Jumaat, Oktober 23, 2009

Jangan Bersedih Bila Nasi Menjadi Bubur

Post Khas Hari Jumaat 1:
"Jangan Bersedih Bila Nasi Menjadi Bubur"


(Sambungan siri post '10 Kebaikan Aktiviti Blogging' akan kembali ke udara semula pada hari esok).
"  Beranilah untuk bangun dan mengakui kesilapan diri.
Jangan pura-pura pengsan setelah tergelincir di tangga jejantas untuk cover malu;-)"

 "   Nasi yang sudah menjadi bubur,
Insya-Allah masih boleh  menjadi bubur ayam special"

Dalam masyarakat kita, kesilapan dan kegagalan sering dikaitkan dengan peribahasa 'Nasi sudah Menjadi Bubur'; yang dari segi bahasanya bermaksud "sesuatu yang sudah tidak boleh diperbaiki lagi" atau dalam ertikata yang lebih keres* lagi bermaksud; "sesuatu yang sudah tidak berguna lagi". Pada hari Jumaat yang indah dan penuh barokah ini, saya berfikir kembali; Betulkah begitu? Betulkah jika nasi sudah menjadi bubur ia sudah tidak berguna lagi? Betulkah tidak dapat diperbaiki lagi?

[*sebut sebagai 'ke-res'('res' dalam perkataan restu), saya selalu sebut begitu:-)]

Pendakwah terkemuka Indonesia-Malaysia; KH Abdullah Gymnastiar a.k.a. Aa Gym dalam sebuah ceramah beliau telah memberikan saya jawapan kepada soalan di atas.  Menurut Aa Gym; "tidak sewajarnya kita terlalu bersedih jika menghadapi situasi ‘Nasi Sudah Menjadi Bubur’. Nasi yang sudah menjadi bubur, dicampur kacang tanah, cakoi, telur, ayam, sayur-sayuran dan beberapa bahan lainnya, Insya-Allah masih boleh  menjadi ‘bubur ayam special’.  

Apa yang berlaku hari ini, menyedarkan saya bahawa sebagai manusia adalah fitrah kita untuk melakukan kesilapan dan kesalahan. Seseorang tidak boleh dikatakan hebat jika dia tidak melakukan kesalahan kerana pasti tiada manusia sehebat itu kecuali para Nabi dan Rasul yang maksum. sebagai manusia biasa, kita dinilai oleh bagaimana kita memperbaiki kesilapan dan bangkit semula dari kegagalan. Namun, jika kesilapan dan kesalahan yang sama masih berulang, tentulah perkara itu boleh menjatuhkan wibawa seseorang. Berbeza dengan kegagalan; semakin tegar seseorang menghadapi kegagalan bermakna dia semakin hampir dengan kejayaan, kerana begitu menurut Thomas Adison; setiap kali melalui kegagalan bermakna kita lebih semakin menghampiri kejayaan. Justeru, perlulah kita bijak menilai antara kesilapan dan kesalahan dengan kegagalan.
"..kita perlu bijak membezakan antara kesilapan dan kesalahan dengan kegagalan."
Dalam kehidupan di dunia ini, adakalanya yang terjadi tidak seperti yang kita harapkan. Bukan sekali; impian, cita-cita dan keinginan kita tidak tercapai. Berkali-kali kita terlanjur melakukan kesilapan demi kesilapan yang memberi kita kekesalan. Kerapkali juga kita dikecewakan dan disakiti oleh orang lain. Ada masanya juga kita menanggung kesedihan dan keperitan disebabkan oleh kejahatan dan kecuaian orang lain. Maka terasalah seperti kita berada dalam keadaan nasi sudah menjadi bubur.

Namun, Sebagai orang Islam yang wajib beriman kepada Qada’ dan Qadar serta beriman kepada Hari Kiamat dan alam akhirat, tidak sewajarnya kita terlalu bersedih jika menghadapi situasi ‘Nasi Sudah Menjadi Bubur’ ini. hadapilah hidup ini dengan kritis dan kreatif. Hidup untuk dihadapi bukan untuk ditangisi. Nasi yang sudah menjadi bubur, dicampur kacang tanah, cakoi, telur, ayam, sayur-sayuran dan beberapa bahan lainnya, Insya-Allah masih boleh  menjadi ‘bubur ayam special’ dan bubur asyura. 

Jika kita merasa berdosa dengan Tuhan, makanya segerakan taubat. Tuhan tidak menjadikan manusia tanpa dosa, Tuhan ingin melihat bagaimana sikap hamba-Nya selepas melakukan dosa. Jika kita bersalah kepada orang lain, maka perlu minta maaf dan menubusnya jika perlu. Tidak ada manusia menjadi mulia kerana tidak melakukan kesalahan tetapi manusia menjadi mulia dengan meinta maaf dan mengakui kesalahan. Jika kita terlanjur melakukan kesilapan yang menyusahkan diri sendiri, makanya mesti berani menanggung kesusahan itu. Beranilah untuk bangun dan mengakui kesilapan dan kesalahan diri. Jangan pura-pura pengsan setelah tergelincir di tangga jejantas untuk cover malu;-)

Ingatlah kata yang berikut; 'jika kita mencari wira di kalangan manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan, maka kita tidak akan menemuinya. Wira sebenar ialah mereka yang tegar menghadapi kegagalan'. Gagal mengelakkan diri dari kesilapan bukanlah penentu harga diri kita. Namun, jika terus-terusan melakukan kesalahan yang sama, tentu ia boleh mencalar wibawa dan kredibiliti kita.

"  Orang yang terus mencuba
setelah sepuluh kali gagal
adalah wira sebenar jika dibandingkan
dengan orang yang baru berjaya sekali.."

 ........................................................
Ps 1; Alhamdulillah lepas maghrib dapat menyiapkan post ini. Selepas solat asar, mendapat idea untuk memulakan siri post 'Entry Khas Hari Jumaat' ini. Juga, terhasilnya sebuah sajak bertajuk "Sebuah Puisi Berani Gagal". Klik Sini Untuk Baca sajak tersebut.

Ps 2: Seperti yang sudah saya tuliskan dalam post yang lalu; daripada 7 hari dalam seminggu, hari Jumaat adalah hari kesukaan saya sejak zaman kanak-kanak saya lagi. Hari Jumaat ada 'feel' yang tersendiri dan yang pasti, hari Jumaat adalah hari yang indah serta barokah. Hari ini, hari Jumaat datang lagi. Tidak terasa sudah seminggu selepas Jumaat yang lalu. Seperti biasa, hari Jumaat punya 'feel' tersendiri kepada saya. Tambahan pula pagi tadi sepupu saya telah selamat diijab kabulkan. Makanya, malam ini, esok dan lusa tentulah sibuk dengan majlis perkahwinan beliau.

Ps 3; Bandar Bintulu menjadi pusat sambutan harijadi TYT tahun ini. Maka ramailah yang datang ke sini untuk sambutan malam nanti dan perhimpunan esok hari. Di masjid tadi saya seperti ternampak kelibat seorang sahabat lama (yang kini telah menjadi YDP ABIM Sarawak). Namun tidak sempat untuk bertemu dan berbual dengan beliau.

PSP: Seorang lagi rakan yang sudah setahun tidak berhubung yang saya temui di masjid hari ini ialah Saudara C. Beliau menyalami saya dan terus ke saf depan. (Pilihan hari Jumaat saya ialah tempat berdekatan air pancut. Indah dan menyamankan). saudara C adalah seorang sahabat saya sejak Tingkatan 1 lagi. Beliau pernah melalui zaman kegemilangan dalam perniagaan ketika saya dan rakan-rakan yang lain sedang menuntut di pengajian tinggi. Beliau seorang sahabat yang pemurah dan baik hati. Semasa saya masih di IKMAS, beliau pernah menjalankan perniagaan komputer dan pernah mendapat tender memasang komputer di Hospital Umum Bintulu. Dengar khabarnya tender tu dalam RM100k. Beliau pernah membuka sebuah FoodCourt di tepi sungai dan dalam masa sama pernah membuka kedai menjual kereta dan kedai mencuci kereta dalam kawasan sama dengan foodcourt tu. Memang tanah yang luas di tepi jambatan itu milik keluarga beliau. Namun kini semuanya sudah tiada. Sejak foodCourt beliau tutup, kami jarang bersama dan berjumpa. Hari raya lepas pun tidak beliau datang ke rumah saya. Saya tidak pula terasa hati kerana saya juga tidak datang ke rumah beliau;-) 


Tentunya, semua orang ada masalah sendiri;-)

1 ulasan: