25/05/2015

Sepasang Baju Baru Untuk Blog Kesayanganku


Sepasang Baju Baru Untuk Blog Kesayanganku



(Wajah baru www.ustazcahaya.com)

Alhamdulillah. Kesempatan hujung minggu kali ini, saya dapat menukar 'baju' blog 'Jurnal Online UstazCahaya' ini. 


Baju? 
Hehe (^_<)y

Sejak zaman awal blog ini dolu-dolu saya suka menggunakan beberapa istilah sendiri. Salah satu daripada istilah itu ialah 'baju blog' yang bermaksud template blog. KLIK SINI untuk baca artikel terdahulu ketika saya mula guna istilah 'baju blog'.


Baju blog

Apa yang saya maksudkan sebagai baju blog di sini ialah template blog yang hendak dibina. Inilah perkara pertama yang perlu dipilih untuk blog baru kita. Oleh kerana post ini bukan untuk membincangkan tentang template, jadi saya cuma boleh mengatakan jangan skip langkah ini jika kita memulakan blog baru. Lebih-lebih lagi jika kita hendak membina blog yang dihost sendiri terutama dengan script Wordpress.

Jika kita mulakan dulu blog kita, kemudian nak pilih template, bukan tidak boleh tetapi akan banyak gangguan nanti. Jadi sewajarnya, pilih dulu baju yang tetap untuk blog itu sebelum mula menambah pelbagai ciri yang lain. Jika kita guna blogger dotcom, bukankah lepas kita buat satu blog kita akan diminta pilih template dahulu, kan?

Untuk Jurnal Online UstazCahaya ini saya gunakan template yang disediakan dalam dashboard sahaja. Kemudian tambah-tambah perhiasan dan godek-godek html serta ubah-ubah font dan warna. Untuk lebih mem'peribadi'kan blog ini, saya sediakan template khas untuk bahagian post. (KLIK SINI untuk baca artikel tentang 'baju blog')


Warna asas baju blog


Baju baru untuk blog 'Jurnal Online UstazCahaya' masih mengekalkan tema asas merah dan putih. Warna kegemaran saya. Lagipun, merah dan putih adalah warna tema bagi syarikat-syarikat besar seperti Colgate, KFC, Coca Cola, Air Asia dan lain-lain lagi.


Kemasan dalam baju blog ini juga masih mengekalkan warna-warna dahulu; iaitu warna ungu, biru laut dan kuning langsat untuk link, kotak blockqoute, kemasan tepi dan kaki blog.  


Untuk foto pula, saya cuba menggunakan warna yang harmoni dengan warna asas blog ini seperti warna hijau dan kuning.


Apa pentingnya baju blog?



1. Sunah.


Bersih dan kemas adalah sunah Baginda Rasulullah (SAW). Kita maklum Baginda seorang yang kemas dan bersih. Baik dari segi penampilan mahupun minda dan jiwa. Paras rupa yang bersih dan kemas menggambarkan peribadi seorang yang suka kepada kebersihan dan kekemasan. Sungguh kita jangan tertipu dengan paras rupa, kerana itu perlu kita ingat bahawa kemas dan bersih seseorang jangan kita sempitkan kepada luaran sahaja. Lihat pada fikirannya dan tutur katanya juga.

2. Fitrah.

Bersih adalah fitrah kita. Fitrah itu perlu kita jaga. Tubuh badan, akal dan jiwa anugerah percuma Allah kepada kita, perlu kita jaga kebersihannya. Ya benar, dalam menjalani kehidupan, kita akan terpalit kekotoran, justeru kita perlu jaga dan selalu bersihkan semula.

3. Kredibiliti.

Bayangkan kita pergi ke sebuah klinik yang kotor. Dengan doktor yang berpakaian merah darah penuh terpalit di bajunya. Hilang warna asal baju doktor yang putih, yang kita nampak adalah seorang doktor yang berbaju kombinasi warna darah dan nanah. Di tepi meja doktor pula, beberapa batang jari manusia bertaburan. Apakah kuat hati kita mahu berubat di klinik itu dengan doktor itu?

4. Reputasi.

Paras rupa juga penting kepada reputasi. Pernahkah kita membeli sebungkus nasi lemak kerana terpikat dengan paras rupa dan bungkusannya? Selalu kita memesan makanan yang kita lihat gambarnya dalam folder menu yang menarik? Tapi mahukah kita membeli sebungkus nasi lemak yang dibalut dengan kertas tisu yang sudah digunakan? Atau nasi lemak yang dibalut gambar mangsa kemalangan? Atau nasi lemak yang dikepal dan diwarnakan seperti seekor tikus?

5. Motivasi.

Kita akan menjaga sesuatu yang bersih dan kemas. Contohnya, bilik kita yang bersih dan kemas; hati kita akan terhalang untuk mengotorkan dan menyepahkannya bukan? Begitu juga sebaliknya. Kenderaan atau pakaian kita yang sudah kotor dengan lumpur. Apakah kita akan takut untuk mengotorkan kenderaan atau pakaian yang sudah sedia kotor itu?

Minda (mindset) orang berjaya adalah kemas dan teratur. Mereka tahu dengan jelas apa yang mereka mahu capai, bagaimana dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya. Fikiran mereka KEMAS dan BERSIH.  


Baginda Nabi Muhammad (SAW) telah mengajarkan kita dua moto berkaitan, iaitu 'kebersihan sebahagian iman' dan 'Allah itu indah dan sukakan keindahan'. Ciri kebersihan dan keindahan itu antaranya kemas, menarik, memberi keselesaan, ketenangan dan memudahkan serta menyenangkan. Itulah antara yang saya ingin terapkan dalam diri saya sendiri dan blog kesayangan saya ini.


Sebelum solat kita dituntut mensucikan dan membersihkan diri. Sebagai muslim lima kali sehari semalam kita dituntut untuk itu. Bukan sahaja kita diwajibkan mandi dan/ atau berwuduk sahaja, malah kata Rasulullah, 

'Jika tidaklah menyusahkan kita, mahu Baginda (saw) mewajibkan bersiwak (membersihkan gigi dan mulut) untuk setiap kali sebelum hendak solat'. 
Sudah tentunya, Rasulullah (saw) mahu menjadikan kita sebagai insan yang suci dan bersih selalu, baik luaran mahupun dalaman. :)


12 Print Screen Baju Baru Blog Ini
Hehe (^_<)y

























Tiada ulasan:

Catat Ulasan