Jumaat, Mac 05, 2010

Seminggu sudah berlalu...


Seminggu sudah berlalu...


Seminggu sudah berlalu.... Sambutan Maulidur Rasul sudah hilang kemeriahan. Senyap sudah riuh rendah salawat merindu Rasulullah (SAW). Sunyi sudah di mana-mana daripada aktiviti mengimbas sirah. Maka, kembalilah kita menjauh daripada Rasulullah (SAW). Sedang kita belum benar-benar mengenal Baginda. Sedang kita belum benar-benar menghayati sirah. Sedang kita masih belum benar-benar mengamalkan sunnah.

Seminggu sudah berlalu.... Kubur Syafia Humairah masih merah. Harum bunga yang ditabur di pusara arwah tempoh hari masih berbau. Negara dikejutkan lagi dengan kematian seorang kanak-kanak 18 bulan mati dibunuh kejam bernama K Haresvarran. Masya Allah. Petunjuk apakah ini ya Allah? Apakah kami kini kembali menuju jahiliyyah? Jika ya, bermakna kami memerlukan tokoh pemimpin yang boleh menyelamatkan kami. Kami memerlukan panduan dan pertolongan-Mu ya Allah. Kami resah gelisah dan gundah. Kami takut menduduki zaman jahiliyyah.

Seminggu sudah berlalu.... Mana kamu? Mana kamu? Mana kamu? Di manakah suara kamu yang belum beberapa lama dahulu lancang dan lantang mempertikaikan hukuman sebat ke atas tiga wanita yang sabit kesalahan meminum arak? Di mana hak asasi manusia yang kamu perjuangkan? Ke mana menghilang suara merdu dan lantang kamu yang galak bersuara mempertikai ketentuan dan hukum agama? Tidakkah ini satu musibah menyerang manusia dengan hak asasinya?

Seminggu sudah berlalu.... Kita masih keliru. Ahli-ahli agama masihkah begitu? Masihkah seperti dulu? Masihkah seperti selalu? Masihkah bertengkar tentang ini sunnah itu bidaah? Masihkah  berceramah tentang ini salah itu masalah? Sudah-sudahlah. Sudah masanya kalian lebih arif memilih keutamaan antara masalah. Sudah-sudahlah. Sudah masanya kita berhenti berbalah. Sudah-sudahlah. Sudah masanya kita memperbaharu dan memperbaiki cara dakwah.

Seminggu sudah berlalu.... Orang politik masih begitu? Wah ini berlaku di negeri itu. Wah ini modal untuk menjatuhkan kerajaan negeri tempat tragedi berlaku. Wah ini peluang menyalahkan parti lawan. Wah, benarlah parti kita sahaja yang mampu menjaga manusia. Parti lawan sudah gagal. Aduh parah semakin parah. Kalian diberi Allah pangkat dan darjat bukan untuk saling salah menyalah. Kalian semua menjunjung amanah bukan bertanding merebut menang dan kalah. Darah merah terus tumpah. Kita ini merdeka sudah. Sudah-sudahlah bermain dengan jarum politik tinggalan penjajah. Terbahagi dua kita berbalah, bangsa kita terus lemah dan terus kalah.

Seminggu sudah berlalu.... Blogger terus mengetuk keyboard. Setiap masa mengeluarkan entry baru. Melahirkan rasa marah, geram, sedih dan terharu. Datanglah pembaca memberi komen. Panjanglah perbincangan tentang musibah yang berlaku. Termasuk aku. Aku ada akal yang dengannya aku berfikir. Aku ada perasaan yang dengannya aku melihat dan menghayati keadaan. Aku ada komputer untukku menaip perkataan demi perkataan. Aku ada blog untuk aku berkongsi perasaan dan buah fikiran. Semua itu adalah nikmat dan rahmat Tuhan. 

Seminggu sudah berlalu.... Kita tidak boleh terus begini. Kita perlu mengambil masa menghurai petunjuk ini. Memikirkan petunjuk yang Allah cuba beri. Kita tidak boleh terus begini. Kita perlu mengambil masa menghurai petunjuk ini. Apakah yang patut kita lakukan dalam gelombang musibah yang sedang melanda ini? Aduh! Kita tidak boleh terus begini. Ayuh! Kita perlu mengambil masa menghurai petunjuk ini.

Seminggu sudah berlalu..... Minggu depan seminggu lagi. Kemudian seminggu lagi dan seminggu lagi. Kita tidak boleh terus begini. Apakah jawapan yang akan kita persembahkan kepada Tuhan di hari akhir nanti?




Budak 18 bulan mati dipukul, dipijak jiran
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my



PETALING JAYA: Belum pun selesai kes Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, yang mati ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya, minggu lalu, seorang lagi kanak-kanak berusia 18 bulan pula menjadi korban terbaru kes penderaan.

Dalam kejadian di Pangsapuri Bestari Damansara, Kayu Ara di sini, malam kelmarin, K Hares-varran dikatakan dipukul dan dipijak suami jiran keluarganya hingga menyebabkan hati kanak-kanak lelaki itu pecah dan enam tulang rusuknya patah.

Haresvarran dipercayai didera antara jam 10 malam dan 12 tengah malam kelmarin ketika ibu bapanya, masing-masing penerbit filem dan pekerja sambilan, meninggalkan mangsa di rumah jirannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata ibu mangsa mulanya meninggalkan anaknya di rumah seorang wanita tua yang uzur yang tinggal berhampiran rumahnya.

"Bagaimanapun, bimbang meninggalkan anaknya dengan wanita yang uzur itu, ibu mangsa kemudian menghubungi isteri suspek yang pernah menjaga mangsa selama tiga bulan tahun lalu untuk mengambil Haresvarran.

"Ibu mangsa sebenarnya risau untuk menyerahkan mangsa kepada pasangan itu kerana mengesyaki anaknya pernah didera berdasarkan kesan lebam di badan ketika dalam jagaan mereka tahun lalu. Bagaimanapun, kerana terdesak mereka meminta isteri suspek menjaganya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Arjunadi berkata, suspek berusia 33 tahun kemudian menjemput mangsa di rumah wanita tua itu, tetapi Haresvarran dikatakan enggan mengikutnya dan menangis walaupun selepas dipujuk, termasuk diberikan coklat.

"Dia mungkin takut sebab pernah didera suspek. Ini menyebabkan lelaki itu berang lalu memukul mangsa berulang kali sebelum mengheretnya ke padang permainan (di tingkat bawah pangsapuri) dan memijaknya tanpa belas kasihan.

"Suspek hanya menghentikan tindakannya apabila kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke klinik berhampiran. Mangsa kemudian dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana kecederaan serius dan disahkan mati sebaik tiba di hospital," katanya.

Ini kejadian kedua membabitkan kematian kanak-kanak mangsa dera dalam tempoh seminggu. Khamis lalu, Syafiah Humairah mati dipukul dan ditendang teman lelaki ibunya di Sungai Pelong, Hulu Selangor.
Arjunadi berkata, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori membuat laporan di Balai Polis Damansara Utama jam 12.35 tengah malam, kelmarin, dengan mendakwa Haresvarran mati tercekik makan gula-gula.

"Maklumat itu bercanggah dengan laporan perubatan, termasuk bedah siasat yang mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan dalaman yang serius.

"Di badan mangsa ada banyak kesan lebam lama dan baru, selain tulang rusuknya patah dan hatinya pecah," katanya.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Arjunadi meminta orang ramai, terutama yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Mayat K Haresvarran dituntut ibu bapanya sebaik bedah siasat selesai jam 1 petang semalam untuk dikebumikan.


12 ulasan:

  1. masya Allah

    apa sudah jadi, kasihan sungguh anak itu

    ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak menjadi mangsa

    masalah ini semakin berluasa nampaknya

    anak-anak jadi mangsa akibat kecuaian manusia yang tidak berhati perut

    aduhai, moga Allah pelihara seluruh kanak-kanak di dunia

    BalasPadam
  2. Salam Ustaz..
    memang sedih bila kita hanya tau menuding jari pada yang lain ..sedangkan kita hanya mendiamkan diri..tidak berbuat sesuatu..contoh bila kemalangan jalanraya bagaimana orang kita sibuk nak menonton hingga jalan sesak tapi bukan membantu cuma menambah kesulitan bila ambulan nak datang jer..sedikit attitude buruk masyarakat kini yang saya perasan...
    bab anak kecil yang di bunuh lagi seorang tu india..ini menunjukkan rakyat malaysia tidak kira bangsa semuanya seolah hilang akal bila menghadapi masaalah..memang inilah penyakit terkini (tekanan perasaan)..mungkinkah kerana pemakanan kita kini yang terlalu byk bahan kimia didalamnya yang akhirnya mengganggu kesihatan otak?.(PANDANGAN PERIBADI SAYA)

    BalasPadam
  3. fukuzatsuna kimochi
    complicated feeling

    akhir zaman???

    ini membuatkan makin berkobar kobar nak berenti kerja nih

    BalasPadam
  4. inilah yg kita akan tempuhi kini dan akan dtg

    BalasPadam
  5. ini fenemona yg menakutkan skrg. Sbg ibu akk pun
    selalu membayangkan bagaimana kalau ini terjadi pd anak2 akk sendiri. Nauzubillah. Minta dijauhkan.

    BalasPadam
  6. Masayu Ahmad:

    Salam Kak Mas.

    Itulah Kak Mas. Hidup sekarang ini menuntut wang. Mungkinkah suspek itu marah dan geram sebab bini dia tolong jaga percuma sahaja? Mungkinkah itu yang membuat dia tertekan?

    Apapun kemungkinannya, dalam dunia sekarang, majoriti orang tertekan kerana masalah wang.

    "aduhai, moga Allah pelihara seluruh kanak-kanak di dunia". Amin amin amin..

    Terima kasih Kak Mas;-)

    BalasPadam
  7. zulkbo:

    Salam Bang Zul.

    Iye bener. Itulah realitinya. Kita sekarang lebih suka memerhati dan mengkaji. Lebih banyak berusaha membuat analisis.

    Kita sudah semakin kurang sensitif. Macam ibu mendiang itu. Jika dia sensitif dengan perubahan dan penentangan anak nya, pasti tragedi boleh dielakka.

    Tentang pandangan peribadi Bang Zul itu, saya setuju juga.

    Terima kasih Bang Zul;-)

    BalasPadam
  8. Fid:

    Salam Kak Fid.

    Itulah kan. Penyesalan selalu datang kemudian.

    Akhir zaman??

    Saya doakan Kak Fid cepat-cepat kaya dan boleh berhenti kerja, amin;-) (Doakan saya juga ya;D)

    Terima kasih Kak Fid;-)

    BalasPadam
  9. maiyah:

    Salam Kak Maiyah.

    "inilah yg kita akan tempuhi kini dan akan dtg"

    Semoga kita bersedia dengan segala bekal yang perlu.

    Terima kasih Kak Maiyah;-)

    BalasPadam
  10. temp. housewife:

    Salam Kak Nuradyani.

    Iye bener kak. Ini fenemona yang menakutkan sekarang.

    Ramai orang sekarang hidup dalam tekanan. Itulah antara puncanya. Suspek itupun, pasti akan mengaku dia terlanjur dan seperti kerasukan.

    Nauzubillah. Saya sama berdoa kak, agar kita dilindungi daripada musibah dan dosa seperti itu. Amin amin amin.

    Terima kasih Kak Nuradyani;-)

    BalasPadam
  11. ustaz,
    semua ini puncanya dari bertahun-tahun, atau berpuluh-puluh tahun yang lalu. yang selama ini kita biarkan, dan tidak ambil peduli. maka kesannya terjadi sekarang..
    dan, jika kita terus biarkan dan biarkan, tunggu sahaja kesannya di masa akan datang.

    saya risau ustaz, bagaimana situasinya di masa anak-anak saya dewasa kelak? nampaknya, kita harus berubah.. bukan berubah kembali kepada dahulu. tapi kembali kepada agama.. kan?

    BalasPadam
  12. Sya:

    Salam Sya.

    Iya benar. Saya sangat setuju. Benda yang berlaku sekarang banyak disebabkan oleh perkara yang kita tidak pedulikan suatu masa dulu. Jadi, sekarang ini kita perlu menjadi masyarakat yang lebih peduli dan prihatin.

    Iya benar, cabaran semakin kuat. Kita tidak dapat mengembalikan masa tetapi kita perlu kembali kepada agama. Ajaran agama yang benar dan tulen.

    Terima kasih Kak Sya;-)

    BalasPadam