Sabtu, Februari 27, 2010

Normah Becok Pula Menegur Halimah Jongang


Normah Becok Pula Menegur Halimah Jongang




Beberapa hari yang lalu, di blog ini saya menulis tentang drama tv yang sedang laris berjudul Halimah Jongang. Saya bawakan juga petikan Siti Jarum (penulis hiburan di Mingguan Malaysia) berkenaan Halimah Jongang. Jika anda belum membacanya, anda boleh KLIK SINI untuk membacanya.

Saya tidak terkejut jika kenyataannya, ada insan yang bukan saja terguris dan terluka oleh drama komedi Halimah Jongan, bahkan fenomena Halimah Jongang juga memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka yang berkenaan. Pasti, di luar sana ramai yang sedang menanggung luka dan tekanan hidup bahana fenomena drama Halimah Jongang ini.

Hari Khamis yang lalu, saya membaca di akhbar Berita Harian, luahan seorang bapa yang sedih dan kecewa kerana anaknya (yang jongang) menjadi bahan ejekan di sekolah dan hal ini memberi tekanan kepada anaknya itu. (Rujuk: Normah Becok, HIP muka 18, Berita Harian Khamis 25 Februari 2010).


Normah becok mendengar cerita daripada teman sepejabatnya, ada seorang ayah menelefon dari Kluang, Johor. Ayah ini ada anak yang jongang. Anaknya jadi bahan jenaka dan diejek di sekolah. Ayah tersebut pernah menghantar email ke stesen tv yang menyiarkan drama Halimah Jongang, tapi sampai sekarang nampaknya Halimah Jongang masih bersiaran. (Halimah Jongang disiarkan di saluran Astro Prima).

Ayah itu hilang punca apabila anaknya harus berdepan dengan situasi memilukan itu apabila fizikal anaknya itu menjadi usikan. Apa orang lain rasa jika terjadi kepada darah daging sendiri, kata ayah tersebut. Bagi ayah yang mengadu, buruk baik rupa seseorang semuanya tetap menjadi kebesaran ciptaan Tuhan. Tak perlulah menjadikan subjek kekurangan manusia itu sebagai isu yang boleh dipersendakan.
Petikan dari tulisan Normarh Becok:

[Cik Normah melihat apa yang disuarakan oleh pemanggil itu ada alasan yang tersendiri. Lagu dendangan Eddie Hamid itu sendiri memberi penekanan yang cepat menangkap di minda kita. Korusnya sendiri melakukan pengulangan kepada subjek jongang itu.


Tak dinafikan lagu itu sangat catchy, tapi bagi mereka yang dilahirkan sedemikian akan cepat terasa hati dan pasti ia memberi kesan yang cukup mendalam.


Biarpun drama Halimah Jongang sekadar menghiburkan dan memberi pengajaran tersendiri, pelbagai persepsi positif dan negatif tetap ada. Tepuk dada tanya hati. Kalau terkena batang hidung sendiri, baru terasa kot.]

Jika begini kesan daripada drama Halimah Jongang, ini adalah satu masalah yang serius. Pihak berkenaan perlu memberi perhatian dan tindakan sewajarnya. Sekalipun ada niat memberi teladan dan moral dalam drama Halimah Jongang, itu bukan satu alasan yang mewajarkan kezaliman ke atas masyarakat kita yang berkenaan. Apatah lagi, jika drama itu semata-mata hiburan untuk meraih keuntungan!

Sepanjang sejarah manusia, karya bukan sahaja untuk menghibur, karya adalah untuk mendidik. Juga, karya adalah cerminan tamadun sesebuah masyarakat. Lebih-lebih lagi sebuah karya drama tv yang diterima oleh ramai.

4 ulasan:

  1. salam
    rupanya banyak juga respon negatif ya..

    saya lagi tak suka cerita 'anak halal' berbanding halimah jongang....

    BalasPadam
  2. tambahan
    bab jongang..
    jongang boleh 'dirawat'
    tapi kehancuran akhlak panjang jalan nak selesaikannya....

    BalasPadam
  3. Fid:

    Salam Kak Fid.

    Iye benar. Fizikal boleh dirawat. Namun, kehancuran akhlaq itu memang satu cabaran. Ejek-mengejek dan menghina orang juga masalah akhlaq kak Fid kan.

    BalasPadam
  4. ..tambahan:

    Anak halal? Erm, sebenarnya pakar mengatakan filem 'box office' di negara kita masih belum dapat menggambarkan realiti dalam masyarakat.

    Saya peribadi melihat Anak Halal belum begitu real mencerminkan apa sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat kita.

    Sehinggakan, jika mereka yang dalam 'lorong' anak halal itu pun akan rasa macam 'eih apa ni? Tak real lah. Mana ada kami macam tu..'.

    Apatah lagi untuk filem kita dapat mendidik, masih juah..

    BalasPadam