12/12/2009

Tiga Kisah Selipar


  Tiga Kisah Selipar




Photobucket


Kisah Selipar 1


 

Kisah ini berlaku di sebuah surau pada waktu maghrib di suatu hari. Hari itu, saya datang agak lewat iaitu ketika imam sudah selesai membaca Al-Fatihah pada rakaat pertama. Beberapa orang jemaah lain juga baru datang, salah seorang mereka ialah seorang bekas pegawai ****- seorang pesara yang jika saya sebutkan di sini, tentu ramai orang Bintulu mengenalinya. Dalam post ini kita namakan saja dia sebagai 'Pak Haji A'.

Saya dapati tangga surau agak kotor ketika itu, maka saya pun menggunakan sahaja selipar hingga ke anak tangga yang teratas. Belum sempat menanggalkan selipar, saya terkejut-sampai terangkat bahu saya- oleh bunyi 'psst' yang agak kuat dan kasar daripada Pak Haji A itu. Saya menoleh kepada beliau, beliau dengan tanpa melihat saya dan terus berlalu ke depan sempat juga berkata;



"Selipar simpan bawah, tidak nanti orang pijak kotor kaki awak".


Tersentap dan terasa benar saya. Di depan beberapa orang lain pula bukan hanya kami berdua. Sedangkan, tangga itu kotor. Pihak surau, terutama Pak Haji A dan rakan YB (Yang Berehat a.k.a. Bersara) yang selalu melepak di surau itu patut prihatin dengan kebersihan tangga. Bukannya hanya prihatin kepada letak selipar JANGAN ATAS TANGGA.




Bayangkan, bukan sekadar hitam dan kuning kotor tanah, malah ada seperti kesan darah dan najis cicak di anak tangga ketika itu. Lagipun, saya tidak meletakkan selipar di tengah-tengah, tapi saya tempatkan di tepi sekali. Saya tidak mahu memijak kekotoran itu -yang walaupun 'mungkin' sebenarnya bukan najis seperti sangkaan saya- kerana nanti, kaki saya yang kotor akan dibawa pula memijak ke dalam surau.





Kisah Selipar 2

Kisah ini berlaku pada satu waktu zuhur di sebuah surau. Ketika itu musim cuti sekolah, kebetulan ramai pelajar sekolah yang ada program di tempat berdekatan surau juga bersolat di surau ini. Surau ini ada sebuah tempat berwuduk khas, yang seperti kebiasaan tempat berwuduk -ada bendul tempat kita berdiri untuk berwuduk.

Biasanya saya berwuduk daripada rumah. Lebih afdal malah lebih mudah. Jarang saya berwuduk di surau kecuali jika wuduk saya terbatal atau saya singgah bersolat ketika saya bukan dari rumah. Begitulah, hari itu saya berwuduk di surau. Ketika itu, bendul tempat berdiri di paip berwuduk itu 'terlalu' kotor. Azan sudah selesai dilaungkan. Juga, disebabkan jumlah yang ramai, semua paip terbuka dan air menjadi kecil dan sedikit yang keluar dari paip.

Boleh dikatakan, semua kami yang berwuduk itu menggunakan selipar di atas bendul trsebut. Sedang saya dan mereka yang lain berwuduk, terdengarlah suara seorang pemuda ini.



"Abang semua, jangan pakai selipar atas tempat berwuduk boleh oh"


Alhamdulillah, suara dan kata-kata pemuda ini tidaklah kasar dan kuat. Juga ditujukan kepada semua, jadi saya pun tidaklah mengambil hati dan tersinggung ataupun malu. Saya juga tidak arif dengan peraturan di tempat wuduk itu kerana saya jarang sekali menggunakannya.

Cuma, saya kesal dengan pihak yang berkenaan yang tidak prihatin kepada kebersihan surau. Waktu hujan, ditambah pula tempat berwuduk itu berada di luar, tentulah ia terdedah kepada kekotoran. Alangkah cantik dan baik jika ia dibersihkan selalu. Mungkin pada hemat mereka, masing-masing boleh membersihkannya ketika mahu berwuduk. Namun, realitinya, walaupun jemaah yang datang mahu membersihkannya, pada waktu kisah ini terjadi, jumlah jemaah yang ramai, air menjadi kecil dan perlahan, sangatlah melambatkan dan menyukarkan untuk membersihkan ia. Melainkan jemaah yang datang lebih awal yang membersihkannya.

Walaupun menurut sunnah Rasulullah (SAW), jangan berlari dan tergesa-gesa untuk mendapatkan rakaat bersama imam -namun ramai orang awam yang tidak mengetahui sunnah tersebut. Jika azan sudah dilaungkan, masih ramai yang bergegas dan berlari sama ada untuk solat sunat, atau kerana mahu mengejar rakaat. Makanya, jika tempat wuduk kotor, susah juga untuk mengharap jemaah membersihkannya.







Insya Allah, post ini akan saya sambung dengan Kisah Selipar Yang Ketiga, dan sedikit kesimpulan daripada kisah selipar yang berlaku di masjid dan surau ini.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan