27/01/2010

Masa dan Wang


  Masa dan Wang





clock
(Image By DEATHgirl3100)
-Use Without Comercial Pupose-



"Segala puji bagiMu ya Allah, yang telah menghidupkan aku setelah mematikan. Aku memohon segala kebaikan pada hari ini dan aku memohon perlindungan-MU daripada segala kejahatan dan keburukan padanya. Jadikanlah aku pada hari ini lebih baik daripada apa yang aku lakukan semalam.


Ya Allah, panjangkanlah umurku dan tetapkanlah aku menjadi hamba-MU yang beriman dan bertaqwa serta beramal soleh.

Ya Allah, aku memohon daripada-Mu agar Engkau mengurniakan kepadaku kecukupan masa dan wang untuk menjalani hari ini, Amin Ya Rabb Al-Alamin".

 

Itulah doa saya setiap pagi sebaik membuka mata dan bangun daripada tidur. Saya melazimkan diri bangkit awal setengah jam sebelum subuh, agar tidak terlepas peluang mendirikan solat sunat fajar (solat sunat sebelum subuh). Juga, saya melazimkan diri menunaikan solat subuh berjamaah di surau.

Bagi saya, ada perbezaan hari di mana jika saya ada mendirikan solat sunat fajar dengan hari yang tidak ada. Begitu juga, ada perbezaan hari yang saya bersolat subuh berjemaah dengan solat subuh sendiri. Jika solat fardhu yang lima waktu itu diibaratkan dengan sebatang tubuh, boleh dikatakan solat subuh menjadi kepala. Mana mungkin ada manusia boleh hidup tanpa kepala, tak gitu? Tak ada tangan, ada orang boleh hidup lagi, tak ada kaki, pun boleh lagi, ada kepala saja pun boleh lagi, tapi kalau tak ada kepala, memang tak ada yang hidup.

Selagi nyawa dikandung badan, selama itu kita direzekikan Tuhan dengan masa. Tinggal lagi, bagaimana kita menggunakan masa itu. Masa adalah anugerah Allah yang dibahagikan kepada manusia dengan saksama iaitu, masing-masing mendapat 24 jam sehari. Namun, umur manusia tidak sama. Ada yang umurnya panjang dan ada yang umurnya singkat. Walaupun begitu, ada orang umurnya pendek tetapi kehidupannya bermanfaat, maka orang itulah orang yang sangat beruntung. Ada orang yang umurnya panjang, namun kehidupannya tidak bermanfaat, itulah orang yang rugi.

Betapa misterinya kehidupan. Ada orang yang sepanjang hayatnya melakukan kejahatan dan dosa, akhirnya sedar dan insaf. Lalu bertaubat dan menggunakan sisa umur untuk berlaku taat. Itulah orang yang dikasihi Allah. Ada orang sepanjang umurnya melakukan kebaikan, namun kerana kelalaian dan kelemahan jiwanya dia berubah kepada kejahatan, lalu meninggal dalam kejahatan dan dosa. Maka itulah orang yang lari dan berpaling dari rahmat Allah.

Sesungguhnya, benarlah Allah itu Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dijadikan umur manusia sesuatu yang ghaib dan rahsia. Siapakah di antara kita yang boleh memberitahu dengan tepat bilakah kita akan mati? Tarikhnya dan masanya kita akan mati? Tidak ada. Oleh itu, manusia yang bijak dan beruntung, tidak menunggu suatu tempoh masa untuk mengubah diri dan memperbaiki diri. Misal contohnya, kata-kata berikut;



"Tunggulah Jang, dah pencen nanti pak cik pergilah surau. Masa tu banyak masa dah,"

Kata seorang pak cik kepada anak saudaranya.



"Lepas kahwin nanti saya pakai tudunglah, Bang. Dah dua anak pulak nanti saya siap pakai niqab ye.."

Kata seorang bakal isteri kepada bakal suaminya.



"Buat apa nak susah-susah simpan duit Tipah oi. Belanja rumah pun tak cukup gaji abang ni. Pencen nanti, dapat KWSP gerenti boleh naik haji la kita."

Kata seorang suami kepada seorang isteri.



"Alangkah indahnya jadi orang kaya. Setekat derma seribu dua ribu, no hal punya. Ni aku derma RM5 ni, tak derma pun tak apa kan. Ditakdir Allah aku kaya besok, aku derma ya. Ni nak buat beli minyak motor ni."

Kata seorang kawan kepada seorang kawan.




Carilah dan kajilah. Tidak ada agama lain selain Islam, yang mengajak manusia memerhatikan kedua-dua perkara penting ini, iaitu MASA dan WANG. Islam adalah satu-satunya agama di dunia kini, yang memberi panduan kepada manusia, bagaimana sepatutnya kita menggunakan MASA dan WANG. Masa yang sudah berlalu, tidak akan kembali lagi. Begitu juga hakikat wang. Memang kita boleh menggantikan wang yang sudah dibelanjakan, namun tidaklah sama. Makanya, jadilah kita orang yang bijak menggunakan masa dan wang.

6 ulasan:

  1. Salam Ustaz. Dalam Surah al-Asr, Allah berkata "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,kecuali...". Persoalan saya, adakah manusia sahaja yang rugi? Makhluk lain tidak? betulkah makhluk lain tidak rugi jika dikaitkan dengan masa? Dalam kehidupan jin dan syaitan,tidak ada dimensi masa? Apa pendapat uztaz?

    BalasPadam
  2. masa....masa itu amat berharga..saya adah ada cerita 'apabila anak meminta daddy menjual masa"
    nanti saya karang....

    BalasPadam
  3. ustaz, kata2 diatas semua tue seakan memperlekehkan agama kita walhal sudah cukup agama kite diperlekeh oleh orang2 kafir..agama Islam ini mudah tetapi bukan untuk diambil mudah semua perkara..

    BalasPadam
  4. Mybabah:

    Salam Bang Samsudin. Terima kasih memberi saya persoalan baru yang saya belum pernah terfikir. Kita sama-sama cari jawapannya ya. Jika abang dah ada jawapannya, kongsi-kongsi la kita..

    BalasPadam
  5. Fid:

    Salam Puan Rafidah. Iya, masa itu wang kata orang sekarang. Wah menarik cerita itu. Saya tunggu karangan cerita itu;-)

    BalasPadam
  6. sahromnasrudin:

    Salam Sahrom. Saya setuju sangat dengan awak. Iya, agama Islam adalah mudah, bukan untuk dipermudah dan dipandang rendah.

    BalasPadam