07/04/2010

Panduan Menulis Ulasan Blog (Cara mudah menulis sebuah ulasan blog)


Panduan Menulis Ulasan Blog
(Cara mudah menulis sebuah ulasan blog)



(Image By yiane02)

Semalam kita telah berkenalan dengan teknik penulisan yang dikenali sebagai ulasan. Anda boleh KLIK SINI jika anda belum membacanya.

Ulasan ialah kita memberitahu, menilai, memberi pendapat, berkongsi dan lain sebagainya tentang sesuatu subjek. Subjek ulasan itu pula boleh jadi sebuah buku, novel, blog, filem, artikel, lagu, drama, teater, konsert, tempat, peristiwa dan lain sebagainya.

Dalam post ini, kita akan berbincang tentang bagaimana untuk menyediakan sebuah ulasan blog, iaitu kita menulis ulasan dengan subjeknya ialah sebuah blog. Teknik menulis ulasan blog ini boleh digunakan untuk menulis ulasan dengan jenis subjek yang lain seperti bahan bacaan, karya, konsert, tempat, makanan, peristiwa dan lain-lain lagi. Asas dan kaedahnya adalah sama, yang mungkin berbeza cuma gaya.

Asas menulis ulasan blog ada tiga, iaitu:
1. Sebuah blog yang hendak diulas.
2. Senarai soalan berkaitan blog yang hendak diulas.
3. Jawapan untuk senarai soalan tersebut.
Seeloknya, perbincangan kita kali ini bersifat tutorial. Anda baca dan anda buat. Jadi, untuk tutorial ini anda gunakan sebuah blog milik anda sendiri sebagai subjek. Jadi, boleh juga ulasan itu nanti anda gunakan untuk pertandingan menulis ulasan blog yang akan diadakan di blog ini;-)

Jadi, asas ulasan anda adalah seperti berikut:
1. Subjek ulasan: Blog sendiri.

2. Senarai soalan: Sediakan soalan-soalan yang anda fikirkan akan ditanya orang tentang blog anda atau soalan-soalan yang anda mahu orang tanyakan tentang blog anda.

3. Jawapan soalan: Ini adalah proses menulis ulasan yang sebenar. Kita bincang ini di bawah.

Kita sudah ada tiga asas menulis ulasan. Sekarang kita lihat pula langkah-langkah untuk menulis sebuah ulasan blog.




Langkah-langkah membuat ulasan blog:

1. Menyediakan soalan berkaitan blog itu.

2. Jawab soalan tersebut.

3. Pilih jawapan.

4. Susun jawapan menjadi artikel ulasan.

5. Tulis ulasan blog.

6. Edit ulasan tersebut.

7. Berikan 'X-Factor' kepada ulasan itu.



Itulah tujuh langkah untuk menyediakan sebuah ulasan blog. Kita bincangkan lebih terperinci di bawah ini.


Menyediakan soalan berkaitan blog

Cara paling mudah untuk menulis adalah dengan menjawab pertanyaan. Begitu juga untuk menulis sebuah ulasan blog. Ambil masa beberapa minit untuk menyenaraikan soalan-soalan tentang blog itu. Ada dua jenis soalan yang perlu disenaraikan:
1. soalan-soalan yang anda fikirkan akan ditanya orang tentang blog itu
2. soalan-soalan yang anda mahu orang bertanya orang tentang blog itu.




Berikut adalah contoh senarai soalan yang boleh anda sediakan:


1. Siapakah yang membina dan menulis blog ini?

2. Blog ini dihostkan di mana?

3. Bila blog ini mula dibina dan ditulis?

4. Apakah yang ditulis dalam blog ini?

5. Bilakah saya menjumpai blog ini dan bagaimana saya menjumpainya?

6. Jadual blog ini dikemaskini.

7. Apakah yang menarik dalam blog ini yang tidak ada dalam blog saya?

8. Apakah kebaikan yang saya perolehi daripada blog ini?

9. Apa tanggapan saya terhadap blogger yang memiliki blog ini?

10. Bagaimanakah hubungan antara blogger blog ini dengan pembaca blognya?

11. Apa pendapat anda terhadap latar belakang/ paparan blog ini?

12. Jika ada yang ingin anda komplen, apakah yang anda ingin komplen terhadap blog ini?

13. Bagaimana agaknya masa depan blog ini?

14. Bagaimana trafik blog ini?

15. Perlukah orang lain membaca blog ini?

16. Siapakah yang perlu membaca blog ini?



.. dan banyak lagi soalan yang boleh disenaraikan. Apa yang perlu anda ambil perhatian ialah, tulis sahaja soalan-soalan berkaitan. Sekali anda sudah menyediakan soalan-soalan ini, lain kali anda tidak perlu menulis lagi. Mungkin anda perlu menambah senarai soalan anda dari semasa ke semasa. Apabila anda ingin menulis ulasan blog pada masa yang lain, anda hanya perlu merujuk kepada soalan-soalan ini.

Jawab soalan tersebut

Setelah anda memiliki senarai soalan, anda perlu menjawab soalan-soalan tersebut, tanpa perlu menyusun ayat dan menulis dengan baik.


SIABIDIBAM dalam penulisan Bahasa Melayu:
1. Siapa?

2. Bila?

3. Di mana?

4. Bagaimana?

5. Apa?

6. Mengapa?



Pilih jawapan

Selepas anda menjawab semua soalan itu, anda perlu membuat pilihan. Tidak semua soalan itu akan anda masukkan dalam ulasan yang anda tulis nanti. Buat pilihan dengan bijak berdasarkan jawapan yang anda fikirkan paling baik yang anda boleh jawab tadi. Ini penting kerana akan memudahkan proses menulis ulasan nanti. Dalam membuat pilihan ini, biarlah pilihan itu adalah berdasarkan kepada asas penulisan iaitu SIABIDIBAM yang dihiglightkan di atas itu.


Susun jawapan menjadi artikel ulasan

Asas susunan sebuah artikel adalah PENDAHULUAN ->> ISI ->>> PENUTUP.

Daripada jawapan-jawapan yang anda pilih tadi, susunlah yang mana sesuai dijadikan PENDAHULUAN, ISI dan PENUTUP. Mungkin untuk PENDAHULUAN ialah jawapan untuk soalan  1, 2, 3 dan 4 di atas. Begitulah, susunlah jawapan mengikut kesesuaian format penulisan PENDAHULUAN ->> ISI ->>> PENUTUP.

Tulis dan edit ulasan blog

Sekarang masanya untuk anda menulis ulasan tersebut dengan gaya bahasa yang standard, baik dan menarik. Mungkin tadi anda gunakan bahasa 'anda' sendiri yang agak chacha marba, tidak bertatabahasa  dan lain sebagainya. Sekarang tulislah ulasan anda dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang standard. Paling tidak pun, gunakanlah ejaan yang lengkap dan betul untuk menggantikan singkatan.



Sedikit panduan untuk mengedit. Panduan ini boleh digunakan untuk jenis penulisan yang lain juga.

1. Untuk menyemak ejaan, anda boleh gunakan laman web dewaneja.com.my

2. Pastikan isi berbentuk fakta adalah kuat dan tepat. Sertakan sekali bukti dan rujukan adalah lebih baik.

3. Pastikan ulasan yang anda tulis itu akan difahami oleh pembaca.

4. Secara asasnya ada empat ciri sebuah ulasan yang baik:
(a) Membincangkan subjek yang diulas. Jangan campurkan dalam ulasan perkara yang langsung tidak berkaitan dengan subjek.

(b) Menilai kekuatan dan kelemahan subjek. Penilaian perlu adil dan benar.

(c) Mengemukakan bukti atau alasan yang cukup daripada sumber alasan untuk menyokong penilaiannya.

(d) Tidak berprasangka, bukan bertujuan untuk mempengaruhi, benar dan boleh dipercayai.


Berikan 'X-Factor' kepada ulasan itu

'FAktor X' ialah unsur yang akan menjadikan ulasan anda unik, menarik dan tersendiri. Susah juga untuk menerangkan perkara ini. Bagaimanapun, anda mungkin boleh melihat satu ulasan saya yang memenangi hadiah pertandingan. Anda baca ulasan itu, dan cuba anda cari apakah 'FAktor X' ulasan tersebut. KLIK SINI untuk baca ulasan tersebut.

Cuba fikirkan apa kelainan yang boleh anda masukkan dalam ulasan anda agar ulasan anda menjadi segar, menarik dan berbeza daripada orang lain.

Sekarang, buatlah sebuah ulasan tentang blog anda sendiri. Setelah siap, jangan lupa untuk menjemput saya membacanya ya;-)



MAKLUMAN

Insya Allah, tidak lama lagi saya akan mengadakan Pertandingan Menulis Ulasan Blog. Jika anda tidak mahu ketinggalan, sila follow blog ini atau melanggan rss blog ini.

Saya berusaha untuk memberi hadiah penghargaan kepada setiap penyertaan dan berusaha untuk menyediakan hadiah yang menarik.

Kepada anda yang ingin mempromosikan blogshop atau perniagaan anda, saya membuka peluang kepada anda untuk menjadi penaja kepada pertandingan ini.

Sebarang pertanyaan sila email ke ustazcahaya@gmail.com. Atau anda boleh hubungi saya di blog ini.










2 ulasan:

  1. hmm..macam best jer peraduan menulis ulasan blog nie..takper,sy akan cuba dptkan info.

    BalasPadam
  2. si biskut:

    Erm, peraduan ini sudah tertangguh lama..

    BalasPadam