31/05/2015

Pengalaman Kerja Norudin Draman UstazCahaya


Pengalaman Kerja
Norudin Draman UstazCahaya


(Gambar kenangan bersama rakan-rakan guru KAFA Bintulu, tahun 2011)

(Sambung kisah saya kerja di stesen Shell tadi)

Lepas bulan kedua saya kerja sebagai 'pam minyak', saya dapat kerja sebagai guru Al-Quran di sebuah sekolah agama rakyat. Sekolah agama rakyat satu-satunya di Bintulu waktu itu, iaitu Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU). Jadi guru di MADU automatik jadi guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Seakan-akan MOU yang tidak bertulis untuk menambah gaji guru MADU dijadikan guru KAFA di Sk Orang Kaya Mohammad Bintulu.

Semasa menuntut di IKMAS juga, waktu cuti saya mengajar KAFA sebagai guru ganti. Sehingga tahun 2011, saya menjadi guru KAFA. Cuma pernah 'berhenti' setahun dua tahun. Pengalaman kerja saya hanya berkisar bidang pendidikan sebagai 'guru tidak terlatih'. Saya juga pernah jadi guru pengganti, guru tadika Al-Quran, guru tusyen dan guru takmir masjid dan surau sebelum saya  berhijrah ke Negara Brunei Darussalam.

Saya berhijrah ke Brunei pada tahun 2012 setelah diterima sebagai Guru Al-Quran di Sekolah Nusa Laila Puteri, Negara Brunei Darussalam.

Pengalaman saya sebagai Guru Al-Quran bermula pada bulan Februari tahun 1999, di Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU), Bintulu, Sarawak. Ketika itu saya masih menunggu keputusan SPM. Menjadi Guru MADU, secara automatik saya menjadi GURU KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) di SK Orang Kaya Mohammad Bintulu. Sehingga kini, Guru KAFA di SK OKM terdiri daripada Guru-guru MADU.

Menjadi Guru MADU dan Guru KAFA, saya mendapat permintaan untuk mengajar mengaji di rumah. Di rumah saya sendiri dan di rumah pelajar. Mengajar di rumah pelajar kebiasannya melibatkan kesemua anak-anak dan ahli keluarga di sesebuah rumah itu.

Pada tahun 2005 saya berpeluang mengajar Pendidikan Islam di sekolah (Guru Kontrak). Kemudian menyambung tugas sebagai Guru KAFA di sekolah saya mengajar itu.

Pada tahun 2005 juga saya menubuhkan KIDFA Training, sebuah pusat mengajar Al-Quran dan kaedah Iqra di Bangunan MARTABAT, Bintulu. KIDFA bernaung di bawah Pusat Tuisyen PRESTINE PERDANA. Pada waktu itu saya (KIDFA) sempat mengadakan beberapa program usahasama bersama Persatuan Cina Muslim (MACMA) Bintulu dan Sedidik CCFDC Bintulu (sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang memiliki cawangan di seluruh Sarawak).

Penghujung 2006, Pengerusi PRESTINE PERDANA, Temenggong Abg Suhaili Abg Mohammad menarik diri dari pengurusan PRESTINE PERDANA kerana masalah dalaman pihak pengurusan pusat tuisyen tersebut. Pengunduran Temenggong dari pusat tuisyen ini menjadikan pentadbiran dan pengurusan PRESTINE PERDANA sedikit goyah. Akhirnya, PRESTINE PERDANA terpaksa menghentikan operasinya. Nasib menumpang, KIDFA Training saya turut 'terpaksa ditutup' bersama PRESTINE PERDANA.

Sayang sekali, pusat tuisyen dan pusat pengajaran Al-Quran yg sepatutnya meMARTABATkan perniagaan pendidikan di Bintulu terhenti kerana masalah pihak pengurusan. Selepas itu, saya meneruskan aktiviti mengajar di rumah dan ke rumah.

Sejak 2007 saya dilantik sebagai Guru Takmir Masjid dan Surau Bahagian Bintulu oleh Majlis Islam Sarawak. Tahun yang sama juga, saya masih berkhidmat sebagai Guru Agama Rakyat di MADU Cawangan Kampung Jepak.

Antara pengalaman saya yang menarik ialah, saya pernah menjadi Guru Tadika di Tadika Bestari Bintulu. Saya tidak pasti sama ada Puan Raliah (Guru Besar Tadika Bestari waktu itu, kini sudah memiliki tadika beliau sendiri) sekadar berseloroh atau bersungguh sewaktu beliau mengatakan kepada saya bahawa "Nordin ni guru tadika lelaki kedua di Malaysia", pada hari pertama saya mengajar di tadika itu.

Saya menjadi Guru Tadika Cuma dua bulan pada awal tahun 2006. Saya berhenti kerana mendapat projek usahasama KIDFA-SEDIDIK iaitu program Iqra dan Fardhu Ain pada waktu petang untuk kanak-kanak yang diasuh di SEDIDIK CCFDC Cawangan Bintulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan