26/09/2017

Tuhan Mahu Apa? (Puisi)


Tuhan Mahu Apa?
(Puisi)




Judul 'Tuhan Mahu Apa?' saya simpan sejak awal hijrah saya ke Sandakan, Sabah. Insya Allah, mahu dijadikan buku umum. Semasa membuat rujukan di perpustakaan pada hari Isnin tanggal 20 Mac 2017, spontan saya menulis puisi 'Tuhan Mahu Apa? ini ketika memerhati barisan pohon kelapa yang saya nampak melalui jendela dekat tempat saya duduk ketika itu.


Tuhan Mahu Apa?

Barisan pohon kelapa
berderetan di luar jendela
menangkap pandangan mata
menghidupkan pancaindera

Dipaut pandangan mata
kepada barisan pohon kelapa
di luar jendela
otak mencerna satu tanya
tentang 'Tuhan Mahu Apa?'

Tuhan Mahu Apa
untuk terciptanya 
pohon kelapa
yang diakui semua
banyak berguna

Begitu banyaknya guna
sebatang pohon kelapa
dan manfaat semuanya
adalah kepada manusia

Barisan pohon kelapa
di luar jendela
yang dipandang mata
membawa seluruh pancaindera
bersama segenap jiwa raga
jujur mencerna satu tanya
tentang 'Tuhan Mahu Apa?'
untuk terciptanya manusia
yang diberi sepasang mata
bersama pancaindera 
dan jiwa raga
yang pandangan matanya
memandang barisan pohon kelapa
di luar jendela.

(C) Hak Cipta Terpelihara
Norudin Draman UstazCahaya
Isnin, 20 Mac 2017
Perpustakaan Negeri Sabah
Cawangan Sandakan.



Selalulah bertanya diri, 'Tuhan Mahu Apa' dengan diberi-NYA kita hidup di dunia ini? Dalam kehidupan kita pula, sudah Tuhan suratkan dengan yang paling layak dan sesuai untuk kita. Tinggal lagi, bagaimana kita melaluinya. (Al-Baqarah: 286)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan