Rabu, Februari 24, 2010

Ucapan Cinta Penghuni Syurga


Ucapan Cinta Penghuni Syurga


 






Photobucket


Apabila kamu diberi penghormatan,
maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik,
atau balaslah (dengan yang serupa).
Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.

(Surah An-Nisa 4:86)

MUKADDIMAH

(السلام) As-Salam dalam bahasa Arab bermaksud sejahtera. As-Salam adalah salah satu nama daripada Asma Allah yang bermaksud Yang Maha Sejahtera. Daripada perkataan ‘salam’ lahir perkataan Islam iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) untuk manusia. Salah satu budaya yang dianjurkan kepada  penganut Islam ialah budaya mengucapkan salam sesama kita dengan ucapan:


“Salam Sejahtera Ke Atas Kamu dan (semoga)
Kamu Dirahmati Allah dan Diberkatinya”


Lafaz menjawab salam adalah seperti berikut;

 

“Dan (juga) Ke Atas Kamu Salam Sejahtera
dan (semoga) Kamu Dirahmati Allah dan Diberkatinya”

SEJARAH SALAM

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Adam (AS) selesai diciptakan, Allah (SWT) menyuruh Nabi Adam (AS) bertemu dengan segolongan malaikat yang sedang duduk dan memberi salam kepada mereka.

"Dengarkanlah, jawapan salam mereka kepadamu, sesungguhnya itu adalah sebagai penghormatan bagimu dan bagi keturunanmu", Allah (SWT) berfirman kepada Nabi Adam (AS).

Maka Nabi Adam (AS) pun menghampiri para malaikat itu dan mengucapkan salam yang diajarkan Allah keapda baginda iaitu: "Assalamu 'alaikum".

"Waalaikumus salam warahmatullah", jawab para malaikat.

(HR. Bukhari - Muslim).

Prinsip-Prinsip Dalam Lafaz Salam
1. Mengingati  Allah  (SWT).

2. Peringatan kepada diri sendiri untuk menjaga kesejahteraan.

3. Ungkapan dan penyebaran kasih sayang antara sesama umat Islam.

4. Doa yang istimewa.

5. Janji dan pengakuan bahawa ‘anda aman dari bahaya tangan dan lidahku’ kepada orang yang diucapkan salam.

Protokol Ucapan Salam

Protokol (adab) dalam mengucapkan salam adalah seperti berikut:
- Orang yang berkenderaan mendahului memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.

- Orang yang berjalan kaki mendahului memberi salam kepada orang yang duduk.


- Kelompok yang sedikit mendahului memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.


- Orang yang hendak meninggalkan sesuatu tempat memberi salam kepada orang yang tinggal.


- Semasa keluar rumah dan juga semasa  pulang ke rumah, ucapkanlah salam walaupun tidak ada orang di rumah

- Jika bertemu berulang-ulang maka ucapkan salam setiap kali bertemu.


- Orang yang hendak berucap mengucapkan salam kepada orang yang mendengar (di depannya)

- Orang yang lebih muda mendahului mengucapkan salam kepada orang yang lebih tua.

- Orang yang baru sampai mengucapkan salam kepada orang yang telah dahulu berada di satu-satu tempat.
SALAM: Ucapan Cinta Penghuni Syurga

UCAPAN atau perkataan yang digunakan oelh para penghuni syurga adalah ucapan salam atau ucapan keselamatan dan kata-kata yang baik kerana kebahagiaan mereka dapat memasuki syurga. Tiada perkataan  melukakan perasaan atau ucapan yang sia-sia dan keji. Semua ucapan penghuni syurga adalah ucapan kesejahteraan, kasih sayang dan kebahagiaan.

"Mereka (para penghuni syurga) tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia yang menyebabkan dosa, melainkan perkataan saiam, seiamat, sejahtera. "(Surah Al-Waqi'ah : 25-26).

"Mereka (para penghuni syurga) tidak mendengar perkataan yang sia-sia di dalamnya melainkan perkataan salam (perkataan yang baik), dan bagi mereka (pula) memperoleh rezeki di dalamnya pagi dan petang." (Surah Mariam : 62).

Dan para malaikatpun akan menyampaikan ucapan salamat kepada penghuni-penghuni syurga : "Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, dihalau ke dalam syurga dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai kepadanya, dibukalah pintu-pintunya dan berkata malaikat-malaikat penjaganya kepada mereka : Selamat untukmu, kamu telah suci, maka masuklah kamu kedalam syurga serta kekal (di dalamnya)." (Surah Az-Zumar: 73).

Sekiranya kita mengaharapkan dan mengimpikan kehidupan di syurga, maka budayakan ucapan salam dan perkataan yang baik-baik dalam kehidupan kita di dunia ini.

PENUTUP 

‘Hello’ dalam bahasa Ibrani (atau Yahudi) bermaksud; ‘Hell’ maknanya neraka, ‘O’ maknanya kamu; jika digabungkan menjadi ‘Kamu Ahli Neraka’ atau ‘Celaka Kamu’. Maka terbukti ucapan salam lebih indah dan lebih baik untuk kita amalkan dan gunakan baik semasa bertemu, semasa memulakan perbualan telefon, ketika menjawab panggilan telefon dan sebagainya.

Salam merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang menjadi hak antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Salam adalah doa seorang muslim kepada saudaranya yang lain agar beroleh kesejahteraan, kasih sayang dan berkat dari Allah (SWT). Budaya mengucapkan dan menjawab salam adalah budaya saling-mendoakan yang semestinya difahami dan diamalkan oleh kita.

Salam bukan sekadar ‘pembuka bicara’ atau ‘ucapan untuk menyapa’. Salam adalah sebuah doa. Sesuai dengan kedudukannya sebagai doa yang kita ucapkan kepada orang lain pasti di sebaliknya adalah tuntutan untuk kita saling berusaha agar kehidupan kita sentiasa dipayungi keselamatan dan kesejahteraan. Sepatutnya perbuatan kita dalam perhubungan dengan orang lain yang selalu kita ucapkan salam kepadanya tidak bertentangan dengan doa yang selalu kita ucapkan kepadanya seperti lafaz doa (salam) di atas.

Semoga di sebalik salam yang kita sering ucapkan dan menjawabnya, tidak tersembunyi perasaan-perasaan buruk sangka, pandang rendah, bongkak sombong, dengki khianat, dan lain sebagainya. Semoga kita bukan saja menjadi umat yang saling mendoakan kesejahteraan, kasih sayang dan keberkatan malah kita sama berusaha menjadi umat yang saling mengecapi dan menjaga kesejahteraan, kasih sayang dan memperolehi keberkatan Allah (SWT).



UstazCahaya:

Dipetik dan diolah semula dari Nota Kuliah Takmir bertajuk 'Salam: Ucapan Penghuni Syurga' yang saya sediakan untuk program kuliah mingguan Program Takmir Masjid dan Surau anjuran Majlis Islam Sarawak. Saya adalah Guru Takmir untuk bahagian Bintulu, Sarawak.


8 ulasan:

  1. salam ustaz..
    bagaimana denagn pengucapan "salam" sahaja
    seperti dalam penulisan? dan bagaimana dengan
    "assalamualaikum" walau dalam rumi..rasanya jika afdal dalam jawi السلام عليكم ..
    pernah di bincangkan dalam satu forum jawapan terbanyak yang penting niat kita di samping kita ikhlas dalam member salam..

    BalasPadam
  2. Selawat & Salam KeAtas Junjungan Nabi Kita, Muhammad (saw).
    Moga Allah swt jadikan kami semua golongan orang2 soleh, diqabulkan hajat2 kami, kami mohon pertolongan & sentiasa dalam limpahan kemurahan Allah 'Azza wa Jalla.
    Amin Ya Rabbal 'Aalamiin.

    BalasPadam
  3. Salam ustaz...

    patut pun rasa semacam bila sebut hello...

    Salam maulidur rasul...moga bertambah rasa kasih dan sayang kita kepada baginda saw. InsyaAllah,tak sabar nak melawat makam baginda,dalam 2 minggu lagi, insyaAllah..doa2kan ya! moga dipanjangkan umur dan dapat ke sana..

    BalasPadam
  4. zulkbo:

    Salam Bro Zul.

    Semoga kita tidak menggantikan perkataan 'Assalamualaikum' dengan 'A'kum' dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan. Jika perkataan Assalamualaikum itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan 'Salam' iaitu sama makna dengan Assalamualaikum.

    Perkataan 'AKUM' adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi kepada orang-orang bukan yahudi yang bermaksud 'BINATANG' dalam Bahasa Ibrani. Ia singkatan daripada perkataan 'Avde Kokhavim U Mazzalot' yang bermaksud 'HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT'..

    Mulai sekarang jika ada orang hantar shortform 'A'kum', kita ingatkan dia guna 'Salam' kerana salam ialah dari perkataan Assalamualaikum.

    Boleh gunakan fungsi ‘draft’ atau ‘template’ dalam telefon dan email untuk menaip perkataan ‘Assalamu’alaikum’. Atau gunakan sahaja kalimah ‘Salam'

    Tentang guna huruf jawi, ia lebih bagus jika ada dan jika menulis tangan. Untuk menaip sama ada guna PC atau HP, boleh guna 'Salam' atau 'Assalamu'alaikum'.

    Terima kasih Zulkbo;-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. ada yg kata Salam pun kurang sesuai..seelok2nya guna Assalam sbg ganti Assalamualaikum..mcm mana ni ustaz?

      Padam
    2. 'Salam' maksudnya sejahtera. As-Salam merupakan salah satu dari 99 Asma al-Husna. Saya setuju jika dikatakan tidak sesuai guna perkataan 'salam' sebagai ucapan.

      Ucapan salam yang diajarkan kepada kita yang sahih dari Rasulullah (saw) ialah lafaz 'Assalamu'alaikum'. Kiranya, menggunakan yang dicontohkan dari Rasulallah itula sebaik-baiknya dan mengikut sunnah; baik dalam ucapan lisan, mahupun dalam tulisan.

      Padam
  5. Ummie:

    Salam Kak Hajjah Ummie.

    Salam maulid saya untuk Kak Hajah dan keluarga, juga saudara seagama di Singapura.

    Selawat & Salam KeAtas Junjungan Nabi Kita, Muhammad (saw).

    Moga Allah swt jadikan kami semua golongan orang2 soleh, diqabulkan hajat2 kami, kami mohon pertolongan & sentiasa dalam limpahan kemurahan Allah 'Azza wa Jalla.

    Amin Ya Rabbal 'Aalamiin.

    Terima kasih Kak Hajah Ummie;-)

    BalasPadam
  6. Afida Anuar:

    Salam Afida.

    Adakalanya kita terpaksa kan, nak buat macam mana. Lagipun, adalah lebih baik jika kita tahu. Sebolehnya sesama muslim, saya mencuba sedaya upaya untuk tidak guna 'hello' tapi adakalanya terpaksa dan tersasul guna juga. Semoga diampuni Allah.

    Salam Maulid untuk Afida juga. Semoga kita menjadi para pencinta Rasulullah dan layak mendapat syafaat Baginda di hari akhir kelak, Amin Ya Rabb Al-Alamin.

    Hamdalah. Tahniah Afida. Saya mendoakan ziarah dan umrah Afida dibantu Allah dan diterimanya, Amin Ya Rabb. Jangan lupa bergambar di bawah pohon kurma ya;-)

    Terima kasih Afida;-)

    BalasPadam