25/10/2009

10 Kebaikan Aktiviti Blogging (Bahagian 6)

 KEBAIKAN AKTIVITI BLOGGING NOMBOR 7

7. Melakukan aktiviti yang berbeza dari rutin boleh mencambah kreativiti. (Dr YKK, pakar kreativiti malaysia)

Menurut pakar kreativiti, hobi adalah antara pencetus kreativiti seseorang, lebih-lebih lagi jika hobi berkenaan berbeza daripada karier utama dan perkerjaan seseorang. Dr YKK (Dr Yew Kam Keong), seorang pelopor dan pakar kreativiti di negara kita; ada menulis dalam sebuah buku beliau bahawa kreativiti manusia boleh dicetus dengan membaca bahan bacaan dalam tajuk di luar bidang kita dan melakukan perkara di luar rutin dan tugasan kita.

Berikut adalah petikan daripada buku Dr YKK yang bertajuk 'Bebaskan Kreativiti Anda':

"membaca dan mempelajari subjek di luar bidang pengetahuan anda adalah penting untuk mewujudkan pembaharuan dalam pekerjaan anda. Sebagai contoh, jika anda seorang jurutera, cubalah membaca buku-buku yang tidak berkaitan dengan bidang anda seperti sastera, astronomi dan bidang-bidang lain. Cara yang terbaik untuk melepaskan diri daripada pemikiran yang terbatas dan menghasilkan idea-idea yang benar-benar inovatif adalah dengan melepaskan diri daripada tugas rutin. Bacalah majalah yang belum pernah anda baca, pergi menonton wayang gambar yang kurang anda gemari, mulakan hobi yang baru, pelajari kemahiran yang baru, cubalah berbual dengan seorang yang belum anda kenali dan jangan takut untuk mencuba sesuatu perkara atau pengalaman baru".

Apakah maksud saya? Ya, saya ingin mengatakan bahawa blogging boleh mencetus kreativiti kita. Jika kita belum pandai blogging, maka belajar blogging adalah sesuatu yang baik. Bukan saja menambah ilmu dan kemahiran diri, mempelajari perkara baru adalah pendetus kreativiti seperti yang dikatakan oleh Dr YKK.

Jika anda ingin bermula dengan mudah, cubalah menulis tentang sesuatu yang anda ketahui. Contohnya anda seorang juruwang di bank. Perkerjaan anda seharian hanya berkaitan wang dan urusniaga dengan pelanggan. Cubalah menulis di blog anda tentang perjalanan kehidupan seharian anda seperti; karenah pelanggan, bagaimana tadi anda tersilap 'key-in' sejumlah wang, bagaimana anda mungkin bosan dan tertekan dengan tugas anda dan sebagainya. tulislah dengan kreatif seperti sebuah diari atau novel. Disamping itu anda mungkin boleh menulis tentang kewangan. Ya, buat blog dengan niche kewangan kerana ia adalah niche yang tidak pernah lapuk dek hujan dan tidak pernah lekang dek panas (terbalik kot ni:-)..); selama mana manusia masih memerlukan wang.

Saya ada beberapa kenalan yang merupakan pekerja bank. Di bank, semasa bertugas mereka kelihatan amat membosankan dan ada antaranya kelihatan sombong. Namun, bila sekali-sekala kami duduk dan berbual, meraka sangat suka berbual. Terutama tentang betapa bosannya pekerjaan mereka, betapa untungnya si fulan itu kerana melabur dalam sesuatu dan lain sebagainya. Mengejutkan, di luar bank mereka adalah orang yang petah dan suka berborak.

Jika anda lebih berani, cubalah menulis blog dengan niche yang bukan berkaitan dengan pekerjaan dan kemahiran anda. Ya, jika anda berani dan itu adalah apa yang saya cuba. Saya sudah set-up sebuah blog, tentang satu permainan. Sebenarnya, saya tidak pernah mengetahui tentang permainan tersebut dan baru mempelajarinya. Permainan apa ya? Saya tidak mahu dedahkan dulu. Kisahnya begini, saya baru 'mengenali' permainan ini dari bonus PLR artikel yang saya perolehi semasa membeli sebuah ebook. Saya membaca pakej artikel PLR tersebut, membeli sebuah buku tentangnya dan mempelajarinya. Eureka! Anda teka apa yang saya dapat? Saya mendapat idea untuk membuat satu versi sendiri permainan tersebut. Berdikit-dikit saya menyusun versi saya sendiri dan saya sudah membeli nama domain dan hosting untuk saya promosikan permainan tersebut.

Pakar berkata, buatlah blog dengan apa yang anda minat. Ya, mereka benar dan saya mempercayainya. Namun, apa salahnya jika anda memberanikan diri mencuba sesuatu yang anda belum ketahui? Kita tidak tahu sama ada kita meminati sesuatu sebelum kita mengenali dan mencubanya. Mana tahu, kita akan menguasai bidang itu. Apa yang saya katakan ini adalah, prinsip cetusan kreativiti.

Kesimpulannya, blogging boleh mencetus kreativiti, dan boleh menjadikan anda semakin kreatif. Mencubalah untuk menjadi berani mempelajari dan mendalami suatu bidang yang bukan berkaitan dengan kelulusan dan kerier kita. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan