20/11/2009

Harta Yang Dibawa Mati


  Harta Yang Dibawa Mati



(Gambar di bawah ini diedit hanya dengan menggunakan MS Word dan Paint.
Insya Allah, ada masa saya akan siarkan tutorialnya di blog ini)


Photobucket


Photobucket


“Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara:
Sedekah jariah ataupun ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya”
(Hadith Shahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hidup adalah sebuah perjalanan menuju mati; tidak ada sesiapa yang dapat membantah kata-kata ini. Semua orang sedia maklum bahawa kehidupan ini akan berakhir dengan kematian. Semua orang sedar bahawa mereka pasti akan merasai kematian. Semua orang mengakui mereka boleh berusaha untuk hidup sihat dan lama, namun tidak ada seorangpun manusia yang dapat membantah atau melawan kematian.

Islam dalam mengaturkan kehidupan dan hala tuju hidup seseorang tidak pernah mengajarkan manusia hanya memandang kepada kehidupan dunia dan melupakan kehidupan akhirat; sedangkan kehidupan akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya. Begitu juga Islam tidak pernah mengajarkan manusia untuk hanya melihat kepada kehidupan akhirat sehaja dengan melupakan kehidupan dunia; sedangkan kehidupan dunia ini ialah tempoh ujian yang perlu dilalui oleh manusia untuk kehidupan akhirat.

Islam sebagai agama yang adil, sedia maklum bahawa umur setiap manusia tidak sama. Ada yang diberi kesempatan yang lama hidup di dunia ini, ada yang hanya diberi umur yang sekejap. Oleh itu, Islam mengajarkan kepada manusia agar mengambil perhatian kepada pelaburan akhirat yang perlu dibuat di dunia ini. Antara lain, Islam mengajak manusia memerhatikan amalan-amalan dan ibadat yang berkekalan hitungannya hingga ke hari kiamat sekalipun seseorang itu sudah meninggalkan dunia yang fana ini.

Islam mengajar kepada umatnya untuk menerima harta kekayaan, ilmu dan zuriat sebagai amanah bukan sebagai milik mutlak. Semua orang suka dan mahu kepada kekayaan, ilmu dan zuriat kerana tiga perkara ini memberi kesenangan dan kelazatan dalam hidup.

Islam sebagai agama untuk manusia daripada Tuhan yang menciptakan manusia; Islam adalah sebuah agama yang tidak melawan fitrah semulajadi manusia. Manusia cinta kepada kekayaan, ilmu dan zuriat sehingga mereka takut mati kerana belum berasa puas untuk menikmati ketiga-tiganya. Bagaimanapun manusia tetap akur bahawa mereka tidak akan hidup selama-lamanya. Satu masa, ketiga-tiga nikmat itu akan berakhir.

Namun, daripada lidah Rasulullah (SAW) menyampaikan khabar gembira kepada umat Islam bahawa mereka masih boleh menikmati ketiga-tiga nikmat yang mereka cintai itu seperti yang disebutkan dalam hadith yang kita pelajari kali ini.

Kekayaan, ilmu dan anak adalah nikmat Allah yang berupa amanah yang dipinjamkan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Semua manusia wajib berusaha untuk meraih wang ringgit, harta, ilmu dan anak; namun jangan lupa bahawa segalanya itu harus digunakan seperti dihendaki Allah sebagai lambang bersyukur kepada Allah yang telah memilih kita untuk memiliki semua itu.

Lebih dari itu, atas kasih sayang Allah; wang ringgit, harta benda, ilmu dan anak yang diamanahkan kepada kita, sekiranya digunakan dengan betul dan tepat seperti yang dikehendaki Allah (SWT), nikmatnya akan kita perolehi dalam jangka masa yang panjang sehingga ke hari akhir sekalipun kita sudah meninggal dunia.

Jika mahu kekayaan, ilmu dan zuriat keturunan masih dirasai nikmatnya sesudah mati, pergunakanlah segala nikmat itu dengan cara yang betul dan tepat. Anggaplah ia sebagai amanah yang mesti dijaga, ingatlah untuk bersyukur dan perbanyakkan memberi dan berkongsi nikmat yang diperolehi dengan sesama manusia…

Insya Allah.. ketiga-tiga nikmat itu akan tetap dinikmati sesudah mati. Wallahu’alam.

ADA 3 MILIK MANUSIA
YANG BOLEH DIBAWA MATI

1. Harta yang halal yang disedekahkan, diwakafkan dan digunakan untuk kebaikan.

2. Anak yang didik dengan baik sehingga menjadi anak yang soleh dan solehah.

3. Ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan orang itu juga memperoleh manfaat daripada ilmu tersebut.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan