Khamis, Disember 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010


  Selamat Tahun Baru 2010





happy new year 2010 Pictures, Images and Photos



Sebenarnya, tahun Masehi dan tahun Hijrah sama penting dan perlu diperhatikan oleh kita sebagai umat Islam, kerana kedua-dua sistem kelendar itu penting dalam soal ibadat khusus dalam  agama kita. Kalendar Masehi dihitung berdasarkan pergerakan bumi mengelilingi matahari. Kalendar Hijrah pula dihitung berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi. Dalam Islam, kebanyakan ibadah khusus dilakukan mengikut ketetapan waktu tertentu. Solat misalnya, telah ditentukan waktu untuk melakukannya. Waktu tertentu untuk solat ditetapkan mengikut pergerakan bumi mengelilingi matahari. Puasa adalah ibadah wajib pada bulan Ramadhan. Ramadhan dikira bermula berdasarkan anak bulan Ramadhan, iaitu berdasarkan kelendar Hijrah.

Menyambut Tahun Baru Sebagai Seorang Islam

Seperti yang dikatakan di atas, kedua-dua sistem kelendar itu penting dalam soal ibadat khusus dalam Islam. Namun, tidak wajar bagi kita sebagai Muslim, meraikan tahun baru dengan perbuatan, acara dan sambutan yang bertentangan dengan syariat Islam. Membakar bunga api sahaja, sudah sah-sah merupakan satu pembaziran.

Bagaimanapun, memerhatikan peredaran bulan, matahari dan bintang adalah dituntut oleh Islam sehingga satu masa dulu, lahir tokoh-tokoh ilmu tersebut dari kalangan umat Islam. Sebagai muslim juga, kita di tuntut untuk memerhatikan peredaran masa dan hari yang menyebabkan pertukaran siang dan malam yang silih berganti.

Islam adalah agama yang memberi keterangan yang jelas tentang jalan kehidupan kita sebagai manusia. Sebagai manusia, kita pasti mati dan hari-hari yang berlalu semakin mendekatkan kita kepada mati. Islam juga mengkhabarkan dengan 'jujur' dan 'terus terang' tentang ke mana kita selepas mati.


Pasti, anda biasa mendengar kata-kata yang sangat berhikmah dan indah ini:

"Siapa yang hari ini lebih baik daripada semalam, dia adalah orang yang beruntung.
Siapa yang hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi.
Siapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, dia adalah orang yang celaka."

(Ada berpendapat kata-kata ini adalah hadith Nabi (SAW) dan ada yang berpendapat kata-kata ini adalah kata-kata hikmah Sahabat (RA). Wallahu'alam. Sila berikan pendapat anda pula ya)  

Saya sudah merancang untuk menulis sebuah panduan melangkah ke tahun baru untuk kita sebagai umat Islam. Insya Allah, sekembali saya ke rumah saya di Bintulu nanti, saya akan menulisnya. Di luar, hujan sedang turun, kadang lebat, kadang perlahan. Ibu dan adik-adik sudah tidur di tingkat atas rumah nenek saudara saya ini- di Kampung Siol Kandis, Kuching, Sarawak). Saya di ruang tamu rumah ini- merangkap tempat tidur saya malam ini. Sepupu ibu dan anak-anaknya masih bangun. Rumah peninggalan nenek saudara saya ini sunyi.

Di bandar Kuching di seberang sungai sana, mungkin sudah sesak dengan manusia yang sedang berpesta menyambut tahun baru. Saya di sini sedang kesejukan dan sudah mengantuk. Cuma, saya perlu menyiapkan beberapa tugasan lagi, dan juga berziarah ke beberapa blog lain untuk mengucapkan salam tahun baru 2010.

PS: Celcom Broadband prepaid yang saya gunakan ini, ok-ok sahaja, bersilih ganti saya mendapat capaian 3G dan HSDPA. Cuma, capaian yang agak putus-putus sedikit mengganggu kelancaran internet saya.



"Selamat Tahun Baru 2010. Semoga tahun baru 2010 lebih baik daripada tahun 2009;-)"




Isnin, Disember 28, 2009

Hujan Yang Turun Bagaikan Mutiara


  Hujan Yang Turun Bagaikan Mutiara





 


Alhamdulillah, hari ini di tempat saya ini cuaca baik. Tiada hujan. Dua tiga hari sebelum asyik hujan sahaja. Saya jenis yang sukakan waktu hujan, baik siang mahu pun malam. Cuma, yang agak terganggu ialah jika perlu meredah hujan. Apapun, waktu hujan adalah waktu terbaik saya. Hujan menjadikan saya tenang, sentimental, lebih kreatif, menjanakan idea, menyeronokkan dan lain-lain perasaan yang baik dan indah. Sesunggunnya, hujan itu indah.

Hujan memberi kerehatan.

Hujan memberi rasa nyaman.
Hujan membersihkan udara dan menyegarkan.
Hujan memberi kehidupan.


Jadi, janganlah kita berasa cuak dengan hujan. Namun, sediakan payung sebelum hujan.


Hujan adalah kejadian alam yang tidak boleh kita elakkan dan tahankan. Mungkin, anda pernah mendengar tentang bomoh hujan, juga mungkin anda pernah mendengar tentang petua menahan hujan atau 'menolak hujan'; dan saya percaya itu semua boleh dilakukan, namun saya tidak menyokong itu. Biarkan hujan turun mengikut masanya. Biarlah air mencurah semahu-mahunya, mengikut kadar yang telah ditetapkan Allah (SWT). Maha Suci Allah yang juga Maha Bijaksana, kadar hujan yang diturunkan adalah mengikut kadar keperluan bumi ini dan kita sebagai hamba-Nya.

Bila berlaku banjir, jangan pernah menyalahkan hujan. Salahkan apa yang telah berlaku dan dilakukan pada bumi di sekeliling kita. Baru-baru ini, kawasan perumahan yang saya diami bersama keluarga dinaiki air. Air masuk ke dalam rumah, takat buku lali. Hujan turun dengan lebat tapi sekejap, namun air hujan itu bertakung di parit, dan lambat untuk mengalir ke sungai yang berhampiran. Walaupun sekejap, keesokan harinya, kami penduduk di kawasan perumahan ini, sibuk dan kepenatan membersihkan rumah dan barang-barang yang kebasahan. Bukan salah hujan, ia salah parit yang sumbat dan kotor, dan ramainya kami di kawasan ini, yang menutup parit untuk renovate rumah. Makanya, sistem perparitan di tempat kami ini sudah terganggu.



Seperti mana kita tidak mampu dan tidak akan dapat menghalang langit mengumpul awan dan awan mencurahkan titis-titis hujan, begitulah juga dalam kehidupan kita. Pasti ada perkara yang tidak boleh kita elakkan dan mahu tidak mahu terpaksa kita hadapi. Antaranya ialah masalah hidup, kesedihan, hilang semangat, terjatuh dalam kehidupan kita, perselisihan dengan orang lain di sekeliling kita dan lain sebaganiya.

Masalah dan musibah adalah lumrah hidup yang tidak mampu dan tidak dapat kita halang dan tahan. Namun, seperti untuk hujan kita perlu menyediakan payung dan parit; begitulah dalam kehidupan. Kita perlu bersedia menghadapi untuk musibah, masalah dan kesusahan. Paling utama ialah persediaan mental, rohani dan emosi. Kemudian barulah persediaan-persediaan lainnya.
 










Ahad, Disember 27, 2009

Cerita Tentang Bubur dan Artikel Pilihan 10 Muharam


  Cerita Tentang Bubur dan Artikel Pilihan 10 Muharam





Photobucket


Bercerita pasal hari Asyura, pada zaman kanak-kanak saya, pasti terus teringatkan bubur Asyura lebih daripada tarikh 10 Muharam, Kisah Karbala dan sejarah pembunuhan cucu Rasulullah (SAW) Husin (RA). Bagi saya, saya tidak dapat membezakan bubur Asyura dan bubur ayam, walaupun saya adalah peminat bubur ayam. Ada satu restoran di Bintulu ini, yang bubur ayamnya sedap sekali, tapi sayang.. restoran itu sudah tutup. Teringat pada Ramadhan 2007, setiap malam saya dan beberapa orang kawan bersantai di situ selepas solat terawih. Bubur ayam juga adalah pilihan saya sewaktu saya demam. Bila sejuk, menikmati bubur ayam bercampur halia, sangatlah enak;-)

Hari ini, suka saya berkongsi dengan anda, beberapa tulisan menarik tentang 10 Muharam yang saya baca dalam seminggu ini. (Catatan: Artikel yang dipilih ini, tidak semestinya menggambarkan pendirian dan pendapat saya ya. Jangan pula timbul salah faham, spekulasi dan provokasi nanti).

AA GYM Pictures, Images and Photos

"  Nasi yang sudah menjadi bubur,
Insya-Allah masih boleh  menjadi bubur ayam special"

KLIK SINI Untuk Baca Lanjut


(Aa Gym)


Sabtu, Disember 26, 2009

Video Ajaran Sesat


  Video Ajaran Sesat







ALOR STAR: Pengikut ajaran sesat Aurad Ismailiah berkelakuan aneh apabila berzikir sambil menari seperti berada dalam disko dan sebutan zikir mereka juga sukar difahami.

Perkara itu dilihat dalam cakera padat video (VCD) mengenai amalan zikir mereka yang dipertontonkan kepada wartawan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Fadzil Hanafi, di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam VCD itu, sekumpulan lelaki yang berpakaian jubah putih dan berserban duduk dan berzikir di sebuah masjid pada jam 5.20 dipercayai waktu pagi.

Tidak lama kemudian, kelakuan kumpulan lelaki itu mula tidak terkawal apabila mereka mula bangun dan menari-nari seperti berada di dalam disko.

Fadzil berkata, Aurad Ismailiah diharamkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah (Maik) pada 1979, namun ia dikesan dihidupkan kembali di negara ini, April lalu.

Ajaran berkenaan kembali diamal dan disebar oleh ketuanya, Mahmud Abdul Rahman, 50-an, dan Madarasah Nurul Iman, Batu 5, Sik, dijadikan sebagai pusat ajaran terbabit.

Sebelum ini, Mahmud sudah dipenjarakan selama sebulan akibat perbuatannya itu. Mengikut pengakuan Mahmud ketika siasatan terhadapnya pada 1979, dia menerima ajaran serta wirid yang dinamakan Aurad Ismailiah itu menerusi ilham ketika dia gila.

Dia juga mengaku semasa gila, dia bertapa di Gua Bukit Enggang, Sik, dan gua itu dianggap pengikutnya sebagai Gua Hira manakala batu besar dalam gua itu dikatakan Hajral Aswad, katanya.

Beliau berkata, Mahmud menggunakan ungkapan dalam bahasa Arab yang turut tidak difahaminya bagi menggambarkan ajaran yang dibawanya itu yang bermaksud: Permulaannya gila, pertengahannya aneka ragam dan akhirnya apa saja yang dikehendaki semuanya jadi.

Beliau berkata, sehingga kini, ajaran itu sudah tersebar di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah. Di negeri ini, keahlian ajaran itu dikatakan sudah melebihi 100 orang.

Pengikut ajaran itu kini meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, lelaki dan wanita, katanya.

Menurutnya, berdasarkan rakaman VCD itu, jelas perlakuan pengikut ajaran berkenaan bercanggah dengan syariat Islam dan secara tidak langsung menghina Islam dengan memberi imej negatif kepada masyarakat.

Fadzil berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kewujudan kembali ajaran itu mengikut Perkara 166 (a), Enakmen Undang-undang Agama Islam Kedah kerana kesalahan melanggar fatwa yang diwartakan.

Sekiranya didapati bersalah di mahkamah, pesalah mengikut Perkara 166 (a) boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.



Selepas menonton video dan membaca berita di atas, apa pandangan anda terhadap
majlis dan kumpulan zikir seperti ini?


Insya Allah, pada masa akan datang, saya akan tuliskan pula pandangan saya.  


Jumaat, Disember 25, 2009

10 Tahun Sudah Saya Di Jalan Dakwah


  10 Tahun Sudah Saya Di Jalan Dakwah




Photobucket


Hari Jumaat datang lagi. Hari Jumaat hari ini, walaupun mendung, tetap indah, dan seperti biasa, hari Jumaat adalah hari kesukaan saya. Petang tadi, kami sekeluarga berkumpul di KFC bersama keluarga sebelah ayah saya, menyambut hari jadi anak sepupu saya yang masuk usia setahun. Erm, dah setahun umur anak sepupu saya itu yang umur dia dan suaminya lebih muda daripada saya;-)



Seminggu sudah berlalu tahun baru Hijrah. Seminggu pula lagi, akan memasuki tahun baru Masehi. Insya Allah, saya sedang menulis dua artikel terakhir untuk Disember 2009 di MomBloggersPlanet.com. Salah satu artikel tersebut bertajuk 'Islamic Guide To Step Into The New Year', yang Insya Allah, akan saya tulis juga dalam versi bahasa Melayu untuk blog ini. Jika anda membaca post ini, tolong doakan agar saya mampu menulisnya ya. Sebelum 29 Disember 2009. 


Tahun 2009 hampir menutup tirainya dan hampir kita tinggalkan. Sedar tidak sedar, sudah 10 tahun saya berada di jalan dakwah. Bermula pada tahun 1999 ketika saya menunggu keputusan SPM. Saya mengambil keputusan untuk mengajar di Madrasah Al-Islamiyyah Darul Ulum (MADU), Bintulu. Itu adalah garis permulaan perjalanan saya di jalan dakwah.

Kemudian saya memasuki jalan penuh berliku, yang sebenarnya adalah episod untuk Allah menunjukkan kepada saya segala kelebihan dan kekurangan diri saya. Selepas itu, saya memasuki peringkat untuk mendakwah diri sendiri- yang masih berterusan hingga sekarang. Dalam masa sama, sama terus mendidik diri, berlatih dan belajar berdakwah kepada orang lain.

Hendak dikatakan berpengalaman, belum ada kejayaan yang saya mampu tunjukkan sepanjang 10 tahun saya di jalan ini. Namun, sesunggunya, ilmu dan hikmah yang saya telah perolehi adalah banyak. Semuanya kurniaan dan nikmat Allah (SWT).

Hendak bercakap soal penentangan, prasangka, prejudis, kata tohmah, tentangan dan cabaran yang didatangkan oleh orang lain terlalu banyak. Dalam post ini, saya hanya ingin menunjukkan kepada anda dua daripada cabaran yang saya hadapi dalam seminggu ini, di arena dakwah di internet. Namun, saya 'cool' saja, tidak ambil berat pun dengan cabaran tersebut. Hanya huruf dan kata-kata, apalah adanya.




Photobucket

(Seorang muslimah yang masih muda remaja, menulis dalam blog beliau tentang pendapat beliau tentang amalan bida'ah- membaca doa awal dan akhir tahun. Saya setuju itu, cuma saya komen di post tersebut, ingin menegur cara beliau yang kurang tepat dan berhikmah bagi saya. Tidak sangka pula, beliau menulis satu post khusus untuk menjawab dan 'menembak' saya. Di atas adalah jawapan saya kepada post yang beliau khususkan untuk saya itu) 






Photobucket

(Ini pula, kata-kata seorang hamba Allah yang emosi dan geram kepada saya, kerana saya mengatakan sesat kumpulan yang berzikir seperti dalam video di bawah) 







Khamis, Disember 24, 2009

Rezeki Daripada Menulis Ulasan Buku


  Rezeki Daripada Menulis Ulasan Buku





Photobucket




Alhamdulillah, semalam saya mendapat satu berita gembira yang juga merupakan rezeki lagi daripada jurnal ini yang belum pun berusia 100 hari. Khabar gembira itu ialah, saya dipilih oleh Tuan Zamri Mohamad untuk memiliki set buku dan VCD Maxwell bernilai RM150.00.

Beberapa minggu yang lalu, saya mengulas sebuah buku tulisan Zamri Mohamad di blog ini untuk menyertai Peraduan Menulis Ulasan Buku yang beliau anjurkan. Anda boleh KLIK SINI untuk membaca ulasan tersebut. Saya sendiri tidak menyangka saya akan menang, kerana saya belum menguasi teknik menulis ulasan buku. Lagipun, saya belum biasa menulis ulasan buku. Saya hanya menulis dengan jujur. Namun, saya terkejut (dan teruja..) kerana Zamri Mohamad menganggap ulasan saya itu kreatif dan 'di luar jangkaan'.

Rezeki ini memberi dorongan kepada saya untuk mencuba nasib dalam bidang penulisan ulasan buku. Nampaknya, mungkin juga lepas ini saya boleh buka khidmat menulis ulasan buku pula;-)



Zamri Mohamad Keputusan pertandingan ulasan buku | Tuan Norudin Draman dari Bintulu Sarawak dipilih memiliki set buku dan VCD Maxwell bernilai RM150.00. Beliau mencipta kreativiti baru dalam mengaplikasi buku teknik menulis berjudul Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas menjadi bahan ceramah agama. Sememangnya di luar jangkaan... saya!




Photobucket




Rabu, Disember 23, 2009

Panduan Menyambut Krismas Kepada Umat Islam


  Panduan Menyambut Krismas Kepada Umat Islam






(Anda digalakkan untuk menyebarkan artikel ini kepada umat Islam yang lain. Saya ada menyediakan versi PDF untuk memudahkan anda menyebarkan artikel ini melalui email dan blog anda. KLIK SINI untuk download versi PDF artikel ini.)

(Artikel ini juga boleh dibaca dalam bahasa Inggeris. KLIK SINI untuk versi bahasa Inggeris artikel ini)




Tinggal beberapa hari lagi menjelang Krismas. Ramai berada dalam delima semasa perayaan ini. Apa hukumnya? Bolehkah tidak? Jika boleh bagaimana? Jika tidak boleh, mengapa?

Kepada golongan yang bertanya dan masih memikirkan hukum-hakam dan boleh tidak, Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita masih mementingkan agama, hukum hakam dan dosa pahala. Namun, realitinya lebih ramai yang mengambil sikap tidak apa. Bagi mereka ‘ala cuma ucapkan selamat Krismas, beri hadiah dan kad ucapan, pasti tidak apa-apa’.

Sesungguhnya, setiap bangsa dan kaum memiliki hari raya masing-masing. Islam sebagai agama yang murni, adil dan bersikap terbuka, memberi kebebasan kepada semua manusia untuk menyambut hari raya masing-masing. Begitulah yang dianjurkan oleh agama Islam melalui firman Allah (SWT) di dalam Al-Quran, Surah Al-Kafirun.

Firman Allah (SWT):


Photobucket



"Katakanlah: "Wahai orang-orang yang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagi  kamu  agama kamu dan bagiku agamaku".

(Al-Quran, Surah Al-Kafirun, 109: Ayat 1-6)
Sebagai umat Islam, kita tidak pernah disuruh untuk menghalang orang lain mengamalkan agama yang mereka anuti, selagi mereka tidak mengancam keselamatan kita dan agama kita. Sebagaimana mereka bebas ‘memilih tuhan’ begitu juga mereka bebas untuk merayakan perayaan masing-masing.

Seperkara lagi yang kita harus fahami, ada umat Islam yang masih memiliki saudara mara yang beragama Kristian, ada di antara kita yang tinggal di luar negara dan lebih penting kita hidup di negara Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan agama. 

Islam adalah agama untuk semua bangsa dan kaum manusia. Islam adalah agama yang mengiktiraf kepelbagaian bangsa, kaum, warna kulit dan bahasa di kalangan manusia. Malah, Islam menganggap kepelbagaian tersebut sebagai tanda kekuasaan Allah (SWT) yang setanding dengan penciptaan langit dan bumi. Hikmah daripada tanda-tanda tersebut hanya dapat diperhatikan dan difahami oleh manusia yang berfikir.

Firman Allah (SWT):



Photobucket



“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui”.

(Al-Quran, Surah Ar-Rum, 30: Ayat 22)





Saya tidak bercerita tentang hukum hakam di sini, kerana saya tidak layak untuk itu. Lagipun, pelbagai hukum hakam telah diutarakan, yang kadang-kadang menjadikan masyarakat serba salah.

Di sini, saya berikan sedikit panduan untuk kita bagaimana sepatutnya kita sebagai muslim bersikap ketika perayaan Krismas. Panduan sperti ini adalah penting, terutama kepada golongan muallaf, yang masih memiliki keluarga atau sanak saudara yang beragama Kristian, juga untuk rakan-rakan muslim kita yang berada di luar negara, yang negara itu pula didiami majoriti masyarakat Kristian.



Saya suka bersikap sederhana dan bertolak ansur. Jadi, terpulang kepada pembaca untuk menilai lima panduan yang saya cadangkan di sini.



1. Selalu berpegang kepada prinsip Surah Al-Kafirun.

Bagi mereka agama mereka, bagi kita agama kita. Kita tidak boleh menghalang mereka untuk berhari raya, biarkan mereka berhari raya. Jangan pula sehingga kita ikut berhari raya bersama mereka. Namun, sekiranya pada sambutan hari raya mereka itu, mereka gunakan untuk menyesatkan umat Islam dan menyerang agama kita; kita tidak boleh berdiam diri.

Sekiranya kita benar-benar berpegang dengan prinsip Surah Al-Kafirun ini, tidak ada alasan untuk kita melakukan perkara yang dilakukan oleh mereka yang menyambutnya seperti; memakai topi Santa claus, menghias rumah dengan pokok Krismas, memberikan hadiah dan melakukan atau memakai apa-apa yang boleh ditakrifkan sebagai simbol khusus untuk Krismas dan Kristian.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbuatan, pakaian dan simbol agama lain, anda boleh membaca garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

2. Bersederhana dan bersikap bijaksana.

Islam adalah agama yang menunut kesederhanaan dan kebijaksanaan. Jika kita tidak punya sebab yang mendesak dan kukuh, tidak perlu untuk kita mendahului mengucapkan selamat sempena hari Krismas. Sekiranya, kita ada ibu bapa atau saudara mara yang beragama Kristian, mungkin wajar bagi kita mengucapkan selamat hari krismas kepada mereka. Dalam masa sama, berdoalah agar mereka mendapat hidayah Allah.

Begitu juga, jika kita seorang pemimpin, seperti Perdana Menteri kita, mungkin beliau perlu mengucapkan selamat kepada rakyatnya yang menyambut krismas. Ini adalah untuk menunaikan tugas beliau sebagai pemimpin yang memimpin manusia perbagai bangsa dan agama. Beliau tidak boleh memulaukan rakyat yang beragama lain dari beliau.

Mungkin juga anda ada rakan-rakan yang beragama kristian dan mereka pula baik dengan anda. Untuk menjaga hubungan, tidak salah mengucapkan selamat hari raya kepada mereka. Juga, doakan mereka agar dibimbing Allah.

Berhati-hati ketika mengucapkan 'Merry Christmas'. Mungkin lebih baik dan bijak untuk menggunakan ucapan lain seperti; 'Selamat menyambut hari raya kamu', 'Selamat 25 Disember dan tahun baru' atau 'Selamat Menyambut X-Mas Kamu' (sebutlah sebagi 'x' untuk X-Mas menggantikan Christmas.

3. Muslim menghormati non-Muslim selama mana mereka tidak memusuhi Islam.

Selama mana non-muslim yang kita kenal tidak menghina Islam, tidak menyerang orang Islam, tidak menghancurkan umat Islam serta tidak mengganggu-gugat agama Islam dan penganutnya, selama itu umat Islam akan menghormati mereka. Malah, sebagai manusia, kita wajar menyayangi mereka dan berusaha serta berdoa agar mereka mendapat petunjuk hidayah Allah (SWT).

Perayaan mereka boleh menjadi peluang kepada kita untuk berkomunikasi dan menunjukkan kepada mereka akhlaq Islam yang tulen dan indah. Islam tidak pernah menyuruh umatnya menghina dan menganggu-gugat agama lain.

4. Miliki jati diri muslim.

Jika kita dijemput ke majlis yang mereka anjurkan, perkara pertama yang kita perlu pastikan ialah soal jamuan pada majlis itu. Apakah makanan dan minuman yang disajikan adalah halal untuk kita atau sebaliknya. Kita bertanggungjawab menerangkan dengan cara yang bijak kepada rakan kita tentang soal makanan dan minuman. Kedua, pastikan ia adalah majlis yang tidak berunsur ritual keagamaan. Kemudian, tempatnya di mana.

Sebagai muslim, jaga akhlaq dan adab kita ketika berada di majlis. Jika muslim juga meminum arak, lalu apalagi yang mampu kita katakan kepada orang itu?

Majlis mereka juga boleh menjadi peluang kepada kita untuk berkomunikasi dan menunjukkan kepada mereka akhlaq Islam yang tulen dan indah. Islam tidak pernah menyuruh umatnya menghina dan menganggu-gugat agama lain.

5. Jaga diri kita, Insya Allah mereka juga akan menjaga dan menghormati kita.

Jika kita sebagai muslim tidak menjaga akidah, akhlaq dan martabat kita, maka apakah layak untuk kita mengharap orang lain untuk menghormati kita. Di mana pun kita berada, jagalah akidah, akhlaq dan imej Islam yang kita anuti. Insya Allah dengan bantuan Allah, mereka juga akan menghormati dan menjaga kita.

Bagaimanakah semua akan terjaga jika umat Islam sendiri meminum arak, menari bersuka ria di kelab malam dan disko, dan bergaul bebas dengan rakan bukan Islam?





Selasa, Disember 22, 2009

PERPECAHAN DALAM KEBAIKAN


  PERPECAHAN DALAM KEBAIKAN





Photobucket

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa zaman Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

(Surah Ali-imran, 3: 103)


Photobucket
"Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik (RA), dari Nabi s.a.w. berkata: Tiada beriman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya, sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri. "

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


MUQADDIMAH

Alangkah indahnya bunyi Hadith yang akan kita bicarakan ini. Perkara cinta adalah perkara yang mulia. Seharusnya seseorang Muslim yang teguh imannya sanggup berkorban dalam perkara yang berkaitan saudaranya. Demikianlah Hadith yang tersebut di atas menganjurkan kepada setiap Muslim/ Muslimah supaya mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Itulah dia akhlaq Islam yang tertinggi. Itulah dia budi pekerti Islam yang terpuji. Rasulullah (SAW) telah membuktikan betapa cintanya Baginda terhadap para sahabat, betapa kasih sayangnya Baginda terhadap sekalian kaum Muslimin, tidak kira tua atau muda, besar atau kecil, miskin atau kaya, semuanya sama belaka. Dan kasih sayang Baginda terhadap mereka sekalian melebihi kasih dan cintanya terhadap dirinya sendiri.

Itulah sebenarnya sifat Baginda yang semestinya kita contohi sekiranya kita mencintai Baginda dan mengaku ingin mengamalkan Sunnah Baginda (SAW). Bukan sifat meninggi diri dan sombong, degil dan keras hati, salah menyalahkan dan
saling berpecah belah; tetapi sifat saling mencintai antara sesama saudaranya.
Siapa yang tidak menginginkan kebahagiaan bagi dirinya sendiri? Siapa yang tidak mahukan kemuliaan bagi dirinya sendiri? Kedua-duanya adalah keinginan dan kemahuan setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Maka untuk mendapatkan kedua-duanya, mulakanlah dengan membahagiakan dan memuliakan orang lain terlebih dahulu.

PERPECAHAN DALAM KEBAIKAN

Umat Islam adalah umat yang terkenal dengan sikap berpecah-belah. Baik di dalam negara kita, baik di peringkat dunia mahupun peringkat yang lebih kecil seperti di dalam sebuah surau contohnya. Amat menyedihkan, dalam usaha untuk melakukan kebaikan dan amal ibadat sekalipun kita tetap berpecah belah.

Antara faktor yang memecah-belahkan umat Islam adalah percanggahan pendapat dan perbezaan prinsip. Islam yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) bukanlah agama yang menghalang perbezaan pendapat, malah dalam sunnah Baginda ada banyak contoh untuk kita teladani dalam menanggapi percanggahan pendapat dan perbezaan prinsip antara sesama kita.

Dalam sesuatu usaha untuk melakukan kebaikan, yang perlu kita utamakan ialah kebaikan pada jalan usaha itu dan kebaikan pada hasil usaha kita itu sekiranya ia direzekikan Allah untuk berhasil. Bukannya sikap mengambil hanya yang kita suka dan ada faedahnya bagi diri kita sendiri sahaja, tetapi menolak pendapat orang lain walaupun ia ternyata berfaedah untuk orang ramai. Sikap serupa itu bukanlah dari sifat seorang mukmin yang berkasih sayang dan bersaudara.

Begitu juga dalam sikap kita terhadap orang yang lebih rendah daripada kita, baik rendah imannya*, rendah amalnya, rendah ilmunya, rendah kedudukannya dan lain sebagainya berbanding diri kita sendiri. Wajib dan perlu kita menghormati saudara kita yang seperti itu. Jangan kerana kita adalah ahli jamaah masjid dan surau kita memisahkan diri dan membenci saudara kita yang tidak ke surau atau belum mengamalkan suruhan agama.

(* Sebenarnya kita tidak berhak untuk menilai iman seseorang tetapi iman itu ada tanda-tandanya seperti yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah. Salah satu tanda orang yang beriman itu ialah sikap persaudaraan dan kasih mengasihi seperti dalam hadith yang kita bincangkan di sini.)

Faktor lain perpecahan dalam umat Islam semasa melakukan usaha kebaikan ialah sifat mazmumah iaitu hasad dengki dan irihati. Imam Al-Ghazali mengkategorikan hasad dengki dan irihati itu kepada tiga jenis:

(1) Perasaan menginginkan lenyapnya sesuatu nikmat dari saudaranya, agar nikmat itu boleh berpindah pula kepada dirinya sendiri.

(2) Perasaan menginginkan hilangnya sesuatu nikmat dari seseorang, sekalipun dia tidak mengharap untuk mendapatkan nikmat itu, ataupun nikmat yang serupa sudah pun berada padanya, ataupun dia memang tidak menyenangi nikmat itu. Jenis yang ini adalah lebih buruk dari yang pertama.

(3) Tiada Perasaan menginginkan lenyapnya sesuatu nikmat dari orang lain, tetapi dia benci melihat orang lain lebih bernasib baik daripadanya dalam kesenangan dan kedudukan. Dia lebih suka kalau nasibnya dan nasib orang itu sama sahaja. Dia tidak senang melihat orang lain melebihinya.

Perasaan dan sifat mazmumah seperti ini adalah haram hukumnya, kerana yang demikian itu samalah seperti tidak redha dengan pembahagian nikmat oleh Allah (SWT). Orang yang tidak redha dengan pembahagian Allah sama seperti memprotes keputusan Allah dalam pembahagian nikmat-NYA serta hikmah dalam pembahagian tersebut.

PERPADUAN MUSLIMIN

Sesebuah umat yang berdiri atas asas cinta-mencintai antara mereka adalah umat yang menghampiri kesempurnaan dalam banyak segi. Ini kerana tidak akan wujud suatu masalah dalam umat itu melainkan dapat diselesaikan secara baik dan bijaksana. Semua individu dalam umat itu saling mengharapkan kebaikan dan faedah bagi saudaranya sebagaimana dia mengharapkan dan mengusahakan kebaikan dan faedah bagi dirinya sendiri.

Model persaduan seperti ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah (SAW) dalam peristiwa Hijrah setibanya Baginda di kota Madinah. Agenda utama dan pertama Baginda ialah perpaduan Muslimin dalam ukhuwah Islamiah.

Umat Islam hari ini sebenarnya tidak kekurangan jamaah, badan dan persatuan yang memperjuangkan Islam dan Dakwah. Namun yang agak mengecewakan ialah, semakin banyak perkumpulan yang wujud, semakin berpecah belah pula umat.

Jamaah, badan dan persatuan Islam dan Dakwah yang sebenar seharusnya mengutamakan kekukuhan perpaduan dalam umat. Kemudian barulah usaha lain menyusul atau berjalan seiring dengan agenda-agenda penting yang lain. Semestinya, perpaduan dan kesatuan umat adalah perkara utama dan paling penting difikirkan dalam perjuangan amar makruf nahi mungkar serta apapun yang kita perjuangkan.

Umat Islam hari ini amat perlu kepada ukhuwah Islamiah untuk mengekalkan perdamaian dan keamanan dunia yang abadi biarpun masing-masing hidup dengan cara dan keadaan yang dipilihnya sendiri. Namun masing-masing saling hormat-menghormati antara satu sama lain, tidak kira perpebezaan politik, jamaah, badan, persatuan, ilmu dan prinsip.
Islam menganjurkan kasih sayang antara manusia. Islam menganjurkan perdamaian dalam kehidupan dunia ini, dan Islam tidak ingin melihat manusia bercakaran antara satu sama lain; sama ada antara sesama Muslimin ataupun antara Muslimin dengan bukan Muslimin, ataupun antara puak-puak yang lain.



KESIMPULAN

Di sana ada banyak perkara yang jika kita lakukan atas dasar kasih dan cinta kepada orang lain boleh menjadi kebaikan yang membawa ke syurga. Contohnya menyebabkan seseorang masuk Islam, setelah kita tunjukkan kepadanya budi pekerti dan keindahan Islam, toleransi dan akhlak mulia lainnya, sehingga dia terpikat dan lunak hatinya untuk memilih Islam. Bukankah dengan itu kita telah menyelamatkannya dari kesyirikan dan kekufuran yang menyesatkan kepada jalan agama yang benar. Atau sekiranya kita menyelamatkan seorang saudara muslim kita yang terpesong dari jalan yang benar dan membimbingnya semula ke jalan yang betul.

Marilah kita berusaha untuk menghidupkan semangat perpaduan dalam umat kita yang kian lemah dan semakin kalah hari ini. Marilah kita berusaha menjadi sebuah umat yang bersatu-padu, kukuh dan kuat serta tidak berpecah-belah. Umat yang saling menyayangi dan saling berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan terhadap saudaranya yang lain, serta mencuba untuk menghalang segala keburukan daripada saudaranya yang lain.

“Tidak akan kita kalah oleh Yahudi yang terlalu sedikit itu jika sekiranya umat Islam adalah umat yang bersatu-padu dalam melakukan kebaikan”



[Post ini dipetik dan dikembangkan daripada buku ‘Kuliah Subuh pada Membicarakan Hadis 40’ susunan Syed Ahmad Semait, terbitan Pustaka Nasional, Cetakan Keenam 1994]

Isnin, Disember 21, 2009

Masih Dalam Mood Maal Hijrah


  Masih Dalam Mood Maal Hijrah





Photobucket



Berair sudah mata saya, menghadap komputer saya ini. Qadak kerana semalam langsung tidak menyentuh komputer kerana sedikit kesibukan peribadi. Saya hanya ada masa sehingga jam 9.40 untuk jurnal ini. Dalam masa sama, saya sedang berbincang dengan Kak Masayu berkenaan projek kami.

Saya masih lagi dalam mood Maal Hijrah. Masih bersemangat dan sedang merasa sangat dekat serta rindu kepada seorang Sahabat Rasulullah (SAW) yang bernama Saidina Abdul Rahman Bin Auf. Betapa kaya-rayanya beliau, sehingga pernah menginfaqkan sebuah kabilah dagang dengan 700 ekor unta berserta muatannya sekali di jalan Allah. Subhanallah. Insya Allah, dalam minggu ini, saya akan menulis beberapa siri post yang berkaitan dengan Saidina Abdul Rahman Auf dan juga berkenaan matlamat harta dan kekayaan menurut Islam.

Hari ini, 21 Disember 2009. Lagi empat hari menjelang Krismas. Saya sedang mennyiapkan sebuah artikel berkenaan Krismas kepada kita umat Islam. Saya perlu menyiapkan artikel itu dalam dwi-bahasa, Bahasa Melayu untuk jurnal ini dan bahasa Inggeris untuk MomBloggersPlanet. Insya Allah, saya akan menyiarkannya sebelum 25 Disember 2009. Semoga Allah mengizinkan dan mentakdirkan saya boleh melakukannya.

Kawasan kediaman yang didiami oleh saya dan keluarga dilanda banjir kilat malam minggu yang lalu. Sebab itu semalam saya kurang sihat kerana keletihan dan sibuk mengemas rumah. Mujurlah hanya banjir kecil sahaja. Namun kesannya tetap terasa, terutama bab membersihkan rumah, menjemur karpet dan mengemas.



Lagi, petang tadi, sekali lagi kawasan perumahan yang kami diami ini dilanda kegemparan. Keluarga kepada seorang jiran kami, meninggal dunia. Arwah ditemui mati membunuh diri di rumahnya- di kawasan perumahan lain. Namun, jenazah beliau akan dibawa ke rumah ibu beliau yang terletak berhampiran rumah keluarga saya. Dari khabar yang sampai kepada saya, arwah membunuh diri kerana isterinya lari bersama anak-anak mereka. Na'uzubillah. Semoga kita dan keluarga dilindungi Allah daripada musibah sebegitu.  


Ahad, Disember 20, 2009

Kisah Golongan Yang Sedikit


  Kisah Golongan Yang Sedikit





Photobucket




[Cerita ini hanya rekaan semata-mata]

Di sebuah tempat, ada sebuah pusat pengajian agama. Pusat pengajian agama ini dipimpin oleh seorang ulamak dengan dibantu oleh beberapa orang guru agama. Pada satu-satu masa, pusat pengajian ini memiliki sejumlah lebih kurang 100 orang penuntut. Ulamak ini lebih senang dipanggil 'Ayahanda'.

Solat fardhu berjamaah di surau pusat pengajian ini, menjadi kewajipan kepada semua penghuni di pusat pengajian tersebut, baik di kalangan penuntut mahupun tenaga pengajar dan mereka yang mendiami kawasan pusat pengajian ini. Walaupun, tidak ada peraturan bertulis yang mewajibkan begitu di pusat pengajian agama ini.

Solat jamaah, kadang-kadang dipimpin oleh Ayahanda, kadang-kadang oleh guru-guru agama di situ, dan juga dipimpin oleh penuntut-penuntut pusat pengajian itu. Menariknya, jika ia dipimpim oleh Salam Maal Hijrah 1431. Semoga kita menjadi muslim yang lebih baik. Saya juga berdoa, semoga anda dan keluarga selalu disayangi Allah (SWT). Amin;-), selesai solat beliau membacakan doa dalam bahasa melayu. Apa yang lebih menarik perhatian jamaah ialah, dalam doanya beliau akan memohon supaya mereka termasuk dalam golongan yang sedikit.

Dalam doanya yang berbunyi, "Ya Allah, masukkan kami ke dalam golongan yang sedikit".

Suatu masa, beberapa orang murid bertanya; "Ayahanda, mengapa selalu memohon menjadi golongan yang sedikit?"

Ayahanda tidak menjawab terus. Beliau senyum dan berdiam diri. Sejurus, beliau bersuara. "Ayah ada satu tugasan untuk anak-anak semua. Boleh?

Penuntut-penutut diam sejurus dan kemudian berkata, "Insya Allah.."

Mendengar kesanggupan itu, Ayahanda menyambung, "Begini, Insya Allah, Ayahanda akan berikan setiap kamu seekor ayam. Tugas kamu ialah, untuk menyembelih ayam tersebut di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa pun. Boleh?"

"Insya-Allah, Ayahanda..", jawab penuntut-penuntut baru itu beramai-ramai. Lagipun, ramai yang teruja dan seronok hendak menyembelih ayam.

"Insya Allah, kamu semua sudah tahu dan layak menyembelih. Esok kita akan adakan tugasan ini ya. Boleh?"

......

Pagi berikutnya, selesai bersarapan dan bersolat dhuha, penuntut-penuntut itu diberikan seekor ayam hidup setiap seorang. Mereka perlu menyembelih ayam tersebut di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa pun. Maka bertaburanlah penuntut-penuntut itu mencari tempat bersembunyi untuk menyembelih ayam masing-masing.

Sebelum zuhur, ramai penuntut yang sudah kembali kepada ayahanda untuk menyerahkan ayam yang telah disembelih. Ayahanda memeriksa ayam itu di bahagian leher. Alhamdulillah, semuanya sudah disembelih dengan sempurna. Kemudian ayam itu diserahkan ke dewan makan untuk dibersihkan dan diperap. Menurut ayahanda, malam nanti mereka akan mengadakan jamuan ayam panggang.

"Insya Allah, malam nanti kita ada jamuan ayam panggang ya. Juga, Insya Allah malam nanti ayah akan menjawab persoalan tentang doa menjadi golongan yang sedikit itu. Oh ya, kamu bertujuh yang tidak berjaya menyembelih ayam kamu, kamu boleh sembelih sekarang. Ayam tujuh ekor daripada kamu bertujuh nanti, ayah hendak buat ayam golek. Molek tak idea ayah ini?"

Ramai yang setuju dan seronok mendengar kata-kata ayahanda itu.

Malamnya, selesai membacakan doa sebelum majlis jamuan ayam panggang bermula, ayahanda memohon ruang untuk berkata-kata. Semua orang memberi tumpuan kepada ayahanda.

"Ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, ayah-ayah, ibu-ibu, anak-anak dan hadirin semua. Assalamu'alaikum wrb", ayahanda memulakan bicara.

Berdengunglah ucapan salam.

"Ayah meminta, mereka tujuh orang tadi tampil ke depan"

Penuntut tujuh orang yang tidak berjaya mencari tempat tersembunyi untuk menyembelih ayam mereka siang tadi, lalu tampil ke depan mendekati ayahanda.

"Boleh ayah tahu mengapa kamu tidak dapat menyembelih ayam kamu?"

Mereka serentak menjawab, "Ayahanda, kami boleh saja senang-senang mencari tempat yang tidak dilihat manusia untuk menyembelih ayam kami, tetapi kami tidak dapat mencari tempat di mana yang kami tidak dilihat oleh Allah SWT".

Ayahanda tersenyum. Sejurus beliau berkata-kata, "Baiklah, kamu ambil ayam golek kamu seekor seorang ya. Kemudian boleh kembali ke tempat duduk kamu. Jamuan kita hampir bermula".

Setelah penuntut bertujuh orang itu kembali ke tempat masing-masing dengan seekor ayam golek setiap seorang, ayahanda berkata lagi, "sebelum kita menjamu selera, sekarang ayah ingin menjawab soalan kamu berkenaan golongan yang sedikit. Perhatikan, daripada sekian ramai kita malam ini yang jumlah kita ini lebih seratus orang, hanya tujuh orang mereka yang beruntung kerana mendapat ayam golek. Mengapa mereka beruntung agaknya ya?"

Diam. Suasana hening kerana dua perkara. Satu, kerana ramai ingin mendengar jawapan yang ditunggu-tunggu. Kedua, kerana aroma ayam panggang yang sudah membangkitkan selera.

"Begitulah lumrah dunia. Daripada sekian ramai manusia, hanya sedikit yang beruntung dan berjaya. Daripada sekian ramai kamu yang mendapat ayam, dan ayah meminta disembelih di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa, hanya mereka bertujuh ini yang mahu bertanya ayah pagi tadi, apakah maksud sesiapa itu hanya manusia? Dan ayah menjawab tidak. Namun, selain mereka bertujuh, kamu semua terus mencari tempat tersembunyi dengan kefahaman untuk bersembunyi daripada manusia semasa menyembelih ayam kamu. Dan hanya mereka yang bertujuh ini, daripada sekian ramai kamu, yang kembali dengan jawapan tidak menemui tempat yang tidak dilihat Allah SWT".



Begitulah kita di dunia ini. Amat sedikit yang mengingati Allah dan lebih sedikit lagi yang mengingati Allah serta bertaqwa dan sentiasa merasai kehadiran-NYA. Perhatikan sekeliling, daripada sekian ramai manusia, hanya sedikit yang solat berjamaah di masjid dan surau; dan daripada sejumlah sedikit jamaah itu, lebih sedikit lagi yang bersolat dengan ikhlas dan khusyuk.

Maka, alangkah beruntungnya jika kita termasuk golongan yang sedikit di akhir zaman ini.  





Sabtu, Disember 19, 2009

Blues Maal Hijrah: Saya Mahu Jadi Golongan Yang Sedikit


  Blues Maal Hijrah:
Saya Mahu Jadi Golongan Yang Sedikit




Photobucket

TERJEMAHAN:

"Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, dia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah dia pengikutku. Dan siapa yang tidak meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tidak ada kemampuan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

(Al-Quran, Surah Al-Baqarah, 2: ayat 249)


Ramai orang mudah untuk menyatakan keazaman tahun baru, ramai boleh merangka perancangan baru dan ramai juga langsung tidak mengambil tahu masa sudah berlalu. Namun, yang tidak ramai ialah, orang yang berjaya untuk berusaha dan mengorak langkah yang gigih untuk mencapai keazamannya. Juga, tidak ramai orang yang berusaha untuk menjayakan rancangannya. Namun, betapa ramai yang berundur dari medan usaha dan perjuangan.



Itulah sebabnya, sempena tahun baru hijrah ini; antara azam saya ialah untuk termasuk dalam golongan yang sedikit itu. Daripada sekian ramai orang yang berazam, hanya sedikit yang gigih untuk mencapai keazamannya. Daripada sekian ramai yang merancang, hanya sedikit orang yang berusaha untuk menjayakan rancangannya. Lebih menyedihkan, daripada sekian ramai manusia yang hidup, hanya sedikit yang memerhatikan peredaran masa dan melakukan sesuatu terhadap kehidupannya yang semakin hari, semakin hampir kita kepada kematian. 



Pakar kewangan negara kita, Azizi Ali, dalam bukunya 'Jutawan Dari Planer Jupiter' ada menulis; ramai orang gagal dalam pengurusan kewangan kerana mereka mengikut majoriti. Semasa ramai orang membeli dan berbelanja, mereka ikut berbelanja. Jika ramai orang melabur, mereka ikut melabur. Mereka merasa selamat mengikut apa yang dilakukan oleh ramai orang. Mereka rasa rugi, takut dan bersalah jika melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh orang ramai. Contohnya, tidak membeli-belah ketika musim jualan murah. Ia kelihatain janggal menjadi 'unik' dan 'minoriti'. (Bukan dipetik, sekadar apa yang saya faham dan ingat- mungkin ada terlebih terkurang)

Sempena maal hijrah ini, saya berharap saya boleh menjadi orang yang unik dan minoriti. Saya berazam untuk memperjuangkan impian dan cita-cita saya dan saya tidak mahu mengalah kepada golongan yang majoriti, yang hanya pandai menidakkan, merendahkan, dan mempertikaikan apa yang saya perjuangkan.

Kita hidup di dunia ini sebagai khalifah. Khalifah berjuang untuk keredhaan Allah, dan setiap perjuangan meraih redha Allah, pasti akan dibantu Allah. Hakikatnya, hanya sedikit yang benar-benar berjuang menuju redha Allah dan lebih sedikit lagi yang akan berjaya. Saya percaya itu.

PS: Saya ada sebuah kisah berkenaan golongan yang sedikit ini, yang selalu saya gunakan dalam tazkirah dan ceramah saya. Insya Allah, cerita itu saya simpan untuk esok ya.

Jumaat, Disember 18, 2009

HIJRAH dan PEMBENTUKAN EKONOMI ISLAM


  HIJRAH dan PEMBENTUKAN EKONOMI ISLAM






Photobucket






(Dipetik daripada Risalah Jumaat, terbitan Masjid Asyakirin Bintulu, Bil 123/2009- Jumaat, 18 Disember 2009/ 1 Muharam 1431H. Hak Cipta dimiliki oleh Jawatankuasa Risalah Jumaat dan Masjid Assyakirin Bintulu)

Artikel ini agak panjang, untuk kemudahan anda membacanya dalam bentuk bercetak, anda boleh download versi PDF artikel ini dengan KLIK DI SINI.

Anda juga digalakkan menyebarkan artikel ini kepada umat Islam yang lain. 






Sebelum Rasulullah (SAW) berhijrah ke Madinah, pasar dan sistem perdagangan di kota itu dikuasai dan dimonopoli sepenuhnya oleh orang-orang Yahudi. Maju mundurnya masyarakat Madinah ketika itu, secara tidak langsung diatur oleh kapitalis Yahidi. Di dalam masyarakat terjadi penindasan, kezaliman dan riba di mana-mana. Setelah Rasulullah (SAW) berhijrah ke Madinah, maka selaku pemimpin, Baginda tidak dapat berdiam diri melihat keadaan masyarakat Madinah yang bersumber kepada eksploitasi oleh sistem ekonomi kapitalis.

Baginda mengambil langkah mengerahkan Saidina Abdul Rahman Bin Auf, seorang usahawan jutawan, untuk membangunkan sistem ekonomi Islam. Saidina Abdul Rahman Bin Auf memulakan dengan membangun pasar yang dikelola seratus peratus oleh umat Islam sendiri di lokasi yang tidak jauh dari pasar Yahudi, yang kemudian diberi nama "Suqul Anshar" (bermaksud; Pasar Anshar. Anshar adalah gelaran umat Islam penduduk asal Madinah). Semua orang Islam diajak untuk berjual beli dan melakukan semua aktiviti perdagangan di pasar itu tanpa berkerjasama sedikitpun dengan Yahudi dan tanpa terlibat dengan segala produk atau perkhidmatan mereka. Dengan semangat perpaduan serta ketaatan kepada Allah dan Rasul-NYA, umat Islam pada waktu itu menumpukan kegiatan ekonomi di Suqul Anshar sahaja tanpa menghiraukan pasar Yahudi.

Selepas itu, disebabkan dalam sistem ekonomi Islam yang adil dan selamat serta bebas daripada penindasan, riba dan eksploitasi, juga memberi kemudahan dan di dalamnya terdapat semangat perpaduan dan rasa ber-Tuhan yang tinggi, maka ramai orang bukan Islam dan orang daripada luar kota Madinah tertarik untuk berniaga di Suqul Anshar.



Hasil dari perjuangan itu, dalam waktu yang singkat, penguasaan ekonomi di Madinah beralih ke tangan umat Islam, sehingga menyebabkan ekonomi Yahudi yang sudah berusia ratusan tahun; boleh gulung tikar dan bangkrap bahkan ramai mereka menjadi miskin dan akhirnya menutup pasar mereka.

Oleh kerana itu, Yahudi sampai ke hari ini sangat membenci dan berdendam dengan umat Islam dan bercita-cita agar dalam aspek ekonomi, umat Islam berada dalam genggaman dan kekuasaan mereka tanpa umat Islam menyedarinya. 






Demikianlah, perpaduan umat Islam pada waktu itu, dalam ketaatan kepada Allah (SWT) dan Rasulullah (SAW), berjaya membangunkan ekonomi Islam dan sekaligus merobohkan musuh tanpa berperang. Seharusnya, kita sebagai umat Islam mencontohi dan mengikuti sunnah Rasulullah (SAW) sebagai satu strategi untuk membangunkan ekonomi Islam.



MODEL PERNIAGAAN ABDUL RAHMAN BIN AUF

Sahabat Rasulullah (SAW), Abdul Rahman bin Auf adalah seorang yang usahawan yang terkenal, hartawan dan jutawan; malah mahsyur kerana tergolong dalam sahabat yang dijamin masuk syurga. Kejayaan Abdul Rahman sebagai usahawan adalah didorang oleh kepakaran baliau berniaga dan akhlaq yang terpuji.

Abdul Rahman Bin Auf pernah ditanya; Apakah strategi perniagaan beliau sehingga beliau menjadi usahawan yang berjaya. Jawabnya;

1. Aku tidak pernah menolak keuntungan yang walaupun sedikit.
2. Aku tidak pernah menangguh dan melambat-lambatkan urusan perniagaan.
3. Aku tidak memberi kemudahan bayaran ansuran. 






Perbandingan Antara Ekonomi Islam dan Ekonomi Konvensional



Secara mudahnya, ekonomi Islam adalah perniagaan, zakat dan hubungan sesama manusia (muamalah) yang menolak riba, monopoli, spekulasi, eksploitasi, penindasan, kezaliman dan penganiayaan.



Ekonomi Islam

1. Ekonomi Islam bersumberkan wahyu daripada Allah (SWT), iaitu Tuhan yang menciptakan manusia; Yang Maha Mengetahui apa yang baik dan apa tidak baik untuk manusia.

2. Disebabkan Ekonomi Islam bersumberkan aturan Tuhan, Ekonomi Islam adalah sempurna, adil, selamat, mudah, menguntungkan dan kurang berisiko. Ekonomi Islam memenuhi tuntutan dalam hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.

3. Ekonomi Islam beridir atas dasar Aqidah, Syariat dan Akhlaq. Dalam sistem Ekonomi Islam, manusia meyakini bahawa harta kekayaan dan alam ini adalah milik Allah (SWT), manusia adalah khalifah yang dilantik untuk menguruskannya dengan sebaik mungkin. Ekonomi Islam berjalan atas dasar untuk memenuhi tuntutan syariat. Contohnya, perlu ada umat Islam yang menjual makanan yang baik dan halal kerana makanan adalah keperluan hidup. Jika ada umat Islam yang tidak mampu membeli makanan kerana kemiskinan, di sinilah perlunya ada umat Islam yang kaya untuk menunaikan tuntutan zakat bagi mengimbangi kekurangan yang dihadapi oleh golongan miskin tersebut.Perlu juga ada golongan usahawan dan peniaga yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan. Sistem Ekonomi Islam berdiri atas dasar akhlaq Islam yang indah dan mulia iaitu didasarkan dengan rasa kasih sayang, adil, bantu-membantu, selamat, menguntungkan semua pihak yang berurusan, amanah dan lain sebagainya.

4. Sistem Ekonomi Islam tidak mengambil dan merampas hak individu. Golongan yang kaya diraikan sementara golongan yang miskin diperhatikan. Golongan peniaga diperlukan, golongan pengguna dikasihi. Dalam ekonomi Islam, umat Islam mengutamakan untuk berurusan dengan sesama Islam dan jika ada bidang yang baik dan halal yang dimonopoli oleh bukan Islam, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menyediakan produk dan perkhidmatan tersebut.

5. Disamping itu, sistem Ekonomi Islam tetap menjaga hubungan dengan negara sebagaimana diperintahkan oleh Allah untuk taat kepada Rasulullah (SAW), serta pemimpin Ulul Amri, iaitu pemerintah/ kerajaan yang taat kepada Allah dan Rasulullah (SAW). 








Ekonomi Konvensional

1. Ekonomi Konvensional bersumber kepada akal manusia semata-mata. Akal manusia tidak dapat menjangkau segala apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk manusia.

2. Sistem Ekonomi Konvensional mengutamakan riba dan keuntungan semata-mata. Peniaga mementingkan keuntungan mereka, pengguna pula hanya mementingkan kepuasan mereka.

3. Riba dalam sistem Ekonomi Konvensional mewujudkan ketidaseimbangan dalam sektor-sektor ekonomi dan menghalang pertumbuhan yang sihat. Ia nampak menguntungkan, namun ia berisiko dan tidak selamat sama ada kepada golongan peniaga atau pengguna.

4. Penipuan, kezaliman dan penindasan tidak dapat dibendung.

5. Sistem ekonomi konvensional menggalakkan pembaziran dan pemborosan. Wujud lebih banyak produk dan perkhidmatan yang bertujuan untuk memenuhi nafsu membeli pengguna berbanding produk dan perkhidmatan yang benar-benar diperlukan oleh manusia.

6. Hak individu dan hak sosial tidak seimbang dalam sistem ekonomi konvensional. 





Khamis, Disember 17, 2009

JAWAPAN: KUIZ MAAL HIJRAH 1431 (Apa Yang Saya Tahu Tentang Hijrah?)


  JAWAPAN:
KUIZ MAAL HIJRAH 1431
(Apa Yang Saya Tahu Tentang Hijrah?)







Photobucket





Saya sudah menyediakan jawapan untuk kuiz Maal Hijrah yang saya siarkan semalam. Anda boleh KLIK SINI untuk mendapatkan jawapan tersebut.


Anda boleh KLIK SINI untuk mendapatkan kuiz tersebut jika anda belum mendapatkannya. Kemudian, baru anda baca jawapan ini semula. 




Sejak minggu lepas, saya berfikir, apa yang perlu saya tulis di Jurnal Online UstazCahaya ini sempena sambutan Maal Hijrah 1431. Fikir punya fikir, saya rasa, saya tidak perlu menulis tentang hijrah kerana anda boleh saja google untuk mencari artikel, video dan audio berkaitan hijrah. Apa kata, kali ini kita bermain kuiz tentang hijrah. Saya sudah pun menyediakan Kuiz Maal Hijrah, dan sudah saya siarkan semalam.

Alhamdulillah, selepas Maal Hijrah 1430H yang lalu, malam ini Allah (SWT) memberikan saya kesempatan untuk menyambut Maal Hijrah 1431. Esok, bermulalah tahun baru bagi kita umat Islam. Saya menyambut petang Maal Hijrah kali ini di Surau Darussalam, Kampung Baru Darat, Bintulu, Sarawak. Tempat yang sama saya menyambut Maal Hijrah tahun lalu. Bezanya, malam ini saya tidak berceramah. Tahun 1430 dulu saya berceramah Maal Hijrah. Saya ada menulis tentang itu di blog ini. Anda boleh KLIK SINI untuk membacanya.

Syukur juga, kita hidup di negara yang aman dan bebas untuk meraikan hari kebesaran rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama. Malam ini, semua masjid dan surau di kebanyakan tempat, ada membuat sambutan Maal Hijrah, ada ceramah dan ada jamuan. Di kebanyakan rumah juga, lampu raya dinyalakan. Menambahkan seri malam tahun baru ini, walau tidak seperti meriahnya tahun baru Masehi.

Meski ada segolongan yang menganggap amalan sambutan Maal Hijrah ini adalah bidaah dan mereka menolak untuk mengamalkannya, namun bagi saya, wajar kita bersikap sederhana. Apalah yang hendak dibantah dan dibanteras amalan yang baik ini, sedangkan di sekeliling kita banyak lagi soal umat yang besar dan berat yang menuntut perhatian dan keprihatinan kita. Terutama soal ekonomi dan kebajikan umat Islam.



Kepada anda yang membaca post ini, saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah 1431. Semoga kita menjadi muslim yang lebih baik. Saya juga berdoa, semoga anda dan keluarga selalu disayangi Allah (SWT). Amin. 


Rabu, Disember 16, 2009

KUIZ MAAL HIJRAH 1431 (Apa Yang Saya Tahu Tentang Hijrah?)


  KUIZ MAAL HIJRAH 1431
(Apa Yang Saya Tahu Tentang Hijrah?)





Photobucket

Malam esok, boleh dikatakan di kebanyakkan masjid dan surau akan mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah. Hari Jumaat, 18 Disember 2009 adalah tahun baru bagi umat Islam bersamaan 1 Muharam 1431H. Saya agak teruja menunggu kedatangan malam esok. Bagaimana anda? Apakah anda ada rasa teruja atau biasa saja menyambut tahun baru Hijrah?
Sebenarnya, tahun Masehi dan tahun Hijrah sama penting dan perlu diperhatikan oleh kita sebagai umat Islam. Lebih daripada itu, peristiwa Hijrah ini adalah peristiwa besar yang perlu diketahui dan dihayati oleh setiap kita yang mengaku Islam dan beriman.
Dalam post hari ini, saya ingin membawa saudara bersama saya menilai diri kita; tentang apa yang kita tahu mengenai Hijrah. Saya sudah menyediakan sebuah kuiz yang ringkas dan mudah untuk tujuan itu. Jum, kita mulakan sekarang.



SEBELUM KITA BERMULA…

1. Ambil beberapa helai kertas tulis dan pen. Atau, anda boleh cetak kuiz ini. KLIK SINI UNTUK DOWNLOAD FORMAT PDF kuiz ini, jika anda ingin mencetaknya.

2. Satu sahaja syaratnya; ANDA TIDAK BOLEH MEMBUAT RUJUKAN. Baca soalan dan jawab mengikut pengetahuan dan kemampuan anda pada masa ini.

3. Insya Allah, jawapan saya akan siarkan esok, 17 Disember 2009. 




_____________________________________________________________________________

SOALAN KUIZ:


1. Sebenarnya, tahun Masehi dan tahun Hijrah sama penting dan perlu diperhatikan oleh kita sebagai umat Islam, kerana kedua-dua sistem kelendar itu penting dalam soal ibadat khusus dalam Islam. Sila tuliskan kepentingan kedua-dua sistem kelendar Masehi dan kalendar Hijrah dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim:

2. Secara mudahnya, apakah yang anda tahu tentang Hijrah?

3. Boleh anda bercerita tentang beberapa peristiwa dalam sejarah Hijrah?

4. Adakah anda tahu salah seorang sahabat yang memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah. Siapakah sahabat itu dan apakah peranan penting beliau?

5. Boleh anda tuliskan moto sambutan Maal Hijrah 1431 di negara kita tahun ini?

6. Sebagai muslim, apakah yang boleh anda lakukan untuk menjayakan moto Sambutan Maal Hijrah 1431 ini?

7. Apa azam Hijrah anda tahun ini? Senaraikan.

8. Boleh anda luangkan sedikit, untuk menilai diri dan menghayati sejarah Hijrah? Soalan terakhir ini tidak memerlukan jawapan, cuma lakukan ia sebelum malam esok.

_____________________________________________________________________________



Selasa, Disember 15, 2009

Rasa Kekok Menjelang Krismas


  Rasa Kekok Menjelang Krismas









Artikel ini saya terjemahkan daripada post bertajuk 'The awkward feelings about X-mas & some history behind it' yang ditulis oleh Puan Nuradyani yang kini berada di New Zealand.

Saya hanya menterjemahkan dan menyiarkan artikel ini sebahagian sahaja, untuk artikel penuh anda boleh baca di pautan asalnya. 




Tiba masanya pada tahun ini, ketika kebanyakan orang di sini bercakap tentang Krismas. Ketika saya masih di Malaysia, saya tidak begitu terganggu dengan hal ini. Malaysia adalah negara perlbagai bangsa dan kaum, setiap orang mempunyai kebebasan untuk merayakan perayaan mereka sendiri. Namun di sini, saya berasa janggal dan kekok dengan hal ini kerana saya menyertai Peachgrove Arena Playcentre. Mengapa saya mempunyai perasaan seperti ini? Berikut adalah beberapa alasannya:

* Sebahagian besar kegiatan untuk kanak-kanak di Arena Playcentre akan memfokus kepada Krismas. Dah majoritinya menyambut Krismas..
   
* Krismas adalah pesta untuk kanak-kanak dan juga untuk orang dewasa (pesta untuk orang dewasa adalah mesyuarat bulanan di mana para ahli harus hadir- dan saya adalah antara ahlinya)
   
* Puteri sulung saya sudah mula bertanyakan soalan dan memberi tumpuan kepada Krismas. Saya sudah mencuba sedapat mungkin untuk menjelaskan kepadanya bahawa kami adalah muslim dan kami merayakan Aidl Fitri.

* Lagu-lagu Krismas diajarkan kepada kanak-kanak di sana dan terkadang susah untuk saya mengalihkan tumpuan anak-anak saya kepada sesuatu yang lain daripada lagu-lagu itu.

* Beberapa ahli lain menganggap bahawa kami juga meraikan Krismas. (dah tudung sah-sah saya pakai pun, tak tahu saya ni orang Islam. Hish ...)

Apa yang harus saya lakukan? Selalunya saya akan menyiapkan kegiatan-kegiatan lain untuk anak-anak. Ketika anak perempuan saya membuat sesuatu yang kelihatan untuk seperti pohon Krismas, saya bertanya kepada mereka apakah mereka ingin membawanya pulang? Anak-anak memang selalunya nak bawa balik. Fuh .. Saya berusaha sekuat tenaga untuk mengajar anak-anak tentang gaya hidup kami sebagai muslim dan saya selalu memberitahu mereka bahawa kami tidak merayakan Krismas dan membiarkan orang-orang yang ingin merayakannya melakukan apa yang mereka inginkan selama tidak mengganggu kami. Ketika datang masanya untuk ke majlis Krismas, saya pasti tidak akan menghadiri majlis tersebut. (Bukan nak jadi anti-social tapi tak nak bersubahat dlm meraikan perayaan diaorg)

Adakah anda menyedari bahawa mereka telah mencipta banyak kebohongan dalam perayaan ini? Mereka mencipta dogengan Santa Claus dengan harapan mencipta perayaan ajaib. Adakah anda tahu tentang asal-usul Santa Claus? Sekali lagi, saya merujuk ke Wikipedia:

Santa Claus, juga dikenali sebagai Saint Nicholas, Father Christmas, Kris kringle atau hanya "Santa", adalah tokoh yang legendaris, dalam banyak budaya Barat, membawa hadiah ke rumah kanak-kanak yang baik pada akhir malam dan tengah malam menjelang Krismas.Legenda Santa Claus mungkin bahagian daripada asas dalam cerita-cerita mengenai hagiographical tokoh sejarah daripada pemberi hadiah Santo Nicholas.

Ringkasnya, Santa dicipta untuk tujuan pemasaran. Biasanya pada akhir tahun, orang tua harus menghabiskan sejumlah besar wang membeli hadiah untuk anak-anak mereka. Yang lain juga, harus mengeluarkan wang membeli hadiah untuk ahli keluarga dan kawan-kawan.

Maksud saya menulis entri ini bukanlah untuk mempromosikan perayaan ini atau cuba untuk mengutuknya. Saya hanya ingin berkongsi beberapa fakta dan juga perasaan saya seperti yang 'nak ke tak nak' perlu berhadapan dengan ini sementara saya di sini, di New Zealand. Sementara di Malaysia, kita melihat dekorasi di pusat membeli belah dan hanya itu. Saya ada beberapa rakan yang meraikan Krismas tapi selain daripada mengucapkan selamat Krismas kepada mereka, saya tidak perlu memikirkan hal-hal lain.



Kepada Anda Yang Membaca Post Ini


Mungkin anda ada nasihat atau cadangan kepada rakan-rakan Muslim kita yang berada di luar negara (negara yang mejoriti penduduknya menyambut Krismas). Sila tinggalkan nasihat atau cadangan anda di bawah ya.

Insya Allah, saya sendiri akan menulis juga tentang panduan berkaitan di blog ini.

Apapun, bagi saya, kita adalah 'Duta Islam' di mana pun kita berada. Harap kita semua dapat menunjukkan Islam yang sebenar yang 'indah dan mudah' kepada penganut agama lain. Salah satunya ialah dalam soal sambutan perayaan agama lain seperti ini.



Isnin, Disember 14, 2009

Tiga Kisah Selipar (Bahagian 2)


  Tiga Kisah Selipar (Bahagian 2)




(Ini adalah bahagian kedua post ini.
Jika anda belum membaca bahagian pertama,
anda boleh klik sini untuk membacanya)



Photobucket

KISAH SELIPAR 3
(SUSUNAN SELIPAR dan KASUT TANDA AWAL DIDIKAN SOLAT
)

Allah (SWT) tidak memerlukan apapun daripada manusia dan makhluk-NYA yang lain. Semua amal ibadah yang diperintahkan adalah untuk kemaslahatan manusia sendiri. Begitu juga dalam soal solat; Allah sebagai Tuhan yang Haq tidak perlu kepada manusia menyembah-NYA. DIA (Allah) tetap Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Agung waima tidak ada seorang manusia pun yang menyembah-NYA.

Manusia yang sebenarnya memerlukan solat. Manusia mesti menyembah Allah melalui solat cara Islam sebagai memperakui dan menyedari mereka adalah hamba dan Allah adalah Tuhan. Semua manusia secara semulajadinya mengakui adanya Tuhan dan merasakan satu tuntutan jiwa untuk menyembah Tuhan. Perhatikan agama dan kepercayaan apa sekalipun di dunia ini; semuanya mempunyai upacara sembahan.

Dalam Islam, kualiti solat diukur melalui khusyuk. Khusyuk tidak hanya terlihat semasa solat, malah nampak kesannya di luar solat (sesudah solat). Jika solat wajib dimulakan dengan suci dan bersih, semua orang Islam yang menunaikan solat seharusnya menjaga kebersihan dalam segala aspek kehidupan; baik kebersihan tempat, badan, fikiran, hati, dan harta.
Solat juga mengajarkan disiplin, maka orang yang menunaikan solat harus menjadi seorang yang berdisiplin. Orang yang biasa melakukan solat tepat pada waktunya harus menjadi seorang yang berdisiplin terhadap waktu dalam kehidupannya. Sepatutnya, hasil didikan solat adalah orang yang menghargai dan menepati waktu.

Solat mengajarkan manusia untuk sujud dan sujud membentuk kerendahan hati. Maka seharusnya di mana pun seorang mukmin itu berada dia hidup dengan kerendahan hati. Kerendahan hati adalah peribadi yang unggul. Orang yang memiliki keunggulan peribadi adalah seorang yang terampil. Kerendahan hati tidak bermaksud lemah, menyendiri dan mengalah. Lebih daripada itu, kerendahan hati ialah keberanian dan keyakinan berhadapan dengan sesiapapun.

Islam mengajarkan tertib dalam solat. Seharusnya, seorang Muslim adalah orang yang tertib dan sopan dalam setiap aspek kehidupannya. Seorang muslim yang tertib adalah orang yang teratur dan terancang kehidupannya. Juga, tertib dan terjaga tutur katanya. Apapun yang dilakukannya, dimulai dengan berfikir sebelum bertindak dan dia menjaga tindakan dan perbuatannya.

Menurut Aa Gym (Pendakwah Terkemuka Indonesia-Malaysia), kualiti solat jamaah di sesebuah masjid dan surau antaranya tergambar melalui susunan alas kaki (kasut dan selipar) di luar masjid dan surau. Alas kaki yang tersusun dan teratur di luar tempat solat menggambarkan peribadi jamaah yang bersih, disiplin, rendah hati dan tertib.

Seorang yang bersih adalah seorang yang kemas diri, pakaian dan tempat di mana dia berada. Begitu juga dalam hal kecil berkaitan alas kaki yang ditinggalkan di luar rumah Allah. Ketika ingin memasuki rumah Allah, tempatkanlah selipar dengan baik dan kemas. Bermula daripada orang yang awal tiba dan diikuti oleh yang terkemudian. Semua jamaah harus mengamalkan disiplin menyusun selipar sebelah-menyebelah dengan baik. Tidak perlu ada orang yang menjaga di pintu masuk masjid untuk mengingatkan perkara yang kecil tapi penting ini.

Solat mengajarkan tertib dan adab. Begitu juga ketika masuk dan keluar daripada Rumah Allah. Ketika masuk, masing-masing jamaah menempatkan selipar dan kasut dengan teratur dan kemas. Begitu juga ketika keluar daripada masjid dan surau. Setiap jamaah harus menjaga adab dan tertib ketika hendak memakai semula selipar dan alas kaki masing-masing. Jangan sampai tersepak alas kaki orang lain dan jangan sampai merosakkan susunan yang dibuat sebelumnya.

Insya-Allah, jika sebelumnya alas kaki disusun dengan kemas dan teratur, kemudian jamaah keluar juga dengan beradab dan tertib, tidak susah untuk mendapatkan semula selipar dan kasut masing-masing.

Jika sebelum memulakan solat dan selepas habis solat, umat Islam boleh mengaplikasikan didikan-didikan solat; yang dipraktikkan dalam hal susunan selipar dan kasut, Insya-Allah selepas itu kita dapat mengaplikasikan prinsip-prinsip didikan solat dalam kehidupan. Jika sejurus sebelum solat dan selepas solat (iaitu semasa hendak masuk dan keluar daripada masjid dan surau); kita tidak mengamalkan prinsip bersih, disiplin, tertib dan rendah hati, bagaimanakah keadaannya selepas jauh dari tempat solat. Apakah akan meresap prinsip-prinsip solat dalam kehidupan kita?

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menjaga adab ketika masuk dan keluar dari Rumah Allah untuk bersolat. Mulakan dengan menyusun selipar dan kasut dengan kemas. Sesudah selesai solat, keluarlah dari Rumah Allah dengan tertib dan rendah hati. Insya-Allah, biarpun tabiat ini nampak kecil, semoga dengan kesungguhan kita menyempurnakan perkara yang kecil tetapi penting, Allah (SWT) akan memberikan kita kemudahan dalam menyempurnakan perkara yang lebih besar dan lebih penting.



AA GYM Pictures, Images and Photos

“Oleh kerana kami belum mampu melakukan yang besar-besar, kami mulakan dari alas kaki sahaja dulu yang tertib”. (Aa Gym)

“Aa berharap alas kaki di masjid tersusun dengan rapi. Aa selalu berdiri di depan pintu masjid untuk mengatur alas kaki. Lama-kelamaan para pelajar jadi malu dan akhirnya ikut menyusun alas kaki”.
(Komarudin; Pelajar Aa Gym di Daarut Tauhid)