HIJRAH dan PEMBENTUKAN EKONOMI ISLAM
(Dipetik daripada Risalah Jumaat, terbitan Masjid Asyakirin Bintulu, Bil 123/2009- Jumaat, 18 Disember 2009/ 1 Muharam 1431H. Hak Cipta dimiliki oleh Jawatankuasa Risalah Jumaat dan Masjid Assyakirin Bintulu)
Artikel ini agak panjang, untuk kemudahan anda membacanya dalam bentuk bercetak, anda boleh download versi PDF artikel ini dengan KLIK DI SINI.
Anda juga digalakkan menyebarkan artikel ini kepada umat Islam yang lain.
Sebelum Rasulullah (SAW) berhijrah ke Madinah, pasar dan sistem perdagangan di kota itu dikuasai dan dimonopoli sepenuhnya oleh orang-orang Yahudi. Maju mundurnya masyarakat Madinah ketika itu, secara tidak langsung diatur oleh kapitalis Yahidi. Di dalam masyarakat terjadi penindasan, kezaliman dan riba di mana-mana. Setelah Rasulullah (SAW) berhijrah ke Madinah, maka selaku pemimpin, Baginda tidak dapat berdiam diri melihat keadaan masyarakat Madinah yang bersumber kepada eksploitasi oleh sistem ekonomi kapitalis.
Baginda mengambil langkah mengerahkan Saidina Abdul Rahman Bin Auf, seorang usahawan jutawan, untuk membangunkan sistem ekonomi Islam. Saidina Abdul Rahman Bin Auf memulakan dengan membangun pasar yang dikelola seratus peratus oleh umat Islam sendiri di lokasi yang tidak jauh dari pasar Yahudi, yang kemudian diberi nama "Suqul Anshar" (bermaksud; Pasar Anshar. Anshar adalah gelaran umat Islam penduduk asal Madinah). Semua orang Islam diajak untuk berjual beli dan melakukan semua aktiviti perdagangan di pasar itu tanpa berkerjasama sedikitpun dengan Yahudi dan tanpa terlibat dengan segala produk atau perkhidmatan mereka. Dengan semangat perpaduan serta ketaatan kepada Allah dan Rasul-NYA, umat Islam pada waktu itu menumpukan kegiatan ekonomi di Suqul Anshar sahaja tanpa menghiraukan pasar Yahudi.
Selepas itu, disebabkan dalam sistem ekonomi Islam yang adil dan selamat serta bebas daripada penindasan, riba dan eksploitasi, juga memberi kemudahan dan di dalamnya terdapat semangat perpaduan dan rasa ber-Tuhan yang tinggi, maka ramai orang bukan Islam dan orang daripada luar kota Madinah tertarik untuk berniaga di Suqul Anshar.
Hasil dari perjuangan itu, dalam waktu yang singkat, penguasaan ekonomi di Madinah beralih ke tangan umat Islam, sehingga menyebabkan ekonomi Yahudi yang sudah berusia ratusan tahun; boleh gulung tikar dan bangkrap bahkan ramai mereka menjadi miskin dan akhirnya menutup pasar mereka.
Oleh kerana itu, Yahudi sampai ke hari ini sangat membenci dan berdendam dengan umat Islam dan bercita-cita agar dalam aspek ekonomi, umat Islam berada dalam genggaman dan kekuasaan mereka tanpa umat Islam menyedarinya.
Demikianlah, perpaduan umat Islam pada waktu itu, dalam ketaatan kepada Allah (SWT) dan Rasulullah (SAW), berjaya membangunkan ekonomi Islam dan sekaligus merobohkan musuh tanpa berperang. Seharusnya, kita sebagai umat Islam mencontohi dan mengikuti sunnah Rasulullah (SAW) sebagai satu strategi untuk membangunkan ekonomi Islam.
MODEL PERNIAGAAN ABDUL RAHMAN BIN AUF
Sahabat Rasulullah (SAW), Abdul Rahman bin Auf adalah seorang yang usahawan yang terkenal, hartawan dan jutawan; malah mahsyur kerana tergolong dalam sahabat yang dijamin masuk syurga. Kejayaan Abdul Rahman sebagai usahawan adalah didorang oleh kepakaran baliau berniaga dan akhlaq yang terpuji.
Abdul Rahman Bin Auf pernah ditanya; Apakah strategi perniagaan beliau sehingga beliau menjadi usahawan yang berjaya. Jawabnya;
1. Aku tidak pernah menolak keuntungan yang walaupun sedikit.
2. Aku tidak pernah menangguh dan melambat-lambatkan urusan perniagaan.
3. Aku tidak memberi kemudahan bayaran ansuran.
Perbandingan Antara Ekonomi Islam dan Ekonomi Konvensional
Secara mudahnya, ekonomi Islam adalah perniagaan, zakat dan hubungan sesama manusia (muamalah) yang menolak riba, monopoli, spekulasi, eksploitasi, penindasan, kezaliman dan penganiayaan.
Ekonomi Islam
1. Ekonomi Islam bersumberkan wahyu daripada Allah (SWT), iaitu Tuhan yang menciptakan manusia; Yang Maha Mengetahui apa yang baik dan apa tidak baik untuk manusia.
2. Disebabkan Ekonomi Islam bersumberkan aturan Tuhan, Ekonomi Islam adalah sempurna, adil, selamat, mudah, menguntungkan dan kurang berisiko. Ekonomi Islam memenuhi tuntutan dalam hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.
3. Ekonomi Islam beridir atas dasar Aqidah, Syariat dan Akhlaq. Dalam sistem Ekonomi Islam, manusia meyakini bahawa harta kekayaan dan alam ini adalah milik Allah (SWT), manusia adalah khalifah yang dilantik untuk menguruskannya dengan sebaik mungkin. Ekonomi Islam berjalan atas dasar untuk memenuhi tuntutan syariat. Contohnya, perlu ada umat Islam yang menjual makanan yang baik dan halal kerana makanan adalah keperluan hidup. Jika ada umat Islam yang tidak mampu membeli makanan kerana kemiskinan, di sinilah perlunya ada umat Islam yang kaya untuk menunaikan tuntutan zakat bagi mengimbangi kekurangan yang dihadapi oleh golongan miskin tersebut.Perlu juga ada golongan usahawan dan peniaga yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan. Sistem Ekonomi Islam berdiri atas dasar akhlaq Islam yang indah dan mulia iaitu didasarkan dengan rasa kasih sayang, adil, bantu-membantu, selamat, menguntungkan semua pihak yang berurusan, amanah dan lain sebagainya.
4. Sistem Ekonomi Islam tidak mengambil dan merampas hak individu. Golongan yang kaya diraikan sementara golongan yang miskin diperhatikan. Golongan peniaga diperlukan, golongan pengguna dikasihi. Dalam ekonomi Islam, umat Islam mengutamakan untuk berurusan dengan sesama Islam dan jika ada bidang yang baik dan halal yang dimonopoli oleh bukan Islam, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menyediakan produk dan perkhidmatan tersebut.
5. Disamping itu, sistem Ekonomi Islam tetap menjaga hubungan dengan negara sebagaimana diperintahkan oleh Allah untuk taat kepada Rasulullah (SAW), serta pemimpin Ulul Amri, iaitu pemerintah/ kerajaan yang taat kepada Allah dan Rasulullah (SAW).
Ekonomi Konvensional
1. Ekonomi Konvensional bersumber kepada akal manusia semata-mata. Akal manusia tidak dapat menjangkau segala apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk manusia.
2. Sistem Ekonomi Konvensional mengutamakan riba dan keuntungan semata-mata. Peniaga mementingkan keuntungan mereka, pengguna pula hanya mementingkan kepuasan mereka.
3. Riba dalam sistem Ekonomi Konvensional mewujudkan ketidaseimbangan dalam sektor-sektor ekonomi dan menghalang pertumbuhan yang sihat. Ia nampak menguntungkan, namun ia berisiko dan tidak selamat sama ada kepada golongan peniaga atau pengguna.
4. Penipuan, kezaliman dan penindasan tidak dapat dibendung.
5. Sistem ekonomi konvensional menggalakkan pembaziran dan pemborosan. Wujud lebih banyak produk dan perkhidmatan yang bertujuan untuk memenuhi nafsu membeli pengguna berbanding produk dan perkhidmatan yang benar-benar diperlukan oleh manusia.
6. Hak individu dan hak sosial tidak seimbang dalam sistem ekonomi konvensional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan