23/09/2017

Guru Basikal Pertama Saya


Guru Basikal Pertama Saya



(Kami suami isteri menyambut ulangtahun perkahwinan
pada bulan Ramadan 1438 yang lalu)

Salam 1439, blogosfera.

Lama, memang terlalu lama saya meninggalkan alam blogosfera ini. Dari ketika saya masih hidup merantau sebagai bujang di Negara Brunei Darusslam sehingga beristeri. Isteri pula sudah dua kali mengandung. Ketika menulis post ini, hari ini genap setahun yang lalu; kandungan pertama isteri saya keguguran ketika janin zuriat pertama kami berusia empat bulan dalam kandungan. Sekarang isteri saya sedang mengandung lima bulan. 

Ketika menetapkan bahawa pada tahun baru hijrah 1439 untuk saya mesti kembali ke alam blogosfera, saya merasakan banyak idea yang mahu ditulis untuk blog ini. Namun, hakikatnya ketika menulis post ini saya merasakan berat dan bebannya. Ada perasaan ragu dan serba salah ketika setiap aksara di papan kekunci telefon bimbit ini saya tekan. Walhal, apa yang mahu saya coretkan dalam post ini mudah dan ringkas sahaja.

Jujur, saya mengaku perasaan ragu dan serba salah ini salah satunya disebabkan kerana mahu menuliskan sebuah post yang baik dan sempurna sebagai post pertama pada kemunculan semula saya dalam alam blogosfera ini. Tepat seperti yang dikatakan oleh pakar-pakar bidang penulisan, bahawa antara halangan yang membuat penulis berhenti menulis adalah perasaan mahu menuliskan yang terbaik dan sempurna.

Menjadi Baik Dengan Menyempurnakan

Begitulah juga dalam kehidupan kita, ada masanya kita bertangguh dan terhalang untuk melakukan sesuatu kerana perasaan ragu, serba salah, malu, mahu buat yang terbaik dan mahu buat yang sempurna. Walhasil, pada akhirnya kita tidak melakukan apa-apapun. Malah, jauh telefon dari powerbank untuk dapat melakukan yang terbaik dan sempurna.

Itulah yang saya sendiri alami banyak kali dalam kehidupan saya, cuma untuk post ini saya kongsikan apa yang berkaitan tentang saya dengan pengurusan blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini. Berkali-kali sejak hijrah ke Negara Brunei Darussalam, saya cuba untuk kembali aktif menulis di blog ini. Namun, sampailah bertahun-tahun lamanya saya kalah dengan perasaan 'mahu buat yang terbaik dan sempurna' yang akhirnya satu post pun tidak 'terpost' di blog ini untuk sekian tahun lamanya.

Pada awal tahun Hijrah 1439 ini dan semoga saya istiqamah dan tetap sabar selepas ini; saya berazam untuk tetap menuliskan yang 'baik-baik' di blog ini, demi 'menyempurnakan' fungsi saya sebagai seorang blogger di alam blogosfera yang luas ini. Saya berazam untuk menerima hakikat bahawa manusia tidak akan pernah sempurna tetapi manusia boleh berusaha untuk melakukan yang baik-baik demi menyempurnakan fungsinya sebagai manusia.



Begitulah juga dalam kehidupan kita, ada masanya kita bertangguh dan terhalang untuk melakukan sesuatu kerana perasaan ragu, serba salah, malu, mahu buat yang terbaik dan mahu buat yang sempurna. Walhasil, pada akhirnya kita tidak melakukan apa-apapun. Malah, jauh telefon dari powerbank untuk dapat melakukan yang terbaik dan sempurna.




Bagaimana Saya Belajar Mengayuh Basikal?

Menulis post ini dengan rasa berat dan beban seperti yang saya tuliskan di perenggan-perenggan atas itu, mengingatkan saya memori bagaimana saya belajar mengayuh basikal pada suatu masa dahulu ketika zaman kanak-kanak. Saya rasa kiranya pengalaman saya agak berbeza dan lain dari kebanyakan orang. Heh (^_<)√

Disebabkan kaki kiri saya yang patah oleh kemalangan semasa saya berusia tujuh tahun, orang tua saya tidak pernah membenarkan saya bermain basikal. Sampailah ketika saya di darjah lima atau enam. Dua orang sahabat baik saya yang sudah saya anggap sebagai saudara membantu saya dan memberi sokongan kepada saya untuk mengayuh basikal. Pastinya secara sembunyi-sembunyi.

Apa yang kami lakukan? Sahabat baik saya yang dua beradik itu meminjamkan basikal mereka kepada saya. Sesi belajar basikal saya kami buat di sebuah jambatan, yang di jalan raya pada jambatan itulah kami kemalangan dahulu sehingga kaki kiri saya patah dan bengkok sehingga kini. (Seorang daripada sahabat saya itu sudah memiliki kedai basikal di Bintulu, Sarawak).

Caranya, saya seorang 'menaiki' basikal mereka dengan tidak mengayuh. Biarkan basikal menuruni jalan raya yang bersambung dengan jambatan itu yang agak berbukit dan saya berlatih 'mengimbangi' badan atas basikal. Kemudian sudah boleh 'mengimbangi' badan atas basikal barulah cuba-cuba mengayuh basikal. Walhasil, dalam seminggu saya sudah dapat mengayuh basikal.

Bayangkan, dengan kaki kiri saya yang patah dan tidak dapat dilipat habis. Ada dua pilihan cara saya mengayuh basikal. Satu, tinggikan tempat duduk (seat) basikal supaya sesuai dengan 'tahap boleh lipat' kaki kiri saya. Dua, kayuh dengan sebelah kaki kanan saya sahaja.

Akhirnya, pada tingkatan dua saya mendapat basikal daripada ayah. Bermula itu, saya berbasikal ke sekolah. Sahabat-sahabat saya dan rakan-rakan yang sama sekolah menengah dengan saya boleh jadi saksi kisah ini.

Moralnya, jika saya menunggu masa yang terbaik dan basikal yang sempurna untuk mula 'belajar mengayuh basikal', pastinya sampai hari ini saya tidak akan dapat mengayuh basikal. Dengan kaki yang patah sebelah ini, keberanianlah yang memampukan saya mengayuh basikal kemudian menunggang motorsikal tanpa menunggu basikal yang terbaik, paling sesuai dan sempurna untuk sebelah kaki yang patah.

Begitulah, ketika menaip perenggan terakhir ini saya menginsafi diri; jika tidak menaip kerana menunggu untuk menulis yang terbaik dan sempurna, tentunya post ini tidak akan siap ditulis. Keberanianlah yang saya perlukan untuk menyudahkan dan menerbitkan post ini. Berani melawan perasaan ragu dan serba salah serta berani untuk menerima kemampuan setakat mana yang terbaik boleh saya lakukan untuk menyempurnakan sebuah tulisan. Alhamdulillah, syukur semoga menjadi permulaan yang baik. 

Dengan Nama Allah, bermula tulisan ini saya berazam untuk menulis yang baik-baik di blog ini. Proses menulis yang baik-baik itu sendiri adalah sebahagian daripada proses menyempurnakan sebuah tulisan yang baik-baik. Semoga kalah dan tewaslah perasaan was-was yang menuntut tulisan terbaik dan sempuna yang tidak menghasilkan apa-apapun sebenarnya.


Norudin Draman UstazCahaya
23:29, 3 Muharram 1439;
Sabtu, 23 September 2017.

Jurnal Online UstazCahaya

Facebook Page:

Rangkaian Media Sosial:
Facebook | Instagram | Twitter
@ustazcahaya #ustazcahaya

Whatsapp | Telegram
016-8472303

Email:
ustazcahaya@gmail.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan