16/02/2018

Namanya QAF, QAF= Quran


Namanya QAF, QAF= Quran




Qaf (قَافْ) adalah 'huruf kuat' antara jenis-jenis huruf hija'iyah dalam kitab suci Al-Quran. Dalam ilmu tajwid Al-Quran, huruf 'qaf', 'tho', 'dhod' dan 'zho' adalah huruf yang paling kuat mengikut kaedah pengiraan sifat huruf. Huruf 'qaf' dan 'tho' pula adalah huruf yang menghasilkan 'letupan' qalqalah yang paling kuat. Selain itu, ketika membaca Al-Quran, untuk menyebut huruf qaf dengan baik dan sempurna mulut kita perlu bekerja dengan 'kuat'.

Kisahnya lima bulan yang lalu, ketika doktor memberitahu 'ramalan jantina' kandungan isteri, saya mengambil masa hampir seminggu bermunajat malam-malam mencari ilham nama yang baik untuk anak yang bakal lahir. Hasil munajat, saya mengambil permulaan huruf Quran iaitu QAF untuk nama anak saya.

Kemudian beberapa hari lagi saya bermunajat mencari tiga (3) nama untuk setiap huruf Q.A.F. Hasilnya, saya dan isteri sepakat dengan nama 'Qaseh Annur Fatihah'. Qaseh ganti kata kasih. Annur adalah cahaya. Fatihah bermakna pembuka.

QAF Yang Kuat Dalam Bahasa
Arab, Melayu dan Vaie

Seperti yang saya tuliskan pada perenggan pertama di atas, huruf qaf adalah huruf yang kuat dalam bahasa Al-Quran (bahasa Arab). Begitu juga dalam bahasa Melayu yang identik dengan tulisan jawi, perkataaan 'kuat' ditulis 'قوات' (menggunakan huruf qaf).

Menurut fitrah manusia dan syariat Islam pula, nasab (keturunan) seorang anak adalah mengikut ayahnya. Saya berbangsa Vaie (asli Bintulu, Sarawak). Merujuk kepada pertuturan bahasa Vaie, kata qaf dekat dengan kata qab yang bermaksud 'angkat', 'bangkit' dan 'bangun'.

Dalam memberi makna kepada nama anak saya, QAF simbolik kepada kekuatan untuk memelihara amanah Allah ini yang wajib membesar menjadi muslimah yang kuat segala aspek kesihatannya seperti yang ditetapkan oleh WHO (World Health Organisation) iaitu sihat dan kuat fizikal, mental dan emosi.

QAF adalah perjuangan sepanjang hayat saya untuk bersama-sama anak ini berjuang dengan segenap kemampuan dan kekuatan. Sementelah anak ini bakal membesar dan hidup di zaman Masih Dajjal yang sarat fitnah, terbeban cabaran dan dirintangi pelbagai godaan yang andai kita lemah (tidak kuat); kita akan cenderung untuk menjauh dan derhaka kepada Tuhan.

Dari buku Tajwid Al-Quran oleh Haji Abdul Kadir Leong

Mengapa Qaseh Bukan Kasih

Qaseh dalam nama QAF adalah ganti kepada perkataan kasih - cinta kasih sayang. Saya tidak menggunakan perkataan kasih kerana di Sabah, kebiasaan masyarakat bercakap dan menulis kata 'beri - memberi' sebagai 'kasih - mengasih'. Lagipun, ditulis Qaseh lebih cantik dan sesuai untuk sebuah nama.

Qaseh adalah tanda cinta kasih sayang saya sebagai seorang suami, ayah dan anak kepada ibu bapa saya. Hasil ikatan tulus suci cinta kasih sayang saya dan isteri. Sejak mendapat khabar anak ini bermula janin dalam perut isteri, setiap hari saya mengenang ayah dan ibu saya. Betapa cinta kasih sayang antara anak dan ibu ayah adalah cinta kasih sayang yang wajib dan hak.

Lebih lagi, anak ini adalah limpahan qudus doa saya sejak sekian lama dahulu; sejak saya semakin faham nilai seorang anak yang antaranya adalah jambatan cinta kasih sayang antara hamba dengan Tuhan Yang Maha Kasih Maha Sayang Maha Cinta.


Annur Selain Cahaya Adalah
Adunan Nama Kami Suami Isteri

Annur dalam bahasa Arab bermaksud cahaya. Selain itu, kata Annur dalam nama QAF adalah nama saya dan isteri. An diambil dari sebahagian nama isteri Zalenah dan Nur diambil dari sebahagian nama saya Norudin.

Menjadi ayah kepada QAF adalah perjuangan saya kini untuk membawa QAF kepada Cahaya Yang Hakiki. Cahaya kebenaran tentang bahawa hidup ini adalah untuk memberi jawapan kepada satu soalan paling penting - TUHAN MAHU APA? Pertama dan utama tentulah Tuhan mahu kita mengenali DIA dengan perkenalan yang sebenar-benarnya.

Perjuangan membawa QAF kepada sinaran cahaya ilmu dan mendidik QAF untuk membawa pula cahaya ilmu itu menyinari orang lain. Semoga QAF tetap bersama saya dalam usaha yang dijanjikan Rasulullah sebagai golongan terbaik iaitu 'belajar dan mengajar Al-Quran'.

Sekiranya QAF nanti seorang usahawan, harapan saya dia usahawan yang belajar dan mengajar Al-Quran. Sekiranya takdir QAF menjadi doktor, QAF adalah doktor yang belajar dan mengajar Al-Quran. Apa yang pasti perjuangan saya adalah untuk mendidik dan membesarkan QAF sebagai 'hamba Allah yang belajar dan mengajar Al-Quran'.




Fatihah Kewajipan Setiap Hari

Sebagaimana surah Fatihah merupakan kewajipan dalam solat sehingga Rasulullah (saw) bersabda "tiada solat tanpa surah Al-Fatihah"; yang bermaksud tidak sah solat yang tidak dibaca surah Al-Fatihah. Begitulah, selepas ini tidak sah rasanya kehidupan saya jika saya tidak menjadi ayah terbaik kepada QAF.

Semoga dengan terpahat nama Fatihah dalam QAF, segala inti pati dan hikmah surah Al-Fatihah kukuh sebati dalam diri anak ini. Semoga QAF menjadi seorang hamba yang beriman kepada Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, yang hanya kepada Allah segala puji-pujian sehingga tidak hidup terbang kerana pujian dan tidak rebah tumbang kerana kejian dalam memperjuangkan kebenaran; dan semoga QAF hidup dengan selalu berpandangan jauh ke akhirat dengan iman bahawa Allah adalah Raja Hari Pembalasan.

Semoga QAF menjadi seorang hamba Allah yang tunduk patuh hanya kepada Allah dan berserah penuh semata-mata kepada Allah. Semoga dengan itu kami berada di jalan yang lurus; jalan berdiri dan berjalannya orang-orang yang mendapat nikmat dunia dan akhirat.

Fatihah bermaksud pembuka. Fatihah pada nama QAF ini juga mengandungi harapan saya agar 'terbuka' apa yang sedang tertutup di hadapan saya, agar semakin 'terbuka' jalan yang lurus yang perlu kami tetap melangkah di atasnya dan agar 'terbuka luas' pintu kebaikan, kebahagiaan dan kejayaan untuk kami di dunia dan akhirat hingga syurga.

Dengan niat mengikut sunnah Rasulullah (saw) untuk memberi nama yang baik dan mengumumkan nama anak; saya pada hari ketujuh kelahiran QAF ini, dengan lafaz bismillah dan selawat kepada Rasulullah; memperkenalkan nama anak sulung saya QASEH ANNUR FATIHAH BINTI NORUDIN.

Akhir kalam, sebagai seorang Islam saya percaya sebelum QAF lahir, Allah SWT Maha Tahu siapakah lelaki yang bakal menjadi suaminya. Sehingga saat itu tiba nanti, ketika QAF diserahkan kepada suaminya nanti; QAF adalah seorang isteri dan bakal ibu yang kuat dan siap siaga untuk sebuah keluarga yang 'istiqamah belajar dan mengajar Al-Quran'.

Norudin Draman UstazCahaya

Facebook | instagram
#dariblogustazcahaya
#ustazcahaya


QASEH ANNUR FATIHAH BINTI NORUDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan