25/03/2018

Mati Karan dalam Kursus Telegram untuk Buku Pandai Al-Quran


Mati Karan Dalam Kursus Telegram 
Untuk Buku Pandai Al-Quran
(Oleh: Norudin Draman UstazCahaya)



(Kad-kad KJ Method untuk bab-bab 
dalam buku Pandai Al-Quran)

Tiga hari (23-25 Mac 2018), saya mengikuti kursus di Telegram oleh Tuan Zamri Mohamad. Hasilnya, rancangan buku Pandai Al-Quran menjadi semakin baik. Semakin bertambah rasa berbaloi membayar yuran kursus ketika pada akhir kursus Tuan Zamri mencadangkan tambahan satu bahagian untuk buku Pandai Al-Quran.

Ibarat Kebun Terbiar Mahu Dijadikan Taman Lawatan

Sebenarnya, bahan-bahan untuk buku Pandai Al-Quran ini sudah tersedia, hanya tinggal lagi perlu disusun dengan baik. Isi buku Pandai Al-Quran adalah simpanan hasil kembara hijrah saya sebagai guru Al-Quran sejak tamat peperiksaan SPM. Kembara Hijrah dari Bintulu ke Kuching, kemudian ke Negara Brunei Darussalam dan berumah tangga di Sandakan, Sabah.

Oleh kerana merasakan bahan-bahan sudah ada di tangan, saya pernah sangat yakin buku ini boleh terbit pada bulan Februari 2018. Rupa-rupanya, ia tidak semudah itu. Bahan-bahan yang saya ada sebenarnya ibarat sebuah kebun yang saya tanam sejak tahun 1999 yang semak. Hasrat membukukan bahan-bahan kembara hijrah saya ibarat mahu menjadikan kebun semak samun yang dihiasi tinggi rumput dan lalang bertukar kepada menjadi taman untuk dilawati.


Berakhir kelas Telegram KJ Method oleh Zamri Mohamad, saya sedar satu perkara sangat penting. Bahawa kebun bahan-bahan berkaitan Al-Quran ini perlu dibersihkan terlebih dahulu. Dibahagi-bahagikan kepada zon dan dilabel sempadan zon-zonnya. Kemudian dikemaskan denai-denai yang tersusun untuk pelawat berjalan di dalam kebun ini. Ditambah lagi dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang perlu untuk pelawat menikmati lawatan di kebun Pandai Al-Quran ini. Akhirnya, ketika keluar dari kebun para pelawat ada hasil yang dibawa bersama.


Mati Karan dalam Kursus Telegram untuk Buku Pandai Al-Quran

Hari itu hari terakhir kursus Telegram KJ Method oleh Zamri Mohamad. Di luar pengetahuan saya, bekalan elektrik terputus di kawasan tempat tinggal kami. Di sini gangguan bekalan elektrik dipanggil 'Mati Karan'. Mengenangkan Anakku Pandai Al-Quran #qafbintinorudin tidak tahan kepanasan dan saya perlu menggunakan laptop, mahu tidak mahu kami perlu check in hotel.

Hujan mula turun ketika kami keluar dari rumah dan semakin lebat setibanya kami di hotel Benaria Bandar Prima Sandakan. Ikutkan waktu hujan seperti itu, tempat terbaik dan paling sedap untuk menulis adalah di rumah. Pada waktu inilah saya menguatkan hati bahawa semua ini adalah 'chobaan' dalam usaha menyiapkan buku Pandai Al-Quran.

Dalam perjalanan dari rumah ke hotel, soal wang berlegar-legar di kepala saya. Fikir punya fikir, saya bulatkan hati agar bersyukur. Syukur kerana pada ketika memerlukan seperti itu, ada wang untuk menyewa hotel. Menyewa hotel pula ada sebab yang munasabah.

Dalam keadaan hujan, ke manalah saya mahu membawa Qaf mencari aircond atau kipas angin? Malahan, masa saya sangat mahal sekarang untuk memuktamadkan perancangan bahagian dan bab dalam buku Pandai Al-Quran.

(Qaf bersama kawannya Chimme
di Hotel Benaria Bandar Prima Sandakan)

Bahagian dan Bab dalam Buku Pandai Al-Quran

Al-hasil daripada kelas Telegram KJ Method oleh Zamri Mohamad dan menyewa hotel Islamik Benaria, berikut adalah senarai muktamad bahagian dan bab dalam buku Pandai Al-Quran. 


Berbaki 20 hari bulan Rejab 1439 Hijrah, inilah perjuangan utama saya sekarang. Menyusun dan memperkemaskan simpanan dari kembara hijrah saya sebagai guru Al-Quran sejak tahun 1999, agar wujud menjadi buku Pandai Al-Quran.


JUDUL: PANDAI AL-QURAN

BAHAGIAN 1: Tentang Buku Pandai Al-Quran

Bab 1 Penulis Patah Kaki Ketika Pergi Mengaji
Bab 2 Kembara Hijrah Penulis Sebagai Guru Al-Quran
Bab 3 Dedikasi
Bab 4 Penghargaan
Bab 5 Harapan dan Matlamat

BAHAGIAN 2: Tentang Al-Quran

Bab 6 Sejarah Al-Quran
Bab 7 Tujuan Al-Quran Diturunkan
Bab 8 Ilmu-ilmu Berkaitan Al-Quran
Bab 9 Kategori Pembaca Al-Quran
Bab 10 Betul dan Salah Dengan Al-Quran

BAHAGIAN 3: Masalah Orang Bukan Arab Dengan Al-Quran

Bab 11 Tidak Tahu Cara Baca Yang Betul
Bab 12 Tidak Menjaga Panjang Pendek
Bab 13 Tidak Menggunakan Nun Wiqayah
Bab 14 Tidak Dapat Menahan Nafas
Bab 15 Tidak Faham Ayat Yang Dibaca

BAHAGIAN 4: Mitos Pandai Al-Quran

Bab 16 Mesti Belajar Timbunan Kitab Bertingkat-tingkat
Bab 17 Mengutamakan Hanya Membaca Sahaja
Bab 18 Tidak Semua Orang Mampu Mengajar Al-Quran
Bab 19 Bahasa Arab Itu Susah
Bab 20 Mesti Lidah Arab Untuk Pandai Al-Quran

BAHAGIAN 5: Lima Aktiviti Rasulullah (saw) Dengan Al-Quran

Bab 21 Mendengar Al-Quran
Bab 22 Menghafal Al-Quran
Bab 23 Membaca Al-Quran
Bab 24 Mengamalkan Al-Quran
Bab 25 Mengajarkan Al-Quran

BAHAGIAN 6: Cara Baca Al-Quran

Bab 26 Lima Cara Baca
Bab 27 Mahir Baca Al-Quran
Bab 28 Pelajaran Pertama Nabi Adam AS
Bab 29 Huruf Hijaiyah
Bab 30 Belajar Cara Baca Lima Surah

BAHAGIAN 7: Ilmu Tajwid Al-Quran

Bab 31 Apa Itu Ilmu Tajwid Al-Quran
Bab 32 Imam dan Makmum Atau Solat Sendiri?
Bab 33 Peta dan Pensel Warna
Bab 34 Belajar Dari Belakang
Bab 35 Ilmu Tajwid Sebelas Surah

BAHAGIAN 8: Faham Makna Bahasa Arab Al-Quran

Bab 36 Al-Quran Untuk Orang Bukan Arab
Bab 37 Tiga Asas Bahasa Arab Al-Quran
Bab 38 Faham Makna Setiap Huruf dan Perkataan
Bab 39 Solat Lebih Khusyuk
Bab 40 Kursus Bahasa Arab Satu Surah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan