25/02/2010

Tentang Rasulullah: Berapa Banyak Yang Kita Tahu?


Tentang Rasulullah:
Berapa Banyak Yang Kita Tahu?





Sekurang-kurangnya sehari semalam kita mengucapkan dua kalimah syahadah sebanyak 9 kali, iaitu ketika duduk tahiyyat dalam solat fardhu lima waktu; subuh 1 kali, zuhur 2 kali, asar 2 kali, maghrib 2 kali dan isya 2 kali.

Dalam kalimah syahadah kita mengaku 'Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah'. Kemudian ketika tahiyyat akhir kita lanjutkan pula dengan salawat. Sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam kita bersalawat kepada Rasulullah (SAW) dalam solat fardhu.

Malam ini, suka saya mengajak diri saya sendiri dan saudara yang membaca post ini untuk menilai diri kita; berapa banyak yang kita tahu tentang Nabi Muhammad Rasulullah (SAW)? Jika kita diminta menulis senarai 10 fakta penting tentang Baginda, apakah mampu kita menyenaraikannya? Bagaimana jika 20? 30? 40? 100? 2000?

Astaghfirrullah Al-Azhim. Bila mencuba membuat senarai secara spontan tanpa rujukan, rupanya sangat sedikit yang saya tahu tentang Rasulullah (SAW). Sedangkan saya mengakui Baginda adalah Rasul Allah, penyampai risalah Allah dan yang memperkenalkan saya kepada Allah.

Rupanya, dalam sibuk saya menjalani hidup, sangat sedikit yang saya tahu tahu tentang Rasulullah (SAW). Sedangkan saya mengharap mendapat syafaat Baginda di hari akhir kelak. Pada hari akhir di mana setiap manusia akan berharap menjadi umat Nabi Muhammad Rasulullah (SAW).

Justeru bersempena malam maulid ini, saya bawakan di sini 21 fakta ringkas tentang Rasulullah (SAW). Senarai fakta ini saya petik daripada 'Sepintas lalu mengenai Nabi Muhammad (SAW)', majalah Al-Islam Mac 2008, muka 48-49.



1. Aminah bin Wahab, hamil setelah duan atau tiga bulan berkahwin dengan Abdullah bin Abdul Mutalib dan tinggal di kota Mekah. Abdullah kemudian pergi ke Syam untuk berniaga.

Dalam perjalanan pulang, Abdullah jatuh sakit (demam) di kota Yatsrib (Madinah) dan meninggal dunia serta dikebumikan di sana.

2. Pada subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 masehi, Aminah melahirkan seorang putera lelaki sulung yang bakal menjadi Nabi akhir zaman.

Bapa mertua Aminah iaitu Abdul Mutalib kemudian membawa bayi itu ke dalam Kaabah dan berdoa.

Selepas tujuh hari, Abdul Mutalib memberikan nama bayi itu Muhammad dan membuat majlis jamuan kesyukuran dengan mengundang ramai pembesar Quraisy.

Abdul Mutalib adalah ketua kaum Quraisy yang dihormati dan keturunan Qushai iaitu pahlawan suku kaum Quraisy dari keturunan Bani Ismail.

3. Muhammad kemudian diserahkan kepada seorang wanita dusun bernama Halimah dari Bani Sa'ad untuk menjadi ibu susuan kepada Muhammad.

Setelah berusia dua tahun, Halimah menyerahkan semula Muhammad kepada ibunya Aminah tetapi Aminah meminta Halimah terus menyusukan Muhammad dan memeliharanya sebab bimbang dijangkiti penyakit di kota Mekah.

4. Ketika Muhammad berusia 4 tahun, beliau ikut anak Halimah bernama Abdullah mengembala kambing-kambing Halimah di dusun.

Suatu hari, datang dua lelaki (malaikat) berpakaian serba putih membawa lari Muhammad ke suatu tempat membedah dadanya dan membuang sesuatu benda hitam.

5. Setelah peristiwa pembedahan ajaib itu, Halimah berasa takut, lalu segera dia menyerahkan Muhammad kepada ibunya Aminah semula (dalam usia Muhammad empat atau lima tahun ketika itu).

6. Bila umur Muhammad enam tahun, ibunya membawanya menziarahi keluarganya di Madinah di samping menziarahi kubur arwah suaminya, Abdullah. Mereka ditemani oleh pembantu perempuan bernama Ummu Aiman. Bapa Aminah adalah dari keturunan Bani Najjar di Madinah.

7. Setelah sebulan di Madinah, mereka pun pulang semula ke Mekah. Dalam perjalanan sewaktu tiba di desa Abwaa', kira-kira 35 kilometer dari Madinah, Aminah jatuh sakit dan beberapa hari kemudian beliau wafat, lalu dikebumikan di situ.

Muhammad bersedih dan dibawa pulang ke Mekah oleh pengasuhnya, Ummu Aiman. Baginda menjadi anak yatim piatu.

8. Abdul Mutalib memelihara cucunya Muhammad dengan penuh kasih sayang sehinggalah umur Abdul Mutalib 80 tahun, beliau meninggal dunia.

Muhammad lalu dibela oleh pakciknya, Abu Talib dengan penuh amanah. Muhammad pandai mencari rezeki mengambil upah mengembala kambing di kampung Jiyad.

9. Bila Muhammad berusia 12 tahun, beliau mengikut Abu Talib berniaga di Syam bersama bersama rombongan kafilah pada tahun 583 masehi.

Tiba di kota Basrah, ada seorang pendita Nasrani bernama Bakhira (atau Buhaira) berpesan kepada Abu Talib supaya menjaga Muhammad dengan baik sebab Baginda bakal menjadi seorang nabi dan rasul akhir zaman.

Bakhira dapat menyaksikan tanda-tanda kenabian pada Muhammad berdasarkan cerita dalam kitab Injil.

Selepas berniaga di Syam, Abu Talib cemas, segera membawa Muhammad pulang ke Mekah.

10. Pada usia 24 tahun, Muhammad bekerja membawa barang dagangan milik wanita kaya - Siti Khadijah ke Syam dengan ditemani Maisarah (pembantu Khadijah).

11. Sampai di kota Syam, Muhammad berehat sendirian di bawah sebatang pohon besar dekat Pasar Busra. Kawan-kawan dalam kafilahnya berehat beramai-ramai di sudut lain.

Kemudian seorang lagi pendera Nasrani bernama Mastura telah memberitahu Maisarah bahawa pemuda yang duduk di bawah pokok besar itu adalah bakal seorang nabi akhir zaman berdasarkan tanda-tanda yang dilihatnya.

Selepas selesai berniaga dan mendapat untung, Muhammad bersama kafilahnya dan Maisarah pun pulang semula ke Mekah.

12. Pada usia 25 tahun, Muhammad berkahwin dengan Siti Khadijah.

13. Selama 12 tahun perkahwinan Muhammad dengan Siti Khadijah, dua putera dan empat puteri iaitu Qasim (meninggal dunia umur 2 tahun), Zainab, Abdullah (meninggal dunia semasa kecil), Ruqayyah, Ummu Kalsum dan Fatimah (Fatimah dilahirkan ketika Muhammad berusia 35 tahun). Fatimah kemudiannya berkahwin dengan Ali bin Abu Talib.

14. Ketika berusia 40 tahun, Muhammad menyendiri beberapa bulan di dalam Gua Hira (di puncak (Jabal Nur).

Suatu malam pada hari Isnin, 17 Ramadan bersamaan tahun 610 Masehi, Muhammad menerima wahyu pertama dari Allah iaitu Surah Al-Alaq (ayat 1-5) yang disampaikan dan diajarkan membacanya oleh malaikat Jibril.

Dengan turunya wahyu itu, maka Muhammad telah diangkat menjadi Nabi dan Rasul-Nya untuk menyampaikan risalah Allah kepada seluruh manusia di dunia ini.

15. Nabi Muhammad (SAW) mengembangkan syiar Islam dengan mengajar manusia hanya menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain. Al-Quran adalah kitab suci-Nya yang mengandungi peringatan dan ajaran untuk panduan hidup manusia di dunia hingga akhirat.

Muhammad (SAW) menerima banyak tentangan dari orang-orang Quraisy di Mekah.

16. Pada tahun kesepuluh kenabian, pakcik Baginda iaitu Abu Talib meninggal dunia pada usia 87 tahun. Pada tahun sama, Siti Khadijah meninggal dunia beberapa bulan kemudian.

17. Pada tahun kesebelas kenabian, Rasulullah (SAW) mengalami peristiwa ISrak dan Mikraj. Dalam peristiwa itu, Baginda menerima perintah kewajipan solat lima waktu.

18. Pada tahun ketiga belas kenabian, Nabi Muhammad (SAW) berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama Abu Bakar As-Sidiq yang kemudian disusuli oleh keluarga mereka yang dibawa oleh Abi Talib.

19. Pada 10 Ramadhan tahun kelapan Hijrah, Nabi Muhammad (SAW) bersama kira-kira 10,000 tentera Islam menuju ke Mekah dan berjaya menakluk Mekah tanpa peperangan kerana orang-orang kafir Quraisy mahu berdamai.

20. Pada 25 Zulkaedah tahun kesepuluh Hijrah, Nabi Muhammad (SAW) bersama 100,000 umat Islam bertolak dari Madinah ke Mekah untuk mengerjakan haji wada'.

21. Selepas tiga bulan pulang dari mengerjakan haji, Rasulullah (SAW) demam beberapa hari dan wafat di Madinah. (Iaitu pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah bersamaan 8 Jun tahun 632 Masehi. Makam Rasulullah (SAW) kini ada di dalam Masjid Nabawi di Madinah.

Nabi Muhammad (SAW) berusia 63 tahun ketika wafat dan setelah 23 tahun menjadi Rasul Allah.



Tidak pernah jemu saya mendengar lagu Raihan (and the gang) yang satu ini, walaupun telah bertahun-tahun mendengarnya...




Lagu Aura Rosul dari Padang Ati ini juga adalah antara lagu kegemaran saya, yang saya tidak faham maksud liriknya ;D (yang saya faham itu mungkin selawat itu saja, hehe..)

Tapi lagu ini memang best walaupun agak lucu juga mendengar bahasa yang kita tidak faham ye;-)




9 ulasan:

  1. Allahumma Sollii 'Alaa Sayyidinaa Muhammad.
    - Pernah dalam perjalanan keMadinah, pemandu bas kami melencong keperkampungan Abwa', tapi bila hampir sampai, diberitahu tanah perkuburan tempat semadinya ayah Nabi, dilarang orang luar menziarahinya.

    - Tempat kelahiran Nabi saw waktu saya terakhir diMekah telah dijadikan kutubkhanah.
    Jabal Qubais tempat bulan dibelah sudah tersergam istana raja.
    - Saya pernah kesalah satu dari masjid 7 - Berdekatan dengan tempat dimana Salman AlFarisi menggali parit ketika Perang Khandak - Kali terakhir saya tidak kesana kerana (khabarnya) hendak dibangunkan Shopping Centre.

    - Api yang 500 tahun tidak pernah padam dirumah ibadah Majusi Parsi (Iran), tiba2 padam (Waktu kelahiran junjungan Muhammad) - Ini diakui sendiri oleh penganut & pengunjung tempat itu (Kebetulan saya menonton Travel & Living yang waktu itu sedang menunjukkan tempat ibadah berkena'an & menemubual menanyakan sejarah tempat suci mereka. Walaupun mereka tidak mengaitkan kelahiran Nabi terakhir, tapi mereka menyebut api kecil itu pernah tiba2 terpadam dengan sendirinya lebih 1,000 tahun dahulu).

    - Selain kubur Saidatina Khadijah ra diPerkuburan Ma'ala, diMakkah, kubur Saidatina Maimunah ra juga diMakkah. Terletak ditepi jalanraya (+-) 18km dari kota Mekkah.

    Sama2lah kita rajin2kan diri membaca Surah Hajji dengan niat dapat cepat menunaikan & selalu menunaikan ibadah haji & umrah.
    Sama2lah kita banyakkan selawat haji (ustaz pasti tahu selawatnya) - Permudahkan kita dapat sampai keTanah Suci & insyaALLAH perjalanan ibadah kita semuanya mudah & selesa. Amiin

    ***Ma'af - Panjang berjela.

    BalasPadam
  2. Bila pulang dari maulid tadi, seolah2 pulau kecil tiba2 seakan2 Madinatul Munawwarah - Bandaraya Cahaya.
    Apatah lagi MUIS (Majlis Ugama Islam S'pura) umumkan sambutan rasmi maulid dijalankan sebulan penuh (yg tak rasmi berbulan2lah tu).
    Alhamdulillah.

    BalasPadam
  3. salam ustaz
    terima kasih atas entry ini
    nanti akif dah boleh baca...boleh suruh dia baca

    sirah Nabi ni memang tak jemu dibaca/dengar

    BalasPadam
  4. salam ustaz,
    bila mengingati hari kelahiran Nabi Muhammad ini, mmg seeloknya kita mengenang kembali sejarah perjuangannya. Saya bercadang bila balik nanti nak cari satu set buku2 para nabi utk dibacakan pd anak2. Insyaallah.

    BalasPadam
  5. Ummie:

    Salam Kak Hajah Ummie.

    Terima kasih banyak-banyak Kak Hajah, kerana menambah info yang berkaitan di sini. Semoga bermanfaat bagi saya dan pembaca yang lain. Lebih banyak dan lebih berinformasi, lebih saya suka.

    Alhamdulillah. Tahniah, di Singapura kemeriahannya seperti itu.

    Terima kasih Kak Hajah Ummie;-)

    BalasPadam
  6. Fid:

    Salam Kak Fid.

    Alhamdulillah, sekadar usaha yang saya mampu. Insya Allah, saya percaya Kak Fid boleh memperkenalkan Rasulullah SAW kepada Akif bermula sekarang.

    Masih terlalu banyak tentang Rasulullah (SAW) yang saya tidak tahu. Rasa nak ulang baca lagi puisi panjang Al-Amin.

    Terima kasih Kak Fid;-)

    BalasPadam
  7. temp. housewife:

    Salam Kak Nuradyani.

    Insya Allah, saya mendoakan Kak Nur, Amin.

    Masa solat Jumaat tadi, dalam khutbah, khatib mengingatkan kami bahawa di Sarawak, umat Islam adalah golongan minoriti. Jadi, penting memberi tumpuan kepada kanak-kanak, remaja dan pemuda Islam dengan memupuk mereka cinta kepada Rasulullah dan perjuangannya. Saya sangat bersetuju dengan pesan itu.

    Saya memuji usaha Kak Nur untuk memperkenalkan para Nabi kepada anak-anak akak.

    Terima kasih Kak Nuradyani;-)

    BalasPadam
  8. Salam adindaku UstazCahaya. Marilah bersama-sama mengiringi saya berselawat ke atas junjungan mulia "Allahumma solli 'ala saidina Muhammad, wa 'ala ali saidina Muhammad".

    BalasPadam
  9. Mybabah:

    Salam Bang Samsudin.

    Mari.. "Allahumma solli 'ala saidina Muhammad, wa 'ala ali saidina Muhammad"

    Terima kasih Bang Samsudin;-)

    BalasPadam