Khamis, Oktober 29, 2009

Ketika Kita Perlu Menunjukkan Passport Untuk Menyambung Ke Internet


Hari Selesa yang lalu, dalam ruangan Rencana akhbar Berita Harian, saya membaca perbincangan tentang seorang murid yang ditukarkan sekolah kerana meluahkan rasa tidak suka beliau kepada pengetua beliau di laman FaceBook. Dalam isu ini saya sendiri berpendapat, tidak perlu dihalang para pelajar untuk meluahkan perasaan mereka di facebook. Apa yang perlu, di kalangan guru ada yang mampu menyamar menjadi remaja dan menjadi sahabat setiap pelajar di laman facebook. Dengan ini, pihak sekolah tahu apa masalah yang berlaku di kalangan murid dan boleh bersedia untuk menghadapinya.

Juga, boleh jadi di FaceBook ada kumpulan pelajar yang sedang merancang satu kejahatan, contohnya untuk memukul pelajar yang lain, tentulah perkara begini dapat dielakkan jika ada guru yang mengambil inisiatif menjadi 'Detektif Conan' di FaceBook. Sebenarnya, masih berlaku jurang digital antara murid dan guru; walaupun jangan terkejut jika ada guru-guru yang tidak bertanggungjawab yang bertukar-tukar video lucah dengan pelajar mereka.

"Sepatutnya, guru kaunseling perlu mempunyai pendekatan yang selari dengan perkembangan situasi semasa. Jika pelajar guna Facebook, guru juga perlu guna. Jadi kawan mereka dalam Facebook dan ajak mereka kongsi masalah. Guru perlu dekat dengan kehendak mereka"
Datuk Dr Mohammad Ali Hassan,
Presiden Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).


"Kemahuan pelajar meluahkan perasaan tidak wajar disekat dan sepatutnya pihak sekolah menggunakan pendekatan yang seboleh mungkin seiring dengan kehendak dan cara pelajar. Keengganan dan kekerasan pihak sekolah menyekat kebebasan melepaskan tekanan di kalangan remaja menyebabkan berlaku banyak perkara tidak diingini, sekaligus mendorong pelajar bertindak di luar batas norma yang sepaututnya"
Ruslan Madon, Yang Dipertua Majlis Guru Besar.

Hari ini pula, di ruangan yang sama, saya membaca tentang usaha JAKIM dan AADK untuk menghampiri golongan bermasalah dalam usaha dakwah dan pencegahan jenayah dan dadah. Saya sangat bersetuju dengan pendekatan tersebut. Ini mengingatkan saya dengan perbual saya dengan seorang pendakwah dari negara jiran beberapa tahun yang lalu. Beliau menceritakan tentang ada pendakwah di negara mereka yang mengambil inisiatif untuk 'melanggan' pelacur yang beragama Islam pada malam Jumaat, ya seperti malam ini. (Anda jangan salah faham dulu ya).

Pelacur ini dilanggan dan dibawa ke rumah/ madrasah untuk bersama-sama beribadat pada malam Jumaat, paling tidak pun untuk membaca Yasin dan tahlil. Keesokan paginya, pelacur ini akan dihantar kembali. Ada juga yang dapat diselamatkan melalui perkahwinan dan program anak angkat. Mungkin anda juga pernah mendengar tentang pertandingan tilawah al-Quran golongan pelacur di negara jiran kita. Saya terharu mendengar kisah seperti itu. Betapa, golongan pendakwah seperti ini memahami keadaan negara mereka dan mencuba sedaya mereka untuk menyelamatkan saudara seagama mereka.

"Apabila datang dengan pakej bantuan kita perlu kenal pasti apa yang diperlukan dan kita tidak dapat menjangka jika tidak mendekati mereka. Ini juga inisiatif kita untuk membuktikan anggapan mereka terhadap agensi agama kurang tepat yang selalu mengaitkan sebagai agensi pencegah maksiat, musuh harian, musuh siang dan malam", Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM.

Saya melihat dua isu ini sebagai berkaitan. Jika kita mengahadapi pelajar bermasalah; dekatilah mereka, selidiki masalah mereka dan bersedia untuk menghadapinya. Ada pelajar yang nampak pendiam dan tidak bermasalah di sekolah, tapi mungkin juga bermasalah di luar sekolah. Perlu ada golongan guru yang boleh menjadi seperti Puan Hajah Norbi Husin; seperti yang beliau catatkan dalam buku "Asam Pedas, Gula Melaka". Bertanyakan pelajar secara langsung tentang masalah mereka, boleh dikatakan tidak praktikal. Lebih baik, gunakan cara yang lebih halus dan tersembunyi seperti menyamar di FaceBook:-)

Dalam akhbar hari ini juga, dalam sisipan Ekonomi, saya membaca cadangan Eugene Kaspersky tentang penggunaan Passport Digital di alam siber. Satu masa nanti, kita semua perlu memiliki passport digital, yang perlu diimbas sebelum kita menyambung ke internet. Passport digital memudahkan mengesan penjenayah siber. Beberapa negara sudah mencubanya dan ia dalam proses perintis. Saya juga sangat bersetuju dengan idea ini, namun apakah tidak ada risiko 'Pendatang Asing Tanpa Izin' (PATI) yang boleh terlepas di dunia siber seperti mereka (PATI) terlepas di dunia nyata ini:-) Hehe.. apapun, tentu Kaspersky lebih kukuh selepas ini. Anda guna internet security jenama apa? Jika anda peminat Jackie Chan, gunalah Kaspersky:-)




Rasanya di alam siber nanti, bila dah guna passport, tidak wujud masalah PATI; jika passport kita dikawal oleh sistem, program atau software...
kerana tiga benda ini tak terima rasuah:-)

UstazCahaya

"Passport Digital ini adalah sama seperti kad pintar pengenalan diri bagi mewujudkan identiti diri setiap pengguna yang melayari internet"
Eugene Kaspersky,  Pengasas dan Ketua Eksekutif, Kaspersky Lab.

Ps; Jika anda baca NST, hari Rabu minggu lalu, di ruangan Opinian (page 17), saya tertarik dengan tulisan Prof Emeritus W. Scott Thomson. Beliau menulis tentang Amazon Kindles Passion for Reading. Beliau menceritakan tentang Amazon Kindles yang menjadi teman setia beliau, dan tabiat membaca. Antaranya beliau menulis; "...Compared especially to the British, Asians aren't readers". Benarkah? :-)




1 ulasan:

  1. salam berkunjung balas

    blog yang penuh manfaat, teruskan perjuangan

    nanti sy link blog ustaz

    BalasPadam