09/12/2009

Panduan Mengurus Masa Dengan Solat Fardhu


  Panduan Mengurus Masa Dengan Solat Fardhu







Photobucket

(Imej daripada http://drzeze.wordpress.com)

Hari ini sudah 9 haribulan Disember, tahun 2009. Tinggal lagi 22 hari untuk meninggalkan tahun 2009 ini. Sama ada kita mahu atau tidak mahu; sama ada kita sudah bersedia atau belum bersedia, kita tetap akan melangkah ke tahun baru 2010. Hanya takdir Allah dan ajal maut yang boleh menghalang langkah kita ke tahun depan. Apapun kita berdoa, semoga Allah memanjangkan umur kita, Amin.

Berbicara soal hari, bulan dan tahun, kita sebenarnya bercakap tentang masa. Sebagai orang Islam, kita adalah umat yang sentiasa diingatkan tentang masa. Melalui kewajipan solat fardhu lima waktu sahaja, semua orang berakal mengakui Islam telah memberi panduan pengurusan masa kepada umat manusia.

Melalui solat subuh, Islam memberi panduan kepada kita, jam berapa kita perlu bangun pada setiap pagi. Siapa bangun lebih awal, dapatlah untuk melakukan solat sunat barang dua rakaat- sama ada solat tahajjud, solat hajat atau solat fajar. Kita juga perlu memilih, hendak solat subuh di rumah sahaja atau hendak bersolat subuh berjamaah di surau dan masjid. Pasti, memilih untuk solat subuh berjamaah adalah pilihan yang lebih baik dan bijak. Selesai menunaikan solat subuh, bagaimana pula kita hendak menggunakan masa sebelum waktu dhuha.

Menanti waktu dhuha, tentulah masing-masing tidak sama bagaimana untuk menggunakan masa yang ada. Bergantung kepada tanggungjawab dan 'posisi' kita dalam keluarga. Ada yang bekerja mula jam 8, ada suri rumah, ada peniaga, ada yang bekerja di SOHO, ada pelajar dan lain sebagainya. Justeru, terpulang kepada masing-masing untuk menggunakan masa yang ada.

Tiba waktu dhuha, pilihan yang bijak ialah untuk mendirikan solat sunat dhuha. Meski ia sunat, manfaatnya banyak. Paling utama, solat dhuha memberi kita motivasi untuk menghadapi hari baru. Solat dhuha juga boleh memberi ketenangan menghadapi cabaran hidup. Mungkin, kita perlu lupakan seketika fadhilat-fadhilat solat dhuha- yang adanya sahih, banyak juga yang boleh diragui. Amalkan solat dhuha dengan ikhlas, kerana kita adalah hamba yang sentiasa memerlukan pada Tuhannya. Tuhan kita pula adalah Tuhan yang Maha Kaya dan Maha Kuasa. Jangan pula sehingga kita merasakan solat dhuha sebagai 'kupon' untuk mendapat rezeki, bimbang nanti apabila sudah kaya kita akan tinggalkan pula solat dhuha:-)

Sehingga solat zuhur, pergunakanlah masa untuk menunaikan tanggungajawab kita. Ini antara masa yang panjang diberi Allah kepada kita tanpa ada sebarang kefardhuan lain yang khusus. Begitu juga antara zuhur dan asar. Masa yang ada adalah untuk kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah. Ingat selalu, adalah hamba Allah yang diiktiraf sebagai khalifah di bumi Allah ini. Maka, saya mengingatkan diri saya dan saudara semua; jalanilah kehidupan kita sebagai seorang khalifah yang unggul.

Antara waktu asar dan maghrib, waspadalah. Inilah wktu yang menguji manusia sehingga Allah bertitah dalam Surah Al-Asr mengingatkan kita tentang ini. Menjadi bijaklah mengurus masa pada waktu ini, kerana jika kita leka dan lalai, solat maghrib mudah untuk tertinggal. Sedangkan maghrib pula adalah waktu yang pendek. Tambahan, pada waktu itu, tubuh kita sudah berada dalam keadaan yang perlu disegarkan dan dibersihkan dengan mandi.

Selesai solat maghrib, Alhamdulillah. Kita punya masa yang panjang lagi untuk diri sendiri namun ingat, kita adalah khalifah. Jadilah seorang khalifah di bumi Allah. Khalifah juga perlu bersama keluarga, khalifah juga perlukan masa untuk diri sendiri, khalifah mesti juga berjumpa dan bergaul dengan orang lain dan lain sebagainya.

Sebelum tidur, sama ada sejurus sebelum tidur atau selepas solat isya beberapa jam sebelum tidur; adalah pilihan yang baik juga untuk kita mendirikan solat sunat taubat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Kita adalah khalifah di bumi Allah yang terdedah kepada silap dan salah.


Kesimpulan:


Indahnya Islam yang memberikan panduan menguruskan masa kepada umatnya. Tinggal lagi bagaimana  kita sebagai umat Islam hendak menerima panduan yang disediakan oleh Islam.

Jika kita sentiasa ingat kita adalah khalifah di bumi Allah, akan berjayalah kita. Perhatikan sekeliling kita, ramai pakar menguruskan masa. Banyak buku tentangnya. Ramai juga yang berceramah dan bercakap tentangnya.

Namun, tiadalah panduan yang lebih lengkap dan sempurna daripada panduan dan aturan masa yang diberikan Islam kepada umatnya.

6 ulasan:

  1. Salam Ustaz,

    Terima kasih sebab sudi berkunjung ke blog saya ya. Ini kunjungan pertama saya ke sini. Bagus ada blog2 Islamik mcm ni, kadang2 kita sebagai manusia ni selalu terlalai dan terlupa. Bila baca2 entry mcm ni, tersedar la jg.

    BalasPadam
  2. Salah satu faktor kejayaan seseorang ialah pengurusan masa yg bijak...

    BalasPadam
  3. Salam Ustaz,

    Terima kasih sbb sudi berkunjung ke blog Miakididdles. Thanks for this great n3.

    BalasPadam
  4. unlisted one:
    Wslm wrb:-) Terima kasih kembali.. Samalah kita saling berziarah dan saling mengingatkan:-)

    BalasPadam
  5. eeeda:

    Betul tu cikgu. Gagak mengurus masa, maka akan gagal lah kehidupan kita:-)

    BalasPadam
  6. Momma Mia:

    Wslm wrb. Terima kasih kembali. Datang lagi ya:-)

    BalasPadam