21/02/2012

Puisi 'Aku Adammu'


Puisi 'Aku Adammu'



Puisi ini saya tulis dalam bulan November tahun lalu (2011). Lalu saya edit semula pada hari Jumaat  17.02.2012. Oleh idea dan penghayatan yang banyak kepada puisi ini, saya juga membuat sebuah video puisi ini. Juga, teringin hendak merakamnya menjadi sebuah lagu puisi dengan diiringi bunyi-bunyian gitar, kibod dan seruling. Mudahan saja, Amin. :)

Aku Adammu





Malam dan siang duniaku adalah kamu, 
tidak pernah lepas aku daripadamu dalam jaga dan tidurku,
diibarat kamu di langit kehidupanku,
kamulah mentari dan bulan yang menggilirkan siang dan malam di duniaku. 

Ombak dan pantai tidak pernah kenal perpisahan,
begitulah senang dan susah pasti bergiliran menjengah kehidupan,
kerana hakikat itu kuberikan kamu sepenuh kesetiaan,
walau susah atau senang kamu tidak akan aku lupakan. 

Rusukku hilang sebilah tulang dan dari itu kamu diciptakan,
jujur kepadamu satu pengakuan tulus aku ungkapkan,
bahawa aku tidak mahu sendiri dalam syurga yang penuh kenikmatan,
lebih aku tidak mampu sendiri meniti hidup dunia yang penuh dugaan.

Dekat tulang rusuk itu dengan hatiku,
kamu untuk kukasihi setulus dan sepenuh jiwaku,
dekat tulang rusuk itu dengan tanganku,
kamu untuk kujaga dan kupelihara dengan sepenuh asaku.

Ikhlas aku kepadamu nyawa dan denyut nadi jadi saksi,
kuterima semua yang ada padamu jangan kau sangsi,
kerana pasti berubah warna rambut dan bentuk tubuhmu nanti,
kasih sayang dan tanggungjawab kuberi kamu tetap sepenuh hati.

Alangkan kepada Tuhan kerap aku melakukan kesalahan,
melanggar larangan dan meninggalkan perintah suruhan,
begitu kepadamu mustahil bagiku jadi sempurna,
akan aku silap salah alpa sengaja tidak sengaja.

Nikmat hidup yang terbesar bagiku adalah kamu,
mengalir dalam darahku dan setiap helaan nafasku cinta padamu,
dedikasikan seluruh hayatku untuk mengasihi menjaga melindungi kamu,
tanpa ragu segala tentangku dan segala milikku semua adalah milikmu.

Apa adanya kamu bagiku itu adalah kesempurnaan,
kerana kita diciptakan untuk saling melengkapkan,
ini aku Adammu menghulurkan kedua-dua belah tangan,
genggam tanganku hingga kita kembali ke syurga Tuhan.

Mentari dan bulan tetap berlegar 
menggilirkan dalam dunia kita malam dan siang
dalam dingin waktu fajar 
aku yang mengingatkan kamu siang telah datang.

Nikmat malam telah berlalu 
kita sudah berehat beradu sayang
bangkitlah dengan sepenuh asamu 
kerana kamu tetap ada aku dalam susah dan senang.

muzik latar: 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan