tahun 2009.

Beliau mencari seorang penulis (content writer) tetap dengan gaji bulanan. Cara kerjanya penulis hanya perlu menulis sejumlah artikel dalam sebulan dan hantar kepada beliau secara online sahaja.

Mudah-mudahan tugas tersebut menjadi rezeki saya. Skop tugasnya juga sesuai dengan keselesaan saya dalam bidang rezeki dari penulisan.

Kerja-kerja seperti ini adalah antara sumber rezeki saya sejak dahulu, cuma lama berhenti ketika saya bekerja di Negara Brunei Darussalam.

Semoga bermula tahun 2018 ini terbina landasan yang kukuh bagi saya meraih rezeki dari bidang penulisan.

Allahumma. Amin Ya Rabb Al-Alamin.

Norudin Draman UstazCahaya

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya


QASEH ANNUR FATIHAH BINTI NORUDIN

18/02/2018

Bagaimana Memulakan Sebuah Blog? (Siri 1)


Bagaimana Memulakan Sebuah Blog?
(Siri 1)




Awal pagi tadi sambil saya dan isteri 'qiyamullail' bersama anak sulung kami #qafbintinorudin yang baru berusia sembilan hari, saya membaca blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini sehingga ke post pertama yang diterbitkan di blog ini. Mengimbau kembali diri saya ke suatu fasa dalam kehidupan saya yang tidak boleh saya lupa kepadanya. Fasa di mana saya gigih belajar tentang blog, keusahawanan di Ebay juga Lelong dan penulisan online.

Imbauan memori kenangan ketika membaca blog ini awal pagi tadi, menyebabkan malam ini terpaut hati saya untuk menulis bagaimana saya merancang permulaan blog ini pada tahun 2009. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini ada manfaatnya untuk kalian yang mahu memulakan sebuah blog.


Ketika memulakan sebuah blog, ada lima (5) soalan yang perlu kita jawab, iaitu:

1) Apakah jenis blog yang hendak ditulis?

2) Pilihan blog engine yang hendak digunakan?

3) Senarai topik-topik yang hendak ditulis?

4) Apakah komponen, teknologi dan kemudahan yang hendak dimasukkan ke dalam blog?

5) Siapakah golongan sasar pembaca blog?


1) Apakah jenis blog yang hendak ditulis?

Ada pelbagai jenis blog di alam bloghosfera ini. Ada blog peribadi tempat menulis perkara-perkara berkaitan diri sendiri dan respon kepada isu semasa. Ada blog novel yang popular satu masa dahulu yang menjadi medium novelis menyiarkan novel mereka secara bersiri. Selain itu ada blog perniagaan, blog politik, blog video (vlog), blog berita (yang popular pada masa kini), kedai blog (blogshop) dan banyak lagi.

Sejak dari dahulu hingga kini, saya menetapkan 'Jurnal Online UstazCahaya' ini sebagai blog peribadi. Di blog ini saya menulis tentang diri saya sendiri sebagai seorang manusia, anak, suami, ayah, guru agama, penulis, pendakwah dan usahawan.

Terdapat banyak peri pentingnya menentukan jenis blog. Dengan menetapkan jenis blog membantu kita merancang kandungan blog, mereka bentuk blog, melancarkan pengurusan blog dan lain sebagainya.

2) Pilihan blog engine yang hendak digunakan?

Ibaratnya jika blog adalah sebuah kereta, blog engine adalah jenama kereta seperti BMW, Merchedez, Toyota, Honda, Suzuki, Proton, Perodua dan lain sebagainya. Masih sama seperti ibarat sebuah kereta, blog engine juga dipengaruhi oleh status dan tahap ekonomi kita sebagai seorang blogger.

Blog engine adalah tapak di mana kita 'meletakkan' blog kita di alam bloghosfera ini untuk dibaca oleh orang lain. Ketika memulakan blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini, saya belajar tiga blog engine utama di alam internet, iaitu:

1. Blogger (Blogspot), milik Google

2. Wordpress (tempat saya belajar cpanel)

3. Self-hosting (guna Photoshop)

Sejak bermula hingga kini, blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini setia bersiaran di Blogger.com milik Google. Blog engine Blogger.com ini adalah blog engine yang boleh dikatakan selamat, mudah diurus dan mudah mendapat tempat di Google.

Menggunakan blog engine Wordpress dan apatahlagi blog self-hosting, memerlukan ilmu dan kemahiran yang lebih daripada menggunakan Blogger.com. Ditambah lagi kita perlu berbelanja untuk banyak keperluan bagi menyiarkan blog kita di Wordpress dan self-hosting.

Selain Wordpress dan self-hosted blog yang selalu diserang penggodam (hackers), band-with blog kita juga adalah masalah. Di mana, jika blog kita dibaca oleh ramai orang kita memerlukan size bandwith yang lebih besar. Kelebihan Blogger.com adalah jaminan keselamatan dan kesediaan bandwith untuk menerima pembaca yang ramai pada satu-satu masa.

(Insya Allah, bersambung di Siri 2)

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya

16/02/2018

Namanya QAF, QAF= Quran


Namanya QAF, QAF= Quran




Qaf (قَافْ) adalah 'huruf kuat' antara jenis-jenis huruf hija'iyah dalam kitab suci Al-Quran. Dalam ilmu tajwid Al-Quran, huruf 'qaf', 'tho', 'dhod' dan 'zho' adalah huruf yang paling kuat mengikut kaedah pengiraan sifat huruf. Huruf 'qaf' dan 'tho' pula adalah huruf yang menghasilkan 'letupan' qalqalah yang paling kuat. Selain itu, ketika membaca Al-Quran, untuk menyebut huruf qaf dengan baik dan sempurna mulut kita perlu bekerja dengan 'kuat'.

Kisahnya lima bulan yang lalu, ketika doktor memberitahu 'ramalan jantina' kandungan isteri, saya mengambil masa hampir seminggu bermunajat malam-malam mencari ilham nama yang baik untuk anak yang bakal lahir. Hasil munajat, saya mengambil permulaan huruf Quran iaitu QAF untuk nama anak saya.

Kemudian beberapa hari lagi saya bermunajat mencari tiga (3) nama untuk setiap huruf Q.A.F. Hasilnya, saya dan isteri sepakat dengan nama 'Qaseh Annur Fatihah'. Qaseh ganti kata kasih. Annur adalah cahaya. Fatihah bermakna pembuka.

QAF Yang Kuat Dalam Bahasa
Arab, Melayu dan Vaie

Seperti yang saya tuliskan pada perenggan pertama di atas, huruf qaf adalah huruf yang kuat dalam bahasa Al-Quran (bahasa Arab). Begitu juga dalam bahasa Melayu yang identik dengan tulisan jawi, perkataaan 'kuat' ditulis 'قوات' (menggunakan huruf qaf).

Menurut fitrah manusia dan syariat Islam pula, nasab (keturunan) seorang anak adalah mengikut ayahnya. Saya berbangsa Vaie (asli Bintulu, Sarawak). Merujuk kepada pertuturan bahasa Vaie, kata qaf dekat dengan kata qab yang bermaksud 'angkat', 'bangkit' dan 'bangun'.

Dalam memberi makna kepada nama anak saya, QAF simbolik kepada kekuatan untuk memelihara amanah Allah ini yang wajib membesar menjadi muslimah yang kuat segala aspek kesihatannya seperti yang ditetapkan oleh WHO (World Health Organisation) iaitu sihat dan kuat fizikal, mental dan emosi.

QAF adalah perjuangan sepanjang hayat saya untuk bersama-sama anak ini berjuang dengan segenap kemampuan dan kekuatan. Sementelah anak ini bakal membesar dan hidup di zaman Masih Dajjal yang sarat fitnah, terbeban cabaran dan dirintangi pelbagai godaan yang andai kita lemah (tidak kuat); kita akan cenderung untuk menjauh dan derhaka kepada Tuhan.

Dari buku Tajwid Al-Quran oleh Haji Abdul Kadir Leong

Mengapa Qaseh Bukan Kasih

Qaseh dalam nama QAF adalah ganti kepada perkataan kasih - cinta kasih sayang. Saya tidak menggunakan perkataan kasih kerana di Sabah, kebiasaan masyarakat bercakap dan menulis kata 'beri - memberi' sebagai 'kasih - mengasih'. Lagipun, ditulis Qaseh lebih cantik dan sesuai untuk sebuah nama.

Qaseh adalah tanda cinta kasih sayang saya sebagai seorang suami, ayah dan anak kepada ibu bapa saya. Hasil ikatan tulus suci cinta kasih sayang saya dan isteri. Sejak mendapat khabar anak ini bermula janin dalam perut isteri, setiap hari saya mengenang ayah dan ibu saya. Betapa cinta kasih sayang antara anak dan ibu ayah adalah cinta kasih sayang yang wajib dan hak.

Lebih lagi, anak ini adalah limpahan qudus doa saya sejak sekian lama dahulu; sejak saya semakin faham nilai seorang anak yang antaranya adalah jambatan cinta kasih sayang antara hamba dengan Tuhan Yang Maha Kasih Maha Sayang Maha Cinta.


Annur Selain Cahaya Adalah
Adunan Nama Kami Suami Isteri

Annur dalam bahasa Arab bermaksud cahaya. Selain itu, kata Annur dalam nama QAF adalah nama saya dan isteri. An diambil dari sebahagian nama isteri Zalenah dan Nur diambil dari sebahagian nama saya Norudin.

Menjadi ayah kepada QAF adalah perjuangan saya kini untuk membawa QAF kepada Cahaya Yang Hakiki. Cahaya kebenaran tentang bahawa hidup ini adalah untuk memberi jawapan kepada satu soalan paling penting - TUHAN MAHU APA? Pertama dan utama tentulah Tuhan mahu kita mengenali DIA dengan perkenalan yang sebenar-benarnya.

Perjuangan membawa QAF kepada sinaran cahaya ilmu dan mendidik QAF untuk membawa pula cahaya ilmu itu menyinari orang lain. Semoga QAF tetap bersama saya dalam usaha yang dijanjikan Rasulullah sebagai golongan terbaik iaitu 'belajar dan mengajar Al-Quran'.

Sekiranya QAF nanti seorang usahawan, harapan saya dia usahawan yang belajar dan mengajar Al-Quran. Sekiranya takdir QAF menjadi doktor, QAF adalah doktor yang belajar dan mengajar Al-Quran. Apa yang pasti perjuangan saya adalah untuk mendidik dan membesarkan QAF sebagai 'hamba Allah yang belajar dan mengajar Al-Quran'.




Fatihah Kewajipan Setiap Hari

Sebagaimana surah Fatihah merupakan kewajipan dalam solat sehingga Rasulullah (saw) bersabda "tiada solat tanpa surah Al-Fatihah"; yang bermaksud tidak sah solat yang tidak dibaca surah Al-Fatihah. Begitulah, selepas ini tidak sah rasanya kehidupan saya jika saya tidak menjadi ayah terbaik kepada QAF.

Semoga dengan terpahat nama Fatihah dalam QAF, segala inti pati dan hikmah surah Al-Fatihah kukuh sebati dalam diri anak ini. Semoga QAF menjadi seorang hamba yang beriman kepada Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, yang hanya kepada Allah segala puji-pujian sehingga tidak hidup terbang kerana pujian dan tidak rebah tumbang kerana kejian dalam memperjuangkan kebenaran; dan semoga QAF hidup dengan selalu berpandangan jauh ke akhirat dengan iman bahawa Allah adalah Raja Hari Pembalasan.

Semoga QAF menjadi seorang hamba Allah yang tunduk patuh hanya kepada Allah dan berserah penuh semata-mata kepada Allah. Semoga dengan itu kami berada di jalan yang lurus; jalan berdiri dan berjalannya orang-orang yang mendapat nikmat dunia dan akhirat.

Fatihah bermaksud pembuka. Fatihah pada nama QAF ini juga mengandungi harapan saya agar 'terbuka' apa yang sedang tertutup di hadapan saya, agar semakin 'terbuka' jalan yang lurus yang perlu kami tetap melangkah di atasnya dan agar 'terbuka luas' pintu kebaikan, kebahagiaan dan kejayaan untuk kami di dunia dan akhirat hingga syurga.

Dengan niat mengikut sunnah Rasulullah (saw) untuk memberi nama yang baik dan mengumumkan nama anak; saya pada hari ketujuh kelahiran QAF ini, dengan lafaz bismillah dan selawat kepada Rasulullah; memperkenalkan nama anak sulung saya QASEH ANNUR FATIHAH BINTI NORUDIN.

Akhir kalam, sebagai seorang Islam saya percaya sebelum QAF lahir, Allah SWT Maha Tahu siapakah lelaki yang bakal menjadi suaminya. Sehingga saat itu tiba nanti, ketika QAF diserahkan kepada suaminya nanti; QAF adalah seorang isteri dan bakal ibu yang kuat dan siap siaga untuk sebuah keluarga yang 'istiqamah belajar dan mengajar Al-Quran'.

Norudin Draman UstazCahaya

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya


QASEH ANNUR FATIHAH BINTI NORUDIN

14/02/2018

Kotak Dari Rumah Adiwarna


Kotak Dari Rumah Adiwarna




Alhamdulillah. Siang tadi menerima kotak kiriman dari JS Adiwarna berisi naskhah buku Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama (tahun 2014). Cerpen karya saya berjudul 'Mari Kita Mengira Sayang' adalah antara 44 buah cerpen dalam antologi ini. Antologi Cerpen Adiwarna 3: Cinta Pertama (tahun 2014). Editor: Mohd Rosdi Mohd Zin Noor Suraya Adnan Sallehudin.

Buku-buku dalam kotak ini adalah nilai royalti karya cerpen saya untuk cetakan kedua buku antologi ini. Bermakna untuk dapat duitnya, buku-buku ini perlu saya jual. (Whatsapp 016-8472303 untuk beli buku ini)

Puisi 'Mari Kita Mengira Sayang' saya tulis pada bulan Februari tahun 2012. Cerpen 'Mari Kita Mengira Sayang' ditulis pada bulan Ramadan tahun 2014. Cerpen ini mendapat ilham dari bengkel matematik oleh Che Man yang saya sertai semasa masih bertugas sebagai guru di Negara Brunei Darussalam.

Bayaran royalti adalah pendapatan berterusan dari satu-satu karya atau hasil kerja penulis. Seperti yang saya tulis dalam blog ini pada minggu lalu, saya mesih menerima royalti dari sebuah buku karya saya sehingga enam (6) tahun selepas buku itu terbit. Malah, bagi penulis-penulis besar yang lain, mereka menerima royalti karya-karya mereka saban masa. 

Tidak dipengaruhi oleh angka besar atau kecil; bagi saya, mendapat hasil daripada karya sendiri mempunyai 'rasa' dan 'makna' yang besar. Hasil dari karya kita merupakan nikmat yang tidak terungkap oleh kata-kata.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | Instagram:
#marikitamengirasayang 
#ustazcahaya

Puisi:
Mari Kita Mengira Sayang
Satu, Sayang.

Kita hidup di dunia ini hanya satu kali,
namun bukan satu warna saja yang mewarnai dunia ini,
lihat sayang dunia ini dicorakkan oleh berjuta-juta warna warni,
lalu jutaan warna warni itu menjadikan indah dunia yang kita diami.

Dua, Sayang.

Tuhan menjadikan makhluk dan kejadian dua berpasang-pasangan,
lelaki wanita, susah senang, lemah kuat, mentari dan bulan,
maka sayang kita mesti sedia selalu menghadapi dua kemungkinan,
usaha dengan tidak lupa untuk tetap reda pada apa yang Tuhan suratkan.

Tiga, Sayang.

Dalam hidup ini tiga keadaan akan kita rasa dan hadapi,
dua keadaan itu akan silih berganti,
itulah sihat dan sakit yang bergilir datang dan pergi,
satu keadaan hanya akan kita hadapi sekali sayang, iaitu mati.

Empat, Sayang.

Andai hidup ini satu bentuk segi empat tepat,
kita mampu menukarnya menjadi bentuk piramid atau bulat,
selagi hidup dunia dapat kita ubah sayang tapi tidak nanti di akhirat,
bermujahadah kita kerana kita tidak akan kekal baik seperti malaikat
juga tidak kekal jahat seperti Iblis yang dilaknat.

Lima, Sayang.

Sebelah tangan kita ada lima jari,
ingat sayang pesan Baginda Nabi,
rebut lima sebelum lima itu pergi dan berganti,
moga kita sedar selalu tiada yang kekal dalam hidup ini.

Akhirnya, Sayang.

Untuk mengira 1+2+3+4+5=15, kita perlu ilmu kira-kira sayang.
Untuk menjadikan 1+2+3+4+5=150, kita perlu fikiran kreatif sayang.
Untuk membuat 1+2+3+4+5=(ada warna, rasa dan bau), kita perlu jiwa yang berseni sayang.

Sayang, Sayang.

Satu, dua, tiga, empat, lima,
baru satu hingga lima yang kita hitung dan kira.

Norudin Draman (UstazCahaya) 
Sabtu, 19 Februari 2012, 22:36:00

11/02/2018

Sirap Bandung Peng Nurhikmah


Sirap Bandung Peng Nurhikmah
(Pendidikan akidah awal Baby QAF💝)




Sirap Bandung Peng Nurhikmah
(Pendidikan akidah awal Baby QAF💝)

Malam itu telah lebih 18 jam selepas #anakkupandaialquran baby #qafbintinorudin lahir ke alam dunia ini. Saya, isteri dan QAF masih menghuni 'Bilik Nombor 3' di Hospital Duchess Of Kent (HDOK Sandakan). QAF masih belum kencing dan kami belum boleh discharge dari HDOK.

Kami dinasihatkan agar tetap menyuruh baby QAF 'menyusu' untuk mengaktifkan susu ibunya. Selang beberapa kali 'menyusu', saya 'ajarkan' QAF berdoa, "Ya Allah berilah saya susu ibu. Amin Ya Allah Ya Wahab Ya Razaq".

Saya risau sama seperti isteri. Namun, dalam diam saya tetap berkeyakinan Allah telah membekalkan QAF dengan rezekinya. Jikalaulah rezeki awal anak ini berupa sirap bandung peng kesukaan saya di Restoren Nurhikmah di Indah Jaya sana, sudah saya membelikannya. Namun, rezeki susu ibu ini bukan boleh dijual beli.

Duit merupakan antara fitnah di era kemunculan dajjal pada akhir zaman yang sedang kita lalui ini. Berapa ramai di akhir zaman ini yang sudah hanyut dengan fitnah alasan 'mencari rezeki' yang hanya berkiblatkan duit.

Saya berdoa semoga dalam soal rezeki, QAF akan berkeyakinan sama seperti saya malah lebih baik lagi dari saya. Bahawa rezeki itu, yang walaupun selalu kita kaitkan dengan duit; sebenarnya banyak rezeki yang tidak dapat dijual beli.

Sama ada ketika kita tiada duit, apatah lagi ketika kita ada duit; tetaplah yakin bahawa rezeki adalah hak mutlak Allah Al-Wahab Ar-Razaq.

"Pegang yakin ini seyakin-yakinnya, nak". 💝

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my


💝 ناماث قَافْ. قاف = قرءان
Namanya QAF, Qaf = Quran. 💝


Alhamdulillah,
lahir jam 00:45, hari Jumaat 9 Februari 2018.

07/02/2018

Duit Dari Menulis (Memori dan Aktif Kembali)


Duit Dari Menulis
(Memori dan Aktif Kembali)



Memori Facebook (18 Januari 2013)

Terakhir tahun 2013 saya mengambil upah menulis untuk orang lain. Selepas itu pekerjaan di Negara Brunei Darussalam memakan banyak masa saya. Saya menghilang di dunia online.


Sebenarnya, awal tahun ini saya mahu bercuti seketika ambil upah menulis. Sehingga nanti terbit buku-buku yang dirancang sejak 2017 yang ideanya terkumpul sejak 2012. Namun, ya rezeki tidak pernah salah alamat. Alhamdulillah, rezeki saya dan rezeki client. Janji 'diskaun' tahun lepas 'mengikat' saya untuk terima job dari client tersebut yang saya panggil 'Kak M' (ganti nama sebenar).

Kisahnya, tahun lepas saya janji dengan Kak M untuk beri diskaun jika beliau upah saya lagi. Maka, ketika menerima mesej daripada Kak M di aplikasi Whatsapp ketika menunggu masuk waktu zuhur di Masjid Nurussyakirin Sandakan tengah hari semalam; ya pasti saya tidak boleh mengelak.

Petang tadi kami suami isteri makan agak lambat dalam jam 3 begitu. Sedang elok makan, masuk mesej Whatsapp daripada Kak M. Borak-borak sikit pasal deposit. Ya, saya terima saja deposit 1/3 daripada jumlah upah yang beliau tawarkan. Sampai rumah saya Whatsapp pula Kak M, beritahu saya cuba siapkan job sebelum isteri bersalin. Ya la, perlu duit tambah-tambah juga ni selain takut sibuk nanti. Hehe.

Duit Dari Menulis

Sebenarnya, antara periuk nasi saya sejak 2009 adalah dari kerja menulis. Pertama kali saya menikmati 'duit besar dari menulis' ialah ketika terbit buku saya Reformat Hatimu Dalam 354 Hari (RHD354H). Buku RHD354H diterbitkan oleh Karangkraf. Sebagai penulis yang buku kita diterbitkan oleh Karangkraf, kita akan dapat dua 'duit':

1) Royalti. Karangkraf terbaik dalam pembayaran royalti. Sekecil apapun nilai royalti kita untuk satu sesi jualan, kita tetap akan dibayar. Saya pernah terima paling kecil royalti RM200 pada tahun 2016 (selepas 6 tahun buku terbit pun masih dapat duit).

2) Untung terus ketika jual sendiri. Untuk buku RHD354H saya dapat RM10.30 jika jual sendiri buku tersebut.

Dari segi lain pula, buku RHD354H dapat masuk ke Karangkraf adalah dari keaktifan saya menulis di blog ini pada tahun 2008-2009. Malah, kandungan blog ini sendiri yang saya angkat dan adun kembali menjadi manuskrip buku RHD354.

Tahun 2017 Saya Kembali Ke 
Industri Duit Dari Menulis

Terakhir tahun 2013 saya mengambil upah menulis untuk orang lain. Selepas itu pekerjaan di Negara Brunei Darussalam memakan banyak masa saya. Saya menghilang di dunia online.

Sehingga 2017, bermula Januari terbuka balik periuk nasi saya dari dunia penulisan. Tanpa ragu dan tanpa tunggu, saya buka sendiri jalan 'duit dari menulis'. Bermula dari itu saya aktifkan kembali jiwa dan roh seorang 'penulis upahan' yang sudah lama tidur dalam diri ini.

Mei 2017, setelah sekian lama dan di tempat asing pula bagi saya; Alhamdulillah saya dapat mengadakan sebuah bengkel sehari semalam di pedalaman Sandakan. Ia bukan sekadar saya berceramah, malah saya lah juga yang tulis kertas kerjanya, design sijil, design sticker untuk folder para peserta, design banner dan poster dan lain sebagainya.

Suis-suis Yang Diaktifkan Kembali

Bengkel ini sangat menyalakan kembali sebuah daerah dalam jiwa saya yang sudah lama diam terpendam, iaitu daerah jiwa saya seorang freelancer online. Satu masa dulu, sejak tahun 2008 bukan sahaja menulis malah kemahiran-kemahiran men'design' dan menyediakan pelbagai keperluan dunia online adalah antara punca rezeki saya.

Julai 2017, saya buat page Facebook dan grup Whatsapp Nota Faham Solat. Antara sebabnya adalah kerana saya mahu menajamkan kembali kemahiran-kemahiran berkaitan yang rasanya banyak yang sudah tumpul. Terutama sekali kemahiran komunikasi dengan orang lain.

September 2017,  saya keluarkan Kad Aktiviti Nama Huruf Hijaiyah. Antara tujuannya adalah untuk mengaktifkan semula kemahiran penulisan ayat jualan, kemahiran membuat design, kemahiran komunikasi dan lain sebagainya.

Sehingga ketika saya menaip perenggan ini, saya sedang mengaktifkan kemahiran-kemahiran online freelancer yang saya pelajari sejak tahun 2006. Terbaharu, malam tadi saya menyiapkan web rasmi www.pendekarwalk.ml untuk sebuah program amal dalam Festival Seni Beladiri Sabah Sandakan 2018 yang bakal berlangsung bulan Mac nanti.

Cukuplah dulu untuk malam ini. Terima kasih kerana membaca sehingga ayat in
 i (^_^)√

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | Instagram
#dariblogustazcahaya
#pandaialquran
#ustazcahaya


Antara Projek Freelance Terkini Saya
Terbaharu, malam tadi saya menyiapkan web rasmi www.pendekarwalk.ml untuk sebuah program amal dalam Festival Seni Beladiri Sabah Sandakan 2018 yang bakal berlangsung bulan Mac nanti.

06/02/2018

Buku Bakal Terbit: Pandai Al-Quran


Buku Bakal Terbit: Pandai Al-Quran




Buku Pandai Al-Quran ini disusun dalam usaha memudahkan umat Islam yang bukan berbangsa Arab dan tidak belajar bahasa Arab; untuk menikmati bacaan al-Quran sebagaimana yang dinikmati oleh mereka yang tahu bahasa Arab.

Buku ini membantu bermula dengan panduan |Cara Baca| yang betul, |Ilmu Tajwid| yang perlu diketahui dan |Faham Makna| ayat Al-Quran yang dibaca.

Sesuai konsep memudahkan, ketiga-tiga pelajaran tersebut dipelajari sekali jalan bermula dengan surah An-Naas.


Sebagaimana judulnya sudah diringkaskan; persembahan (manuskrip) buku ini juga sedang dipermudahkan. Tujuan judul yang ringkas dan persembahan kandungan buku yang mudah, adalah untuk mempermudahkan proses belajar dan mengajar Al-Quran.

Semoga kita sentiasa terlibat dalam proses mengajar dan belajar Al-Quran, dalam usaha kita untuk menjadi hamba Allah yang baik.

Seperti dijanjikan oleh Rasulullah (saw):

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang
belajar al-Quran dan mengajarkannya”.

(Riwayat Bukhari, hadis nombor 5027)



Jemput LIKE, FOLLOW DAN SET SEE FIRST page UstazCahaya Al-Quran sebagai tanda sokongan kepada proses penerbitan Siri Buku Pandai Al-Quran.


#ustazcahaya
#pandaialquran