11/06/2019

Terkenang Tiap Tahun


Terkenang Tiap Tahun 
- Siri Post 3T-
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)




(Saya -jubah kelabu kopiah putih- di Bukit Pemanah (Jabal Rumat)
di hadapan Bukit Uhud pada 29 April 2019 yang lalu
)

Bismillah.

Ini adalah siri pertama post dengan tajuk kombinasi perkataan 3T untuk Blog UstazCahaya. Sejak penghujung Ramadan yang lalu, saya telah menyenaraikan seberapa banyak tajuk 3T yang saya mampu. Ianya bermula dari perkataan 3T yang menjadi gurauan kami beberapa orang sahabat pada penghujung Ramadan yang lalu. Insya Allah, kisahnya nanti pada post lain saya ceritakan. Post pertama ini bernuansa sedih, tidak sesuai untuk saya tulis tentang itu.

7 Syawal. Hari ini pada tahun ke-3 Hijrah adalah tarikh berlakunya Perang Uhud. Gambar pada permulaan post ini adalah ketika saya berada di Bukit Pemanah (Jabal Rumat) di hadapan Bukit Uhud pada 29 April 2019 yang lalu. Maka, dengan nama Allah saya memulakan Siri Post 3T di Blog UstazCahaya dengan post 'Terkenang Tiap Tahun' ini. 

Perang Uhud membuat jatuh air mata saya. Berdiri di tanah tempat terjadinya perang itu, saya mengenang diri. Ia tentang cinta, taat dan setia. Taat dan setia itu lahir dari cinta; cinta yang suci itu harganya adalah taat dan setia.

Cinta kepada Rasulullah (saw) adalah sebab mengapa 700 orang sahabat sanggup keluar dari kota Madinah menuju ke Bukit Uhud. 700 orang yang sarat cinta, taat dan setia kepada Nabi Muhammad (saw) sanggup keluar untuk menghadapi 3000 orang pasukan kafir Mekah.

Andai cinta itu berwujud manusia, ia adalah anak kepada pasangan taat dan setia. Tiadalah cinta tanpa taat dan setia. Apatah lagi dalam pasukan perang; pun begitu dalam pasukan kerja, rakan niaga dan lebih-lebih lagi kepada pasangan suami isteri. Tiadalah cinta tanpa taat dan setia.

10 Jun 2018 hingga 10 Jun 2019


(Jangan Takut Kita Punya Allah. Buku ini saya beli di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Sabah setahun yang lalu, iaitu pada 10 Jun 2018.
Hari ini 10 Jun 2019, saya mengeluarkan buku ini dari almari dan memulakan ulang baca) 

Alhamdulillah, saya menyambut kedatangan 1 Ramadan 1440 (tahun 2019) di bumi berkat Mekah al-Mukarramah. Bumi yang di sana tersergam sebuah bangunan empat segi bernama Kaabah yang menjadi kiblat semua umat Islam seluruh dunia ketika mendirikan solat.

Setahun yang lalu, saya tidak pernah terfikir bahawa antara dua Ramadan (1439H/ 2018M hingga 1440H/ 2019M); saya direzekikan Allah untuk dua kali berada di Tanah Suci Mekah ini. Pertama pada bulan Disember 2018 dan kedua pada bulan Mei 2019.

Setahun yang lalu, saya tidak pernah tahu bahawa saya akan jadi seperti saya hari ini. Setahun yang lalu, saya tidak pernah tahu bahawa saya akan memiliki apa yang sedang saya miliki hari ini. Maka demi Allah, saya insaf bahawa saya hanyalah hamba yang tidak pernah tahu masa depan waima sesaat selepas ini sekalipun. 

Setahun yang lalu, apa yang saya tahu hanyalah saya perlu terima 3T dari Tuhan, iaitu; 'Takdir Telah Tertulis'.

Setahun yang lalu, saya menginsafi diri bahawa saya adalah hamba Allah yang pada kehidupan saya ada suratan jalan hidup yang Telah Tuhan Tetapkan untuk saya lalui.

Setahun yang lalu, dalam luka parah dan lemah saya tekad untuk melalui Takdir Tetapan Tuhan ke atas saya dengan sehabis baik yang saya mampu.

Sampaikan Hamba Ke Kaabah, Ya Allah!

Awal pagi (dalam jam 2 pagi) 9 Jun 2018, dua orang sahabat menghantar saya ke Labuk Hotel Sandakan. Di dalam sebuah bilik hotel itulah saya mengurung diri, menangis menahan sakitnya luka parah yang saya terima pada malam 8 Jun 2018.

Malam itu adalah penghujung Ramadan 1439/ 2018. Salam musibah dilaung dari pagar rumah ketika saya melipat pakaian untuk dibawa balik ke Bintulu untuk berhari raya. Salam itu membawa kepada adegan cabar mencabar dan hina menghina sehingga saya diludah di depan pagar rumah. Berlanjutan sehingga ke balai polis.

Allah. Allahu Akbar. Allahu Akbar Kabira.

Berdegup kencang jantung dalam dada saya ketika menulis bait-bait di atas. Cukuplah setakat itu.

10 Jun 2018, dengan penerbangan pagi saya terbang dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Sementara menunggu penerbangan Kota Kinabalu ke Miri saya melangkah ke sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Buku pertama yang menangkap pandangan mata saya adalah buku itu. Sebuah buku berjudul 'Jangan Takut Kita Punya Allah'.



Sejak itu, saya selalu membayangkan Kaabah. Kita biasa dengar bahawa doa orang teraniaya tidak dihisab lalu saya berdoa pada waktu itu. Dengan kepercayaan bahawa saya sedang teraniaya dan mengharap mustajabnya doa, saya berdoa; "Ya Allah, sampaikanlah hamba ke Kaabah sebelum Syawal tahun depan"; (yang saya maksudkan adalah Syawal 2019m/ 1440h).

Sunguh-sungguh saya berdoa pada waktu itu dengan perasaan yang andai kata saya punya wang yang cukup waktu itu juga saya mahu ke Kaabah. Saya mahu sujud dan rebah di depan Kaabah. Di depan binaan batu empat segi yang Allah tetapkan untuk menjadi kiblat solat kita itu saya mahu tersungkur dan mengaku bahawa saya hanyalah hamba-Mu Ya Allah.

Saya ingin bermunajat di depan Kaabah dengan bait-bait ayat berikut:

"Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami. Tiada Tuhan selain Engkau.  Engkau yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami berada dalam perjanjian dengan-Mu menurut kemampuan kami. 

Ya Allah, kami berlinding dengan-Mu daripada kejahatan. Kami mengaku segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Kami mengaku segala dosa-dosa kami. 

Ampuni kami Ya Allah. Kami memohon Engkau ampunilah kami kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau"

Alhamdulillah. Alhamdulillah Rabb al-Alamin. Subhanallah wa bihamdih. 

Doa saya makbul, malah tidak pernah saya menyangka saya akan sampai ke Kabaah dua kali antara dua Syawal 1439 dan 1440. 

Batu-bata Kaabah

"Sebesar rumah bermula dengan sekecil bata, boleh hilang dalam sekelip mata" tulis Malique dalam lagu Alhamdulillah. 

Ketika saya membayangkan Kaabah, saya membayangkan ia adalah sebuah bangunan empat segi yang terbina daripada susunan batu-batu. Fikiran saya membawa saya teringat ketika suatu masa dahulu, pada bulan Ramadan jugalah; kami berkumpul di rumah rakan sekerja di Negara Brunei Darussalam.

Waktu itu, ketika membakar ikan saya perhatikan air yang jatuh ke batu-bata yang menjadi 'kaki' pagar dawai tempat membakar ikan. Waktu itu saya terilham satu perkara. Hati biar teguh seperti batu bata. Ketika kering dia tidak hancur disiram air. Ketika panas ia malah menyejatkan air.

Saya membayangkan batu-batu Kaabah. Bukan batu permata, bukan batu belian, bukan juga logam berjenis emas, titanium atau timah; hanya batu bata dari tanah. Namun, Tuhan jadikan Kaabah sebuah bangunan batu yang mulia yang dikunjung manusia setiap masa.

Setahun yang lalu, saya tidak tahu apa yang ada pada hari-hari mendatang dalam hidup saya. Apa yang saya tahu, saya berpegang kepada surah Ad-Dhuha dan surah Al-Insyirah - dua surah yang turun bergandingan ketika Rasulullah (saw) sedang sedih, sangat sedih. 

Firman Allah dalam awal surah Ad-Dhuha, "Demi waktu dhuha dan malam yang telah berlalu". Saya pegang waktu itu bahawa Dhuha adalah waktu indah yang datang selepas gelapnya malam. 

Dan janji Allah kemudiannya dalam surah Al-Insyirah, "Maka sesungguhnya bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan dan bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan".

Kepada mereka yang menzalimi saya pada bulan mulia Ramadan yang lalu, saya sudah lama menyerahkan mereka kepada Allah. Saya juga menyerahkan diri saya sendiri sepenuhnya kepada Allah, semoga ALLAH tetap memelihara dan mengasihi saya.

Terima kasih kepada semua yang bersama saya, membantu saya dan mengangkat saya bangkit kembali. Setiap kali ke Mekah, saya doakan agar kalian dikasihi Allah dunia akhirat.

Doakan saya istiqamah menulis Siri Post 3T ini dan semoga ia menjadi siri yang bermanfaat dunia akhirat.

... kerana setahun yang lalu saya pernah berjanji banyak kepada Tuhan, salah satu janji itu adalah untuk menjadi hamba-NYA yang memberi manfaat kepada orang lain.

Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.

SALAM SYAWAL 1440/ 2019,
Norudin Draman UstazCahaya
www.ustazcahaya.com
#blog #ustazcahaya


(Saya di rumah rakan sekerja di Negara Brunei Darussalam pada bulan Ramadan/ Julai tahun 2013. Waktu itu kami memancing dan memanggang ayam sambil menunggu waktu berbuka, Dapat ikan pancing kami buat ikan bakar)

Setahun yang lalu, apa yang saya tahu hanyalah saya perlu terima 3T dari Tuhan, iaitu; 'Takdir Telah Tertulis'.

Setahun yang lalu, saya menginsafi diri bahawa saya adalah hamba Allah yang pada kehidupan saya ada suratan jalan hidup yang Telah Tuhan Tetapkan untuk saya lalui.

Setahun yang lalu, dalam luka parah dan lemah saya tekad untuk melalui Takdir Tetapan Tuhan ke atas saya dengan sehabis baik yang saya mampu.

Doakan saya istiqamah menulis Siri Post 3T ini dan semoga ia menjadi siri yang bermanfaat dunia akhirat.

... kerana setahun yang lalu saya pernah berjanji banyak kepada Tuhan, salah satu janji itu adalah untuk menjadi hamba-NYA yang memberi manfaat kepada orang lain.

Allahumma. Amin Ya Rabb al-Alamin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan