Memaparkan catatan dengan label Post Khas Hari Jumaat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Post Khas Hari Jumaat. Papar semua catatan

13/06/2019

Tersukut Tepi Tiang


Tersukut Tepi Tiang
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




Kusimpan kenangan, bersama malam kecundang,
patah sayapnya kehampaan....

Patahnya Sayap Malam dari kumpulan Masa Scarecrow adalah lagu kegemaran saya sejak zaman kanak-kanak lagi. Sekolah rendah tahun 4 seingat saya. Zaman dengar radio transistor. Lagu Rock Kapak ciptaan Awang BPR itu memang berhantu. Tak habis feeling dengan lirik dan vokalnya sampaikan bunyi gitar bassnya juga membuat saya terbuai-buai penuh perasaan.

Imbas kembali lagu-lagu lama, saya percaya ia dimainkan sepenuh 'hati dan rasa' oleh semua mereka yang terlibat. Bassist pun bermain sepenuh hati bukan sekadar mencukup syarat untuk sebuah lagu ada bunyi bass semata-mata.

Itu dalam sebuah band rock untuk sebuah lagu. Apatah lagi dalam sebuah pasukan kerja atau bisnes. Semua orang dalam pasukan perlu memainkan peranan mereka dari hati yang penuh minat dan jiwa yang sarat rasa. Kefahaman saya, untuk sesuatu yang melibatkan pasukan atau kumpulan, jika semua orang dalam pasukan memainkan peranannya dengan sepenuh rasa hasilnya insya Allah luar biasa dan tahan lama.

Bagi sebuah lagu contohnya, tak jalan kalau vokalis menyanyi sepenuh hati tapi bassist tersukut tepi tiang dan petik tali bass hanya dengan jari tanpa hati yang ada minat dan jiwa tanpa rasa. Jika itu yang berlaku, baik vokalis itu menyanyi dengan instrumen kibod yang boleh menghasilkan bunyi bass sendiri.

Tersukut Tepi Tiang


"Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak
kepada pasangan taat dan setia;
tiadalah cinta tanpa taat dan setia"

Dalam Siri Post 3T kali ini saya memilih tajuk 'Tersukut Tepi Tiang' yang diinspirasi dari frasa dielek Sarawak 'tersukut' yang bermaksud 'terperuk' atau 'memencilkan diri' dan boleh juga dimaksudkan untuk 'dipulaukan' atau 'diketepikan'. 

Malam Jumaat yang penuh berkat ini, saya muhasabah diri. Ketika ditimpa musibah setahun yang lalu, saya mengambil peluang untuk melihat dalam-dalam ke dalam diri sendiri. Saya bertanya 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya daripada semua itu. 

Dalam keadaan diri yang sedih, saya melawan sakit lukanya hati dan jiwa. Saya tidak boleh lemah. Persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' saya fikirkan sepanjang masa.

Persoalan itu membawa saya memohon kepada Allah untuk meletakkan saya pada tempat yang betul. Persoalan itu membawa saya berfikir mahu membina diri untuk posisi terbaik yang sebenarnya Tuhan mahu untuk saya. Persoalan itu membawa saya merenung diri tentang peranan terbaik yang boleh saya tunaikan pada hari-hari mendatang. 

Jawapan untuk persoalan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan tidak terjawab sehari dua. Setahun yang lalu, saya bermula dengan keyakinan bahawa saya perlu melakukan yang terbaik dan menjawab dengan betul persoalan 'Tuhan Mahu Apa?'.

Meja Makan Sebagai Saksi Bisu


(Meja makan di rumah sewa saya. Gambar ini diambil dari tiang yang saya tuliskan
dalam post ini. Gambar ketika saya baru selesai membersihkan ruang
masak dan makan rumah sewa saya semasa cuti hari raya yang lalu) 

Tiang yang kaku pada sebuah rumah adalah komponen yang menjadikan sebuah rumah terpacak kukuh. Jam yang tergantung pada tiang itu pula bukan sekadar buat mencantikkan ruang tamu, ia juga menunjukkan masa dan waktu. Ditambah pula meja yang diletak di tepi tiang menjadi tempat letaknya mushaf al-Quran, pasu bunga, buku dan lain sebagainya.

Realiti saya sendiri, meja makan di rumah yang saya sewa ini terletak di tepi 'tiang seri' rumah. Saya anggap ia tiang seri kerana ia terpacak di tengah-tengah dalam rumah sewa saya ini. Meja makan tepi tiang dalam rumah sewa saya ini sarat memori dan makna kepada saya.

Di meja makan itulah bukan sahaja tempat saya makan dan minum. Di meja makan itulah saya membaca al-Quran, termenung, menconteng kertas membuat perancangan masa depan, menaip, menulis dan menonton video ceramah di Youtube.

Meja makan itu juga adalah saksi ketika saya berbual dengan ibu ayah dan adik beradik. Meja makan itulah juga tempat saya membuka dan membaca 'dokumen mahkamah syariah' yang dikirim kepada saya. Di meja makan itulah pada suatu malam, saya beritahu adik-adik keputusan saya untuk tidak melawan kerana saya memilih untuk menikmati masa depan dengan ibu ayah dan adik-adik.

Meja makan itulah saksi bisu ketika saya berjanji dengan adik-adik saya mahu membina hidup di Bintulu. Setahun yang lalu, meja makan itulah saksi bisu tekad saya untuk reda apa yang berlaku. Walaupun dalam keadaan tidak tahu pada hari mendatang apa yang menunggu tapi saya yakin penuh masa depan lebih baik ada dalam rahsia takdir Allah.

Di meja makan itulah juga saya menerima panggilan telefon yang membawa saya memasuki industri umrah. Dengan Bismillah, saya memulakan karier sebagai perunding umrah dengan keyakinan bahawa itulah tempat terbaik yang Tuhan mahu saya berada di dalamnya.
Tuhan Mahu Apa?

Insya Allah, dalam post-post mendatang di Blog UstazCahaya ini saya akan menulis tentang bagaimana saya 'move on' dan bangkit kembali selepas luka parah ditimpa musibah penghujung Ramadan 1439/ 2019.

Bagaimana saya membina hidup baru, mengulang kembali karier lama sebagai penulis dan perunding takaful dan memulakan karier baharu sebagai perunding umrah.

Bagaimana saya survival menyewa rumah, meminjam motorsikal adik ipar dan bergerak dengan menumpang adik-adik atau grab ketika bermula dari kosong setahun yang lalu sebelum pada Februari 2019 saya mendapat sebuah kereta baharu (Alhamdulillah).


Semuanya saya lalui dengan setiap hari 'menjawab' persoalan 'Tuhan Mahu Apa?' untuk saya.

Untuk malam ini, saya perlukan bantuan saudara yang membaca post ini. Jika saudara tidak mendapat manfaat daripada post ini, mungkin ada orang lain yang boleh mendapat manfaat post ini. Bantulah saya sebarkan Siri Post 3T dalam Blog UstazCahaya ini kepada orang lain. 

... Kerana setahun yang lalu, saya pernah berjanji kepada Tuhan untuk menulis post bermanfaat di Blog UstazCahaya ini selama hayat dikandung badan. 

Mohon, bantulah saya menulis post bermanfaat dan menyebarkannya kepada orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya. 

Semoga Allah mengasihi kita semua. Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin. 

Baca #siripost3T pertama di https://www.ustazcahaya.com/2019/06/terkenang-tiap-tahun.html

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya







09/11/2018

Lamaran Diterima (Content Writer Dengan Upah Bulanan)


Lamaran Diterima
(Content Writer Dengan Upah Bulanan)
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)


(Rezeki bulanan saya sebagai Content Writer kepada
seorang usahawan besar dalam industri produk kesihatan)


Hari ini sudah 1 Rabiulawal 1440 Hijrah. Bulan ketiga dalam kalender Islam. Jika blogosfera ini diibaratkan sebagai kerbau, sayalah bangau. Seperti kata pantun Melayu...


Orang petani membuat dangau,
Dibiar kosong tidak bekerja;
Berapa tinggi terbang bangau,
Akhirnya di belakang kerbau juga.

Hari ini adalah hari Jumaat, yang merupakan hari paling saya suka dalam seminggu. Sejak zaman kanak-kanak sehingga kini berusia sudah ada anak, saya tetap suka akan hari Jumaat. Malah, sejak memulakan blog ini sembilan tahun (sejak 2009) yang lalu, saya buat satu 'label' (kategori) post di blog ini dengan nama 'Post Khas Hari Jumaat'.

Alhamdulillah hari ini adalah hari yang indah dan baik. Saya mendoakan semoga anda juga menikmati indahnya Jumaat hari ini, Allahumma Amin, Ya Rabb al-Alamin.

Rindu Zaman Blogger

Hari Isnin yang lalu, saya minum petang di sebuah kedai berhampiran pejabat PDC Borneo. Sambil menunggu 'Bun Tunok' (roti bakar) saya scroll dinding Facebook. Nampak iklan baju-t lalu terus saya screenshot. Kata-kata pada baju-t tersebut membuatkan saya teringat Sammy dalam Transformers yang mewarisi kata-kata keramat datuknya Witwicky yang berbunyi, "'no sacrifice no victory'".




Ingatan kepada hero filem Transformers itu membawa ke malam harinya. Saya meluangkan masa membaca post yang pernah saya tulis tentang Sammy dan Transformers di Blog UstazCahaya ini. 

Jujur, sebagai seorang yang pernah mencicipi hasil daripada alam 'Bloghosfera'; saya rindu zaman blogging dulu. Pada waktu itu, menulis di blog menjadi nikmat yang indah. Menulis tanpa mengharap akan dibaca tetapi kerana ikhlasnya menulis waktu itu, ada-ada sahaja rezeki dari aktiviti menulis (biasanya dari upah menulis untuk orang lain).

Caranya, tulis yang baik dan berkualiti di blog peribadi. Orang baca dan orang percayakan kita untuk dia bayar upah menulis apa yang dia perlukan. Itulah yang sekarang trending dipanggil industri 'Ghoswriter', 'Copywriter' atau juga 'Content Writer'.




Content Writer Dengan Upah Bulanan

Alhamdulillah, antara kegembiraan saya pada 1 Rabiulawal 1440 Hijrah ini adalah ketika pagi tadi saya 'on data' telefon bimbit dan mendapat mesej daripada seorang usahawan besar dalam indsutri produk kesihatan di Malaysia. Mesej tersebut yang memaklumkan bahawa beliau dan suami mahu menggunakan perkhidmatan saya sebagai Content Writer mereka. 



Daripada apa yang pernah dibincangkan sebelum ini, tugas saya sebagai Content Writer adalah menyediakan 6 artikel seminggu dengan setiapnya anggaran 400-600 patah perkataan. Tugasan yang saya kira wajar dan logik dengan kemampuan saya. Bayarannya? Insya Allah tugas ini dengan bayaran RMribu.00 sebulan. Alhamdulillah.

Sebagai seorang Penulis Upahan (Ghoswriter) sejak tahun 2009, job seperti ini adalah harapan dan milestone yang telah lama saya impikan. Perasaannya sukar diungkapkan ketika saya mendapat rezeki tetap bulanan daripada kerja menulis.






Setelah beberapa fasa yang saya lalui dalam kehidupan dan menghampiri usia 40-an, saya ingin menikmati kehidupan dengan melakukan apa yang saya lakukan. Syukur Alhamdulillah, sekarang saya hidup dengan melakukan apa yang hati saya senang untuk melakukannya.

Gambar kenangan bersama Ustaz Haji Mohd Isselahuddin, yang menjadi penceramah Kursus Pengenalan Ibadah Umrah yang saya kendalikan di Masjid Al-Abyad, Matang Jaya, Kuching, Sarawak. Gambar pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 yang lalu usai kursus yang ditaja dan dianjurkan oleh PDC Borneo - agensi umrah tempat saya berkhidmat sekarang.

Insya Allah, lengkaplah kini saya hidup dengan profil sebagai seorang guru Al-Quran, penulis serta perunding umrah, wasiat dan takaful. Disamping menuruskan sunnah berniaga dengan menjual buku secara kecil-kecilan.

23/02/2018

Bagaimana Memulakan Sebuah Blog? (Siri 2)


Bagaimana Memulakan Sebuah Blog?
(Siri 2)




Petang ini, saya sambung lagi catatan 'Bagaimana Memulakan Sebuah Blog? (Siri 1). KLIK SINI jika anda belum membacanya.
Ketika memulakan sebuah blog, ada lima (5) soalan yang perlu kita jawab, iaitu:

1) Apakah jenis blog yang hendak ditulis?

2) Pilihan blog engine yang hendak digunakan?

3) Senarai topik-topik yang hendak ditulis?

4) Apakah komponen, teknologi dan kemudahan yang hendak dimasukkan ke dalam blog?

5) Siapakah golongan sasar pembaca blog?


Soalan 1 dan Soalan 2 sudah dijawab dalam post semalam. Dalam post ini saya akan menjawab baki 3 soalan di atas.

3) Senarai topik-topik yang hendak ditulis?

Ibarat senarai kandungan, bahagian dan bab bagi sebuah buku; begitulah peranan topik, label atau kategori post/ artikel dalam sebuah blog. Di alam bloghosfera biasa disebut sebagai topik, label atau kategori cuma dalam post ini saya gunakan istilah topik.

Ketika memulakan blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini pada tahun 2009 dahulu, saya menetapkan topik-topik post dalam blog ini sesuai dengan jenis blog ini iaitu blog peribadi. Sehingga kini, saya tidak berniat untuk menyusun kembali atau mengubah senarai topik post dalam blog ini.

  1. Senarai (Label) Topik Dalam Blog Ini
  2. Agama dan Dakwah
  3. Bantuan Untuk Pembaca Blog Ini
  4. Blog Blogger Blogging
  5. Hari Kebesaran Islam
  6. Hari Minggu Kenduri dan Memanjakan Diri
  7. Karya Saya
  8. Keusahawanan dan Kewangan
  9. Kongsi Ilmu Maklumat dan Kemahiran
  10. Motivasi dan Kehidupan
  11. Penulisan dan Bahan Bacaan
  12. Post Istimewa 50
  13. Post Khas Hari Jumaat
  14. Rakan Blogger Saya
  15. Santai dan Peribadi
  16. Umum dan Semasa

4) Apakah komponen, teknologi dan kemudahan
yang hendak dimasukkan ke dalam blog?

Memilih komponen, teknologi dan kemudahan yang hendak dimasukkan ke dalam blog merupakan antara keputusan kritikal yang perlu kita tetapkan sejak awal memulakan sesebuah blog. Kemudian dari semasa ke semasa bahagian ini perlu dikemaskini.

Untungnya menggunakan Blogger.com kita tidak perlu selalu mengemas kini komponen, teknologi dan kemudahan yang digunakan dalam blog. Berbeza jika menggunakan blog engine Wordpress dan self hosting, komponen, teknologi dan kemudahan yang kita gunakan perlu selalu dikemas kini kepasa versi terbaru yang disediakan oleh pengeluar.

Sejak mula lagi saya memutuskan agar blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini akan disusun secara simple dan santai. Pada sidebar, hanya diletakkan komponen-komponen yang di perlukan oleh pelawat/ pembaca. Komponen-komponen itu ialah:

  1. Kemudahan Langganan Email RSS
  2. Kekotak page Facebook
  3. Kemudahan Carian
  4. Senarai Topik Artikel
  5. Arkib artikel terdahulu
  6. Produk dan Perkhidmatan

5) Siapakah golongan sasar pembaca blog?

Menentukan golongan sasar pembaca blog tidak begitu saya titik beratkan dalam blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini. Blog ini adalah blog peribadi, boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang faham bahasa Melayu. Saya tidak memilih gaya bahasa dan tidak menggunakan teknik atau teknologi tertentu untuk menyaring dan memilih pembaca blog ini.

Bagaimanapun, saya berpegang bahawa menentukan golongan sasar pembaca blog kita adalah penting. Dengan kita menetapkan golongan sasar pembaca blog, memudahkan kita untuk merancang kandungan blog, memilih gaya bahasa, memilih isu, membina 'tribe' dan lain sebagainya.

Soalan nombor 5 ini menjadi sangat penting jika kita merancang sebuah blog untuk menjana duit. Sejak dahulu hingga kini, jika kita mahu 'menjual' atau 'menjana wang' dari blog; adalah penting untuk kita menetapkan golongan sasar pembaca blog.

Dengan adanya ketetapan golongan sasar, ianya tidak begitu penting soal berapa ramai pelawat blog kita tetapi jauh lebih penting adalah berapa ramai pelawat setia blog kita. Maknanya, untuk menjana pendapatan atau menjual di blog, kita lebih perlukan 100 orang pembaca setia berbanding 1000 orang pelawat unik (berlainan) yang datang dan pergi begitu sahaja.

Setakat inilah sahaja catatan memori saya tentang bagaimana saya merancang permulaan blog ini pada tahun 2009 dahulu. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini ada manfaatnya untuk kalian yang mahu memulakan sebuah blog.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya

10/10/2017

Meja Baharu Dari Jabatan Penjara


Meja Baharu Dari Jabatan Penjara




Kelas Faham Solat
saya kendalikan setiap hari Jumaat
bermula selepas solat fardu maghrib
di Surau Saidina Abu Bakar As-Siddiq,
Taman Pohing, Sandakan, Sabah.

اَلۡحَمۡدُ لِلّٰہِ

Alhamdulillah. Syukur dimudahkan malah digantikan dengan hadiah. Hajat AJK Surau Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Taman Pohing, Sandakan, Sabah pada mulanya mahu membeli meja kuliah untuk kegunaan kelas faham solat yang saya kendalikan di surau itu pada setiap hari Jumaat (selepas maghrib).

Kebetulan ada jualan produk penjara. Pengerusi bersama timbalannya ke kompleks penjara untuk membeli meja. Al-Hasil, pengarah penjara hadiahkan meja kuliah dan tempat Al-Quran untuk kegunaan imam solat.

Mejanya sangat kemas buatannya dan kacak ukirannya. Semoga ada pahalanya yang berpanjangan kepada mereka yang membuat dan menyumbangkan dua perabot ini. Sekiranya yang membuatnya belum beragama Islam, kita doakan semoga dia mendapat hidayah dan kembali kepada agama fitrah Islam.

Malam itu, pertama kali digunakan meja kuliah yang cantik itu. Saya mulakan kuliah dengan peringatan tentang manfaat infaq dan sedekah dengan membawakan hadis yang masyur ini:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ
إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ
وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila mati seorang manusia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang diajarnya dan doa anak soleh yang mendoakannya”.

(Riwayat Muslim, hadis nombor 1631)

:
Nota Faham Solat
www.facebook.com/fahamsolat
:
Facebook | Instagram
@fahamsolat
#fahamsolat
:
Whatsapp | Telegram
016-8472303
:
Pendidikan Al-Quran Kanak-kanak
www.facebook.com/pandaimuqaddam
:
(11 Muharam 1438/
1 Oktober 2017, 22:12)











.........................................................................
16 tahun pengalaman saya mengajar
Al-Quran sejak tahun 1999.
Insya Allah, di Facebook
'Pendidikan Al-Quran Kanak-kanak'
(www.facebook.com/pandaimuqaddam)
saya berkongsi ilmu, maklumat, tip,
panduan dan pengalaman.
Khususnya untuk para ibu ayah
menjadi guru pertama kepada anak.
Guru pertama yang mengajar tentang
Islam dan Al-Quran di rumah
bermula sejak anak berusia satu (1) hari.

Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.blogspot.my

Facebook Page:
Dari Blog UstazCahaya
www.ustazcahaya.my

Rangkaian Media Sosial:

Facebook | Instagram | Twitter
@ustazcahaya
#ustazcahaya

Whatsapp | Telegram
016-8472303

Email:
ustazcahaya@gmail.com

08/05/2015

Salam Jumaat Blogosfera (May I go toilet, teacher?)

 
Salam Jumaat Blogosfera

(May I go toilet, teacher?)

a

(Foto saya hari ini. Jumaat, 8 Mei 2015, jam 8:39 pagi)
Salam Jumaat Blogosfera,
Bismillah.

Jika blogosfera ini diibaratkan sebagai kerbau, sayalah bangau. Seperti kata pantun Melayu...

Orang petani membuat dangau,
Dibiar kosong tidak bekerja;
Berapa tinggi terbang bangau,
Akhirnya di belakang kerbau juga.
Hari ini adalah hari Jumaat, yang merupakan hari paling saya suka dalam seminggu. Sejak zaman kanak-kanak sehingga kini berusia sepatutnya sudah ada anak, saya suka akan hari Jumaat. Malah, sejak memulakan blog ini enam tahun yang lalu, saya buat satu 'label' (kategori) post di blog ini dengan nama 'Post Khas Hari Jumaat'.

Alhamdulillah hari ini adalah hari yang indah dan baik. Saya mendoakan semoga anda juga menikmati indahnya Jumaat hari ini, Allahumma Amin, Ya Rabb al-Alamin.

'May I go toilet, teacher?'

"Jawabnya dua, Tuan Haji....", 
saya menjawab soalan Tuan Haji 'M'.

"Kalau kamu tanya anak 'KG-1' sana...
nda ia dapat tejawab tu, lurus?", 
Haji M menyambut jawapan saya.

"Awu, lurus tu Tuan Haji, hehe....",
kata saya.

"Pasal apa abisdurang nda dapat jawab?",
Haji M bertanya lagi.

"Pasal durang belum kenal nombor barangkali, 
betul nda Tuan Haji?",
kata saya dalam nada hormat dan merendah diri.

Itu adalah sebahagian perbualan saya bersama seorang guru besar sekolah swasta di Negara Brunei Darussalam pada 14 Januari 2015. Berikut dan seterusnya versi Bahasa Melayu Malaysia.

Hari itu Hari Rabu, 14 Januari 2015. Atas urusan kerja, saya memandu jauh pagi itu. Bertolak dari rumah sewa jam 6.30 pagi. Kira-kira 3/4 perjalanan, saya singgah di sebuah stesen minyak untuk hee hee, "May I go toilet, teacher?". Malu /(~_~)\

Saya tiba di sekolah swasta yang dipimpin oleh Haji M (sebagai Guru Besar) jam 8.47 pagi. Saya ingat lagi sebab sejak 'go to toilet' dari stesen minyak tadi saya asyik tengok jam di dashboard kereta. Alhamdulillah, awal 10 minit dari masa yang dijanjikan.

Rujuk pada Google Map di bawah. Jarak perjalanan saya pagi itu kira-kira 37.9km dengan anggaran perjalanan 33 minit. Iya la kan, dalam google map tidak ada lampu isyarat dan kesesakan jalan raya. Dan robot google tak perlu 'may i go to toilet, teacher'. Malah, saya tidak ikut jalan lebuh raya seperti dalam google map ni kerana itu lebih jauh bagi saya ikut situasi sebenar. Heee (^_^)y
(Kampong Sengkurong ke Kampong Kapok, Negara Brunei Darussalam)
Lihat caption gambar Google Map di atas. Begitulah ejaan rasmi Bahasa Melayu Brunei. Jika kata nama khas, ditulis sebagai 'Kampong'. Jika kata nama am ditulis sebagai 'kampung'. Contoh ayat:

"Minggu lepas saya pulang ke kampung orang tua saya, iaitu Kampong Subok di Bandar Sri Begawan, Negara Brunei Darussalam", kata Hamid kepada Ahmad.

Saya dan Haji M berbincang dari jam 9.15 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Dalam post ini saya cuma mahu kongsikan satu daripada apa yang kami bincangkan. Gambar di bawah ini adalah ringkasan tentang itu.
(Gambar ini adalah ringkasan sebahagian perbincangan
saya bersama Tuan Haji 'M'
)
Insya Allah, esok lusa saya sambung ceritanya. Juga, saya akan kongsikan di blog ini cerita-cerita terpilih sepanjang hijrah saya di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 2012.

Post malam ini sekadar salam pembuka pintu blogosfera dari saya. Satu sisi dari diri saya yang sudah lama saya tinggalkan, blogsfera yang berasal dari istilah bahasa internet - 'Blogosphere'.
"Andai blogosfera adalah pantai,
kurindu baunya;
 
bau air masin yang dibawa
angin dari laut sana.
 
Dan kurindu mahu menjadi nelayan,
andai blogosfera adalah lautan. "
Norudin Draman UstazCahaya 
www.ustazcahaya.com

28/09/2012

Nak Tengok Saya Main Piano?


Nak Tengok Saya Main Piano?




Pagi tadi, saya ke salah sebuah cawangan sekolah tempat saya mengajar di Gadong. Sekolah kami mengadakan pertandingan nasyid, syarahan (bahasa Arab, Melayu dan Inggeris) dan story-telling sempena sambutan Hari Guru. Selesai program, saya 'melayan' piano yang ditempatkan di sebuah bilik sebelah surau di sekolah berkenaan. (Saya mengajar di cawangan lain). Di atas adalah video yang sempat dirakam oleh anak seorang rakan sekerja saya yang menemani ibunya pagi tadi. Main 'ketuk-ketuk' ayam kata saya. Kemudian, masuk rakan sekerja saya yang seorang lagi, saya memberi dia pula bermain piano. Wow, sekali dia main lagu Maher Zain. Lalu, mood santai-muzik hari ini, saya ingin menulis tentang muzik. =) Saya bermain gitar sejak awal zaman remaja. Sedikit tentang itu pernah saya tulis di blog ini. Jiwa muzik saya, yang walaupun pernah ditinggalkan agak lama, (ditinggalkan dalam erti kata tidak bermain muzik, mendengar masih); tidak pernah padam rupanya. Kemudian, berlaku takdir Allah, dan saya (bersama seorang saudara perempuan) mengasaskan The KAF-FA Band. Malam ini, saya ingin bercerita sedikit tentang The KAF-FA Band.
The KAF-FA Band bermula dengan nama 'The KAFA Band' iaitu sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk membuat persembahan dalam ‘Majlis Sambutan Hari Guru KAFA Bahagian Bintulu Tahun 2011’. Dari situ bermula percambahan idea untuk membawa 'The KAF-FA Band' kepada bentuk yang lebih baik. Lalu pada bulan Mei 2011, saya dan seorang saudara bernama Dayangku Nuraysyah Lee memulakan The KAF-FA Band. Kemudiannya, The KAF-FA Band dibantu oleh saudara dan sahabat yang lain. (Terima kasih semua..) =)

Disebalik nama 'The KAF-FA Band'

KAF-FA (huruf Arab 'kaf'dan 'fa')
– K / Kaf = Keindahan – F / Fa = Fitrah
Band – sekumpulan, sepasukan, seangkatan.

Dakwah Muzik

Daripada sekian banyak pilihan dan cadangan untuk 'tagline' The KAF-FA Band  akhirnya saya memilih tagline ini - Dakwah Muzik. Pendek dan merangkumi semua pengertian untuk The KAF-FA Band  Ringkasnya, The KAF-FA Band ditubuhkan untuk membantu dalam usaha dakwah dengan muzik sebagai medium dan medan utama, dengan tiga konsep prinsip utama, iaitu;
1. Ilmu dan kebijaksanaan 2. Memberi contoh yang baik 
3. Melalui perbincangan yang beretika.

Muzik dan Fitrah

Mahu tidak mahu, sedar tidak sedar; kita perlu mengakui bahawa menjadi fitrah manusia untuk menyenangi dan menyukai keindahan. Baik keindahan rupa, rasa dan bunyi. Islam sebagai agama yang benar dari Tuhan yang menciptakan manusia; tidak menolak dan menghalang fitrah manusia. Malah, Islam memberi panduan kepada manusia bagaimana untuk mengurus dan mengendalikan fitrah mereka dengan cara yang betul dan baik. Memahami kebenaran tersebut, The KAF-FA Band ditubuhkan untuk:
* Menyediakan lagu dan hiburan untuk membantu usaha dakwah dan pendidikan. * Menyediakan alternatif bagi bentuk muzik dan hiburan yang lebih baik kepada masyarakat Islam. * Membantu dalam usaha ’melindungi dan membersihkan’ kegiatan muzik dan hiburan daripada unsur-unsur negatif yang memberi kesan buruk kepada masyarakat Islam. * Mengumpulkan golongan yang bergiat dalam bidang nyanyian, muzik dan hiburan dalam sebuah komuniti untuk bersama-sama menginsafi bahawa bakat dan kebolehan istimewa yang dimiliki adalah anugerah Allah SWT yang perlu disyukuri. Anugerah tersebut perlulah digunakan dengan cara yang baik dan mempunyai nilai positif. * Membantu mendekatkan jurang yang memisahkan agama Islam dengan muzik.
Akhir kata, sejak menubuhkan The KAF-FA Band hingga ke saat ini, adalah menjadi harapan kami agar The KAF-FA Band mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga usaha kecil ini bernilai sebagai amal kebaikan dan diterima sebagai ibadat di sisi Allah SWT. Dengan mengharap limpah kasih Allah jua semuanya..

21/09/2012

Minta Maaf Facebook - Saya Perlu Memilih


Minta Maaf Facebook - Saya Perlu Memilih


Jumaat datang lagi dengan aromanya yang tersendiri. Bagi saya sendiri dan mungkin juga bagi orang lain, Jumaat menjadi hari kesukaan. Bagi tempat Jumaat menjadi hari cuti seperti di Negara Brunei Darussalam ini (juga, bagi Kelantan dan Terengganu di tanahair Malaysia), sememangnya Jumaat menjadi hari kesukaan. Pun begitu, bagi tempat yang bercuti pada hari Sabtu seperti di negeri asal saya iaitu Sarawak, mood Jumaat tetap santai.

Di sini pada waktu ini, majlis perkahwinan di-raja iaitu perkahwinan puteri ke-lima DYMM Sultan Haji Hasanal Bokliah, Sultan Negara Brunei Darussalam, iaitu perkahwinan Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan suaminya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini; semakin menuju kemuncaknya. Pada hari Ahad ini, tidak ada sesiapa pun membuat kenduri kahwin di seluruh Negara Brunei Darussalam; bagi menghormati dan meraikan perkahwinan Puteri Ke Bawah Duli tersebut.


Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah

KLIK SINI untuk 13 Gambar sekitar pernikahan Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan suaminya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini. Puteri ke-lima DYMM Sultan Haji Hasalan Bokliah, Sultan Negara Brunei Darussalam. *Credit gambar: http://amazingnara.com


Justeru, istimewa kepada Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dengan suaminya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini, patik bersama The KAF-FA Band, mengucapkan tahniah dan mengirimkan gugusan tulus doa bersama lagu Tarikh Luput Cinta dari kami. (Lirik dan video Tarikh Luput Cinta di bawah)


Bagi warga pendidik di Brunei pula, minggu ini kami akan menyambut Hari Guru. Lalu, Isnin nanti menjadi hari cuti sambutan Hari Guru. Bezanya dengan tanahair Malaysia selain tarikh, di Malaysia Hari Guru bukan hari cuti persekolahan. Namun berbeza lagi dengan sekolah lain di Brunei, pelajar Tahun 11 (Tingkatan 5) sekolah kami akan tetap bersekolah pada hari Isnin nanti untuk Ujian Lisan Bahasa Inggeris O Level mereka; kerana jadual yang sudah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Kami di sini hanya akan bersekolah pada minggu depan, selepas itu cuti pertengahan semester. Mood cuti sudah merebak di hati saya. Lalu petang ini hati saya memilih untuk bersantai-santai sahaja. Antara yang saya lakukan petang tadi ialah me-YouTube dan melihat kembali tulisan-tulisan saya yang pernah saya tulis di blog ini dan blog lain satu masa dulu.

Sedang elok memanjakan diri dan bersantai-santai, saya dikejutkan oleh hati saya sendiri. Bahawa saya perlu membuat pilihan. Owh...


Saya Perlu Memilih


Setelah agak lama menyepi dalam dunia blogging, saya memilih untuk kembali pada bulan Syawal yang baru berlalu. Maka, pilihan untuk kembali menjadi blogger menambah To Do List saya.

Dengan tugas utama sebagai guru ditambah karier lain sebagai penulis, usahawan dan pemuzik; empat karier yang menjadi pilihan hati. Justeru, saya perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan masa. Kata lain, perlu berhati-hati ketika memilih untuk apa masa mahu digunakan.

Bukan itu sahaja, dalam proses mengaktifkan kembali blog ini dan mengaktifkan kembali diri sebagai blogger, saya juga perlu memilih apa yang perlu dibuat. Selain kembali kepada rutin menulis post baru, beberapa lagi perkara perlu dilakukan sebagai blogger. Antaranya, mengemaskini rekabentuk blog, menjaringkan kembali network yang pernah dibina satu masa dulu, promosi, 'mengumumkan' (hehe..) kepada bloghosphere bahawa saya sudah kembali blogging dan lain sebagainya.


Pilihan Ini Memerlukan Saya Meminta Maaf


Begitulah serba sedikit antara pilihan-pilihan yang perlu saya pilih setiap masa sekarang. Setidak-tidaknya sehingga November nanti masa yang ada perlu saya pilih untuk apa.

Justeru, suka saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada saudara dan sahabat. Kiranya, ada perkara yang kalian beritahu di Facebook yang tidak sampai ke pengetahuan saya, saya minta maaf. Kerana saya sedang mengehadkan masa berfacebook. Buka Facebook hanya pada lepas subuh dan malam. Itupun hanya buka laman profile sendiri, notification, inbox dan friend request. List close friend juga sudah saya senarai pendekkan.

Jadi, kiranya ada perkara penting inbox saya atau 'tag'. Supaya saya tidak terlepas atau ketinggalan. Untuk mereka yang 'dekat', ya telefon bimbit saya boleh menerima sms 24 jam setiap hari.. :)

Dengan mengharap kasih sayang Allah jua semuanya..



TARIKH LUPUT CINTA

(Tribute to novel 'Tarikh Luput Cinta' karya Lynn Dayana)

Lirik dan lagu oleh:
UstazCahaya & Aysyah Lee

Kekasihku
ketika cinta kita bersatu
berhenti putaran masa dan
waktu

Kekasihku
ketika cintamu kuterima
masa terhenti untuk
selamanya

Saat tersimpul cinta kita
dalam ikatan yang sempurna
dengan limpahan tulus doa
abadi cinta kita
dunia hingga syurga

Kekasihku yakinlah
setia kasihku abadi tiada akhirnya
Sayangku percayalah
tulus cintaku tiada tarikh luputnya

Tiada tarikh luput cinta kita

Copyright:
The KAF-FA Band, UstazCahaya, Aysyah Lee, Lynn Dayana.
(C) JANUARY 2012.




14/09/2012

Jumaat Berbau Ubat (Syawal Saya Lebih Sehari)


Jumaat Berbau Ubat
(Syawal Saya Lebih Sehari)


(NewPeterPanBand - Bintang Di Surga. PeterPan memilih untuk bangkit kembali dengan album instrumental aka tanpa vokal. Namun, tidak menghukum - ..atau membuang- Ariel yang pernah melakukan kesilapan. Apapun itu kisah mereka yang saya ambil ialah karya mereka. Saya yang tidak pernah jemu mendengar lagu asalnya sejak bertahun-tahun dan tidak pernah jemu mendengar instrumental ini berulang-ulang sejak Ramadan yang baru berlalu)

Sama ada bagi umat Islam di tanahair Malaysia mahupun di Brunei, hari Jumaat hari ini adalah Jumaat terakhir bagi bulan Syawal tahun 1433H. Di Malaysia, hari ini adalah 27 Syawal 1433 kerana Malaysia menyambut satu Syawal pada 19 Ogos 2012. Sementara di Brunei adalah 26 Syawal 1433. kerana Brunei menyambut satu Syawal pada 20 Ogos 2012. Bermakna tahun ini saya mendapat bulan Syawal yang lebih sehari (Eh, ye ke? :p) kerana saya menyambut satu Syawal di tanahair pada 19 Ogos.

Bagi mereka yang telah lama membaca blog ini, tahu bahawa hari Jumaat adalah hari kesukaan saya. Kerana itu, dalam blog ini ada kategori artikel yang saya beri nama 'Post Khas Hari Jumaat'. Klik link di bawah untuk membaca artikel-artikel yang pernah saya tulis khas pada hari Jumaat.

Post Khas Hari Jumaat 

Jumaat hari ini membawa saya ke minggu pertama Syawal ketika kembali ke pangkuan keluarga sempena cuti raya di tanahair. Ibu merancang sesuatu untuk kami sekeluarga pada Jumaat pertama Syawal. Namun yang berlaku sebaliknya, Jumaat pertama Syawal yang baru berlalu, kami sekeluarga sibuk di hospital; kerana ibu dimasukkan ke wad.

Rindu ambuyat dan rancangan ibu untuk hari Jumaat 


Malam menjelang lebaran, saya dan adik perempuan kedua (yang belajar di Kuching) menyuarakan kerinduan kami kepada ibu; bahawa kami rindu mahu makan ambuyat. Lalu, ibu merancang supaya kami makan ambuyat pada hari Jumaat (6 Syawal 1433). Dan ibu meminta saya mengajak seorang teman rapat untuk bersama 'jamuan ambuyat' kami itu. Pasti seronok kata ibu jika teman itu ada bersama kerana ibu seronok melihat teman itu ketika makan.

Lalu ibu menceritakan tentang satu hari Jumaat seminggu sebelum Ramadan yang lalu. Ketika itu saya di Brunei dan teman itu datang ke rumah. Ibu menjamu teman itu dengan ayam masak merah masakan ibu (tanpa nasi kerana teman itu tidak mahu ibu menghidangkan nasi). Berselera sekali dia makan kata ibu. Dan ibu, dengan jiwa keibuan beliau suka melihat itu sebagaimana dia bahagia jika kami anak-anaknya menikmati masakannya dengan penuh berselera.

Jumaat Berbau Ubat 


Pagi itu, hari Khamis hari Raya kelima. Ibu ke pasar untuk membeli ikan, sayur dan ulam kegemaran saya dan adik-adik untuk dimakan bersama ambuyat pada Jumaat keesokan harinya selepas solat Jumaat. Sememangnya mood bercuti dan makan bersama sekeluarga selepas solat Jumaat sangat indah rasanya.

Sekembali dari pasar, ibu mengadu sesak nafas. Sememangnya ibu penghidap asma. Namun, kali ini agak luar biasa. Petang itu ibu pitam. Ibu dibawakan ke klinik dan doktor klinik meminta kami membawa ibu ke hospital. Selesai prosedur di Unit Kecemasan, ibu dimasukkan ke wad. Lalu pada malam Jumaat minggu pertama Syawal yang lalu kami sekeluarga sibuk di hospital.

Pagi Jumaat keesokan harinya, saya mengambil giliran menjaga ibu kerana adik perempuan pertama yang bekerja di bank kerajaan tidak dapat cuti raya. Adik perempuan yang kedua pula telah menjaga ibu semalaman tadi. Ibu menyuarakan kepada saya tentang rancangan Jumaat kami hari itu sebelum beliau terlelap. Ketika ibu lena, dengan di hidungnya tiub bantuan pernafasan, saya ingin mengambil gambar ibu tapi entah kenapa hati saya berat untuk melakukannya.

Lalu, buat mencantas masa yang terasa lambat bergerak dan hati yang dilanda galau dan risau, saya menganyam origami bintang. Lena ibu tidak lama. Kemudian datang doktor bersama jururawat dan pegawai farmasi yang semuanya wanita pelbagai bangsa di Malaysia; Iban, Cina dan India. Yang Melayu saja tidak ada kerana bercuti raya. Bertuah kerana mereka bertugas di wad yang staffnya pelbagai bangsa lalu dapat cuti raya. :)

... Limpahan kasih sayang Allah jua semuanya, Alhamdulillah.



(Ibu, adik perempuan pertama-kanan, adik perempuan kedua - kiri yang merupakan seorang bakal jururawat)



(Ambuyat. Petang Isnin, 9 Syawal 1433)



(Saya pagi tadi bersama anak-anak menyertai pertandingan Tausyeh antara cawangan-cawangan sekolah kami)


(Pertandingan Tausyeh antara cawangan sekolah Nusa Laila Puteri dan Nusa Jaya yang berlangsung pagi tadi di cawangan Gadong, Negara Brunei Darussalam. )


(Saya dan adik bongsu pada hari raya pertama)


(Saya dan anak-anak pada hari raya ke12-Malaysia, 11-Brunei)


(Untuk 'The KAF-FA Band')


09/09/2011

Teratai Hidayah Jumaat


Teratai Hidayah Jumaat



Teratai - Ramli Sarip Cover by Khelyda

Lawat Channel YouTube Khelyda di www.youtube.com/user/khelyda)

Teratai Hidayah Jumaat. Sedap nama itu. Teratai Hidayah binti Jumaat. Agak-agak zaman ini ada tak orang akan beri nama anak dengan nama itu? (-_^). Jika ada saya termasuk ayah itu. Hehe. Dan malam ini saya menggunakan nama itu sebagai tajuk post ini. Dan semasa menaip ini, saya berfikir-fikir tentang nama itu. Teratai Hidayah Jumaat. Boleh ke jadi nama heroin untuk novel? Ngee.. (-_^)

Tidak terasa masa berlalu. Jumaat datang lagi. Rasa seperti baru semalam sahaja Jumaat minggu lepas yang ditinggalkan. Walhal sudah seminggu bersamaan tujuh hari bersamaan 24 jam kali tujuh. Jumaat minggu lepas masih dalam cuti raya. Jumaat minggu lepas dengan spontan, tenang dan bersahaja saya mereka-cipta tiga logo untuk UstazCahaya. Sehingga kini masih lagi berfikir untuk memilih antara tiga logo tersebut.




Sedar tidak sedar sudah tiga bulan sejak saya dan kawan-kawan dalam The Kaf-Fa Band sibuk dengan persembahan untuk program di Masjid Hidayah; malam ini sekali lagi saya dan kawan-kawan bermesyuarat di Masjid Hidayah untuk program malam esok.

Selepas mesyuarat di Masjid Hidayah; saya. Aysyah dan Mamat ke sebuah restoran yang agak popular di sini untuk mereka yang gemar menyanyi. Restoran Santan Belada. Sambil saya dan Aysyah membuat skrip untuk pengacara majlis malam esok, kami makan dan saya mahu Aysyah dan Mamat menghiburkan saya barang selagu dua. Ikutkan saya meminta mereka menyanyikan lagu 'Kita Insan Biasa' (Ramli Sarip-Shima). Namun lagu tiada dalam album cd. Lalu, Aysyah dan Mamat menyanyikan untuk saya lagu 'Dua Insan Bercinta' (Amy Search dan Ella). Saya meminta Aysyah menyanyi sebuah lagu solo. Pilih punya pilih, entah kilat atau angin apa datang, kami berdua 'tiba-tiba sama-sama' terfikirkan lagu 'Teratai' Ramli Sarip. Lalu Aysyah pun menyanyikan lagu itu dengan berpandukan lirik di Ipadnya (kerana tv karaoke yang jauh dan kecik).

Ketika sampai ke rumah, saya pun terfikirkan nama/ tajuk ini 'Teratai Hidayah Jumaat'. Inilah sahaja kisah post ini yang istimewa pada tajuknya itu 'Teratai Hidayah Jumaat'.


Kita Insan Biasa - Ramli Sarip dan Shima


30/07/2010

Buku Sulung UstazCahaya Di Pasaran Ramadan Ini


Buku Sulung UstazCahaya Di Pasaran Ramadan Ini


Alhamdulillah;-)
Hari Jumaat adalah hari kesukaan saya dan hari Jumaat hari ini adalah antara hari yang membahagiakan. Alhamdulillah, buku sulung saya akan berada di pasaran Ramadan ini.. Insya Allah. Mohon doakan segalanya lancar dan ia mendapat sambutan. Perkembangan selanjutnya akan disiarkan di blog ini dari semasa ke semasa. Di bawah adalah cover dan sinopsis buku sulung saya. (Wah buku sulung ni, sampai tak lalu makan dibuatnya;p)

Lagu instrumental Surrender dari Andra and The Backbone ini mungkin boleh menggambarkan mood saya sekarang. (Dengar sambil pejam mata, hehe ;p)




Ini saja yang sempat saya coretkan malam ini. Insya Allah, blog ini akan bersiaran seperti biasa pada bulan Ramadan ini.

PS: Kepada Kak Niza, dan Kak Hajah Ummie, saya akan hubungi kalian dalam masa terdekat.

PSS: Pertandingan yang tertangguh dulu juga akan dijalankan pada bulan Ramadan ini.





Nama Penulis: Norudin Draman
Judul Buku: Reformat Hatimu Dalam 354 Hari
ISBN: 978-967-5711-12-1
Harga Semenanjung: RM18
Harga Sabah & Sarawak: RM21

Editor : Siti Zarinah Bt Husain (siti .zarinah@karangkraf.com.my)
Pengarah Seni : Nor Azam Syah Bin Razmi (azam.syah@karangkraf.com.my)
Pereka Kreati f : Tengku Safrina Bt. Tengku Noorazland (tengku.safrina@karangkraf.com.my)
Ketua Unit Foto : Jasmi Baba

Penerbit:
OASIS BOOKS SDN. BHD. (34682-M)
Tingkat 1, Lot No. 7, Persiaran Selangor,
Seksyen 15, 40200 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-55106636 Faks : 03-55106637

Sinopsis:

Dalam kehidupan kita setiap hari, kita banyak berurusan dengan hati. Baik atau buruk manusia ditentukan oleh hatinya.

Antara perkara penting yang dibincangkan dalam buku ini ialah:-

Ada apa dengan hati?
Bagaimana mahu melakukan servis dan pemulihan hati?
Mencari rahsia kunci kebaikan hati.
Bagaimana mahu menjadi baik hati sehingga mati?
Apakah harus dilakukan jika hati menjadi sedih?
Bagaimana mahu mengelakkan diri menjadi ‘raja hati’?

Sebenarnya, semua yang sudah kita bicarakan di atas adalah
H – Harapan
A – Agama (akidah)
T – Takwa
I – Ilmu

... itulah hati.