26/09/2012

Pilihan Hati..


Pilihan Hati..





Pertama kali buka mata pada waktu pagi, hati sudah perlu membuat pilihan. Mahu bangkit lalu mensucikan diri dan menunaikan solat sunat fajar dan kemudiannya solat subuh; atau menangguhkan bangun sehingga 'bajet' waktu yang cukup untuk mendirikan solat subuh sebelum waktu syuruk; atau biarkan diri tidur sehingga nanti terbangun dan perlu bangun.

Ketika mahu pergi ke tempat kerja, kita memakai pakaian yang sudah siap dipilih (dan/ atau diseterika :p) pada malam sebelumnya. Juga, pergi pula bekerja dengan pekerjaan yang masih berkaitan pilihan; sama ada..

~ Pekerjaan yang memang menjadi pilihan kita, atau...
~ Pekerjaan yang kita terpilih untuk pekerjaan itu, atau...
~ Pekerjaan yang kita pilih kerana merasakan tiada pilihan lain lagi.

Ketika mahu makan kita memilih. Memilih di mana mahu makan? Dengan siapa makan? Apa mahu dimakan dan lain sebagainya. Boleh dikatakan, hidup kita sentiasa berkaitan pilihan.

Ada tidak benarnya, kata yang mengatakan bahawa tiada pilihan untuk perkara yang rutin. Bangun pagi waktu yang rutin secara rutin. Memakai pakaian kerja yang rutin yang dipanggil 'pakaian seragam'. Makan makanan yang rutin secara rutin dan lain sebagainya yang kita anggap rutin. Bagi kita yang mahu memberi nilai kepada hidup yang singkat ini, salah satu set-minda (mindset) yang perlu kita ada ialah bahawa 'setiap masa kita perlu membuat pilihan'.

Sekalipun untuk perkara yang rutin, hati kita tidak mungkin rutin. Pasti berbeza pada waktu berbeza ketika melakukan atau menjalani perkara yang kita anggap rutin itu. Hati kita manusia tidak pernah statik. Kerana itu Rasulullah sudah mengkhabarkan kepada kita bahawa baik buruk manusia itu sangat bergantung kepada hatinya. Kerana hati tidak pernah statik, bahagia derita kita berpangkal dari hati kita.

Sabda Rasulullah (SAW): 
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu".  
(Hadis riwayat Muslim dan Tabrani).
Nak buka cerita zaman remaja saya. Memakai pakaian seragam kerja yang rutin, hati tentu saja tidak pernah rutin. Saya pernah bekerja di stesen minyak pada zaman remaja dulu. Sehingga sekarang saya perhatikan senario itu masih sama. Ada pekerja stesen minyak yang kita dapat rasa auranya; peramah, ceria, senyum, bersemangat dan ada juga yang mukanya masam mencuka, kaku, sedih, dengan 'wajah mengasihankan' bagai robot. Mengapa begitu? Kerana hati mereka yang memilih mereka mahu jadi yang seperti apa ketika memakai pakaian seragam stesen minyak. Mahu jadi manusia yang berhak bahagia dan menikmati hidup atau mahu jadi robot yang sama tarafnya dengan mesin dan segala jentera di stesen berkenaan.

Semestinya, hati sangat mempengaruhi pilihan yang kita buat. Selebihnya, Allah memberi kita pilihan untuk melihat dan menilai bagaimana kita memilih, tetap kuasa Allah jua yang berlaku atas kita. Pilihlah untuk makan makanan halal atau haram? Pilihlah kita mahu makan di mana bersama siapa dan mahu makan apa? Tetap, Allah jua yang menentukan sama ada pilihan itu akan direzekikan kepada kita atau tidak. Apa yang pasti, kita sudah mempersembahkan kepada-NYA, sebaik-baik cara memilih dan pilihan hati kita.

Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Semoga kita dibimbing untuk dapat memberi nilai yang besar kepada diri yang kerdil yang hidup di dunia yang singkat ini. Bagi saya, untuk itu, saya menganggap bahawa hidup ini adalah siri-siri membuat pilihan dari HATI.

H – Harapan 
A – Agama 
T – Takwa 
I – Ilmu

Akhirnya, kita perlu mengakui bahawa yang menentukan baik buruk dunia ini adalah manusia yang mendiaminya. Baik atau buruk manusia ditentukan oleh pilihan hatinya berdasarkan harapan yang ada dalam hati, akidah yang diimani oleh hati, tahap takwa yang dimiliki oleh hati dan ilmu yang ada pada akal si pemilik hati.

Terima kasih kerana membaca hingga ke ayat ini. Semoga ada manfaatnya untuk kita bersama.

7 ulasan:

  1. Balasan
    1. Alhamdulillah. Terima kasih, My Brother.. =)

      Padam
  2. Kdg2 mcm ada persamaan jak pengalaman hidup kitaduak bro haha sama2 pernah hidup susah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kesusahan adalah satu latihan yang baik, My Brother. Kesusahan adalah pengalaman yang baik. Kata lain, kesusahan dan pengalaman adalah pembentuk diri kita sekarang.. =)

      Padam
  3. Terbaik................

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah. Terima kasih, Ummi.. =)

      Padam
  4. Tanpa Nama25/10/12 22:43

    Ujian itu hanya lah tarbiyyah dari Allah buat HambaNYa..Mungkin kta ada 'sekilep' di mana2..

    BalasPadam