Memaparkan catatan dengan label Penulisan dan Bahan Bacaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penulisan dan Bahan Bacaan. Papar semua catatan

13/06/2019

Tersukut Tepi Tiang


Tersukut Tepi Tiang
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Kusimpan kenangan, bersama malam kecundang,
patah sayapnya kehampaan....

Patahnya Sayap Malam dari kumpulan Masa Scarecrow adalah lagu kegemaran saya sejak zaman kanak-kanak lagi. Sekolah rendah tahun 4 seingat saya. Zaman dengar radio transistor. Lagu Rock Kapak ciptaan Awang BPR itu memang berhantu. Tak habis feeling dengan lirik dan vokalnya sampaikan bunyi gitar bassnya juga membuat saya terbuai-buai penuh perasaan.

Imbas kembali lagu-lagu lama, saya percaya ia dimainkan sepenuh 'hati dan rasa' oleh semua mereka yang terlibat. Bassist pun bermain sepenuh hati bukan sekadar mencukup syarat untuk sebuah lagu ada bunyi bass semata-mata.

Itu dalam sebuah band rock untuk sebuah lagu. Apatah lagi dalam sebuah pasukan kerja atau bisnes. Semua orang dalam pasukan perlu memainkan peranan mereka dari hati yang penuh minat dan jiwa yang sarat rasa. Kefahaman saya, untuk sesuatu yang melibatkan pasukan atau kumpulan, jika semua orang dalam pasukan memainkan peranannya dengan sepenuh rasa hasilnya insya Allah luar biasa dan tahan lama.

Bagi sebuah lagu contohnya, tak jalan kalau vokalis menyanyi sepenuh hati tapi bassist tersukut tepi tiang dan petik tali bass hanya dengan jari tanpa hati yang ada minat dan jiwa tanpa rasa. Jika itu yang berlaku, baik vokalis itu menyanyi dengan instrumen kibod yang boleh menghasilkan bunyi bass sendiri.

Tersukut Tepi Tiang


"Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak
kepada pasangan taat dan setia;
tiadalah cinta tanpa taat dan setia"

Dalam Siri Post 3T kali ini saya memilih tajuk 'Tersukut Tepi Tiang' yang diinspirasi dari frasa dielek Sarawak 'tersukut' yang bermaksud 'terperuk' atau 'memencilkan diri' dan boleh juga dimaksudkan untuk 'dipulaukan' atau 'diketepikan'. 

Malam Jumaat yang penuh berkat ini, saya muhasabah diri. Ketika ditimpa musibah setahun yang lalu, saya mengambil peluang untuk melihat dalam-dalam ke dalam diri sendiri. Saya bertanya 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya daripada semua itu. 

Dalam keadaan diri yang sedih, saya melawan sakit lukanya hati dan jiwa. Saya tidak boleh lemah. Persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' saya fikirkan sepanjang masa.

Persoalan itu membawa saya memohon kepada Allah untuk meletakkan saya pada tempat yang betul. Persoalan itu membawa saya berfikir mahu membina diri untuk posisi terbaik yang sebenarnya Tuhan mahu untuk saya. Persoalan itu membawa saya merenung diri tentang peranan terbaik yang boleh saya tunaikan pada hari-hari mendatang. 

Jawapan untuk persoalan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan tidak terjawab sehari dua. Setahun yang lalu, saya bermula dengan keyakinan bahawa saya perlu melakukan yang terbaik dan menjawab dengan betul persoalan 'Tuhan Mahu Apa?'.

Meja Makan Sebagai Saksi Bisu


(Meja makan di rumah sewa saya. Gambar ini diambil dari tiang yang saya tuliskan
dalam post ini. Gambar ketika saya baru selesai membersihkan ruang
masak dan makan rumah sewa saya semasa cuti hari raya yang lalu) 

Tiang yang kaku pada sebuah rumah adalah komponen yang menjadikan sebuah rumah terpacak kukuh. Jam yang tergantung pada tiang itu pula bukan sekadar buat mencantikkan ruang tamu, ia juga menunjukkan masa dan waktu. Ditambah pula meja yang diletak di tepi tiang menjadi tempat letaknya mushaf al-Quran, pasu bunga, buku dan lain sebagainya.

Realiti saya sendiri, meja makan di rumah yang saya sewa ini terletak di tepi 'tiang seri' rumah. Saya anggap ia tiang seri kerana ia terpacak di tengah-tengah dalam rumah sewa saya ini. Meja makan tepi tiang dalam rumah sewa saya ini sarat memori dan makna kepada saya.

Di meja makan itulah bukan sahaja tempat saya makan dan minum. Di meja makan itulah saya membaca al-Quran, termenung, menconteng kertas membuat perancangan masa depan, menaip, menulis dan menonton video ceramah di Youtube.

Meja makan itu juga adalah saksi ketika saya berbual dengan ibu ayah dan adik beradik. Meja makan itulah juga tempat saya membuka dan membaca 'dokumen mahkamah syariah' yang dikirim kepada saya. Di meja makan itulah pada suatu malam, saya beritahu adik-adik keputusan saya untuk tidak melawan kerana saya memilih untuk menikmati masa depan dengan ibu ayah dan adik-adik.

Meja makan itulah saksi bisu ketika saya berjanji dengan adik-adik saya mahu membina hidup di Bintulu. Setahun yang lalu, meja makan itulah saksi bisu tekad saya untuk reda apa yang berlaku. Walaupun dalam keadaan tidak tahu pada hari mendatang apa yang menunggu tapi saya yakin penuh masa depan lebih baik ada dalam rahsia takdir Allah.

Di meja makan itulah juga saya menerima panggilan telefon yang membawa saya memasuki industri umrah. Dengan Bismillah, saya memulakan karier sebagai perunding umrah dengan keyakinan bahawa itulah tempat terbaik yang Tuhan mahu saya berada di dalamnya.
Tuhan Mahu Apa?

Insya Allah, dalam post-post mendatang di Blog UstazCahaya ini saya akan menulis tentang bagaimana saya 'move on' dan bangkit kembali selepas luka parah ditimpa musibah penghujung Ramadan 1439/ 2019.

Bagaimana saya membina hidup baru, mengulang kembali karier lama sebagai penulis dan perunding takaful dan memulakan karier baharu sebagai perunding umrah.

Bagaimana saya survival menyewa rumah, meminjam motorsikal adik ipar dan bergerak dengan menumpang adik-adik atau grab ketika bermula dari kosong setahun yang lalu sebelum pada Februari 2019 saya mendapat sebuah kereta baharu (Alhamdulillah).


Semuanya saya lalui dengan setiap hari 'menjawab' persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya.

Untuk malam ini, saya perlukan bantuan saudara yang membaca post ini. Jika saudara tidak mendapat manfaat daripada post ini, mungkin ada orang lain yang boleh mendapat manfaat post ini. Bantulah saya sebarkan Siri Post 3T dalam Blog UstazCahaya ini kepada orang lain. 

... Kerana setahun yang lalu, saya pernah berjanji kepada Tuhan untuk menulis post bermanfaat di Blog UstazCahaya ini selama hayat dikandung badan. 

Mohon, bantulah saya menulis post bermanfaat dan menyebarkannya kepada orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya. 

Semoga Allah mengasihi kita semua. Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin. 

Baca #siripost3T pertama di https://www.ustazcahaya.com/2019/06/terkenang-tiap-tahun.html

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya







11/06/2019

Terkenang Tiap Tahun


Terkenang Tiap Tahun 
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Saya -jubah kelabu kopiah putih- di Bukit Pemanah (Jabal Rumat)
di hadapan Bukit Uhud pada 29 April 2019 yang lalu
)

Bismillah.

Ini adalah siri pertama post dengan tajuk kombinasi perkataan 3T untuk Blog UstazCahaya. Sejak penghujung Ramadan yang lalu, saya telah menyenaraikan seberapa banyak tajuk 3T yang saya mampu. Ianya bermula dari perkataan 3T yang menjadi gurauan kami beberapa orang sahabat pada penghujung Ramadan yang lalu. Insya Allah, kisahnya nanti pada post lain saya ceritakan. Post pertama ini bernuansa sedih, tidak sesuai untuk saya tulis tentang itu.

7 Syawal. Hari ini pada tahun ke-3 Hijrah adalah tarikh berlakunya Perang Uhud. Gambar pada permulaan post ini adalah ketika saya berada di Bukit Pemanah (Jabal Rumat) di hadapan Bukit Uhud pada 29 April 2019 yang lalu. Maka, dengan nama Allah saya memulakan Siri Post 3T di Blog UstazCahaya dengan post 'Terkenang Tiap Tahun' ini. 

Perang Uhud membuat jatuh air mata saya. Berdiri di tanah tempat terjadinya perang itu, saya mengenang diri. Ia tentang cinta, taat dan setia. Taat dan setia itu lahir dari cinta; cinta yang suci itu harganya adalah taat dan setia.

Cinta kepada Rasulullah (saw) adalah sebab mengapa 700 orang sahabat sanggup keluar dari kota Madinah menuju ke Bukit Uhud. 700 orang yang sarat cinta, taat dan setia kepada Nabi Muhammad (saw) sanggup keluar untuk menghadapi 3000 orang pasukan kafir Mekah.

Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak kepada pasangan taat dan setia. Tiadalah cinta tanpa taat dan setia. Apatah lagi dalam pasukan perang; pun begitu dalam pasukan kerja, rakan niaga dan lebih-lebih lagi kepada pasangan suami isteri. Tiadalah cinta tanpa taat dan setia.

10 Jun 2018 hingga 10 Jun 2019


(Jangan Takut Kita Punya Allah. Buku ini saya beli di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Sabah setahun yang lalu, iaitu pada 10 Jun 2018.
Hari ini 10 Jun 2019, saya mengeluarkan buku ini dari almari dan memulakan ulang baca) 

Alhamdulillah, saya menyambut kedatangan 1 Ramadan 1440 (tahun 2019) di bumi berkat Mekah al-Mukarramah. Bumi yang di sana tersergam sebuah bangunan empat segi bernama Kaabah yang menjadi kiblat semua umat Islam seluruh dunia ketika mendirikan solat.

Setahun yang lalu, saya tidak pernah terfikir bahawa antara dua Ramadan (1439H/ 2018M hingga 1440H/ 2019M); saya direzekikan Allah untuk dua kali berada di Tanah Suci Mekah ini. Pertama pada bulan Disember 2018 dan kedua pada bulan Mei 2019.

Setahun yang lalu, saya tidak pernah tahu bahawa saya akan jadi seperti saya hari ini. Setahun yang lalu, saya tidak pernah tahu bahawa saya akan memiliki apa yang sedang saya miliki hari ini. Maka demi Allah, saya insaf bahawa saya hanyalah hamba yang tidak pernah tahu masa depan waima sesaat selepas ini sekalipun. 

Setahun yang lalu, apa yang saya tahu hanyalah saya perlu terima 3T dari Tuhan, iaitu; 'Takdir Telah Tertulis'.

Setahun yang lalu, saya menginsafi diri bahawa saya adalah hamba Allah yang pada kehidupan saya ada suratan jalan hidup yang Telah Tuhan Tetapkan untuk saya lalui.

Setahun yang lalu, dalam luka parah dan lemah saya tekad untuk melalui Takdir Tetapan Tuhan ke atas saya dengan sehabis baik yang saya mampu.

Sampaikan Hamba Ke Kaabah, Ya Allah!

Awal pagi (dalam jam 2 pagi) 9 Jun 2018, dua orang sahabat menghantar saya ke Labuk Hotel Sandakan. Di dalam sebuah bilik hotel itulah saya mengurung diri, menangis menahan sakitnya luka parah yang saya terima pada malam 8 Jun 2018.

Malam itu adalah penghujung Ramadan 1439/ 2018. Salam musibah dilaung dari pagar rumah ketika saya melipat pakaian untuk dibawa balik ke Bintulu untuk berhari raya. Salam itu membawa kepada adegan cabar mencabar dan hina menghina sehingga saya diludah di depan pagar rumah. Berlanjutan sehingga ke balai polis.

Allah. Allahu Akbar. Allahu Akbar Kabira.

Berdegup kencang jantung dalam dada saya ketika menulis bait-bait di atas. Cukuplah setakat itu.

10 Jun 2018, dengan penerbangan pagi saya terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Sementara menunggu penerbangan Kota Kinabalu ke Miri saya melangkah ke sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Buku pertama yang menangkap pandangan mata saya adalah buku itu. Sebuah buku berjudul 'Jangan Takut Kita Punya Allah'.



Sejak itu, saya selalu membayangkan Kaabah. Kita biasa dengar bahawa doa orang teraniaya tidak dihisab lalu saya berdoa pada waktu itu. Dengan kepercayaan bahawa saya sedang teraniaya dan mengharap mustajabnya doa, saya berdoa; "Ya Allah, sampaikanlah hamba ke Kaabah sebelum Syawal tahun depan"; (yang saya maksudkan adalah Syawal 2019m/ 1440h).

Sunguh-sungguh saya berdoa pada waktu itu dengan perasaan yang andai kata saya punya wang yang cukup waktu itu juga saya mahu ke Kaabah. Saya mahu sujud dan rebah di depan Kaabah. Di depan binaan batu empat segi yang Allah tetapkan untuk menjadi kiblat solat kita itu saya mahu tersungkur dan mengaku bahawa saya hanyalah hamba-Mu Ya Allah.

Saya ingin bermunajat di depan Kaabah dengan bait-bait ayat berikut:

"Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami. Tiada Tuhan selain Engkau.  Engkau yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami berada dalam perjanjian dengan-Mu menurut kemampuan kami. 

Ya Allah, kami berlinding dengan-Mu daripada kejahatan. Kami mengaku segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Kami mengaku segala dosa-dosa kami. 

Ampuni kami Ya Allah. Kami memohon Engkau ampunilah kami kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau"

Alhamdulillah. Alhamdulillah Rabb al-Alamin. Subhanallah wa bihamdih. 

Doa saya makbul, malah tidak pernah saya menyangka saya akan sampai ke Kabaah dua kali antara dua Syawal 1439 dan 1440. 

Batu-bata Kaabah

"Sebesar rumah bermula dengan sekecil bata, boleh hilang dalam sekelip mata" tulis Malique dalam lagu Alhamdulillah. 

Ketika saya membayangkan Kaabah, saya membayangkan ia adalah sebuah bangunan empat segi yang terbina daripada susunan batu-batu. Fikiran saya membawa saya teringat ketika suatu masa dahulu, pada bulan Ramadan jugalah; kami berkumpul di rumah rakan sekerja di Negara Brunei Darussalam.

Waktu itu, ketika membakar ikan saya perhatikan air yang jatuh ke batu-bata yang menjadi 'kaki' pagar dawai tempat membakar ikan. Waktu itu saya terilham satu perkara. Hati biar teguh seperti batu bata. Ketika kering dia tidak hancur disiram air. Ketika panas ia malah menyejatkan air.

Saya membayangkan batu-batu Kaabah. Bukan batu permata, bukan batu belian, bukan juga logam berjenis emas, titanium atau timah; hanya batu bata dari tanah. Namun, Tuhan jadikan Kaabah sebuah bangunan batu yang mulia yang dikunjung manusia setiap masa.

Setahun yang lalu, saya tidak tahu apa yang ada pada hari-hari mendatang dalam hidup saya. Apa yang saya tahu, saya berpegang kepada surah Ad-Dhuha dan surah Al-Insyirah - dua surah yang turun bergandingan ketika Rasulullah (saw) sedang sedih, sangat sedih. 

Firman Allah dalam awal surah Ad-Dhuha, "Demi waktu dhuha dan malam yang telah berlalu". Saya pegang waktu itu bahawa Dhuha adalah waktu indah yang datang selepas gelapnya malam. 

Dan janji Allah kemudiannya dalam surah Al-Insyirah, "Maka sesungguhnya bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan dan bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan".

Kepada mereka yang menzalimi saya pada bulan mulia Ramadan yang lalu, saya sudah lama menyerahkan mereka kepada Allah. Saya juga menyerahkan diri saya sendiri sepenuhnya kepada Allah, semoga ALLAH tetap memelihara dan mengasihi saya.

Terima kasih kepada semua yang bersama saya, membantu saya dan mengangkat saya bangkit kembali. Setiap kali ke Mekah, saya doakan agar kalian dikasihi Allah dunia akhirat.

Doakan saya istiqamah menulis Siri Post 3T ini dan semoga ia menjadi siri yang bermanfaat dunia akhirat.

... kerana setahun yang lalu saya pernah berjanji banyak kepada Tuhan, salah satu janji itu adalah untuk menjadi hamba-NYA yang memberi manfaat kepada orang lain.

Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya


(Saya di rumah rakan sekerja di Negara Brunei Darussalam pada bulan Ramadan/ Julai tahun 2013. Waktu itu kami memancing dan memanggang ayam sambil menunggu waktu berbuka, Dapat ikan pancing kami buat ikan bakar)

Setahun yang lalu, apa yang saya tahu hanyalah saya perlu terima 3T dari Tuhan, iaitu; 'Takdir Telah Tertulis'.

Setahun yang lalu, saya menginsafi diri bahawa saya adalah hamba Allah yang pada kehidupan saya ada suratan jalan hidup yang Telah Tuhan Tetapkan untuk saya lalui.

Setahun yang lalu, dalam luka parah dan lemah saya tekad untuk melalui Takdir Tetapan Tuhan ke atas saya dengan sehabis baik yang saya mampu.

Doakan saya istiqamah menulis Siri Post 3T ini dan semoga ia menjadi siri yang bermanfaat dunia akhirat.

... kerana setahun yang lalu saya pernah berjanji banyak kepada Tuhan, salah satu janji itu adalah untuk menjadi hamba-NYA yang memberi manfaat kepada orang lain.

Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.


25/01/2019

Web dan Blog Pada Tahun 2020


Web dan Blog Pada Tahun 2020
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Taklimat Baitulmal pagi tadi. Saya sempat bertanya 4 soalan dan mendapat jawapan yang jelas. Terima kasih Ustaz Faizul Ismadi dan staff Baitulmal Bintulu.

Soalan saya;

1) Sengaja menyimpan emas di Ar-Rahnu.
2) Fidyah Puasa
3) Komisyen ejen umrah
4) Umrah vs Zakat

Teruskan membaca, jawapan soalan di bahagian akhir post ini

Web dan Blog Pada Tahun 2020

Zine berukuran 1:1 ole-ole dari taklimat Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Bintulu pagi Khamis, 24 Januari 2019.

Bahan refresh diri malam hujung minggu ini. Berbintang mata dalam dua minggu ini serius membangunkan www.pdctravelsborneo.com

Dalam list ada lagi beberapa www yang perlu ditukang untuk sebulan dua bulan awal tabun 2019 ini.

Beberapa hari lepas saya menonton video dari icon usahawan internet Malaysia, Irfan Khairi


Dalam video tersebut Irfan Khairi memberitahu kepentingan website dalam zaman persaingan sengit pemasaran di media sosial sekarang.

Website menjadi kelebihan dan memberi nilai tambah kepada usahawan di mata pelanggan.

Ya, seperti yang kami percaya 10 tahun dahulu. Ketika itu (tahun 2009) Facebook mula menjadi gergasi internet dan pemasaran online menjadi lebih mudah; kami tetap percaya dan mempertahankan web dan blog.

Ternyata kepercayaan kami benar. Tahun 2019 terbukti web dan blog tetap utuh sebagai platform utama untuk usahawan online. Adapun sosial media adalah saluran-saluran yang perlu digunakan untuk menyebar luaskan kandungan dari web dan blog.

Insya Allah pada tahun 2020 nanti kita akan melihat para usahawan akan semakin ramai yang akan membangunkan web dan blog. Sama ada mereka akan belajar dan membangunkan sendiri atau mengupah orang lain.

Pokoknya, menjelang tahun 2020; industri web dan blog akan kembali mendapat perhatian dan pasaran akan semakin baik terutama dalam bidang membangunkan web dan blog.

Dibandingkan web/blog dengan telefon pintar, ia seperti telefon pintar. Web dan blog adalah telefon dan dalam telefon itulah terkandungnya Facebook, Instagram, Twitter, Whatsapp, Telegram, Youtube dan seterusnya.

Empat (4) Soalan dan Jawapan


1) Sengaja menyimpan emas di Ar-Rahnu.

* emas yang disimpan di Ar-Rahnu tidak wajib bayar zakat. Syaratnya wang dari gadaian digunakan untuk keperluan.

* jika emas disimpan tetapi wang gadaian kemudian disimpan juga, maka wang dari gadaian ada zakat.

2) Fidyah Puasa
* Fidyah puasa 1/4 zakat fitrah semasa. Boleh bayar fidyah kepada Baitulmal.

3) Komisyen ejen umrah
* komisyen ejen umrah wajib bayar zakat jika cukup syaratnya. Namun kebiasaannya ejen part time ada pendapatan tetap yang lain. Maka komisyen adalah pendapatan tambahan maka dikira wajib zakat sebab pendapatan yang sudah melebihi keperluan.

4) Umrah vs Zakat
* Antara jumlah zakat dan perbelanjaan umrah, jumlah zakat lebih kecil. Utamakan bayar zakat pendapatan dan lakukan umrah.
* contoh orang dapat EPF RM100 ribu, keluarkan zakat RM2500 dan selebihnya boleh belanja termasuk umrah.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com

Blog UstazCahaya
#blog #ustazcahaya 



Bahan refresh diri malam hujung minggu ini. Zine berukuran 1:1 ole-ole dari taklimat Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Bintulu pagi Khamis, 24 Januari 2019.





Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com


17/11/2018

Satu Hari Dalam Kehidupan Saya Pada Bulan November 2018


Satu Hari Dalam Kehidupan Saya
Pada Bulan November 2018

(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Ayat-ayat akhir surah Az-Zariyat.Ada empat ayat dalam gambar ini
yang saya selalu baca dalam solat sunat. Juga, ada satu ayat dalam gambar ini
yang saya akan baca berulang kali secara berterusan
jika menghadapi kesusahan atau halangan - selalu mujarab Insya Allah.


Saya mula menaip post ini di telefon pintar ketika jam padanya menunjukkan pukul 14:49. Menaip dalam keadaan berbaring di atas katil dalam bilik. Di luar mendung yang ditemani gerimis sekejap-sekejap. Jika hujan pada petang Sabtu begini tentu lebih santai dan nyaman, kan. (Saya copy dan paste ke blog ini menggunakan laptop bermula jam 21:32 malam ini. Tetap menggunakan laptop adalah cara saya untuk update blog ini).

Penulisan ini saya simpan dalam fikiran sejak hari Isnin yang lalu. Dalam post ini saya ingin menceritakan tentang kehidupan saya kini sebagai seorang Perunding Umrah, Wasiat dan Takaful yang baru bermula dan sebagai seorang Ghostwriter (penulis upahan) sejak tahun 2009. Juga, masih kekal mahu bertahan sebagai penjual buku. 

Hari Isnin yang baru berlalu iaitu 12 November 2018 rasanya cukup untuk menggambarkan kehidupan saya sebagai seorang Perunding Umrah, Wasiat dan Takaful. Dalam masa yang sama masih menjadi penulis upahan. 


Isnin Yang Meriah

Bermula lepas solat dhuha pagi itu berterusan menerima tetamu di pejabat PDC Travels Borneo. Bermula dengan kedatangan Mr Lawrence (Prudential Bintulu) yang bertanya khabar dan persediaan untuk exam PCE 24 November nanti.

Disambung kehadiran bakal jemaah umrah 7-17 Januari 2019 (5 orang + 1 jemaah kanak-kanak). Encik Jainal dan Awang Talib datang membuat bayaran penuh dan membeli keperluan umrah. Kemudian petangnya datang Kak Atikah Basri (juga bakal umrah jemaah 7-17 Januari 2019) menghantar gambar visa ibu beliau.

Inilah antara tugas saya sebagai Perunding Umrah. Bersama PDC Borneo, saya menguruskan perjalanan ibadah umrah jemaah dari Borneo. Makanya awal mula menjadi keluarga PDC Borneo tempoh hari, saya cadangkan satu branding bernama 'Borneo Umrah'.


Penulis Upahan Dengan Upah Bulanan

Masih tentang hari Isnin itu. Sejak pagi saya bermesej via Whatsapp dengan seorang client terbaharu. Beliau dan isteri  mengupah saya untuk menjadi penulis tetap bagi mereka dengan bayaran upah bulanan. Kita namakan dalam post ini mereka sebagai Tuan R dan Puan S. 

Setibanya di rumah pada petang itu sekembali dari pejabat PDC Borneo, belum sempat membancuh minuman Nescafe, saya menerima penggilan daripada Tuan R. Saya sambut panggilan beliau dan kami berbual. 

Alhamdulillah. Senang berbual dengan beliau dan saya gembira dengan apa yang ditawarkan oleh beliau dan isteri kepada saya. Tamat panggilan, saya menerima mesej Whatsapp pula dari Tuan R mengatakan bahawa upah saya ditambah 20% lagi daripada apa yang kami putuskan dalam perbualan telefon tadi.

Malamnya saya beranikan diri menulis tentang pendirian saya berkenaan isu niqab. Ketika isu itu panas saya memilih untuk diam. Malam Isnin yang lalu, saya mengambil keputusan untuk menzahirkan sokongan saya kepada para niqabis (berpurdah).

Saya sedar dunia tidak memerlukan pendapat saya. Juga para niqabis pun tidak memerlukan sokongan saya. Namun, saya memilih untuk menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan berpurdah membuatkan Islam kelihatan berat dan susah.




Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
dan Nidji 
(Comelnya Saya Waktu Kecil Dulu🤭) 

Pernah saya terfikir, bagaimana agaknya penerimaan Buya Hamka terhadap karya Nidji untuk filem yang diangkat dari novel beliau?

Saya dilahirkan di Hospital Bintulu pada 16 Ogos 1980. Selepas dilahirkan saya dibawa ke sebuah rumah di Kampung Dagang, Bintulu. Rumah ayah kepada ibu saya iaitu datuk saya.

Buya Hamka - ulamak Nusantara yang legendaris itu pernah berziarah ke Kampung Dagang 2 tahun sebelum ibu saya dilahirkan. Ibu lahir pada 1 Disember 1962 di Kampung Dagang itulah juga.

Setelah besar saya mengenali Buya Hamka dan membaca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Menonton filem adaptasi novel tersebut dan meminati soundtrack filem tersebut karya band Indon yang besar - Nidji yang digelar orang sebagai 'King of Sountrack'.



Dua buah OST Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dari Nidji iaitu 'Teroesir (Menunggu Karma)' dan 'Sumpah Mati' adalah kegemaran saya. Dua buah lagu yang pernah jadi lagu tema pada beberapa fasa hidup saya yang lalu.


Teroesir (Menunggu Karma)
*Aku yang teroesir
jauh dari kamu
Jauh dari kamu
Cinta dan harapan
Dibunuh dan mati

Sumpah dan Cinta Matiku
*Cinta kan selalu abadi
Walau takdir tak pasti
Kau selalu di hati cinta matiku
Seraya aku berdoa merayakan cinta
Kau selalu ku jaga


Sumpah mati sumpah (sumpah)
Sumpah mati (sumpah mati)
Sumpah mati aku hanya untukmu

Kata-kata yang indah itu tidak mesti lahir daripada orang yang sedang bahagia. Kadang orang yang berduka merawat dirinya dengan menulis dan mengucapkan kata-kata yang indah. Bilang orang - terapi menulis.

Alhamdulillah. Jumaat hari kesukaan dan selalunya hari yang baik.


09/11/2018

Lamaran Diterima (Content Writer Dengan Upah Bulanan)


Lamaran Diterima
(Content Writer Dengan Upah Bulanan)
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)


(Rezeki bulanan saya sebagai Content Writer kepada
seorang usahawan besar dalam industri produk kesihatan)


Hari ini sudah 1 Rabiulawal 1440 Hijrah. Bulan ketiga dalam kalender Islam. Jika blogosfera ini diibaratkan sebagai kerbau, sayalah bangau. Seperti kata pantun Melayu...


Orang petani membuat dangau,
Dibiar kosong tidak bekerja;
Berapa tinggi terbang bangau,
Akhirnya di belakang kerbau juga.

Hari ini adalah hari Jumaat, yang merupakan hari paling saya suka dalam seminggu. Sejak zaman kanak-kanak sehingga kini berusia sudah ada anak, saya tetap suka akan hari Jumaat. Malah, sejak memulakan blog ini sembilan tahun (sejak 2009) yang lalu, saya buat satu 'label' (kategori) post di blog ini dengan nama 'Post Khas Hari Jumaat'.

Alhamdulillah hari ini adalah hari yang indah dan baik. Saya mendoakan semoga anda juga menikmati indahnya Jumaat hari ini, Allahumma Amin, Ya Rabb al-Alamin.

Rindu Zaman Blogger

Hari Isnin yang lalu, saya minum petang di sebuah kedai berhampiran pejabat PDC Borneo. Sambil menunggu 'Bun Tunok' (roti bakar) saya scroll dinding Facebook. Nampak iklan baju-t lalu terus saya screenshot. Kata-kata pada baju-t tersebut membuatkan saya teringat Sammy dalam Transformers yang mewarisi kata-kata keramat datuknya Witwicky yang berbunyi, "'no sacrifice no victory'".




Ingatan kepada hero filem Transformers itu membawa ke malam harinya. Saya meluangkan masa membaca post yang pernah saya tulis tentang Sammy dan Transformers di Blog UstazCahaya ini. 

Jujur, sebagai seorang yang pernah mencicipi hasil daripada alam 'Bloghosfera'; saya rindu zaman blogging dulu. Pada waktu itu, menulis di blog menjadi nikmat yang indah. Menulis tanpa mengharap akan dibaca tetapi kerana ikhlasnya menulis waktu itu, ada-ada sahaja rezeki dari aktiviti menulis (biasanya dari upah menulis untuk orang lain).

Caranya, tulis yang baik dan berkualiti di blog peribadi. Orang baca dan orang percayakan kita untuk dia bayar upah menulis apa yang dia perlukan. Itulah yang sekarang trending dipanggil industri 'Ghoswriter', 'Copywriter' atau juga 'Content Writer'.




Content Writer Dengan Upah Bulanan

Alhamdulillah, antara kegembiraan saya pada 1 Rabiulawal 1440 Hijrah ini adalah ketika pagi tadi saya 'on data' telefon bimbit dan mendapat mesej daripada seorang usahawan besar dalam indsutri produk kesihatan di Malaysia. Mesej tersebut yang memaklumkan bahawa beliau dan suami mahu menggunakan perkhidmatan saya sebagai Content Writer mereka. 



Daripada apa yang pernah dibincangkan sebelum ini, tugas saya sebagai Content Writer adalah menyediakan 6 artikel seminggu dengan setiapnya anggaran 400-600 patah perkataan. Tugasan yang saya kira wajar dan logik dengan kemampuan saya. Bayarannya? Insya Allah tugas ini dengan bayaran RMribu.00 sebulan. Alhamdulillah.

Sebagai seorang Penulis Upahan (Ghoswriter) sejak tahun 2009, job seperti ini adalah harapan dan milestone yang telah lama saya impikan. Perasaannya sukar diungkapkan ketika saya mendapat rezeki tetap bulanan daripada kerja menulis.






Setelah beberapa fasa yang saya lalui dalam kehidupan dan menghampiri usia 40-an, saya ingin menikmati kehidupan dengan melakukan apa yang saya lakukan. Syukur Alhamdulillah, sekarang saya hidup dengan melakukan apa yang hati saya senang untuk melakukannya.

Gambar kenangan bersama Ustaz Haji Mohd Isselahuddin, yang menjadi penceramah Kursus Pengenalan Ibadah Umrah yang saya kendalikan di Masjid Al-Abyad, Matang Jaya, Kuching, Sarawak. Gambar pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 yang lalu usai kursus yang ditaja dan dianjurkan oleh PDC Borneo - agensi umrah tempat saya berkhidmat sekarang.

Insya Allah, lengkaplah kini saya hidup dengan profil sebagai seorang guru Al-Quran, penulis serta perunding umrah, wasiat dan takaful. Disamping menuruskan sunnah berniaga dengan menjual buku secara kecil-kecilan.

04/11/2018

Hati Terbang Lagi


Hati Terbang Lagi
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Terbang dengan sayap yang cedera parah bertitisan darah bersama titisan air mata duka. Kau terpaksa kekal terbang tinggi pada tahap yang tidak kesampaian anak-anak panah musuh yang memanah dengan konsisten dari bawah. Seinci kau merendah boleh membawa padah.

Terus bertahan terbang tinggi dengan gayat, takut dan trauma hingga sampai ke tahap yang selamat; kau terbang merendah. Cecah kaki di tanah lalu rebah, termengah-mengah, menengadah dalam lelah. Baring rebah bersama pedih luka yang parah. Titis-titis hujan pula mula turun mencurah-curah menitis ke atas luka-luka yang parah... pedih tak terluah!

Dengan sisa tenaga dan senipis kulit bawang asa yang masih ada. Entah kau mengumam atau berbisik dengan suara yang hampir tiada. Lagu puisi yang kau gubah pada waktu terbang tinggi dengan sayap yang luka parah, kau nyanyikan dengan sumbang suara dan iramanya.


Lagu Puisi: Hati Terbang Lagi

Malam gelap diri tatap lagi lagi,
mahu susun bintang tulis mimpi.
Malam gelap diri tatap bulan lagi,
mahu gumpal awan lukis mimpi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Awan lukis lagi mimpi malam tadi,
pagi sinar suria padam semua.
Bintang tulis lagi mimpi malam tadi,
datang siang hari hilang pergi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Pipi ukir lagi wajah senyum ini,
getar debar rasa pendam semua.
Haiku tulis lagi simpul rasa hati,
lagu nyanyi diri dendang luah rasa.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

Hati terbang lagi bawa sarat isi,
terbang tinggi-tinggi jatuh lonjak lagi.
Terbang tinggi lagi kaki jejak bumi,
dahi sujud lagi sembah agung Ilahi.

Rahsia hati tutup dalam lipat origami,
susah gundah bungkus dalam lipatan sejadah.

(C) Norudin Draman UstazCahaya, April 2013.