05/12/2009

Ulasan Buku 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas'


  Ulasan Buku
'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas'



Post ini saya sediakan khas untuk neyertai pertandingan menulis ulasan buku yang dianjurkan oleh Tuan Zamri Mohamad. Terima kasih.


Photobucket


Kisah Ketika Membeli Buku Ini

Saya masih ingat ketika saya membeli buku Zamri Mohammad yang berjudul 'Cara Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas' ini. Kisah menarik dua tahun yang lalu. Hari minggu itu, saya dengan beberapa teman rapat saya 'berencana'-istilah kami bila keluar pada hari minggu. Hari itu kami berjalan-jalan di kompleks membeli-belah Parkcity Mall, Bintulu, Sarawak. Seperti biasa, kami akan masuk ke kedai buku POPULAR dan hari itu saya membeli buku Zamri Mohammad yang berjudul 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas' ini.

Seperti kebiasaannya apabila kami 'berencana', memakan masa hampir satu hari suntuk juga. Selepas bersiar-siar di Parkcity Mall, kami menikmati makan tengah hari di sebuah cafe berdekatan kompleks belah-belah tersebut. Apa yang membuatkan saya mengingati kisah ini sehingga hari ini ialah kerana minuman ‘Teh C Special’ yang saya pesan itu tidak saya minum kerana jelas rasa susu yang digunakan sudah tidak elok a.k.a. basi. Tambahan pula, ketika agak ramai pelanggan di cafe tersebut, ketika itu juga seorang tukang sedang memperbaiki suis yang rosak. Bertambah panaslah saya kerana kipas angin tidak berfungsi dan agak gelap kerana lampu tidak dapat dihidupkan. Itulah kali terakhir saya ke cafe tersebut.


Kisah Buku Ini Pada Malam
Maal Hijrah 1429


Kisah ini berlaku hampir setahun yang lalu. Petang itu adalah petang Maal Hijrah. Saya membawa seorang sepupu bersama saya. Mulanya kami hendak ke Masjid Assyakirin untuk mendengar ceramah perdana sambutan Maal Hijrah, namun kerana kelewatan sepupu, kami tidak sempat ke Masjid Assykirin; makanya kami ke Surau Darussalam di Kampung Baru- salah sebuah surau dalam Program Pengajian Kelas Takmir Masjid dan Surau yang saya kendalikan.

Kami tiba di surau itu ketika hampir waktu membaca doa akhir tahun, saya 'bersembunyi' di saf yang agak terkebelakang. Namun, nampaknya Pak Imam perasan juga akan kehadiran saya. Selepas berdoa dan sebelum solat maghrib, beliau menghampiri saya dan meminta saya menyampaikan sedikit pengisian selepas solat fardhu maghrib nanti. Makanya, kena juga saya menyampaikan 'kuliah kilat' malam itu. Semasa dalam perjalanan ke surau ini tadi lagi saya sudah bersedia dengan pelawaan ini kerana saya sudah mengagaknya. Itulah sebabnya saya cuba 'bersembunyi' di saf agak belakang.

Dalam ceramah kilat saya malam itu, saya menggunakan 'Kaedah Bermula Seperti Bayi' yang dibincangkan oleh Zamri Mohamad dalam buku 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas'. Kaedah ‘Bermula Seperti Bayi’ yang dipopularkan oleh Jack Rawlins. Saya ada menulis tentang kaedah ini di blog ini- Anda boleh klik sini untuk membacanya. Saya kaitkan ‘Kaedah Bermula Seperti Bayi’ itu dengan sambutan tahun baru umat Islam. Saya menghuraikan perlunya kita sentiasa cuba memperbaiki dan memajukan diri.

Bersempena menyambut tahun baru, kita boleh menggunakan ‘Kaedah Bermula Seperti Bayi’. Saya terangkan, malam itu sesuai untuk kita bertaubat dan cuba membersihkan diri kita dan kemudian menganggap diri kita adalah 'bayi yang baru'. Sebagai bayi, kita perlu berlajar dan berlatih. Begitulah kita dalam kehidupan, kita perlu sentiasa belajar dan berlatih untuk memperbaiki dan memajukan diri. Benarkan diri untuk gagal dan melakukan kesilapan dan kesalahan tapi jangan putus asa untuk terus mencuba, belajar dan berlatih. Saya ingat lagi, antara ayat yang banyak kali saya ulang dalam ceramah saya malam itu ialah;
‘Jika waktu bayi dulu kita tidak mahu terus mencuba
untuk merangkak dan berdiri- kerana takut untuk merasakan kesakitan
kerana terjatuh dan tersadung- sampai hari inilah kita tidak akan dapat berdiri’.
Selepas solat isya, kami ada jamuan makan. Dalam jamuan itu, kaedah bayi yang saya sampaikan dalam ceramah menjadi bualan. Ramai jemaah yang bersetuju dan berminat dengan kaedah tersebut. Sebenarnya terlalu ingin saya untuk memberitahu mereka bahawa itu bukan kaedah saya- dalam ceramah tadi juga saya ada nyatakan; bahawa kaedah itu dipopularkan oleh Jack Rawlins yang saya baca dalam buku Zamri Mohamad berjudul 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas'. Namun saya tidak berkesempatan untuk itu, dan saya juga faham mereka tidak membaca buku tersebut.

Sebenarnya, itu bukanlah kali pertama dan terakhir saya menggunakan buku Zamri Mohamad yang berjudul 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas' ini sebagai isi dalam ceramah dan kuliah agama saya. Banyak kali saya menggunakan kandungan, kaedah dan konsep dalam buku tersebut untuk kuliah dan ceramah saya; sama ada ketika saya menyediakan dan menyusun isi ceramah ataupun saya gunakan secara langsung sebagai isi ceramah.


Ulasan Buku
'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas'
- Zamri Mohamad-






Photobucket


Buku ini menerangkan cara menjadi penulis bebas untuk majalah dan panduan menjana pendapatan daripadanya. Sehingga hari ini, sudah dua tahun buku ini menjadi 'teman karib' saya; saya belum lagi pernah mencuba untuk menulis bagi majalah. Namun, buku ini banyak membantu saya dalam bidang penulisan; penulisan blog, penulisan artikel, penulisan review, dan lain-lain aktiviti penulisan saya sama ada online atau offline.

Zamri menulis buku 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas' ini dengan 11 bahagian. Cara Zamri membahagikan buku ini kepada beberapa bahagian memudahkan saya membuat rujukan dan mengulang baca bahagian yang menarik dan perlu. Teknik penulisan yang Zamri gunakan dalam buku ini mudah dibaca dan menyeronokkan. Zamri mempersembahkan buku ini seakan berbicara dengan kita secara seorang dengan seorang. Paling menarik, membaca buku ini membuatkan saya merasakan saya adalah seorang ‘Penulis Bebas’. Zamri berjaya memberikan imej dan ‘atitude’ seorang penulis bebas dalam buku ini dan juga mempengaruhi saya untuk merasakan saya adalah seorang penulis bebas yang telah memasuki alam penulisan bebas.

Dalam bahagian 1, Zamri menerangkan bukan sahaja tentang apa dan siapa itu penulis bebas malah juga memberi motivasi kepada pembaca dan juga beliau menyediakan kuiz untuk pembaca mengenali diri dan menyedari bakat penulisan yang ada dalam diri mereka.

Dalam bahagian 2, 3 dan 4 Zamri bermula dengan memberikan pendedahan dan panduan kepada pembaca untuk mengorak langkah dalam dalam bidang penulisan bebas untuk majalah. Dalam bahagian 2, penulis mula mendedahkan realiti dunia penulisan di majalah kepada pembaca berkaitan apa yang perlu diketahui oleh pembaca, apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.

Dalam bahagian 3, penulis memberi panduan pengurusan idea dan maklumat kepada pembaca yang berminat untuk menjadi penulis bebas. Juga dalam bahagian 3 ini, penulis mula menerapkan konsep penulis bebas adalah usahawan dan bagaimana pembaca perlu berfikir dan bersikap sebagai usahawan untuk menjadi penulis bebas. Penulis juga mengajarkan cara menjana idea penulisan dalam bahagian ini.

Dalam bahagian 4 pula, pembaca mula didedahkan dengan pengetahuan tentang bakal pembaca hasil penulisan mereka, bagaimana untuk memberikan hasil yang tepat kepada khalayak yang tepat dan bagaimana untuk berkomunikasi dengan bakal pembaca karya kita nanti.

Dalam bahagian 5, 6, 7 dan 8; Zamri mula mengajarkan perkara-perkara teknikal yang perlu diketahui oleh penulis bebas merangkumi; kaedah membuat temu bual- yang diterangkan dalam satu bahagian penuh (bahagian 5). Dalam bahagian-bahagian ini juga penulis mengajarkan pembaca bagaimana mengurus diri sebagai penulis bebas seperti tentang proses berkarya, panduan serta teknik untuk menyemak dan menyunting serta teknik dan cara yang betul untuk menghantar karya kepada penerbit majalah.

Bahagian 9 lebih bersikap motivasi untuk Berjaya. Zamri mendedahkan kepada pembaca yang bakal menjadi penulis bebas untuk bersedia dengan cabaran, masalah, penolakan dan kegagalan yang bakal mereka hadapi.

Dalam bahagian 10 pula Zamri memperkenalkan kepada pembaca dengan editor majalah. Pembaca diberitahu tentang kehidupan seorang editor, tugas dan kuasa editor terhadap karya kita. Juga, pembaca diajarkan cara untuk berkomunikasi dan berhubung dengan editor.

Bahagian 11 lebih kepada bonus untuk pembaca buku ini. Dalam bahagian ini, Zamri mendedahkan pembaca kepada teknologi maklumat dan bagaimana untuk menggunakan teknologi maklumat bagi mencari idea, mendapatkan maklumat, membina reputasi dan kredibiliti, menjadi media perhubungan dengan pembaca dan menjadi alat bantu kepada penulis bebas.


Tentang Zamri Mohamad Yang Saya Ketahui

Ini adalah buku pertama tulisan Zamri Mohamad yang saya beli. Daripada buku ini, saya menganggap Zamri sebagai seorang yang mahir berkomunikasi dengan pembaca. Selain itu, saya melihat beliau sebagai seorang yang optimis, memberi inspirasi dan memotivasikan juga seorang yang tidak memandang rendah kepada idea daripada siapa pun. Zamri seorang yang berfikiran positif dan menggalakkan.

Saya pernah cuba menunjukkan proposal buku -yang saya buat ala kadar sahaja, kepada Zamri. Ternyata beliau memberi respon yang baik kepada email saya malah memberi panduan untuk saya terus menulis proposal dengan baik. Panduan dan contoh proposal buku yang beliau berikan kepada saya; saya selalu gunakan untuk merancang penulisan saya sama ada di internet atau di luar internet.

PENUTUP


Saya sangat tertarik dengan bahagian penutup buku ini. Ia penuh dengan maklumat yang memberi motivasi dan inspirasi kepada saya. Dalam bahagian penutup ini juga Zamri menekankan betapa pentingnya dunia penulisan terutamanya kepada penyebaran agama Islam. Sejak membeli buku ini, penulisan Zamri sama ada di internet atau buku dan majalah selalu saya ikuti. Saya sudah merancang tabungan untuk menyertai bengkel penulisan kelolaan beliau pada tahun depan. Buku ini adalah buku pertama yang membuka 'mata' dan minda saya kepada bidang penulisan.

Siapa pun saya; sama ada saya sebagai seorang guru agama, atau pendakwah, atau penulis, atau blogger atau usahawan; buku ini adalah antara rujukan utama saya dan telah menjadi sahabat karib saya sejak saya memilikinya. Saya mempunyai minat menulis sejak di bangku sekolah lagi, namun, dek kekurangan maklumat dan panduan, saya tidak ke mana-mana dalam bidang ini.

Kini, setelah dua tahun saya berkawan dengan buku 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas' ini, saya sudah semakin jelas dengan jalan, lorong dan peluang dalam bidang penulisan terutama penulisan di internet. Ramai sudah membuktikan potensi pendapatan dalam bidang penulisan di internet dan saya sedang menuju ke arah itu.

Saya tidak tahu apakah yang saya fikirkan ini betul atau sebaliknya; 'bagi saya, penulis di internet juga adalah penulis bebas'. Saya berfikir begini kerana modul dalam buku inilah yang saya gunakan ketika menceburi bidang penulisan di internet lebih kurang setahun yang lalu.

Saya juga selalu mengulang baca beberapa bahagian dan mukasurat tertentu dalam buku ini untuk kekal memotivasikan diri dan sebagai rujukan pada masa-masa memerlukan. Buku ini bagi saya, lebih daripada buku panduan bagi penulis bebas malah ia adalah buku motivasi kejayaan juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan