30/01/2010

Panduan Berhari Minggu


  Panduan Berhari Minggu





holiday Pictures, Images and Photos

(Photo By jadepeng)



Hujung minggu datang lagi. Hari minggu adalah hari cuti bagi kebanyakan kita. Hari minggu  adalah hari rehat dan santai. Hari ini saya ingin membawa kita memikirkan satu persoalan yang agak penting juga iaitu;
Adakah kita benar-benar telah menggunakan hari minggu kita dengan sebaik-baiknya?
Soalan ini penting kerana ia berkaitan masa. Silap cara kita menguruskan cuti hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad (bagi kebanyakan negeri di Malaysia), maka ia akan mempengaruhi kehidupan kita sepanjang minggu berikutnya.

Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan persoalan masa. Masa bermakna usia. Membazirkan masa bermakna membuang usia. Ini sangat bertentangan dengan doa yang selalu kita panjatkan ke hadrat Ilahi, memohon usia dipanjangkan tetapi dalam masa yang sama usia dan masa yang dianugerahkan Allah kepada kita, kita sia-siakan.

Bercuti pada hujung minggu bermakna kita mendapat masa tambahan. Beruntung bagi kita yang mempunyai kesempatan cuti pada hujung minggu dan lebih beruntung orang yang menggunakan hujung minggu dengan baik. Jika pada hari Isnin hingga Jumaat, masa kita dituntut oleh tanggungjawab kerja dan tuntutan keluarga seperti menghantar dan menjemput anak ke sekolah; pada hujung minggu setidak-tidaknya kita mempunyai masa tambahan lebih kurang 20 jam. 20 jam sekadar contoh sekiranya kita bekerja di pejabat dari jam 8 pagi hingga 5 petang, dan perlu menghantar dan menjemput anak-anak pergi dan balik dari sekolah.

Inilah masanya, untuk menunaikan serba sedikit tuntutan yang kita tidak mampu tunaikan pada hari bekerja. Contohnya, jika hari biasa jarang solat jamaah di masjid surau, gunakanlah hujung minggu untuk itu. Saya sendiri, alhamdulillah, pada hari biasa atau  hujung minggu, saya dapat bersolat jamaah. Jadi, hujung minggu saya gunakan untuk 'kembara solat'. Kembara solat maksud saya ialah saya mencuba solat di masjid dan surau di sekitar tempat saya, yang jarang saya berkesempatan pergi pada hari biasa.

Salah satu rutin Sabtu dan Ahad saya juga ialah, menikmati waktu dhuha di masjid Assyakirin. Hari biasa, saya bersolat dhuha di rumah sahaja. Pada hujung minggu, saya melakukan solat sunat Dhuha di Masjid Assyakirin. Masjid Assyakirin terletak di atas bukit, dan suasana serta keadaannya pada waktu Dhuha sangatlah nyaman, dan menenangkan sekali. Dengan bunyi burung-burung berkicauan. Udara yang bersih dan segar. Keadaan yang senyap dan sunyi, sangat memberi ketenangan. Menggunakan waktu dhuha lebih kurang 30 minit hingga sejam di Masjid Assyakirin, menjadi terapi minda yang sangat baik yang saya rasa. Tidak pernah jemu saya dengan aktiviti ini sejak sekian lama. Cuma ada masanya, saya tidak melakukan aktiviti ini atas sebab-sebab tertentu, atau jika pada waktu itu ramai orang di situ.

Bagaimana anda? Apakah yang anda lakukan pada hujung minggu? Ada membuat sesuatu untuk kebaikan dan kepuasan diri seperti hobi, bersenam, berehat atau lain sebagainya yang berkaitan diri sendiri? Ada anda curahkan masa lapang ini sepenuhnya untuk keluarga? Ada menziarahi orang tua dan sanak saudara? Ada memenuhi undangan? Ada membuat kerja rumah yang sepatutnya disiapkan agar ia tidak menganggu masa anda pada hari bekerja?



5 PERKARA YANG BOLEH DAN PATUT DILAKUKAN PADA CUTI HUJUNG MINGGU

1. Solat jemaah di masjid dan surau.

Jika hari biasa jarang ke masjid dan surau, setidak-tidaknya, cubalah meluangkan masa pada cuti hujung minggu untuk itu. Saya suka melihat keluarga yang datang ke masjid dan surau pada hujung minggu. Jika sudah biasa berjamaah di sebuah masjid dan surau, mungkin cuti hujung minggu boleh digunakan untuk berjamaah di masjid dan surau lain. Jika biasa pulang ke kampung pada hujung minggu, masjid dan surau adalah tempat terbaik untuk berjumpa dengan saudara mara dan jiran sekampung.

2. Mengerjakan Amalan Sunat.

3. Menyemak anak-anak mengaji atau meminta anak-anak menyemak kita mengaji.

4. Masa untuk membuat aktiviti bersama anak-anak. Contohnya, mengajar anak membuat dan menulis blog. Dan menerangkan kepada anak-anak mengggunakan FB dengan baik dan betul.

5. Bermain permainan bersama anak-anak, dan mencuba menerapkan nilai murni dan moral yang terdapat padanya.

2 ulasan:

  1. hujung minggu saya memang pasat dan 'sendat' kalau petang Ahad tu memang rasa sedih saja..hehehehehehehehhe

    BalasPadam
  2. Fid:

    Salam Puan Fid;-)

    Saya ingat lagi, semasa kanak-kanak dulu, jika hari minggu itu seronok dan best, saya akan rasa sayang dan berat hati untuk mula bersekolah semula pada hari Isnin berikutnya. Terutama jika saya bermalam di rumah nenek atau rumah sepupu. Berat rasa untuk berpisah dengan hujung minggu. Hehe, macam-macam saja kita pada waktu kanak-kanak ya;-)

    BalasPadam